Categories
AGENDA NASIONAL

RMK12: Selangor terima peruntukan lebih RM1.7 bilion

SEPANG, 23 NOV: Selangor akan menerima peruntukan sebanyak RM1.756 bilion bagi 2022 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk membiayai projek sambungan dan projek baharu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata sebanyak RM1.684 bilion daripada peruntukan itu melibatkan projek sambungan manakala baki RM72 juta adalah untuk projek baharu.

“Projek sambungan itu termasuklah menaik taraf jalan raya, jalan baharu di Serendah, pembinaan pusat kardiologi Hospital Serdang dan pembinaan Hospital Tanjung Karang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari bagi sesi Roadshow Pasca RMK12 hari ini.

Mengenai pertemuan tersebut, Mustapa berkata pihaknya mengambil maklum tentang isu infrastruktur yang dibangkitkan oleh Amirudin yang juga relevan di semua negeri.

“Kita ingin menjadi negara berpendapatan tinggi, nak menyediakan infrastruktur terbaik kepada rakyat. Antara yang kita bincangkan tadi tentang air, jalan raya, sekolah dan hospital.

“Mengenai infrastruktur berkaitan air, antara yang utama tadi adalah berkaitan Sungai Rasau, ia melibatkan peruntukan yang besar, ia sudah pasti satu isu yang penting tapi ia belum ada dalam perancangan kita (tahun depan), (namun) ini boleh kita bincang untuk tahun 2023,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata di bawah RMK12 sebanyak 10 projek sambungan akan diteruskan pada tahun depan termasuk membina dan menaik taraf Lingkaran Pulau Indah Fasa Tiga melibatkan kos sebanyak RM887 juta dan pembinaan jalan baharu di kawasan UMW High Value Manufacturing Park (UMW HVMP) di Serendah melibatkan kos RM121 juta.

“Ini (jalan baharu) penting sebab UMW HVMP adalah kawasan seluas 323.75 hektar untuk pembinaan sektor aeroangkasa. Sekarang ini dalam sekitar 121.4 hektar saja baru digunakan. Dengan adanya jalan ini, saya percaya ada banyak lagi perkilangan baharu yang akan dibuka di sana dan akan menggerakkan Serendah sebagai kawasan bernilai tinggi,” katanya.

Menurut Amirudin, dalam pertemuan bersama Mustapa itu antara perkara utama yang dibincangkan ialah isu infrastruktur dan usaha meningkatkan keupayaan ekonomi selepas pendemik terutamanya dalam menyediakan peluang pekerjaan dan keperluan untuk peyelarasan yang lebih kerap antara kerajaan pusat dan negeri terutamanya untuk memantau projek bagi kesejahteraan dan kebaikan bersama.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

98 projek tangani banjir Selangor di bawah RMK12 diluluskan

SHAH ALAM, 8 OKT: Sebanyak 98 projek tebatan banjir Selangor membabitkan peruntukan RM533 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) telah diluluskan, maklum Dato’ Menteri Besar.

Menurut Dato’Seri Amirudin Shari satu daripada 98 projek berkenaan iaitu projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Buloh Fasa 1 sudah dilaksanakan.

“Sebanyak 78 buah projek dengan peruntukan RM425.33 juta di bawah RMK11 telah disiapkan, manakala terdapat 98 projek diluluskan melalui RMK12 dengan peruntukan RM533 juta.

“Bagi projek di bawah RMK12, sejumlah RM440 juta disalurkan dan satu daripada 98 projek sudah dilaksanakan iaitu projek RTB Sungai Buloh Fasa 1,” katanya menerusi Twitter.

Selain itu, Amirudin berkata sebanyak RM1.3 bilion peruntukan tambahan dipohon bagi melaksanakan lima projek menangani isu perubahan iklim dan kejadian banjir berulang.

“Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor telah membuat permohonan tambahan sejumlah RM1.3 bilion untuk membina lima projek RTB,” katanya.

