Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Cadang buka pasar raya di Thailand, khusus jual produk usahawan Selangor

SHAH ALAM, 10 JULAI: Kerajaan Selangor merancang membuka sebuah pasar raya di Pattani, Thailand khusus untuk menjual produk usahawan negeri ini.

EXCO Pembangunan Usahawan, Rodziah Ismail berkata langkah itu bertujuan membangunkan usahawan di negeri ini serta memperluas pasaran produk ke luar negara.

“Hasrat ini antara inisiatif kita menyokong program pembangunan usahawan sedia ada seperti PLATS (Platform Selangor), Seldec (Rantaian e-Bekalan Digital Selangor) dan Hijrah Selangor (Hijrah)

“Kerajaan Negeri akan merealisasikan agenda Negeri Pintar bukan hanya untuk pasaran tempatan sahaja  sebaliknya ke luar negara dengan permulaan di Asia,” katanya.

Beliau berkata pada program `Bual Bicara Menyambung Nyawa Usaha IKS Dalam Era Covid-19′ disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor dan YouTube Selangor TV malam tadi.

Pada Oktober 2019, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan Seldec bertujuan membantu peniaga meningkatkan pendapatan menerusi jualan secara dalam talian.

PLATS diperkenalkan Ramadan tahun lalu bagi melengkapkan ekosistem Agenda Digitalisasi Selangor membabitkan usahawan melalui satu platform digital.

Program Hijrah pula membantu mengeluarkan modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan peniaga kecil yang sering menghadapi kekangan modal.

Ketika awal penubuhan Hijrah enam tahun lepas, Kerajaan Negeri melaksanakan Skim Mikro Kredit dengan modal pusingan RM100 juta.

Categories
NASIONAL

TNB cuai, jangan salahkan pengguna

 

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 JUN: Tenaga Nasional Berhad (TNB) perlu lebih proaktif dan mencari mekanisme terbaik dalam memberi perkhidmatan sempurna kepada rakyat, bukan meletakkan kecuaian yang dilakukan ke atas bahu pengguna semata-mata.

Mengulas isu kesilapan teknikal terhadap caj bil elektrik baharu yang dikenakan TNB, Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN, Rodziah Ismail berkata, kesilapan terbabit tidak sewajarnya dilakukan oleh TNB.

Malah, katanya, disebalik kesilapan yang berlaku menyebabkan pengguna menjadi mangsa dengan dikenakan caj bayaran elektrik pada harga yang tidak munasabah.

“Caj yang dikenakan itu sudah pasti membebankan pengguna. Oleh itu, mereka perlu lebih proaktif dan mencari mekanisme terbaik dalam memberi perkhidmatan sempurna kepada rakyat, bukan meletakkan kecuaian yang dilakukan ke atas bahu pengguna semata-mata.

“Sebagai syarikat yang memonopoli pembekalan tenaga elektrik di Malaysia, TNB hendaklah memenuhi standard prestasi pembekalan dan perkhidmatan pengguna berdasarkan Seksyen 9C Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya yang merupakan EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi.

Terdahulu, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, TNB perlu bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku dan perlu menangani masalah yang berbangkit secara segera.

Katanya, hal itu kerana berdasarkan siasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) mengesahkan bahawa berlaku kecuaian kesilapan teknikal yang dilakukan oleh TNB.

Ia sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkan surcaj atau tarif baru sebagai sebab kenaikan bil elektrik.

Terdahulu, media sosial kecoh dengan aduan dan rungutan yang dibuat oleh rakyat Malaysia yang rata-ratanya pelanggan kepada TNB.

Aduan yang dibuat adalah berikutan mereka mendakwa bil elektrik yang dikenakan pada mereka meningkat walaupun tahap penggunaan sama seperti bulan sebelumnya.

Kerajaan juga mengakui 300 aduan yang diterima setakat ini adalah sembilan kali ganda lebih tinggi berbanding aduan normal yang diterima daripada pelanggan untuk tempoh yang sama bagi beberapa tahun sebelum ini.

 

Categories
PBT SELANGOR

‘Cashless Transaction’ Pasar Malam dilaksana 2019

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANGI, 8 DIS: Mekanisme baharu bakal diperkenal Kerajaan Negeri kepada peniaga pasar malam melalui penggunaan aplikasi telefon pintar ‘Cashless Transaction’ secara berperingkat, mulai 2019

Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, langkah berkenaan sebagai persiapan ke arah mewujudkan ‘Cashless Society’, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap mata wang fizikal.

