Categories
AGENDA NASIONAL

Rakyat ‘meluat dan geram’ lepas Riza Aziz, kata Tun Mahathir

SHAH ALAM, 21 MEI: Masyarakat “meluat dan geram” terhadap keputusan melepaskan anak tiri Datuk Seri Najib Razak daripada kes pengubahan wang haram AS$248 juta (RM1.25 bilion), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Apakah ini bentuk keadilan yang diamalkan di Malaysia?” kata bekas perdana menteri, merujuk kes Riza Aziz menyeleweng dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Mereka yang terlibat mendakwa (kes ini) membantah bahawa mereka membuat keputusan ini (melepaskan tetapi tidak membebaskan Riza).

“Jelas sekali, mereka ini tahu bahawa keputusan itu salah,” katanya lagi, merujuk tokoh yang terlibat mendakwanya, bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, yang menafi menyokong keputusan itu.

Pada 14 Mei lalu, mahkamah membenarkan permohonan untuk melepaskan Riza dengan syarat tertuduh memulangkan semula aset dari luar negara dengan nilai anggaran AS$107.3 juta (RM465.3 juta).

Menulis di blognya hari ini, Dr Mahathir juga berkata keputusan tersebut akan membolehkan anak Datin Seri Rosmah Mansor itu “menyimpan wang curi itu dan boleh pula terlepas hukuman.”

Bekas perdana menteri seterusnya mendakwa kerajaan baharu Perikatan Nasional sebagai didukung oleh “pemimpin-pemimpin yang mempunyai latar belakang jenayah.”

“Kita ada kerajaan baharu di Malaysia (sejak 1 Mac). Kerajaan ini boleh ditubuh kerana ia disokong oleh mereka yang sedang dibicarakan bagi kes mencuri wang, pengubahan wang haram dan rasuah.

“Kita tidak yakin bahawa keadilan akan ditegakkan di negara ini kerana kekuasaan dan pengaruh penjenayah ini,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

PAKATAN bimbang penyelesaian kes Riza Aziz diguna pakai kepada ahli politik

SHAH ALAM 17 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) dan sekutunya bimbang beberapa kes melibatkan pemimpin politik akan menggunakan penyelesaian seperti keputusan terhadap Riza Shahriz Aziz, anak tiri Datuk Seri Najib Razak.

Dalam kenyataan media yang ditandatangani presiden dan pemimpin utama parti serta sekutu mereka, PAKATAN menganggap penyelesaian kes berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sebagai suatu petanda atau isyarat.

“…kes 1MDB berkait Riza Aziz, yang telah dilepaskan tanpa dibebaskan, menjadi petanda atau isyarat bahawa beberapa kes besar lain yang melibatkan beberapa tokoh politik akan menggunakan jalan penyelesaian yang sama,” katanya kenyataan itu.

Pada 14 Mei lalu, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan Riza berikutan persetujuan dicapai antara tertuduh dan pendakwa iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Namun, persetujuan itu bergantung kepada pematuhan Riza untuk memulangkan jutaan ringgit wang kerajaan yang ada kaitan dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram.

Jika pengerusi Red Granite Pictures yang menghasil filem The Wolf of Wall Street gagal mematuhinya, SPRM boleh mengenakan semula pertuduhan tersebut di mahkamah.

Sebelum ini, Riza berdepan lima pertuduhan pengubahan wang haram bernilai AS$248 juta (RM1.25 bilion) membabitkan dana 1MDB.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdal.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan bakal terima semula aset RM465.3 juta kes Riza Aziz

KUALA LUMPUR, 14 MEI: Kerajaan Malaysia dijangka menerima semula aset di luar negara dianggarkan berjumlah USD107.3 juta (RM465.3 juta) dalam kes pengubahan wang haram yang dihadapi Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebelum ini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dalam kenyataan media hari ini berkata, pihak pendakwaan telah memohon kepada mahkamah untuk melepas tanpa membebaskan Riza daripada beberapa pertuduhan yang dibuat pada 5 Julai 2019 di Mahkamah Sesyen di sini.