Berikut cadangan projek RTB:
– RTB Sungai Kapar Kecil dan Sungai Kapar (Meru dan Klang)
– RTB Sungai Langat Fasa 2 (Sepang, Hulu Langat dan Kuala Langat)
– RTB Sungai Buloh Fasa 2 (Petaling dan Kuala Selangor)
– RTB Anak Sungai Udang Fasa 2 (Selayang dan Gombak)
– RTB Sungai Kundang (Bandar Baru Kundang dan Rawang)

 

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Parlimen: Penggulungan RMK12 bermula hari ini

KUALA LUMPUR, 5 OKT: Hari ini bermula sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat oleh kementerian-kementerian selepas rancangan negara untuk tempoh 2021 hingga 2025 itu dibahaskan di Parlimen.

Sebanyak 106 Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian pada sesi perbahasan RMK12 selepas dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 27 September.

Antara isu dibangkitkan Ahli-ahli Parlimen dalam perbahasan selama empat hari bermula 28 September itu adalah kesihatan, vaksin Covid-19, pembangunan Sabah dan Sarawak, kemiskinan, impak pasca-Covid-19 dan pengurusan bekalan air negara.

Berdasarkan takwim Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas 2021 di portal Parlimen sesi penggulungan oleh kementerian dijadual berlangsung hingga Khamis.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat persidangan hari ini dimulakan dengan sesi Waktu Pertanyaan Menteri melihatkan soalan untuk Perdana Menteri berkaitan sekuriti tenaga (energy security) di negara ini ketika berlaku krisis tenaga global dan hala tuju untuk meningkatkan sekuriti tenaga negara.

Dua lagi soalan untuk sesi berkenaan adalah untuk Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya mengenai adakah kementerian bercadang menetapkan paras siling komisen harga jualan bilik melalui OTA (Online Travel Agent) dan Menteri Perpaduan Negara berkaitan sejauh mana Tabika Perpaduan memainkan peranan dalam memupuk nilai-nilai perpaduan dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Bagi waktu pertanyaan jawab lisan pula Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) meminta Menteri Pengajian Tinggi menyatakan setakat manakah tahap kebolehpasaran graduan semasa pandemik Covid-19 dan langkah bagi menyediakan graduan yang berdaya saing di pasaran pekerjaan.

Turut ditanya adalah soalan mengenai keberkesanan modul sesi Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR) yang diajukan oleh Datuk Mohd Salim Sharif (BN-Jempol) kepada Menteri Kanan Pendidikan.

Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 berlangsung selama 17 hari hingga 12 Oktober ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebuhraya Persisiran Pantai Barat dijangka siap 2024

SHAH ALAM, 27 SEPT: Projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) membabitkan tujuh jajaran di Selangor dijangka siap pada 2024, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri berkata pembinaan itu merupakan antara projek utama yang terkandung dalam fokus kedua Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) iaitu Memperkukuh Pemangkin Pertumbuhan.

“Infrastruktur dan utiliti asas yang berkualiti dan berdaya harap seperti jalan raya, rel, bekalan air dan elektrik penting bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, merapatkan jurang pembangunan antara wilayah dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat.

“Rangkaian rel dan jalan raya bersepadu yang menghubungkan lapangan terbang dan pelabuhan dengan kawasan perindustrian, bandar dan luar bandar akan dipertingkat,” katanya ketika membentangkan RMK12 di Parlimen hari ini.

Selain WCE, beliau berkata Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa Satu yang menghubungkan Rawang ke Salak Selatan dijangka siap pada tahun depan.

Manakala projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), katanya, akan diteruskan dan dijangka siap pada 2026.

Pada Jun tahun lalu, Ketua Bahagian Jalan Jabatan Kerja Raya Selangor Ir Zainuddin Hussain berkata projek WCE mengalami sedikit kelewatan iaitu 4.44 peratus daripada jangkaan sepatutnya disiapkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada pertengahan Mac.

