Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Tiada Rumah Selangorku dijual tanpa kebenaran

SHAH ALAM, 6 DIS: Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) memaklumkan tiada unit Rumah Selangorku (RSKU) dijual pemilik kepada pihak ketiga tanpa kebenaran dan kelulusan.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata LPHS menetapkan tempoh pemilikan hartanah mesti mencukupi lima tahun pemilikan dari tarikh diterima pemilik pertama sebelum boleh dijual

“Berdasarkan rekod LPHS sehingga Oktober 2021 mendapati tiada unit Rumah Selangorku dijual pemilik kepada pihak ketiga tanpa kebenaran dan kelulusan. Semua urusan penjualan kepada pihak ketiga melalui permohonan secara sah,.

“Tujuan dasar ini dilaksana untuk memastikan hanya golongan layak sahaja memiliki hartanah harga kawalan di Selangor selain mengelakkan aktiviti spekulasi harga dan manipulasi golongan yang ingin
mengambil kesempatan,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Pandamaran Leong Tuck Chee mengenai bilangan unit Rumah Selangorku dijual pemilik kepada pihak ketiga tanpa kebenaran dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Rodziah berkata LPHS diberi tanggungjawab memastikan pengagihan dan pemilikan hartanah harga kawalan termasuk jenis kos rendah dan Rumah Selangorku hanya dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah atau sederhana.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Dataran Hijrah himpun peniaga, medan pasarkan produk

SHAH ALAM, 5 DIS: Selangor mengenal pasti beberapa lokasi strategik bagi mewujudkan pusat perniagaan yang menghimpunkan pelbagai perkhidmatan, kata EXCO pembangunan usahawan.

Usaha termasuk pembangunan Dataran Hijrah di Gombak, Puchong dan Kuala Langat, satu lagi tarikan terbaharu buat penduduk setempat serta pengunjung luar, jelas Rodziah Ismail.

“Tempat itu memang sudah ada di bangunan yang lama terbiar dan jadi seperti ‘gajah putih’, namun kita bangunkan semula dengan memberi nafas baharu.

“Ia bukan sahaja memanfaatkan penduduk sekitar malah pengunjung luar kerana mereka boleh mendapatkan hasil dan produk tempatan,” katanya pada Majlis Anugerah Laman Hijau Strata 2021 di Pusat Konvensyen Midlands, Seksyen 7 di sini hari ini.

Sementara itu, Rodziah berkata sebanyak 20 peratus daripada 30,000 usahawan Hijrah berjaya melebarkan perniagaan ke tahap lebih tinggi dan mampu berdikari.

“Maka kita boleh gabungkan usahawan ini sebagai pemangkin dalam pembangunan Dataran Hijrah. Pendek kata, dulu kita sediakan pinjaman tetapi sekarang kawasan untuk pasarkan produk.

“Apatah lagi kita juga memiliki platform dalam talian, jadi mereka boleh gunakan kaedah itu untuk menjual produk,” katanya.

Belanjawan Selangor 2022 menambah baik skim Hijrah, yang antara lain mewujudkan pusat perniagaan Dataran Hijrah berkonsepkan pemusatan pelbagai perkhidmatan bawah satu bumbung.

Turut diwujudkan skim pembiayaan baharu kepada usahawan berpotensi untuk meningkatkan perniagaan ke tahap perusahaan kecil dan sederhana dengan pembiayaan sehingga RM100,000.

Selain itu, jumlah minimum pinjaman dinaikkan dari RM5,000 kepada RM10,000 bagi program Zero-to-Hero selain mengurangkan caj pengurusan untuk pinjaman RM30,000 ke bawah.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kebun laman hijau bekal makanan khasiat buat masyarakat

SHAH ALAM, 5 DIS: Kebun laman hijau dan pertanian bandar membantu membekalkan makanan berkhasiat kepada rakyat negeri ini di sebalik krisis kenaikan harga sayur di pasaran.

