Categories
NASIONAL

Mat Sabu ke Cox’s Bazar, bantu misi kemanusian

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 JUN : Kerajaan Malaysia akan menghantar delegasi khas ke kem Pelarian Cox’s Bazar Bangladesh, bagi misi kemanusiaan di negara itu, 4 Julai depan.

Lawatan khas yang diketuai Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu itu dibuat bagi memberikan sokongan moral kepada mangsa pelarian Rohingya, di Bangladesh.

Bercakap kepada media, Mohamad Sabu berkata, sumbangan perubatan dan kelengkapan harian juga akan diberikan kepada golongan itu.

“Lawatan ini hanya dibuat dalam tempoh sehari yang mana kita akan menyerahkan sedikit bantuan seperti perubatan, coklat, kelengkapan khemah dan pakaian kepada pelarian Rohingya di sana.

“Orang awam dialu-alukan untuk membantu dengan menyerahkan barangan keperluan untuk diberikan kepada mereka nanti,” katanya.

Mohamad Sabu berkata, seramai 60 anggota terdiri daripada pegawai perubatan dan pegawai kesihatan negara kini bertugas di kem pelarian itu.

Katanya, lawatan itu juga dibuat bagi meraikan kemeriahan Syawal bersama petugas di sana.

Terdahulu, Mohamad hadir pada program Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Amanah Negara, di Stadium Shah Alam, petang ini.

Dianggarkan, lebih 20,000 pengunjung hadir memeriahkan program rumah terbuka itu.

Categories
GLOBAL

Hakim ICC teliti siasatan krisis Rohingya, Jun

THE HAGUE 15 MEI: Hakim jenayah perang akan mengadakan rundingan tertutup bulan depan bagi membincangkan jika siasatan terhadap perpindahan beramai-ramai secara terpaksa oleh Muslim Rohingya dari Myanmar, dibenarkan.

Hanya ketua pendakwa raya Fatou Bensouda hadir di hadapan tiga hakim dalam perbicaraan di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) pada 20 Jun ini, kata hakim bersidang Peter Kovacs menerusi arahannya Jumaat lalu, dilihat AFP semalam.

Kira-kira 700,000 Muslim Rohingya lari dari Rakhine, Myanmar ke Bangladesh sejak 25 Ogos lalu akibat tindakan keras berdarah tentera.

Keganasan itu meninggalkan kesan perkampungan dibakar, di tengah dakwaan membunuh dan merogol oleh tentera dan samseng.

Dalam satu langkah tidak dijangka bulan lalu, Bensouda meminta hakim di satu-satunya mahkamah jenayah perang kekal dunia memutuskan jika beliau boleh menyiasat pengusiran itu sebagai jenayah ke atas kemanusiaan.

Ia adalah satu permohonan yang rumit dari segi perundangan, oleh kerana Myanmar bukan penandatangan dan anggota Rome Statute yang mendasari ICC.

Bensouda berhujah, oleh kerana Bangladesh adalah anggota penandatangan itu, sekali gus memberinya bidang kuasa untuk menyiasat nasib etnik Rohingya.

Beliau menyamakan pengusiran itu dengan satu ‘insiden tembakan merentasi sempadan’, berhujah, jenayah itu ‘tidak selesai sehingga peluru (dilepaskan di satu negara) terkena sasaran dan membunuh mangsa (di satu negara lain).’

“Mahkamah akan mengadakan satu persidangan status pada 20 Jun ini, diadakan secara tertutup, hanya dengan kehadiran pendakwa raya,” arah Kovacs.

Ditubuhkan pada 2002 di sini, ICC bertindak untuk menghukum jenayah terburuk termasuk genosid di tempat di mana tribunal negara tidak bersedia atau tidak boleh bertindak.

Myanmar menyuarakan kebimbangan serius berhubung tindakan di ICC itu.

“Tiada dalam Piagam ICC mengatakan mahkamah memiliki bidang kuasa ke atas negara yang tidak menerima bidang kuasa itu,” kata Myanmar dalam satu kenyataan.

Mahkamah yang meneliti permohonan Bensouda juga meminta Bangladesh menghantar sebarang pemantauan bertulis mengenai kes itu sebelum 11 Jun ini.

