Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jualan ayam murah dapat sambutan, pembeli harap laksana sekali sebulan

SHAH ALAM, 27 FEB : Orang ramai berharap jualan ayam murah, telur serta barangan keperluan asas yang dilaksanakan Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali sebulan.

Juerah Din. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

Pembeli Juerah Din, 71, berkata program itu sangat membantu rakyat terutama ketika harga bekalan asas sedang meningkat naik ketika ini.

“Saya harap Kerajaan Selangor dapat anjurkan program ini setiap bulan kerana ia membantu rakyat membeli barangan mentah pada harga berpatutan.

“Terima kasih juga kerana sentiasa prihatin dengan nasib rakyat yang terjejas,” katanya ketika ditemui SelangorKini di program jualan di tapak niaga Seksyen 18 bersebelahan Masjid Al-Hidayah di sini.

Yee Ka Men. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

Manakala, Yee Ka Men, 82, berkata beliau tidak melepaskan peluang untuk membeli makanan asas itu yang jauh lebih murah berbanding harga pasaran.

“Hari ini saya beli ayam segar, beras dan telur. Harga ayam di sini RM8 sekilogram sangat murah ditambah lagi kupon RM5 daripada wakil rakyat Batu Tiga bertambah murah, terima kasih.

“Macam telur gred B selalu di pasar raya RM14 tetapi hari ini hanya RM11.70, beras lima kilogram saya beli RM13 sahaja. Sangat jimat,” katanya.

Bagi D Thilakam, 55, pula beliau mendapat tahu program jualan murah menerusi kumpulan WhatsApp serta terus hadir bersama jiran untuk mendapatkan ayam dan telur.

D Thilakam. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

“Susah nak dapat ayam sekarang, di pasar raya selalu habis, jika ada pun agak mahal. Terima kasih juga wakil rakyat Batu Tiga sediakan kupon RM5 yang sedikit sebanyak meringankan beban,” katanya.

Sebanyak 800 ekor ayam segar, telur dan beberapa makanan asas dijual menerusi jualan murah anjuran Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) dan pejabat DUN Batu Tiga di tapak niaga Seksyen 18 bersebelahan Masjid Al-Hidayah.

Inisiatif menjual ayam standard dengan harga siling RM8 sekilogram menerusi Program Intervensi Harga Ayam dan Telur bermula 7 Februari lepas bagi mengurangkan beban kenaikan harga barang makanan.

Program melibatkan penjualan 50,000 ekor ayam dengan dana RM1 juta diperluas ke seluruh negeri selepas mendapat sambutan orang ramai.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jualan ayam murah di DUN Pandan Indah, Teratai esok

SHAH ALAM, 16 FEB: Inisiatif jualan ayam murah RM8 sekilogram menerusi Program Intervensi Harga Ayam dan Telur diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah dan Teratai esok.

Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) memaklumkan program bermula am 9 pagi itu turut menjual telur, buah-buahan dan sayur-sayuran.

“Pandan Indah dan Teratai adalah lokasi seterusnya jualan ayam murah RM8 sekilogram menggunakan Lori Jualan Ehsan, esok.

“Setiap Lori Jualan Ehsan membawa banyak 200 ekor ayam, 150 papan telur ayam serta 50 pek buah dan sayur,” katanya kepada SelangorKini.

Kerajaan Selangor menjual ayam standard dengan harga siling RM8 sekilogram bermula 7 Februari bagi mengurangkan beban kenaikan harga barang makanan.

Penjualan 50,000 ekor ayam membabitkan dana RM1 juta diperluas ke seluruh negeri selepas mendapat sambutan orang ramai.

Berikut senarai kawasan sehingga akhir Mac depan:

  • 19 Februari dan 16 Mac (Dusun Tua dan Semenyih)
  • 20 Februari dan 17 Mac (Kajang, Sungai Ramal dan Balakong)
  • 21 Februari dan 19 Mac (Seri Kembangan dan Seri Serdang)
  • 22 Februari dan 20 Mac (Kinrara dan Subang Jaya)
  •  23 Februari dan 21 Mac (Seri Setia, Taman Medan dan Bukit Gasing)
  • 24 Februari dan 22 Mac (Kampung Tunku, Bandar Utama dan Bukit Lanjan)
  • 26 Februari dan 23 Mac (Paya Jaras dan Kota Damansara)
  • 27 Februari dan 24 Mac (Kota Anggerik dan Batu Tiga)
  • 28 Februari dan 26 Mac (Meru, Sementa dan Selat Kelang)
  • 1 dan 27 Mac (Bandar Baru Klang, Pelabuhan Klang dan Pandamaran)
  • 2 dan 28 Mac (Sentosa, Sungai Kandis dan Kota Kemuning)
  • 3 dan 29 Mac (Sijangkang, Banting dan Morib)
  • 4 dan 30 Mac (Tanjung Sepat, Dengkil dan Sungai Pelek)