Katanya, aplikasi yang diyakini dapat membantu golongan usahawan di Selangor itu sudah 90 peratus siap dibangunkan sepenuhnya.

“Sememangnya ia adalah ‘trending’ dan benda baharu. Jika peniaga tidak menggunakan transaksi tanpa tunai ini, mereka akan ketinggalan dalam bentuk perniagaan yang ada pada masa sekarang.

“Sekalipun mereka tidak tahu cara menggunakan aplikasi ini, kita akan bantu mereka untuk membuat ‘QR Coding’,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Karnival Jelajah Usahawan Selangor 2018, peringkat Daerah Hulu Langat, di Perkarangan Letak Kereta McDonalds Bandar Baru Bangi, di sini, semalam.

Turut hadir, Orang Besar Daerah Hulu Langat, Dato’ Engku Abdul Jalil Abdul Rani; Pegawai Daerah Hulu Langat, Dato’ Rosli Othman dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Mohd Sayuthi Bakar

Rodziah berkata, bagi memastikan keberkesanan aplikasi itu, peniaga juga perlu mempunyai pengkodan (coding) tersendiri supaya penggunaannya lebih meluas kepada orang ramai.

“Kita mahu memberi pendedahan kepada rakyat mengenai aplikasi ini, sebaliknya ia bukan terhad kepada peniaga sahaja kerana dengan adanya persamaan antara peniaga dan masyarakat, kita boleh memberi latihan kepada kedua-duanya sekali.

“Jadi, saya berharap dalam tempoh masa tiga tahun jika usaha ini berhasil dan rakyat menjadikan ia sebagai budaya, maka saya percaya Selangor yang mempelopori aplikasi ‘Cashless Transaction’ akan menjadi contoh kepada negeri lain,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Kenal pasti & tonjol produk ‘aesthetic value’ kampung

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KLANG, 25 NOV: Kerajaan Negeri akan memulakan langkah mengenal pasti setiap kampung yang memiliki produk tempatan bercirikan nilai estetik untuk ditonjolkan kepada umum, pada tahun hadapan.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, pelaksanaannya adalah sebahagian daripada usaha menggiat dan merancakkan program pemberdayaan, di setiap kampung.

Katanya, ia bukan produk dihasilkan bagi tujuan keusahawanan sahaja, sebaliknya apa-apa produk yang berpotensi untuk diketengahkan kepada penduduk tempatan, mahupun pengunjung luar.

“Sepanjang mengadakan lawatan ke Rumah Mak Wak Marji, di Jalan Kebun, di sini, saya nampak bahawa itu antara contoh produk yang boleh diketengahkan.

“Justeru, saya mahu orang ramai kenal tempat ini dan memastikan pengunjung yang datang mengetahui bahawa tempat ini juga terdapat pengumpulan barangan antik yang mungkin boleh dijadikan mini muzium jika penduduk kampung mengambil inisiatif dalam mengetengahkannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Karnival Kampungku Kesayanganku (3K) Daerah Klang, di Padang Rakyat Jalan Kebun, Kampung ‪Jalan Kebun Batu 7‬, di sini, semalam.

Selaras pendekatan itu, Rodziah berkata, produk kepada tokoh, khususnya agamawan juga wajar dilakukan memandangkan golongan terbabit adalah ‘agent society’ yang membawa pandangan dan suara masyarakat.

“Menerusi belanjawan Selangor 2019 yang dibentangkan semalam, Kerajaan Negeri turut mengiktiraf penglibatan warga emas iaitu untuk membuat satu lokasi berkeluasan 1,200 kaki persegi bagi ruang interaksi masyarakat setempat bersama warga emas.

“Jadi, dengan adanya tempat interaksi ini membolehkan mereka bertukar-tukar fikiran dan berkongsi pandangan, selain menyaksikan ‘transition’ zaman dahulu dengan sekarang serta melihat kesan terhadap pemodenan itu sendiri,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pelantikan Speaker, portfolio Rodziah akan diumumkan tak lama lagi

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 JUN: Pelantikan Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) akan dibuat sebaik perbincangan antara parti Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi mencapai persetujuan bersama.

Dato’ Menteri Besar Selangor berkata, beliau yakin perbincangan pemilihan Speaker dan Timbalan Speaker dapat diselesaikan dengan baik.

“Perbincangan masih lagi berjalan dan Insha Allah saya percaya ianya boleh diselesaikan,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Sempena Sambutan Eidul Fitr Peringkat Negeri di Dataran Kemerdekaan di sini, hari ini.

Amirudin berkata, PAKATAN mengambil kira pelbagai aspek bagi memastikan pemilihan speaker mengikut kriteria ditetapkan.

Ketika menjawab soalan berkenaan portfolio Rodziah Ismail sebagai Exco yang baru dilantik, Amirudin memberitahu portfolio Rodziah akan diumumkan selepas mesyuarat Exco dijalankan dalam masa terdekat.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Terus dekati dan peduli rakyat bukan sekadar musim pilihan raya

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 1 MEI: Calon DUN Batu Tiga, Rodziah Ismail meneruskan program ‘Walkabout’ sebagai usaha mendekati masyarakat sekali gus menyelami permasalahan rakyat.

Rodziah berkata, perkara itu diadakan walau bukan dimusim pilihan raya dan rata-rata penduduk Batu Tiga kini lebih mengenali beliau setelah dua penggal diberikan mandat oleh masyarakat di kawasan itu sebagai wakil rakyat.

“Ini adalah cara saya dan saya memang lebih gemar pergi rumah ke rumah bukan sekadar untuk berkempen malah untuk mengetahu masalah mereka antara yang kita telah selesaikan masalah longkang tersumbat, infrastruktur dan sebagainya.

“Selain itu, program turun padang ini juga diadakan untuk menyemak status tempat mereka mengundi supaya mereka tahu salur mana patut mengundi bagi mengurangkan menunggu dan beratur terlalu lama khusus bagi warga emas,” katanya kepada SelangorKini.

Rodziah memulakan program walkabout dengan menyantuni pengundi dari rumah ke rumah bermula di sekitar Seksyen 24 dan Seksyen 18 seawal pagi lagi.

Sementara itu, calon DUN Kota Anggerik, Najwan Halimi turut mengambil inisiatif turun padang bagi mendekati masyarakat di sekitar Taman Bukit Subang.

Beliau memulakan program seawal jam 5.50 pagi ketika menunaikan solat subuh di Surau Al-Ittihadiyah bersama penduduk sekitar Seksyen 9.

Najwan berkata, beliau diiringi penyandangnya, Dr Yaakob Sapari sebagai mentor yang membawa beliau mengenali wakil-wakil penduduk sekitar Kota Anggerik untuk memberikan kerjasama padanya sebagai calon baru di kawasan itu.

“Saya melihat rata-rata masyarakat masih yakin dengan pentadbiran di bawah kerajaan Pakatan Harapan walaupun mereka tidak aktif dalam menyuarakan sokongan.

“Ada juga diantara mereka yang ‘personal’ dengan saya bahawa mereka tetap memilih PAKATAN dan mendoakan kejayaan saya serta yakin bahawa anak muda mampu membawa perubahan baru kepada negara,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Masyarakat digalak amal kitar semula

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM,4 FEB : Masyarakat digalakkan mengamalkan budaya dan sikap kitar semula bahan terbuang selain melakukan aktiviti gotong royong.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, beliau akan mengadakan mesyuarat bersama-sama dengan Badan Pengurusan Pangsapuri (JMB) untuk mendidik orang ramai mengamalkan kitar semula.

“Pada Mac nanti saya akan bermesyuarat dengan semua JMB bagi menerangkan cara menguruskan sampah domestik dan kepentingan kitar semula.

“Salah satu cara bagi menggalakan supaya lebih ramai mengamalkan sikap kitar semula ini JMB sendiri perlu mengadakan pertandingan kepada penduduk supaya mereka lebih bersemangat,” katanya.

Beliau berkata pada Program Gotong-Royong Perdana Pangsapuri 19B PN10422 di Seksyen 19, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Rodziah turut meluangkan masa bersama penduduk pangsapuri berkenaan untuk bergotong-royong membersihkan kawasan itu.

Rodziah berkata, aktiviti gotong royong sebegini seharusnya dilakukan sebulan sekali selain dapat membersihkan kawasan ia juga mengeratkan hubungan kejiranan.

“Diharap masyarakat mulai sedar kepentingan bergotong-royong dan kitar semula kerana selain mengawal Aedes membiak ia juga dapat menjaga bumi kita daripada sebarang pencemaran,” katanya.

Terdahulu, program yang berlangsung seawal jam 8 pagi itu turut diadakan aktiviti senamrobik dan jamuan makan.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Perkasa infrastruktur OKU, ikut spesifikasi tepat

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 30 MAC: Ahli Dewan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail mencadangkan Kerajaan Negeri memperkasakan infrastruktur bagi kemudahan golongan orang kelainan upaya (OKU) di Selangor.

Rodziah berkata, infrastruktur OKU tidak boleh dibuat sambil lewa dan perlu mengikut spesifikasi yang tepat.

Beliau mencadangkan Kerajaan Negeri terus mempunyai mentaliti yang menganggap kemudahan OKU bukan satu bentuk kemudahan ‘secondary’ tetapi infrastruktur ynag mementingkan hak asas ‘e-primary’ dalam pembangunan sesebuah negeri.

Rodziah“Selaras dengan agenda Smart City, pihak berkuasa tempatan dan Kerajaan Negeri perlu mula mengaplikasi konsep pembangunan infrastruktur dan perancangan bandar berdasarkam konsep ‘universal design’.

“Ia penting bagi memastikan bukan sahaja golongan OKU, malahan warga emas, kanak-kanak dan ibu bapa yang menggunakan kereta sorong bayi mampu bergerak dengan bebas serta selesa,” katanya pada perbahasan ucapan terima kasih titah DYMM Sultan Selangor di Sidang Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Katanya, terdapat beberapa kawasan yang perlu dinaik taraf untuk kemudahan golongan itu dan orang ramai.

Antara yang dibangkitkan adalah laluan pejalan kaki dari stesen KTM ke stesen bas yang tidak berbumbung, lintasan ‘zebra crossing’ yang tidak selari serta laluan condong yang terdapat di Seksyen 19 tidak mesra OKU.

Pada masa sama, Rodziah turut melahirkan rasa bangga di atas kemajuan Bas Smart Selangor yang mempunyai kemudahan berciri OKU fizikal dan pengguna kerusi roda selain pemandu bas yang cekap serta mesra terhadap penumpang OKU.

-NFN-

Categories
PBT SELANGOR

Rumah tinggal; MBSA perlu lebih tegas

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 24 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) digesa bertindak lebih tegas berhubung isu rumah tinggal di kawasan pentadbirannya.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail berkata, rumah yang ditinggal pemilik dan terbiar dikhuatiri menjadi pencetus pelbagai isu lain termasuk kebersihan, kesihatan, sosial dan lain-lain.

Katanya, ia juga mengundang pemandangan kurang menyenangkan selain memberi kesan langsung kepada penghuni berhampiran.

“Satu penyelesaian lebih holistik diperlukan jika tidak masalah tidak selesai malah boleh mengundang masalah lain.

“Mungkin MBSA boleh mewujudkan undang-undang kecil baru, bukan sekadar melakukan kerja pembersihan,” katanya kepada Selangor Kini.

Terdahulu, beliau ‘melawat’ sebuah rumah tinggal yang terbiar tanpa penghuni sejak tiga tahun lalu, di Jalan Cili 1, Seksyen 24, di sini, semalam.

Rombongan turut disertai wakil MBSA, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Zakat Selangor dan wakil penduduk.

Difahamkan, pemilik pertama rumah tinggal berkenaan sudah meninggal dunia sementara pemilik terbaru gagal dijejaki.

Sementara itu, wakil MBSA berkata, pihaknya hanya berkuasa untuk membersihkan kawasan rumah tinggal, berdasarkan peruntukan sedia ada.

=EZY=

Categories
SELANGOR

DUN Batu Tiga lulus peruntukan ‘Wanita Anggun’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BATU TIGA, 12 SEPT: DUN Batu Tiga meluluskan sejumlah peruntukan bagi pembiayaan dan tajaan ‘uniform’ baru Persatuan Wanita Anggun, Apartment Fasa II, Sekyen 17, di sini.

RodziahAhli Dewan Negerinya, Rodziah Ismail meluluskan peruntukan itu serta-merta selepas mendengar permohonan dibuat Pengerusi Persatuan Penduduk, Mohd Yusof Musbah.

“Tak perlu banyak bincang, saya luluskan terus dan nanti kita sama-sama pergi kedai untuk borong kain.

“Keputusan ini dibuat selepas mengambil kira komitmen ahli persatuan yang terus konsisten dan fokus kepada isu kebajikan penduduk, di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Qurban Dun Batu Tiga di kawasan letak kereta kediaman berkenaan.

