GOMBAK, 1 DIS: Sebuah bengkel menyimpan dan membaiki jentera berat yang dibina tanpa kebenaran di tebing Sungai Garing dirobohkan hari ini.
EXCO kerajaan tempatan berkata premis seluas 2.2 ekar terletak kira-kira 20 meter dari Sungai Garing didapati berisiko menyebabkan pencemaran sumber air serta gangguan bekalan.
“Premis ini dibina atas tanah milik kerajaan sejak 10 tahun lepas dan melanggar Seksyen 425 Kanun Tanah Negara kerana menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran.
“Sisa pelarut dan minyak hitam yang mengalir ke sungai antara punca utama pencemaran sungai di Selangor, jadi kita tidak boleh berkompromi,” kata Ng Sze Han selepas meninjau operasi meroboh struktur bengkel berhampiran Taman Garing hari ini.
Operasi dijalankan penguat kuasa Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Gombak.
Bengkel tersebut adalah premis ketiga dirobohkan dalam tempoh seminggu oleh pihak berkuasa.
Pada 24 November Dato’ Menteri Besar berkata sebanyak lapan premis haram di tebing Sungai Rawang berhampiran akan dirobohkan.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata premis melibatkan enam bengkel jentera berat dan dua kilang kitar semula.