SUMBER: AFP

Categories
NASIONAL

MAPIM: Bantu pelarian Rohingya, pastikan keselamatan terjamin

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 3 APR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersedia membantu pelarian Rohingya yang dilaporkan dalam perjalanan menuju ke kawasan perairan Malaysia.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata MAPIM, dengan ini merayu kerajaan untuk memberi akses kepada kumpulan pelarian itu untuk memasuki negara atas pertimbangan kemanusiaan.

“MAPIM akan bekerjasama dengan pihak keselamatan untuk memberi bantuan segera terutama kepada kanak-kanak dan wanita.

“Kita sedang mengaktifkan pusat operasi MAPIM di Langkawi untuk tujuan berkenaan,” katanya dalam kenyataan.

Semalam, laporan media menyatakan terdapat bot pengangkutan membawa penumpang dipercayai pelarian Rohingya berhenti di pantai Thailand, dalam usaha memasuki Malaysia.

Katanya, MAPIM percaya ia kemungkinan sekumpulan pelarian Rohingya yang memutuskan menempuh pelayaran berisiko dari Myanmar ke perairan Thailand dan Malaysia melalui sindiket pemerdagangan manusia.

“Keadaan di Myanmar dan Bangladesh yang tidak stabil menyebabkan kumpulan mangsa memilih untuk menyertai pelayaran itu.

“Kegagalan agensi antarabangsa menghentikan kekejaman rejim Myanmar terhadap Rohingya, mengakibatkan pengusiran berterusan mereka ke negara jiran yang mana beban harus ditanggung negara penerima,” katanya.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Antarabangsa digesa segera bertindak selesaikan krisis Rohingya

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 22 MAC: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengadakan Program Persidangan Meja Bulat bagi menggerakkan usaha menyelesaikan krisis pelarian etnik Rohingya.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, rapat temu kali ini lebih menjurus kepada analisis strategi dengan mengetengahkan 12 resolusi untuk melobi segala tindakan mengekang keganasan Kerajaan Myanmar.

Katanya, nyawa etnik Rohingnya yang terbunuh akibat kekejaman Kerajaan Myanmar seolah-olah dibutakan daripada penglihatan dunia antarabangsa.

“Justeru, kita bersama-sama dalam perbincangan ini untuk melontarkan idea dan mencari jalan penyelesaian menghalang kejahatan tersebut daripada terus berlanjutan.

“Namun, kezaliman dilakukan bukan hanya membabitkan etnik Rohingya, malah etnik minoriti lain turut terkesan sama melalui penindasan hebat rejim berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini selepas Program Perbincangan Meja Bulat: Krisis Rohingya, di Hotel Carlton, di sini, semalam.

Tambahnya, di samping menghulurkan bantuan kemanusiaan seperti makanan, minuman dan pakaian, adalah menjadi tanggunjawab secara kolektif untuk menangani isu asas yang melibatkan kezaliman.

Menyedari hakikat itu, Mohd Azmi berkata, pihaknya memecahkan perbincangan kepada beberapa aspek supaya setiap resolusi digariskan dapat dibincangkan dengan lebih mendalam.

“Umpamanya, strategi mengheret jeneral-jeneral tentera Myanmar ke mahkamah jenayah antarabangsa, mengenakan tindakan undang-undang penalti dan strategi menyekat kezaliman.

“Kita juga mahu kenal pasti dari mana mereka mendapatkan senjata dan kempen yang patut dilaksanakan bagi mempengaruhi China serta Rusia supaya tidak menghalang keputusan dibuat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN),” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa pihak berwajib memberi perhatian sewajarnya terhadap isu pemerdagangan manusia melibatkan pelarian Rohingya yang semakin merebak kesan daripada sindiket pemerdagangan di sempadan Thailand dan Malaysia.

=EZY=

 

Categories
GLOBAL

Kebanjiran pelarian Rohingya ke Bangladesh terus meningkat

OLEH NORHAYATI UMOR

TEKNAF, 26 FEB: Ratusan penduduk Rohingya dilaporkan masih merentasi sempadan Myanmar ke Bangladesh setiap minggu selepas gelombang keganasan baharu di negeri Rakhine yang mencetuskan krisis pelarian terbesar, pada tahun lalu.

AFP melaporkan, pelarian etnik itu semakin meningkat dalam tempoh enam bulan selepas kemelut itu.

Salah seorang pelarian yang dikenali sebagai Nur Muhammad berkata, keadaan menjadi lebih buruk apabila pasukan keselamatan bertindak menculik pemuda, di kampungnya.

“Kami memilih untuk terus tinggal kerana berharap situasi itu akan pulih.

“Tetapi, keadaan menjadi semakin buruk sejak kebelakangan ini, malahan pasukan keselamatan turut menculik pemuda, di kampung kami,” katanya.

Sementara itu, kumpulan pemerhati hak asasi manusia (HRW) berkata, kebanjiran pelarian masih berterusan apabila lebih 2,500 memasuki kem sesak di Cox’s Bazar sejak awal bulan lalu walaupun Dhaka dan Yangon kini sedang berbincang berhubung proses penghantaran pulang etnik terbabit.

Pada akhir Februari lalu, Bangladesh sudah menghantar senarai mengandungi 8,000 nama untuk pengesahan Myanmar selepas kedua-dua negara itu memeterai perjanjian untuk menghantar pulang kira-kira 750,000 pelarian Rohingya dalam tempoh dua tahun.

Categories
GLOBAL

Rohingya, belon dan jeli tuala wanita ‘ubat’ lapar

OLEH NORHAYATI UMOR

GLOBAL, 12 FEB: Situasi bergolak secara berterusan penduduk Rohingya menyebabkan mereka kelaparan hingga memaksa pelarian itu memakan belon dan jeli daripada tuala wanita.

Situasi itu berlaku di Kem Balukhali, Bangladesh sekaligus mendapat perhatian Yayasan Ikhlas dan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) melaksanakan misi bantuan kemanusiaan di enam kem pelarian Rohingya, di sana.

Kunjungan tiga sukarelawan itu, dibuat di Kem Balukhali 1, Balukhali 2, Gundhum 2, Gundhum 3, Jamtoli dan Kutupalong itu mengambil masa enam hari, pada 23 Januari lalu.

Lebih 1,200 bungkus makanan disampaikan kepada pelarian Rohingya, termasuk bantuan perubatan.

Ketua Misi, Abdul Rahman Iskandar berkata, keadaan pelarian Rohingya terbabit sangat daif dan hidup dalam kelaparan.

“Apabila diberi belon, kanak-kanak berebut dan ada antara mereka yang memasukkan ke dalam mulut seolah-olah ingin memakannya.

“Mereka sangat lapar, mereka hanya berlegar di kawasan kem dan mengharap simpati orang ramai. Situasi itu bukan sehari, tetapi setiap hari.

“Paling menyedihkan, ada saudara Rohingya terpaksa makan jeli daripada tuala wanita. Bukan mereka tidak tahu itu tuala wanita atau tidak berpendidikan tetapi oleh kerana mereka sangat lapar,” katanya.

Pada masa sama, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Ikhlas, Datuk Mohd Rosli Ramli berkata, sejak awal Januari tahun lalu, pihaknya sudah menghulurkan pelbagai bentuk bantuan termasuk sumbangan selimut untuk musim sejuk.

Katanya, pihaknya turut membina telaga tiub atau dipanggil pam air, pembinaan surau dan madrasah, sumbangan makanan iftar di lima kawasan sepanjang Ramadan dan agihan daging korban ke dalam kawasan kem.

Difahamkan, terdapat enam klinik di semua kem berkenaan yang menempatkan 13 doktor dihantar dari CIMC.

Klinik itu dikunjungi lebih kurang 200 orang Rohignya yang mahu menerima rawatan.

 

Categories
GLOBAL

MAPIM berterusan bantu Rohingya terkepung di Arakan

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 1 FEB: Usaha menyalurkan bantuan kecemasan buat penduduk Rohingya yang terkepung di Arakan, Myanmar diteruskan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM).

Naib Presiden MAPIM, Ahmad Tarmizi Sulaiman berkata, ia adalah usaha keras pihaknya membantu pelarian terjejas ketika mereka masih dikepung tentera dan ekstremis Myanmar.

Katanya, MAPIM melalui usaha perhubungan tempatan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sana, berjaya menembusi kawasan paling krtikal bagi menyalurkan bantuan kecemasan, pada November lalu.

“Sejak Ogos 2017, bantuan kemanusiaan seluruh dunia terarah kepada kem penempatan pelarian Rohingya di Bangladesh.

“Kini, MAPIM berjaya mengalih arah bantuan ke perkampungan Maungdaw, Rathidung dan Buthidaung, Arakan, Myanmar,” katanya.

Menurut maklumat terkini, di Maungdaw terdapat 70 keluarga di sektor 5 dan 20 keluarga di Sheil Khali, manakala 15 keluarga lagi di Kampung Buthidaung serta sekitar 10-20 keluarga di Rathidung yang masih bertahan.

Namun, jumlah sebenar dijangka melebihi angka itu kerana mereka juga terputus akses perhubungan dengan pihak luar.

Pada masa ini, Ahmad Tarmizi berkata, MAPIM sedang mengumpulkan lebih banyak dana untuk membantu pelarian di Arakan.

Katanya, jika keadaan mengizinkan, MAPIM akan laksanakan satu misi kemanusiaan memasuki ke daerah tersebut.

“Orang ramai dialu-alukan menyalurkan sumbangan ke Tabung Kecemasan Rohingya-MAPIM di nombor akaun 55520 9522 4432 (Maybank) atau 020 2001 0072 272(Bank Islam) atau 154 0018 8063 0425(Al Rajhi Bank),” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Lega, terima kasih Kerajaan Selangor

OLEH NORHAYATI UMOR

SERI KEMBANGAN, 27 DIS: Tindakan penarikan semula notis meroboh sekolah kanak-kanak Rohingya di Seri Kembangan April lalu amat melegakan penghuni di sekolah terbabit.

Malah, Pengetuanya, Mohd Rafique Khairul Bashar berkata, pihaknya amat berterima kasih dan terharu dengan tindakan Kerajaan Negeri yang memberi peluang pelajar meneruskan pembelajaran di atas tanah berkenaan tanpa mengenakan sebarang bayaran.

Lebih manis, katanya, bekalan air dan elektrik bulanan juga diberikan secara percuma kepada sekolah berkenaan yang lebih dikenali sebagai ‘Knowledge Garden Learning Centre School’ (KGLCS).

“Sekolah ini ditubuhkan pada 2013. Sehingga kini, seramai kira-kira 50 pelajar dari usia enam hingga 12 tahun. Pelajar diberikan pendedahan pendidikan asas seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Mereka juga diajar Bahasa Arab dan Al-Quran.

“Kami amat mementingkan pendidikan kanak-kanak ini. Ketika menerima notis perobohan, memang sangat sedih. Bagaimanapun, kami amat gembira dan berterima kasih kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali kerana banyak membantu kami, masyarakat Rohingya,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui di KGLCS, di sini, semalam.

Rafique berkata, usaha mempertahankan sekolah yang diusahakan tanpa sebarang balasan itu nyata berbaloi kerana sering diutamakan oleh pimpinan Kerajaan Negeri termasuk Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Namun, disebalik kegembiraannya masih terlihat kedukaan apabila memikirkan perbelanjaan bulanan kanak-kanak itu yang tidak tertanggung olehnya.

“Selain memerlukan bantuan kewangan persekolahan pelajar, gaji empat orang guru, pemandu van sekolah, perbelanjaan sewa van sekolah sangat merunsingkan saya.

“Kami juga terpaksa mencatukan makanan untuk anak-anak ini, saya hanya memberikan satu hidangan kepada mereka sebagai alas perut pada sebelah petang.

“Dulu saya berniaga jadi boleh saya membantu sedikit sebanyak anak-anak ini, tetapi gerai sudah dirobohkan, jadi saya sudah tidak ada pendapatan sampingan lagi,” katanya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Pelajar etnik Rohingya terus disantuni

OLEH NORHAYATI UMOR

SERI KEMBANGAN, 26 DIS: Tersentuh dengan nasib menimpa etnik Rohingya, Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim mengambil inisiatif mendekati golongan itu dengan memberi sumbangan set kelengkapan persekolahan kepada kira-kira 50 pelajar Knowledge Garden Learning Centre School (KGLCS), di sini.

Presidennya, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob berkata, program ‘Back To School’ itu merupakan satu program amal untuk membantu persediaan pelajar etnik berkenaan yang tidak berkemampuan.

Katanya, sumbangan keperluan persekolahan yang terdiri daripada pakaian, alat tulis dan beg serta kasut sekolah bernilai RM10,000 itu diharap dapat menyuntik semangat pelajar etnik berkenaan.

“Sumbangan ini adalah kutipan amal orang awam yang dilaksanakan pertubuhan.