WCE sepanjang 233 kilometer (km) mula dibina pada 25 Ogos 2014 dengan kos keseluruhan sebanyak RM5.044 bilion. Daripada jumlah itu, RM3.122 bilion adalah kos bagi pakej pembinaan di Selangor manakala RM1.922 bilion lagi membabitkan pakej pembinaan di Perak.

Tujuh pakej di negeri ini meliputi laluan Banting ke Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE) sepanjang 11 kilometer (km), SKVE ke Lebuhraya Shah Alam (SAE) (7.2km) dan SAE ke Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE)/Lebuhraya Persekutuan 2 (FHR2) sejauh 10.1 km.

Pakej seterusnya membabitkan laluan NKVE/FHR2 ke Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB) sepanjang 4.5km, NNKSB ke Kapar (9.7km), Kapar ke Assam Jawa (21.8km) dan Assam Jawa ke Tanjong Karang (29.5km).

Categories
AGENDA NASIONAL

RMK12: RM400 bilion diperuntuk biayai projek sambungan, baharu

SHAH ALAM, 27 SEPT: Kerajaan akan memperuntuk RM400 bilion untuk membiayai projek sambungan dan projek baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata peruntukan pembangunan akan lebih ditumpukan kepada projek sambungan apabila ekonomi semakin kukuh tahun depan.

“Pandemik Covid-19 telah menjejaskan kedudukan kewangan sehingga defisit fiskal melebar kepada 6.2 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2020.

“Insya-Allah, kita menjangkakan kedudukan kewangan kerajaan akan bertambah baik pada tahun 2023 apabila ekonomi semakin kukuh,” katanya ketika membentangkan RMK12 di Parlimen hari ini.

Beliau menambah pihaknya banyak menerima cadangan daripada orang ramai, ahli parlimen dan kerajaan negeri untuk menangani krisis kesihatan dan ekonomi.

Namun, katanya, kerajaan terpaksa mengehadkan projek pembangunan pada tahun lalu dan tahun ini kerana mempunyai keperluan yang lebih besar iaitu melindungi nyawa dan kehidupan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Rancangan Malaysia Ke-12 tumpuan sidang Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 27 SEPT: Persidangan Dewan Rakyat hari ini tertumpu kepada pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, satu hala tuju yang bakal memacu negara bagi tempoh 2021-2025.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman web rasmi Parlimen, Ismail Sabri dijangka mengemukakan usul RMK12 pada 11.30 pagi, sebaik selesai sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan yang bermula 10 pagi.

Selain itu, takwim Dewan Rakyat memaklumkan selepas pembentangan itu, persidangan dewan akan ditangguhkan pada Selasa untuk sesi perbahasan RMK12 oleh Ahli Dewan Rakyat yang dijadual selama empat hari.

Bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia, RMK12 dijangka memberi keutamaan kepada aspek kebajikan, perlindungan sosial dan projek-projek berpaksikan rakyat yang menjadi keutamaan berbanding projek mega baharu.

Sementara itu, isu berhubung rancangan strategik Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri untuk terus menjadikan Malaysia negara mesra pelabur pasca Covid-19 bagi menarik pelaburan syarikat gergasi antarabangsa akan dikupas pada persidangan hari ini.

Soalan pertama berkenaan dikemukakan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan.

Selain itu, Datuk Mohd Anuar Mohd Tahir (PH-Temerloh) akan bertanya mengenai maklum balas terkini status vaksinasi kepada pekerja tempatan dan asing di sektor pembinaan kepada Menteri kerja Raya.

Datuk Dr Hasan Bahrom (PH-Tampin) pula akan mengajukan pertanyaan kepada Menteri Kanan Pertahanan mengenai perancangan aspek kebajikan khususnya perumahan mampu milik kepada anggota tentera yang bersara, berpencen atau tidak.

Persidangan Dewan Rakyat kali ini berlangsung selama 17 hari hingga 12 Okt.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

MEA adakan libat urus RMK-12 dengan Negeri Sembilan

SEREMBAN, 20 OGOS: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA) telah mengadakan sesi libat urus penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bersama kerajaan Negeri Sembilan, hari ini.

