Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Struktur binaan haram di Telok Panglima Garang bakal diroboh

KUALA LANGAT, 29 JUN: Struktur binaan haram di 14 lot di atas jeti persendirian Jalan Bandar Lama, Telok Panglima Garang di sini akan dirobohkan dalam masa terdekat.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata struktur itu dikesan selepas berlakunya kebakaran sisa tayar kitar semula seluas 0.37 hektar Sabtu lalu.

“Siasatan mendapati tujuh daripada 14 lot tanah di kawasan jeti ini berstatus industri tetapi tiada kelulusan merancang dan selebihnya pula untuk pertanian namun tidak cukup syarat beroperasi.

“Pemilik tanah juga pernah membuat permohonan untuk menukar status tanah kepada perindustrian pada 2018 dan perlu membayar premium tanah berjumlah RM1 juta tetapi tidak membayarnya,” katanya selepas meninjau kawasan kebakaran berkenaan hari ini.

Loy Sian berkata sisa bahan terbuang tersebut diimport dari Australia untuk digunakan sebagai bahan bakar kilang plastik kitar semula di Chemor, Perak dan kilang simen di Langkawi, Kedah.

“Kita meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya menghentikan kebenaran mengimport bahan-bahan terbuang seperti ini yang tidak diterima negara lain.

“Malah, Lembaga Pelabuhan Klang juga perlu mengambil tindakan kerana jeti persendirian ini dibawah kawal selia mereka,” katanya.

Beliau berkata selain tindakan perobohan, tindakan turut diambil di bawah Jabatan Alam Sekitar iaitu iaitu Seksyen 29(A) dan Seksyen 22(2)(b) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kilang papan ceroboh tanah Kerajaan Selangor diroboh

KLANG, 11 MAC: Sebuah kilang papan yang dibina atas tanah seluas satu ekar milik Kerajaan Negeri di Jalan Jeti, Pelabuhan Klang dirobohkan pagi tadi.

Operasi diketuai Penolong Pegawai Daerah Klang, Mohammad Saiful Azri Fouzi dijalankan bersama lebih 50 penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Tenaga Nasional Berhad.

Selain kilang, pihak berkuasa turut merobohkan stor dan rumah pekerja yang terletak 50 meter dari Sungai Aur.

Mohammad Saiful berkata pihaknya mengeluarkan tiga notis pengosongan pada 4 Disember 2018, 15 Januari 2019 dan 3 Februari 2021 namun pemilik premis masih berdegil.

“Tindakan diambil mengikut Seksyen 425 dan 426A Kanun Tanah Negara 1965, sabit kesalahan penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak melebihi RM500,000 atau keduanya,” katanya.

Pada 24 November tahun lepas, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) merobohkan premis yang dibina atas tanah kerajaan terutama struktur berhampiran sungai.

Categories
PBT SELANGOR

Premis ceroboh tanah kerajaan diroboh, elak cemar air – MPS

RAWANG, 8 DIS: Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengenal pasti beberapa lagi premis yang dibina atas rizab tanah kerajaan tanpa kelulusan untuk dirobohkan dalam masa terdekat.

Yang Dipertuanya Shamsul Shahril Badliza Mohd Noor berkata tindakan perobohan memfokuskan kilang yang gagal mengosongkan premis selepas notis dikeluarkan.

“Buat masa ini, MPS bersama Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak sedang membuat bancian semula untuk kilang, bengkel atau bangunan dibangunkan atas tanah kerajaan.

“Keutamaan diberikan kepada tanah kerajaan kerana apa-apa sahaja premis tidak dibenarkan beroperasi (atas tanah kerajaan). Jadi, ada lagi (premis) akan dikeluarkan notis dan operasi penguatkuasaan,” katanya.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) merobohkan premis yang didirikan tanpa kebenaran atas rizab lembangan Sungai Selangor di Rawang pada 8 Disember 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau operasi perobohan bengkel jentera berat, kilang kitar semula dan kandang ternakan lembu di Kuala Garing di sini hari ini.

