Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Bantuan khas RM150 guru tadika, masih ada 3,000 kuota

SHAH ALAM, 23 JULAI: Lebih 3,000 guru tadika di Selangor yang belum memohon bantuan sekali bayar RM150 dipelawa berbuat demikian apabila permohonan fasa kedua dibuka pada 15 Ogos depan.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun lalu menyasarkan 10,197 guru mendapat manfaat tersebut namun hanya 7,177 mengemukakan permohonan bantuan fasa pertama.

Setiausaha bahagian pengurusan sumber manusia pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri berkata pautan borang permohonan boleh diakses menerusi persatuan tadika berdaftar serta pejabat pendidikan daerah.

“Justeru kita berharap guru tadika memanfaatkan bantuan ini apabila permohonan fasa kedua dibuka bermula 15 Ogos sehingga 6 September,” kata  Mohd Hafeez Shaari ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, bagi pengusaha tadika yang disediakan bantuan sekali bayar RM450, pihaknya menerima 1,412 permohonan melebihi kuota 1,018 ditetapkan.

“Permohonan bantuan untuk guru dan pengusaha tadika bagi fasa satu sedang diproses dan pembayaran dijangka dibuat pada bulan depan,” katanya.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan bantuan sekali bayar RM150 kepada 10,197 guru tadika manakala RM450 kepada 1,018 pengusahanya melibatkan peruntukan berjumlah RM1.99 juta.

Inisiatif untuk guru dan pengusaha tadika itu terkandung dalam pelan bernilai RM551.56 juta membantu 1.6 juta penduduk terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 10,000 guru tadika terima bantuan khas RM150

SHAH ALAM, 9 JUN: Dato’ Menteri Besar mengumumkan bantuan sekali bayar RM150 kepada 10,197 guru tadika manakala RM450 kepada 1,018 pengusahanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan dengan peruntukan RM1.99 juta bagi meringankan beban golongan itu yang mengalami kesukaran susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bantuan ini akan memberi manfaat kepada hampir 1,018 pengusaha tadika dan 10,197 guru-guru tadika di seluruh negeri dengan peruntukan RM500,000,” katanya.

Terdahulu, beliau membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu golongan yang terkesan dengan PKP.

Bertemakan Bersama Menuju Kejayaan, pelan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

Selain itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri bersetuju memberi penangguhan pembayaran sewa kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Skim Smart Sewa untuk bulan Julai.

“Seramai 2,632 individu yang menyewa di rumah PPR dan 477 peserta Skim Smart Sewa akan menerima manfaat penangguhan bayaran sewa Julai dengan impak kewangan berjumlah RM900,000,” jelasnya.