Kaedah itu yang menghasilkan pelbagai tanaman mampu diberi atau dijual kepada penduduk sekitar pada harga berpatutan, kata EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar.

“Apabila timbul isu kenaikan harga barang, masyarakat memilih makan untuk kenyang hingga mengabaikan aspek zat pemakanan itu sendiri.

“Jadi dengan adanya kebun komuniti dan laman hijau, ia bukti kita bersedia untuk bantu masyarakat. dan menyediakan hidangan berkhasiat kepada keluarga,” kata Rodziah Ismail.

Beliau mengulas laporan kenaikan harga sayur selepas merasmikan Majlis Anugerah Laman Hijau Strata 2021 di Pusat Konvensyen Mindlands, Seksyen 7 di sini hari ini.

Wakil rakyat Batu Tiga turut menyifatkan kenaikan harga makanan ketika pandemik Covid-19 tidak wajar dan menggesa kerajaan mencari penyelesaian segera bagi mengelak rakyat terbeban.

“Saya bimbang kerana sekarang kita berada di penghujung tahun, bermakna semua moratorium diberikan kerajaan sebelum ini akan tamat dan rakyat perlu membayar semula hutang tidak lama lagi.

“Kerajaan belum beri jawapan status moratorium sama ada dilanjutkan atau sebaliknya, justeru isu kenaikan harga barang harus ditangani segera dan menyatakan tindakan susulan,” kata Rodziah.

Categories
AGENDA NASIONAL

EXCO: Peruntuk RM10,000 kepada pangsapuri terpilih, galak komuniti bertani, jual hasil

SHAH ALAM, 5 DIS: Program Laman Hijau Strata membuka peluang kepada komuniti pangsapuri untuk menjadikan pertanian sebagai sumber pendapatan tambahan.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berkata program itu juga menceriakan persekitaran pangsapuri tanpa perlu mengeluarkan modal oleh badan pengurusan bersama (JMB).

“Kawasan terpilih menerima geran Laman Hijau Strata daripada Lembaga Perumahan Hartanah Selangor bernilai RM10,000 serta bantuan peralatan pertanian.

“Saya harap komuniti pangsapuri yang terlibat program ini dan kebun komuniti sedia ada mengambil peluang menyertai pelbagai latihan asas pertanian serta bengkel usahawan tani yang disediakan,” katanya.

Beliau berucap sempena Hari Anugerah Laman Hijau Strata 2021 di Pusat Konvensyen Midlands, Seksyen 7 di sini hari ini.

Dalam majlis itu, JMB Pangsapuri Seri Bekawali di bawah pentadbiran  Majlis Perbandaran Hulu Selangor dinobat sebagai juara sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM8,000.

Rodziah percaya program seumpama itu di peringkat pihak berkuasa tempatan memberi impak kepada keperluan ekonomi dan kesejahteraan komuniti.

“Justeru, kita mahu meneruskan program ini pada tahun-tahun mendatang sebagai penghargaan kepada komuniti pangsapuri yang berusaha mengangkat nama ke peringkat ke lebih tinggi.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua pemenang dan mereka yang tidak berjaya jangan berputus asa sebaliknya terus berusaha,” katanya.

Pada 29 Disember tahun lepas, Rodziah berkata sejumlah RM120,000 diperuntuk bagi menjayakan Program Laman Hijau Strata pada tahun ini.

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor belanja RM4.3 juta baik pulih 17 pangsapuri kos rendah

SHAH ALAM, 20 NOV: Sebanyak RM4.3 juta dibelanjakan Kerajaan Selangor tahun ini bagi membaik pulih pangsapuri kos rendah dan sederhana melalui Skim Ceria.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata peruntukan bagi 17 perumahan itu termasuk rumah mangsa bencana ribut di Kalumpang, Hulu Selangor.

“Dana itu bagi membaik pulih bumbung, tangki air dan mengecat di enam kawasan iaitu Klang, Petaling Jaya, Kajang, Shah Alam, Ampang Jaya dan Hulu Selangor,” katanya ketika dihubungi.

