Categories
AGENDA NASIONAL

Pemuda jatuh roda Ferris: Operasi lima permainan dihenti

SHAH ALAM, 13 NOV: Operasi lima permainan taman hiburan (Fun Fair) di Cheras dihentikan susulan kejadian maut seorang lelaki dipercayai terjatuh daripada permainan roda Ferris pada Rabu malam.

Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor berkata arahan dikeluarkan mengikut Seksyen 19 (2), Akta Kilang Dan Jentera 1967.

“Satu notis larangan mengikut Seksyen 48 (2) Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan 1994 turut dikeluarkan.

“Ia berikutan kegagalan operator menjalankan penaksiran risiko semua aktiviti yang boleh mengakibatkan risiko kepada pekerja dan orang awam,” katanya menerusi kenyataan.

JKKP berkata tindakan perundangan bakal dikenakan kepada pihak bertanggungjawab sekiranya didapati melanggar kedua-dua akta itu.

“Siasatan berhubung masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. JKKP sentiasa memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam,” katanya.

JKKP berkata siasatan awal mendapati mangsa bersama seorang rakan yang turut cedera parah menaiki permainan itu sebelum terjatuh dari ketinggian lapan meter pada jam 11.15 malam.

Khamis lalu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Supt Mohd Sabri Abdullah mengesahkan kejadian dan sedang menyiasat punca kejadian sama ada terdapat kecuaian pada pihak penganjur atau mangsa.

Categories
SELANGOR

Pemuda maut jatuh permainan roda Ferris di Cheras

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dipercayai terjatuh daripada permainan roda Ferris di Cheras, Selangor tengah malam Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang, Supt Mohd Sabri Abdullah berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pekerja Pesta Ria di kawasan berhampiran sebuah pusat beli-belah di Cheras mengatakan bahawa terdapat dua lelaki tempatan terjatuh ketika menaiki permainan berkenaan.

“Saksi telah memaklumkan bahawa terdapat seorang lelaki berumur 39 tahun telah jatuh dari buaian permainan Fun Fair (Pesta Ria) dan disahkan meninggal dunia oleh pihak ambulans daripada Hospital Kajang yang hadir di lokasi kejadian.

Seorang lagi mangsa dalam lingkungan usia sama turut mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd Sabri berkata pihaknya sedang menyiasat punca kejadian berkenaan sama ada terdapat kecuaian pada pihak pemilik Pesta Ria mahupun mangsa sendiri.

“Setakat ini hasil siasatan awal dapati tiada sebarang unsur jenayah berlaku di dalam kejadian itu dan polis telah mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut,” katanya.

– BERNAMA