Categories
AGENDA BERITA UTAMA JENAYAH

Dapat sambutan, jualan ayam RM8 sekilogram diperluas ke daerah untuk manfaat ramai

SHAH ALAM, 8 FEB: Tempoh jualan ayam standard RM8 sekilogram selama dua minggu bermula semalam dilanjut serta diperluas ke semua daerah bagi memanfaatkan lebih ramai penduduk.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata inisiatif menerusi Program Intervensi Harga Makanan Ehsan juga tidak tertumpu peniaga kelolaan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sahaja.

“Esok ada mesyuarat MMKN (Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) dan kita akan bincang cara untuk melebarkannya. Bagaimanapun ia bergantung pada kos dan juga keupayaan kita melaksanakannya.

“Sambutannya sangat baik, selepas habis 50,000 ekor kita buat keputusan sama ada lanjutkan sehingga maksimum empat bulan. Program ini tidak boleh lama, hanya untuk kurangkan kesan peningkatan harga,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan surat tawaran pinjaman boleh ubah dalam negara di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Kerajaan Selangor menerusi PKPS menjual ayam standard dengan harga siling RM8 sekilogram selama dua minggu bermula Isnin  bagi mengurangkan beban kenaikan harga barang makanan.

Penjualan melibatkan 50,000 ekor ayam itu dijalankan di Wisma PKPS di Shah Alam serta Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan.