Categories
EKONOMI SELANGOR

Selangor tumpuan khas rancangan separuh penggal RMK-11

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 9 NOV: Selangor akan menjadi tumpuan khas Kerajaan Persekutuan melalui Rancangan Separuh Penggal Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana Selangor menjadi penyumbang terbesar bagi ekonomi negara.

“Maka, peruntukan pembangunan Selangor akan dinaikkan daripada RM2.1 bilion kepada RM2.55 bilion pada 2019, sekali gus memperlihatkan penambahan sebanyak RM400 juta.

“Saya berharap melalui pertambahan peruntukan ini, maka Kerajaan Selangor akan memberi perhatian keutamaan kepada projek yang boleh mencipta nilai ekonomi,” katanya dalam ucapan Taklimat Pembangunan Selangor Anjung Utara dan Minum Petang, di Pekan Kuala Selangor, hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, enam negeri lain yang turut diberi tumpuan khas termasuk Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Dalam masa terdekat, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan turun ke Selangor dan melihat serta menjayakan program pembangunan, di negeri ini,” katanya.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Azmie Diron dan Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar Selangor, Soffan Affendi Aminudin.

Categories
NASIONAL PENDIDIKAN

RMK-11: Kaji semula Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia bersama Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 akan dikaji semula dengan mewujudkan perundangan baharu lebih baik ke arah mewujudkan kebebasan akademik, bersuara serta berpersatuan.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan meningkatkan akses saksama kepada pendidikan dan latihan berkualiti seperti digariskan dalam Tonggak 4: Memperkasa Modal Insan.

“Menerusi pendidikan asas, usaha akan ditumpu kepada peningkatan pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, penguasaan Bahasa Inggeris dan peningkatan kemahiran berfikir aras tinggi.

“Bagi menetapkan standard pendidikan lebih tinggi dan memupuk nilai murni serta budaya kerja positif seperti diamalkan di Jepun, kerajaan akan mengkaji semula kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) 2016-2020: Keutamaan dan Penekanan Baharu, di Dewan Rakyat.

Katanya, kerajaan juga akan meningkatkan kualiti tenaga pengajar institusi pendidikan tinggi dengan meneruskan penajaan Skim Latihan Akademik untuk melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD).

“Dalam tempoh akhir rancangan, Kkerajaan akan melaksanakan Projek Pembinaan Bangunan bagi Pusat Perkhidmatan Rawatan Pesakit Luar dan Pakar di Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kompleks Fakulti Perubatan Veterinar di Universiti Malaysia Kelantan dan Hospital Pengajar di Universiti Malaysia Sarawak,” katanya.

Tun Dr Mahathir berkata, kerajaan juga akan meneruskan program latihan prapekerjaan di bawah skim Latihan Bakal Pekerja dengan menyediakan dana bagi membantu membiayai yuran program, di pusat pembangunan kemahiran negeri.

Katanya, menerusi tonggak sama, keutamaan juga akan diberikan terhadap usaha memperkukuh jalinan kerjasama Industri-Akademia supaya tawaran pembelajaran dapat dipadankan dengan kehendak permintaan.

“Kita akan menggalakkan institusi TVET untuk mempelajari dan menerima guna amalan terbaik daripada Jepun khususnya melalui penerapan pengetahuan dan kemahiran teknologi terkini dalam pengajaran serta pembelajaran,” katanya.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Reformasi pasaran buruh demi persaingan Revolusi Industri 4.0

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kerajaan akan melaksanakan reformasi pasaran buruh bagi memenuhi keperluan industri dan menyokong pertumbuhan ekonomi.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, menerusi Tonggak 4: Memperkasa Modal Insan, pelaburan berkualiti tinggi juga akan diberi keutamaan untuk mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran.

“Kerajaan akan mereformasi pasaran buruh ke arah mewujudkan pekerjaan berkemahiran yang menawarkan gaji tinggi, dengan menggalakkan automasi dan inovasi, menerima guna teknologi baharu serta mengkomersialkan harta intelek.

“Bagi meningkatkan gaji dan upah, semakan secara berterusan ke atas dasar gaji minimum dan pembentukan Indeks Gaji Kebangsaan akan dilaksana, di samping memperluas sistem upah yang dikaitkan dengan produktiviti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul berkenaan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) 2016-2020: Keutamaan Dan Penekanan Baharu, di Dewan Rakyat.

Kerajaan sebelum ini menyelesaikan perbezaan kadar gaji minimum antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak dengan penyeragaman gaji minimum RM1,050 di seluruh negara, bermula 1 Januari 2019.

Tun Dr Mahathir berkata, kerajaan turut berazam mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing melalui penambahbaikan pengurusan dengan mengenakan sistem levi berperingkat yang progresif berasaskan jumlah pekerja asing yang digaji.

Selain itu, katanya, kerajaan juga akan mengukuhkan hak pekerja dan meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga buruh bagi menambah baik kecekapan serta produktiviti.

“Hak pekerja akan diperkukuh melalui kajian semula undang-undang perburuhan dan pelaksanaan Sistem Insurans Pekerjaan yang menyeluruh. Pekerja yang diinsuranskan akan menerima manfaat merangkumi elaun mencari pekerjaan, latihan, penempatan pekerjaan dan kaunseling kerjaya.

“Amat penting kita menyediakan pekerja dan golongan profesional menghadapi gangguan yang bakal dibawa Revolusi Perindustrian Keempat,

“Revolusi ini menghapuskan banyak jenis pekerjaan seperti buruh manual dalam sektor pembuatan, namun akan mencipta peluang pekerjaan baharu seperti penyelenggaraan serta kejuruteraan robotik juga automasi,” katanya.

Categories
NASIONAL

Kerajaan garis 6 keutamaan dalam pentadbiran

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Kerajaan Persekutuan menggariskan enam keutamaan pentadbirannya dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, perkara utama yang diberi penekanan adalah mereformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam.

“Kerajaan juga akan memperkukuh pembangunan inklusif dan kesejahteraan rakyat, menuju ke arah pembangunan wilayah seimbang, memperkasa modal insan, mempertingkat kemampanan alam sekitar melalui pertumbuhan hijau serta memperkukuh pertumbuhan ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kajian terbabit, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Pada masa sama, katanya, penekanan itu bagi meningkatkan daya tahan asas ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

Categories
EKONOMI NASIONAL

RMK11 dibentang 18 Oktober, muatkan manifesto PRU

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 JUL: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi giat menjalanjan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dengan mengimbas kembali prestasi ekonomi negara bagi tempoh dua tahun lalu.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kajian yang bakal dibentangkan pada 18 Oktober itu nanti turut memuatkan cadangan manifesto Kerajaan Pakatan Harapan.

“Antara lain akan mengimbas kembali prestasi ekonomi negara dalam tempoh dua tahun lalu namun memandangkan kerajaan ini baru dibentuk maka kajian separuh penggal ini juga memuatkan beberapa cadangan berdasarkan manifesto Pakatan Harapan (PAKATAN) dalam pilihan raya akan datang.

“Jadi, ada dua strategi dalam kajian separuh penggal, bukan sahaja melihat prestasi yang lalu tetapi juga kita merencana dan membuat dasar baru berdasarkan manifesto PAKATAN,” katanya.

Beliau berkata demikian pada media Majlis Sambutan Aidilfitri Agensi Agama Islam Selangor di Perkarangan Bangunan Sultan Idris Shah di sini, hari ini.

Mohamed Azmin menjangkakan kajian RMK11 yang melibatkan pelbagai aspek itu dapat disiapkan sebelum hari pembentangan nanti.

Sementara itu, majlis sambutan aidilfitri itu dimeriahkan dengan kehadiran Mohamed Azmin dan Dato’ Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Kehadiran dua ikon penting Selangor itu berjaya mencuri tumpuan hadirin yang ada di majlis terbabit.

Mohamed Azmin dan Amirudin turut mengambil kesempatan melayani pengunjung yang ingin mengambil gambar dan bersalam-salaman.