Operasi bermula kira-kira jam 10 pagi diketuai PTD Gombak dan dibantu pihak berkuasa tempatan itu termasuk polis, Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Shamsul Shahril memaklumkan enam daripada lapan premis dibina tanpa kebenaran di tebing Sungai Rawang berjaya dirobohkan menerusi operasi bersepadu dijalankan sejak 24 November lalu.

Menurutnya, tiada insiden pencemaran sungai dikesan selepas tindakan itu dibuat ke atas semua premis terbabit namun pemantauan dilakukan secara kerap bagi mengelak pencerobohan.

“MPS, PTD Gombak serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan sentiasa membuat rondaan bagi memastikan tiada pencerobohan berlaku di kawasan berkaitan selain mengenakan tindakan sewajarnya terhadap premis yang melanggar peraturan,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Kaji undang-undang percepat roboh kilang haram

SHAH ALAM, 14 SEPT: Kerajaan Negeri mengkaji undang-undang yang sesuai bagi mempercepat perobohan struktur kilang haram.

Dato’ Menteri Besar berkata langkah itu diambil kerana terdapat kilang dibina di tanah persendirian dan jika didapati bersalah pemilik bertanggungjawab membersihkannya.

“Tapi kalau menggunakan (akta) Kanun Tanah (negara), kita (Kerajaan Negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah) kena hantar dulu Notis 7A (kepada pemilik). Notis 7A ini adalah untuk memulihkan tanah-tanah mereka.

“Dengan erti kata, kalau mereka buang sampah mereka kena bersihkan sampah. Mereka (pemilik) kena bubarkan bangunan-bangunan dan struktur yang ada,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam Program The Amin Idris Show di Facebook baru-baru ini.

Beliau menjelaskan pemilik premis pernah menang kes di peringkat perundangan selepas tidak diberikan tempoh secukupnya untuk memindahkan barang.

“Ini kekangan undang-undang yang kita hadapi dan Kerajaan Negeri mengambil garis-garis ini dan melihat keseluruhan undang-undang yang timbul dan sebagainya,” katanya.

Beliau menambah kilang yang dibina di atas tanah kerajaan boleh diroboh dalam tempoh 24 jam walaupun premis berkenaan tidak menjadi punca pencemaran sungai.

Pada 9 September, Amirudin berkata semua kilang haram diberi tempoh sehingga hujung tahun untuk melaksanakan proses pemutihan dan penempatan semula premis.

Categories
PBT SELANGOR

MPSJ roboh kilang besi buruk ceroboh tanah kerajaan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 6 DIS: Enam premis besi buruk dikenakan tindakan perobohan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akibat menceroboh tanah milik kerajaan, hampir tiga tahun.

Timbalan Yang Dipertua MPSJ, Mohammad Zulkurnain Che Ali berkata, premis besi buruk itu bukan saja menjalankan operasi secara haram, bahkan turut mendatangkan kacau ganggu kepada penduduk berdekatan.

Katanya, ada penduduk mendakwa pekerja premis di situ sering membuat pembakaran besi secara terbuka sehingga menghasilkan asap hitam serta bau busuk.

“Disebabkan itu, kita terus bertindak untuk membuat kerja perobohan memandangkan pemilik juga mengabaikan amaran yang diberi sebelum ini. Tindakan diambil mengikut Akta 426 (A).

“Atas kesalahan berkenaan, pemilik premis boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau hukuman penjara tidak lebih lima tahun,” katanya ketika operasi premis besi buruk, di Kampung Bukit Lanchong, di sini, hari ini.

Turut hadir, Penolong Pegawai Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Mohd Farid Shaharir, serta 50 kakitangan MPSJ, PDT Petaling, Tenaga Nasional Berhad dan Jabatan Pengairan Selangor.