Persatuan Wanita Anggun ditubuhkan di bawah Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita sebagai inisiatif memastikan isu wanita dan kebajikan penduduk terjamin.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Memori Aidiladha, darah qurban semai hasil durian

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BATU TIGA, 12 SEPT: Mengimbau pengalaman melakukan ibadat qurban, Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Tiga, Rodziah Ismail berkongsi kisah yang dianggap cukup istmewa buat dirinya.

Bercakap kepada SelangorKini, berlaku kisah yang masih cukup segar dalam ingatannya hasil daripada kesucian ibadat qurban dilakukan beliau bersama penduduk setempat ketika itu.

“Saya masih ingat, ketika diundang untuk perasmian majlis ibadat qurban dulu, ada kejadian dan pengalaman yang cukup bermakna yang masih saya ingat sehingga kini.

image“Ada seekor lembu diikat pada sebatang pokok durian yang sudah lama tidak berbuah. Namun, apabila upacara qurban dibuat di kawasan itu, tidak lama kemudian pokok durian berkenaan berbuah.

“Mungkin kejadian yang berlaku ini mempunyai hikmah dan kebesaran di sebalik darah lembu qurban yang mengalir di pagi Aidiladha waktu itu,” katanya.

Cerita Rodziah lagi, peristiwa tersebut juga menyingkap makna cukup besar di sebalik ibadat qurban yang dituntut dalam Islam.

“Selepas kejadian itu, saya kerap dipanggil penduduk untuk turun melihat dan merasai hasil buah daripada pokok durian itu. Apa yang berlaku itu cukup menjadi iktibar untuk saya dan penduduk sehingga kini,” katanya.

image-3Ibadat qurban dilaksanakan seluruh masyarakat Islam sebagai mengenang peristiwa pengorbanan dilakukan Nabi Ibrahim yang diperintahkan untuk menyembelih puteranya, Nabi Ismail.

Patuh kepada perintah itu, Nabi Ibrahim mengorbankan Nabi Ismail menggunakan sebilah parang tajam, namun parang berkenaan tidak berfungsi seperti diharapkan.

Kejadian tersebut merupakan mukjizat Allah yang menegaskan bahwa perintah pergorbanan Ismail itu dianggap sebagai ujian kesetiaan nabiNya.

Lantas Nabi Ismail digantikan dengan seekor kambing untuk dikorbankan, sekali gus menjadi permulaan kepada sambutan Aidiladha di seluruh dunia.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Tradisi DUN Batu Tiga, dedah makna ‘qurban’ golongan muda

OLEH ERMIZI MUHAMAD

BATU TIGA, 12 SEPT : Tradisi Qurban DUN Batu Tiga dilaksanakan sebagai inisiatif menyingkap pengorbanan kisah Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail.

Bukan sekadar itu, Ahli Dewan Negeri (ADN), Rodziah Ismail berkata, masyarakat khususnya golongan muda perlu diberi pemahaman meliputi aspek ibadat korban dalam Islam itu sendiri.

“Isu berkaitan ibadah biasanya melibatkan golongan atau warga emas sahaja. Atas sebab itu penglibatan golongan muda amat diperlukan menerusi program sebegini.

image-1“Pemahaman sejak daripada kecil perlu didedahkan seawal mungkin agar generasi muda dapat menyambung tradisi yang kita laksanakan sejak dulu.

“Keutamaanya generasi baru perlu dididik daripada awal supaya proses ini menjadi tauladan terbaik kepada mereka pada masa depan,” katanya kepada SelangorKini pada Majlis Qurban DUN Batu Tiga di kawasan letak kereta Apartment Fasa II Seksyen 17, di sini hari ini..

Pada majlis itu, enam lembu dikorbankan dengan empat daripada hasil sumbangan pusat khidmat DUN Batu Tiga.

“Ini tahun kelima sepanjang hampir sembilan tahun saya menjadi wakil rakyat di sini, kalau kita lihat sekarang sambutannya cukup baik. Program tradisi ini diteruskan di kawasan perumahan ini, di samping diadakan juga di masjid seluruh Dun Batu Tiga.

“Pendekatan ini diambil sebagai galakan kepada masyarakat supaya mengambil bahagian secara meluas demi manfaat kita bersama,” katanya.

Sementara itu, hasil korban diagihkan mengikut beberapa bahagian kepada golongan fakir, asnaf, anak-anak yatim sekitar DUN itu.

-NFN-