SPRM berkata badan itu dimaklumkan bahawa ia merupakan pelepasan bersyarat dengan pihak pendakwaan berhak untuk mengembalikan pertuduhan dan mendakwa tertuduh sekiranya tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan yang dicapai.

“Hasil keputusan ini, kerajaan Malaysia dijangka akan menerima semula aset-aset di luar negara yang terlibat daripada kesalahan berkenaan iaitu dianggarkan berjumlah USD 107.3 juta (RM465.3 juta).

Dalam persetujuan ini juga, tertuduh dikehendaki membayar sejumlah kompaun kepada kerajaan sebagaimana dibenarkan di bawah Seksyen 92 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dengan ini adalah bersifat punitif sebagai alternatif kepada pertuduhan yang telah dikenakan ke atasnya,” kata kenyataan itu.

SPRM berkata persetujuan antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi di mahkamah itu adalah keputusan yang telah dipertimbangkan dan dipersetujui oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan Riza daripada pertuduhan pengubahan wang haram US$248 juta (RM1.25 bilion), didakwa diseleweng daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas pihak pendakwaan dan tertuduh mencapai persetujuan untuk melepas tanpa membebaskan lelaki itu susulan beberapa representasi difailkan tertuduh terhadap pertuduhan dihadapinya.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan, yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) kanan untuk mengendalikan kes itu, Datuk Seri Gopal Sri Ram memaklumkan bahawa satu persetujuan telah dicapai antara pihak pendakwaan dengan tertuduh di bawah terma-terma bahawa Kerajaan Persekutuan akan menerima sejumlah wang membabitkan beberapa juta ringgit.

“Hasil daripada persetujuan yang dicapai, dengan itu pertuduhan yang dikemukakan terhadap tertuduh tidak akan diteruskan buat masa ini sementara menunggu persetujuan itu dilaksanakan sepenuhnya.

Sri Ram berkata sekiranya berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan itu, langkah sewajarnya akan diambil untuk memastikan tertuduh dibebaskan sepenuhnya.

“Sekiranya tidak berpuas hati dengan pelaksanaan persetujuan itu, pihak pendakwaan berhak untuk mengembalikan pertuduhan itu dan mendakwa tertuduh mengikut undang-undang,” katanya.

Pada 5 Julai tahun lepas, Riza, 43, pemilik Red Granite Pictures, mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan pengubahan wang haram.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pengurusan kes wang haram anak tiri Najib 6 Disember

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menetapkan 6 Disember untuk pengurusan kes Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram berjumlah US$248 juta (RM1.25 bilion), hasil daripada penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh itu setelah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan masih belum melengkapkan beberapa dokumen yang berkaitan dengan kes itu.

“Pihak pendakwa memerlukan sedikit masa untuk mendapatkan beberapa dokumen yang berkaitan dengan kes itu. Semua dokumen akan selesai dalam masa terdekat dan dokumen lain telah dikemukakan kepada pembelaan, “katanya ketika sebutan kes hari ini.

Peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili Riza, 42, mengesahkan perkara itu.

Sri Ram juga memaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi semalam telah menolak permohonan pihak pembelaan untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi dan kes itu akan diteruskan di mahkamah ini.

Pada 9 Ogos, Rozina menetapkan 6 hingga 9 Januari dan 13 Januari untuk perbicaraan.

Pada 5 Julai lepas, Riza, pemilik syarikat Red Granite Pictures, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem Wolf of The Wall Street itu didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah US$1.173,104 melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun bernombor 11116073 milik Good Star Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, AS bernombor 123248291 milik Red Granite Productions Inc.