Kementerian itu dalam satu kenyataan berkata sesi berkenaan telah dipengerusikan secara bersama antara Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Dr Radzi Jidin.

Menurut kementerian itu, penyediaan RMK-12 akan mengambil pendekatan selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

Ia bagi merapatkan jurang ekonomi, menstrukturkan semua ekonomi serta membentuk sebuah negara bangsa yang bersatu-padu dan hidup dalam harmoni agar Malaysia menjadi paksi untuk ekonomi Asia menjelang 2030.

“Di bawah Rolling Plan 4 (2019) RMK-11, Negeri Sembilan telah diperuntukkan sejumlah RM809 juta atau 1.5 peratus daripada jumlah peruntukan pembangunan keseluruhan. Jumlah peruntukan ini telah meningkat 17.4 peratus iaitu sebanyak RM120 juta berbanding RM689 juta pada 2018,” kata kementerian itu.

Dalam usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi, kerajaan persekutuan menyokong sepenuhnya pelaksanaan Malaysian Vision Valley (MVV) yang meliputi dua daerah utama iaitu Seremban dan Port Dickson, serta Pelan Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan 2019-2040 yang memberi tumpuan kepada daerah Rembau, Tampin, Jempol, Jelebu dan Kuala Pilah.

“Ini adalah selari dengan hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar terutamanya dalam mempertingkat infrastruktur luar bandar untuk memacu sosioekonomi serta menggalakkan integrasi ekonomi yang lebih baik untuk menjana pendapatan serta peluang pekerjaan,” kata kementerian itu.

-BERNAMA

Categories
PILIHAN MINGGUAN

RMK12 beri perhatian lima industri utama

 

SHAH ALAM, 9 OGOS: Kerajaan Negeri bakal memberi perhatian terhadap proses digitalisasi dan perhubungan lancar lima industri utama membabitkan aeroangkasa, jentera dan peralatan, elektrik dan elektronik, alatan perubatan serta bioteknologi dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12)

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Persekutuan wajar meneliti suntikan dana bersesuaian untuk industri teknologi tinggi itu bagi kemampanan Selangor dalam jangka masa panjang.

Katanya, antara langkah yang boleh diambil bagi mencapai hasrat untuk menjadi negeri utama dalam jangka masa pendek adalah dengan meningkatkan capaian internet berkapasiti tinggi.

“Selangor antara negeri dengan jaringan internet paling meluas iaitu 89.2 peratus, namun jaringan wayar tembaga perlu ditukar ke gentian optik dalam usaha mencapai 100 peratus.

“Penekanan perlu diberikan di Sabak Bernam, Hulu Selangor dan Kuala Selangor kerana belum mempunyai capaian internet berkelajuan tinggi,” katanya pada ucapan alu-aluan ketika Sesi Libat Urus penyediaan RMK12, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi bersama Kerajaan Selangor, di Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga memerlukan penyelesaian tuntas berhubung masalah air di Selangor supaya rizab margin meningkat daripada empat peratus kepada 15 peratus.

“Ini membabitkan pembinaan kapasiti yang dapat dilakukan di kawasan baharu seperti Aeropolis City, Sepang dan Pulau Indah termasuk pengekalan operasi syarikat GEESM di Gugusan Industri Aeropolis serta Aeroangkasa Subang yang memerlukan campur tangan Persekutuan untuk diselesaikan segera,” katanya.

Pada masa sama, katanya, pembangunan semula Pelabuhan Utara, Selatan dan Barat sebagai Port City berpotensi menjana pendapatan ekonomi termasuk penggantian paip Pulau Indah Industrial Park yang dianggarkan sebanyak RM200 juta.

“Tumpuan turut diberi dalam aspek keselamatan dan keselesaan warga Selangor dengan menambah anggota polis bantuan serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas.