Katanya, kawasan bagi kerja baik pulih merangkumi lima di Klang, masing-masing tiga di Kajang dan Shah Alam, masing-masing dua di Petaling Jaya, Ampang dan Hulu Selangor.

Pada November tahun lalu, Rodziah memaklumkan Kerajaan Negeri membelanjakan hampir RM32 juta untuk membaik pulih pangsapuri dalam tempoh tiga tahun.

Beliau berkata sebanyak 56 pangsapuri kos rendah dan sederhana menerima manfaat bawah Skim Ceria antara 2018 hingga 30 September 2020.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO cadang wujud hari khas kutip sampah kitar semula di kawasan strata

SHAH ALAM, 26 OKT: Kerajaan Negeri disaran mewujudkan satu hari khas bagi kerja kutipan barangan kitar semula di kawasan perumahan strata.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berkata usaha itu perlu bagi mendidik penduduk lebih berdisiplin bagi mengasingkan barangan terpakai berkenaan.

“Tempoh kutipan sampah kitar semula sekarang tiga kali seminggu atau mungkin secara harian tetapi kita cadang wujudkan satu hari khas.

“Ia supaya dengan cara itu mungkin mereka sudah tahu dan bersiap sedia pada hari apa perlu kumpulkan bahan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bersama Nestlé Products Sdn Bhd dan KPT Recycle Sdn Bhd sempena program Kitar Semula Perumahan Strata di Wisma MBSA hari ini.

Pada masa sama, Rodziah menggalakkan aktiviti pengasingan barangan tersebut dilakukan bermula dalam kalangan suri rumah terlebih dahulu memandangkan golongan itu kerap menguruskan isi rumah.

“Pengasingan sampah ini perlu bermula daripada suri rumah supaya mereka tahu kaedah mengasingkannya mengikut kategori sekali gus bersama mendidik ahli keluarga yang lain,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Wakil rakyat sedia tangki air demi kemudahan penduduk

SHAH ALAM, 13 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga menyediakan tangki air pelbagai saiz di lapan lokasi berbeza untuk kemudahan penduduk.

Lokasi tangki ditempatkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut adalah Seksyen 19/3; Seksyen 19/15; Seksyen 18/3; Seksyen 18/43, Seksyen 17; Seksyen 20; Jalan Kundang Padang Jawa dan Jalan Mat Raji.

Rodziah Ismail berkata enam tangki air setiap satu berkapasiti 2,730 liter dan dua tangki putih 1,000 liter serta dua tangki bergerak disediakan untuk kemudahan orang ramai.

“Keseluruhan jumlah yang disediakan 20,380 liter dan bekalan air sentiasa ditambah Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor),” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, ADN Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin memaklumkan persatuan penduduk boleh membuat permohonan di pejabat DUN bagi mendapatkan tangki air di kawasan mereka.

“Namun dengan syarat persatuan penduduk mempunyai tempat simpanan khas kerana tangki air itu diberikan terus untuk kemudahan pada masa depan.

“Setakat ini dua tangki berkapasiti 2,600 liter setiap satu diberikan kepada penduduk di Damansara Jaya Residents and Owners Association,” katanya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin (kanan) melihat kerja menurunkan tangki air oleh pekerja terlibat di DUN itu pada 13 Oktober 2021. Foto Facebook Jamaliah Jamaluddin

Air Selangor menyelenggara aset kritikal di loji rawatan Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1) hari ini setelah mendapat kelulusan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Susulan itu, orang ramai di wilayah Petaling, Kuala Lumpur, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor diminta menyimpan bekalan air secukupnya.

Dijangka pulih berperingkat mulai 5 petang esok, pengguna di 998 kawasan boleh menyemak kawasan masing-masing dan bila bekalan kembali pulih di laman sesawang hentitugas.airselangor.com .