Wang berkenaan didakwa hasil daripada penyelewengan ke atas dana 1MDB.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 April dan 12 Mei 2011 di City National Bank, Los Angeles Main, 525 South Flower Street, Los Angeles, California, Amerika Syarikat.

Riza, anak Datin Seri Rosmah Mansor hasil perkahwinan terdahulu, dituduh melakukan kesalahan sama melibatkan US$9 juta melalui transaksi pemindahan wang daripaa akaun serupa pada 10 September 2012 dan 10 Oktober 2012 di tempat sama.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan perbuatan sama berjumlah US$133 juta dan US$60 juta melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun bernombor 81134378 milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun BSI Bank Limited Singapura bernombor 6C02250A milik Red Granite Capital Ltd.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di BSI Ltd, 7 Temasek Boulevard, #32-01 Suntec Tower One, Singapura pada 18 Jun 2012 dan 23 Oktober 2012.

Mengikut pertuduhan kelima, tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa berjumlah US$45 juta di tempat sama pada 14 November 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

1MDB: FBI teliti syarikat filem anak tiri Najib

SHAH ALAM, 30 DIS : Pembiayaan syarikat penerbitan filem, Red Granite Pictures ditubuhkan Riza Aziz anak tiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kini diteliti Biro Siasatan Persekutuan Amerika (FBI).

Akhbar Wall Street Journal (WSJ) melaporkan ia sebagai sebahagian daripada siasatan ke atas syarikat sarat hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

FBISealRed Granite Pictures terheret dalam siasatan berkaitan 1MDB apabila FBI memutuskan menyiasat aset milik Najib dan keluargannya termasuk hartanah mewah di New York dan Los Angeles.

Sebelum ini, dalam filem The Wolf of Wall Street terbitan Red Granite Pictures secara jelas memberi perhormatan kepada hartawan yang mempunyai hubungan dengan 1MDB, Jhow Low pada kredit akhir filem berkenaan.

WSJ semalam memetik bekas ahli politik parti pemerintah mendakwa Low dibawa ke dalam 1MDB untuk membantu perbelanjaan berkaitan pilihan raya.

1MDB pada hari sama dalam kenyataannya mendakwa laporan WSJ itu sebagai tidak berasas dan dikitar semula sejak pertengahan 2015.

Low sejak itu menafikan hubungan dengan 1MDB.

-nR-

Categories
NASIONAL

Rosmah biaya filem anak di Hollywood RM326 juta?

KUALA LUMPUR 13 JAN: Produser filem Hollywood kelahiran Malaysia, Riza Aziz dilapor mencipta nama menerusi kejayaan filem terbitannya, The Wolf Of Wall Street yang menggondol Anugerah Golden Globes kategori Pelakon Lelaki Terbaik menerusi lakonan pelakon terkenal, Leonardo DiCaprio.

Bagaimanapun, persoalan timbul berikutan spekulasi media mendakwa filem itu dibiayai ibunya, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga isteri perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Riza RizzDipetik Mstar Online, Riza dikatakan enggan mengulas kontroversi yang melanda filemnya yang menelan belanja US$100 juta (RM326 juta) itu termasuk tuduhan sebuah ‘portal pro-pembangkang’ yang mendakwa produser itu mendapat sumbangan kewangan daripada ibunya.

Bagaimanapun, portal MStar tidak menjelaskan portal pembangkang yang dimaksudkan.

Riza merupakan anak Rosmah bersama bekas suami pertamanya, Abdul Aziz Nong Chik yang sebelum ini dilaporkan membeli satu unit kondominium mewah berharga RM 100 juta di New York.

Filem penuh kontroversi itu berdasarkan kisah benar mengenai broker saham Wall Street, Jordan Belfort lakonan DiCaprio yang dipenjarakan kerana rasuah dan jenayah perdagangan.

Filem itu turut membariskan bintang-bintang Hollywood terkenal seperti Jonah Hill, Margot Robbie and Matthew McConaughey.

-Keadilan Daily