“Pentadbiran ini berhasrat untuk mencapai sasaran satu anggota polis untuk setiap 5,000 hingga 10,000 populasi berbanding ketika ini hanya 13,537 anggota,” katanya.

Selain itu, Amirudin berkata, Selangor juga mahu peruntukan baharu bagi kerja pembinaan 14 sekolah dan menaiktaraf infrastruktur dewan sekolah yang bakal memanfaatkan 7.2 juta penduduk Selangor, menjelang 2025.

“Diharapkan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dapat memberikan perhatian terhadap perkara ini,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Cadang kembang penternakan daging arnab melalui RMK12

CYBERJAYA, 5 OGOS: Jabatan Perkhidmatan Veterinar bercadang untuk mengembangkan lagi potensi penternakan daging arnab di negara ini melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Ketua Pengarahnya, Dato’ Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam berkata, pihaknya akan mengkaji pasaran dan permintaan terhadap daging haiwan berkenaan.

“Jika ia dibentangkan melalui RMK12, kita akan mendapat peruntukan untuk meluaskan lagi pasaran daging ini, namun kementerian tidak mahu program ini sekadar syok sendiri.

“Oleh sebab itu, kita akan bekerjasama dengan pemain industri utama dalam bidang ini, sekali gus membolehkan ia berkesan kepada rakyat,” katanya dalam sidang media.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Pengeluaran Arnab Dalam Iklim Tropika di Tamarind Square, di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Penternak Arnab Malaysia, Aisyaturidha Abdullah berkata, sehingga kini ahli persatuannya mengeluarkan 600 hingga 800 kilogram daging arnab dalam tempoh sebulan.

Katanya, kira-kira 80 peratus bekalan daging disalurkan kepada restoran dan turut mendapat permintaan dari Dubai.

“Pihak kami melihat arnab kini menjadi pilihan penggemar makanan kerana ia dikategorikan sebagai daging eksotik, dan ramai yang menjadikannya sebagai arnab salai alternatif menggantikan daging itik salai.

“Melalui persidangan sebegini kita boleh melihat pasaran serta potensi dan merapatkan lagi hubungan antara pemain industri penternakan daging arnab,” katanya.

Categories
NASIONAL

Lebih banyak loji rawatan air dibina dalam RMK12

IPOH, 26 MEI: Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli akan membina lebih banyak Loji Rawatan Air (LRA) baharu dalam usaha menambah baik sistem bekalan air di negara ini.

Menterinya, Dr A. Xavier Jayakumar berkata, perkara itu akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang bermula 2021 dan dijangka dapat direalisasikan dalam tempoh 10 atau 15 tahun akan datang.

Beliau juga mengakui cadangan tersebut jika direalisasikan memerlukan perbelanjaan yang agak besar.

“Sebagai contoh, sistem bekalan air di kawasan utara Perak seperti Kuala Kangsar dan Larut sering kali berlaku kekurangan bekalan air disebabkan tidak mempunyai air yang cukup untuk menampung keperluan terutamanya semasa musim perayaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa anjuran Parti Keadilan Rakyat Negeri Perak di sini, malam tadi.

Menurut Xavier pihaknya juga akan menukar atau memperbaiki menara tangki air yang sudah uzur di kawasan penempatan penduduk di beberapa negeri yang tidak mempunyai simpanan air mentah yang mencukupi.

Katanya, ia penting supaya jika berlaku gangguan, bekalan air mentah itu dapat menampung keperluan penduduk di sesuatu kawasan.

Mengulas lanjut, Xavier berkata, apabila gangguan bekalan air kerap berlaku, selain menyusahkan rakyat, ia juga menyebabkan syarikat utiliti air mengalami kerugian besar.

“Kita mahu memastikan simpanan air mentah di sesuatu kawasan melebihi daripada lima atau enam peratus bagi memenuhi keperluan penduduk berbanding ketika ini simpanan air mentah di tangki air hanya sekitar dua peratus sahaja,” katanya.

-BERNAMA