Dalam tempoh 13 hingga 16 Oktober, Air Selangor menyediakan kemudahan 18 pili awam dan 105 lori tangki ke premis penting seperti hospital, pusat dialisis dan pengebumian.

Senarai lengkap kawasan terlibat, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh didapati di laman pautan http://hentitugas.airselangor.com .

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Hanya bayar RM20, Pasar Mesra manfaatkan ribuan penduduk B40

SHAH ALAM, 13 OKT: Lebih 2,500 penduduk kawasan perumahan kos rendah menerima manfaat menerusi inisiatif Pasar Mesra yang diperkenal sejak September lalu.

Pasar basah yang menggunakan pendekatan jual beli memerlukan masyarakat membayar serendah RM20 bagi nilai barangan RM60, kata EXCO kesejahteraan bandar.

Barangan tersebut meliputi dua ekor ayam, 30 biji telur, sayur-sayuran dan buah-buahan setiap satu seberat dua kilogram, jelas Rodziah Ismail.

“Berkonsepkan pasar subsidi, penduduk yang layak diberi kupon melalui Badan Pengurusan Bersama (JMB) terlibat,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata pasar itu menyasarkan tiga kelompok masyarakat iaitu petani dan penternak ayam, usahawan yang membeli dan menguruskan barangan serta penduduk berpendapatan rendah (B40).

Beroperasi pada hujung minggu mulai 8 hingga 11 pagi, sebanyak 10 pasar diwujudkan di Shah Alam, Bangi, Kajang dan Ampang sebelum diperluas ke seluruh negeri dalam tempoh terdekat.

Program tersebut turut melibatkan kerjasama antara Bingkisan Mesra Sdn Bhd dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

 

Categories
AGENSI SELANGOR

Penternak lembu terkejut permohonan bantuan kali pertama mudah lulus

KUALA SELANGOR, 12 OKT: Seorang penternak lembu tidak menyangka permohonan bantuan pertamanya kepada Kerajaan Selangor mudah diluluskan.

M Visvaath, 51, berkata dia memohon mesin memproses makanan menerusi program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham) beberapa bulan lalu dan kini sudah memiliki peralatan berkenaan.

“Jika diikutkan proses kelulusan cepat cuma mesin lambat tiba kerana kekangan ketika Covid-19, bagaimanapun saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima mesin berharga RM8,400 disampaikan EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail di Taman Raja Musa di sini semalam.

M Visvaanth. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Visvaath yang menjalankan perniagaan menjual daging serta susu sejak 30 tahun lalu berkata mesin berkenaan amat diperlukan kerana dia mempunyai 40 ekor lembu.

“Mesin sebelum ini hanya mampu menghasilkan makanan lembu sekitar 100 kilogram (kg) dan jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung keperluan makanan lembu.

“Ia berbeza dengan mesin terbaharu ini kerana mampu menghasilkan lebih 300 kg makanan sehari,” katanya.

Sitham dilancarkan pada September 2019 memfokuskan usahawan India yang komited memajukan perniagaan dengan diberi bimbingan, geran dan peralatan perniagaan.

Empat program keusahawanan ditawarkan iaitu latihan pembangunan usahawan, kursus kemahiran dan pembuatan, program bimbingan perniagaan (Grow) serta program bantuan peralatan perniagaan (Geran).

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Harap dana Hijrah kekal, sasar pulangan berganda ekonomi negeri

KUALA SELANGOR, 11 OKT: Dana pinjaman perniagaan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) diharap kekal RM80 juta dalam Belanjawan 2022 yang bakal dibentang bulan depan.

EXCO pembangunan usahawan berkata peruntukan itu bagi membolehkan lebih banyak aktiviti ekonomi dibuat sekali gus memberi pulangan berganda kepada negeri.

“Seperti yang disebut Dato’ Menteri Besar dalam memastikan ekonomi Selangor bergerak pantas, pastinya kita menggalakan banyak program pembangunan dan keusahawan.