Mohammad Zulkurnain berkata, tindakan perobohan yang dijalankan secara bersepadu itu turut dipersetujui EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau.

“Sebelum ini, MPSJ sudah banyak beri teguran kerana mungkin mereka ingat kita main-main.

“Ini juga adalah operasi perobohan terbesar membabitkan premis besi buruk di Subang Jaya, sekali gus memberi pengajaran dan ingatan kepada premis lain supaya tidak mengingkari undang-undang ditetapkan,” katanya.

Categories
SELANGOR

MPAJ tidak kejam, peniaga bina struktur tanpa kebenaran

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 OGOS: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menafikan bersifat kejam terhadap peniaga di Keramat dalam operasi perobohan gerai tanpa lesen, baru-baru ini.

Pegawai Komunikasi Korporat MPAJ, Norhayati Ahmad, berkata kerja meroboh dilakukan kerana peniaga terbabit menjalankan perniagaan dengan mendirikan struktur tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan dan rezab jalan.

Katanya, peniaga terbabit juga sudah diberikan notis pengosongan tapak sebelum ini.

“MPAJ dan Pejabat Tanah Daerah Gombak menjalankan operasi perobohan gerai tanpa lesen dan mendirikan struktur tanpa kebenaran di atas tanah kerajaan (kawasan lapang) dan rezab jalan.

MPAJ“Operasi dijalankan terhadap 17 gerai yang beroperasi di atas tanah kerajaan dan rezab jalan selepas peniaga gagal memenuhi notis terbabit,” katanya kepada SelangorKini, di sini, hari ini.

Norhayati berkata, MPAJ juga tidak akan menyediakan penempatan semula ekoran bancian menunjukkan warga asing memonopoli kawasan terbabit.

“Kita tidak memberi peluang kepada warga asing berniaga. Bancian jelas menunjukkan peniaga asing yang berniaga di kawasan itu,” katanya.

Beliau berharap semua pihak dapat memahami situasi sebenar dan tidak memperbesarkan isu terbabit.

Sebelum ini, Pejabat Tanah Daerah Gombak mengeluarkan notis Kanun Tanah Negara KTN 425 iaitu notis 30 hari bagi tindakan meroboh yang berakhir, pada 20 Mei lalu.

Tindakan perobohan dilaksanakan bagi memberi laluan kepada pembinaan lebuh raya EKVE.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Tian Chua: Roboh Kampung Chubadak, DBKL tak bertanggungjawab

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 30 OKT: Isu Kampung Chubadak perlu diselesaikan segera pihak berkuasa supaya tidak mendatang masalah kepada penduduk kampung berkenaan, kata Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Beliau berkata, perkara itu tidak sewajarnya berlarutan begitu lama dan satu keputusan perlu dicapai berhubung tuntutan penduduk bagi penyelesaian isu berkenaan.

Interview penduduk Kg. Chubadak (6)“Memang penduduk sudah menuntut supaya satu ganti rugi yang munasabah dirunding tetapi sehingga kini mereka tidak dapat selesaikan.

“Adalah sangat tidak bertanggungjawab bagi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pihak berkuasa lain untuk membenarkan perobohan ini berlaku,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, semalam.

Tian Chua berkata demikian ekoran tindakan merobohkan beberapa rumah di Kampung Chubadak yang dikatakan bagi memberi laluan pembangunan dijalankan di kawasan berkenaan.

tianBeliau mendakwa tindakan pihak berkuasa juga tidak kena pada masanya apabila mengambil kesempatan ketika rayuan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang dijalankan di Istana Kehakiman, Putrajaya.

“Ia juga memilih satu masa, yang mana tumpuan kita tertumpu kepada kes Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berjalan.

“Mereka mengalihkan pandangan serta mengambil tindakan untuk merobohkan beberapa rumah di Kampung Chubadak. Ini satu tindakan yang amat dikesali,” katanya.

-NFN-