“Apabila duit sampai kepada rakyat, ia akan merangsang ekonomi…kita harap apabila Hijrah keluar RM80 juta ia memberi kesan lima kali ganda kepada pergerakan ekonomi negeri,” kata Rodziah Ismail.

Beliau yang ditemui selepas menyerahkan mesin memproses makanan haiwan kepada penternak di sini juga yakin usahahawan Hijrah membuat yang terbaik seperti tahun sebelumnya.

Dua Pakej Kita Selangor yang dibentang tahun ini memperuntuk tambahan RM15 juta bagi pelaksanaan Skim Go Digital untuk menggalakkan peniaga menyertai jualan secara maya.

Skim Niaga Darul Ehsan dengan dana RM10 juta pula membantu individu yang ingin memulakan perniagaan sekali gus menjana pendapatan susulan pandemik.

 

Categories
EXCO SELANGOR

Lebih 300 usahawan India dapat manfaat Sitham

KUALA SELANGOR, 11 OKT: Lebih 300 usahawan India di negeri ini menerima manfaat menerusi program Pembangunan Usahawan India Selangor (Sitham).

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata jumlah yang direkodkan antara 2019 hingga tahun lalu membabitkan penerima fasa satu dengan dana RM2 juta.

“Proses penghantaran alatan lambat kerana beberapa kekangan seperti perintah kawalan pergerakan dan darurat. Saya berharap semua pemohon bersabar dan proses ini akan dipercepat susulan rentas negeri dibenarkan kerana terdapat alatan luar dari Selangor,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan mesin memproses makanan haiwan kepada penternak lembu M Visvaath di Taman Raja Musa di sini hari ini.

Rodziah berkata program tersebut menerima peruntukan RM1 juta setiap tahun dan usahawan yang berminat boleh memohon menerusi laman sesawang Hijrah Selangor.

Sitham dilancarkan pada September 2019 menumpukan usahawan India yang komited memajukan perniagaan dengan diberi bimbingan, geran dan peralatan perniagaan.

Empat program keusahawanan ditawarkan iaitu latihan pembangunan usahawan, kursus kemahiran dan pembuatan, program bimbingan perniagaan (Grow) dan program bantuan peralatan perniagaan (Geran).

 

Categories
EXCO SELANGOR

101 Rumah Selangorku Taman Bunga Raya sedia diduduki

SHAH ALAM, 8 OKT: Sebanyak 101 unit rumah teres dua tingkat Iris Fasa 1C di Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung siap dibina dan sedia diduduki.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail berkata projek Rumah Selangorku jenis D itu dijual pada harga RM250,000 dengan keluasan 1,000 kaki persegi.

“Saya yakin dengan tawaran harga mampu milik dilengkapi empat bilik tidur, tiga bilik mandi dan pelbagai kemudahan lengkap mampu menjamin keharmonian penduduk di sini.

EXCO Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Rodziah Ismail menyerahkan replika kunci kepada pemilik kediaman rumah SelangorKu Iris Fasa 1C, Taman Bunga Raya, Serendah, Hulu Selangor pada 7 Oktober 2021. Foto : Facebook Rodziah Ismail

“Kita lihat ramai mengeluh dan sukar untuk memiliki kediaman sendiri tetapi Kerajaan Negeri sentiasa berusaha memastikan rakyat terutama golongan B40 (berpendapatan rendah) dapat beli rumah pada harga mampu milik,” katanya.

Menurut Rodziah beliau turut memuji kesungguhan pemaju MK Land menyahut usaha Kerajaan Negeri dalam menyediakan rumah mampu milik kepada golongan B40 dan M40.

“Dengan kredibiliti MK Land, Kerajaan Selangor yakin dan percaya lebih banyak rumah mampu milik dibina pada masa akan datang.

“Kita jangka sebanyak 970 unit Rumah Selangorku akan dibina lagi bagi fasa tiga sehingga enam,” katanya.