“Ini bukan kali pertama kita laksanakan sumbangan pendidikan kepada etnik ini, sebelum ini kita laksanakan di Klang,” katanya ketika ditemui di KGLCS, di sini.

Pada masa sama, Raja Ahmad berkata, pihaknya akan terus menyalurkan bantuan sesuai khususnya pendidikan kepada etnik ditindas akibat pertelingkahan melanda kawasan mereka.

Katanya, pertubuhan itu juga turut menghulurkan bantuan kewangan kepada anak yatim Rohingya sebanyak RM250 sebulan sejak Jun lalu.

“Bagi meneruskan bantuan kewangan pada tahun depan, kita akan cuba mencari dana atau sumbangan untuk disalurkan secara berterusan kepada anak-anak ini,” katanya.

Sementara itu, Presiden ‘Ethnic Rohingya Comittee of Arakan (ERCA) Malaysia, Mohd Rafique Khairul Bashar berkata, pihaknya mengalukan sumbangan persatuan mahupun orang ramai bagi membantu golongan itu.

Katanya, sumbangan pendidikan amat diharapkan bagi memastikan anak-anak Rohingya dapat meneruskan pelajaran dari masa ke semasa.

“KGLCS menggunakan silibus persekolahan Malaysia yang bermula jam 8 pagi hingga 3 petang.

“Selain pendidikan asas Bahasa Melayu, English, Sains dan Matematik, pelajar juga diajar aliran tahfiz seperti Bahasa Arab dan Al-Quran,” katanya.

=EZY=

 

Categories
NASIONAL

Hantar pelarian Rohingya pulang risiko tinggi dibunuh

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 NOV: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyeru pihak berkuasa, di Bangladesh dan Myanmar mengadakan rundingan terlebih dahulu sebelum mengambil keputusan menghantar pulang pelarian Rohingya ke kampung halaman masing-masing.

Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, tentera pengaman wajar diletakkan di wilayah berdarah, di Rakhine bagi memastikan keselamatan etnik Rohingya yang dihantar pulang.

“MAPIM tidak setuju mereka dihantar balik sehingga operasi tentera di wilayah itu dihentikan kerana tiada jaminan mereka tidak akan dibunuh.

“Selain itu, banyak kawasan terdapat jerangkap samar yang sudah tentu membahayakan nyawa mereka. Jika tiada tentera pengaman diletakkan di sana, bererti kepulangan mereka sama seperti menyerahkan tengkuk sendiri untuk disembelih,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, di Pejabat MAPIM, di Carlton Holiday & Suites, di sini, semalam.

Selain MAPIM, turut sama dalam sidang media itu adalah The European Rohingya Council (ERC) dan Myanmar Ethnics Rohingya Human Rights (MERHROM).

Pada masa sama, Mohd Azmi berkata, pelarian Rohingya juga tidak mempunyai kediaman sempurna di kampung halaman masing-masing ekoran kebanyakannya sudah dibakar golongan pelampau.

Katanya, MAPIM juga akan menghantar memorandum kepada Kerajaan Bangladesh dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini terus berlaku.

“Dijangka terdapat 40 NGO lain akan turut serta menghantar memorandum itu,” katanya.

Dalam pada itu, ERC turut menggesa rakyat Malaysia terus memberi sokongan kepada penduduk Rohingya yang berhadapan kekejaman tentera Myanmar.

Pada masa ini, dianggarkan terdapat kira-kira 600,000 pelarian Islam Rohingya yang menyeberang sempadan Bangladesh, sejak Ogos lalu bagi mengelakkan daripada dibunuh dalam operasi tentera Myanmar dan penganut Buddha.

Categories
GLOBAL

3 juta penduduk dunia tidak miliki negara

GENEVA 4 NOV: Sekurang-kurangnya tiga juta orang di seluruh dunia tidak mempunyai negara sekali gus dinafikan identiti, hak dan juga peluang pekerjaan, kata Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) semalam.

Menurut agensi tersebut, kebanyakan mereka terdiri daripada etnik minoriti, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Daripada jumlah itu, penduduk Islam Rohingya di Myanmar yang majoriti rakyatnya beragama Buddha merupakan etnik minoriti tanpa negara terbesar di dunia.

Kira-kira 600,000 etnik Rohingya telah melarikan ke Bangladesh sejak akhir Ogos lalu untuk menyelamatkan diri daripada keganasan dan penindasan, kata UNHCR.

Dalam laporannya bertajuk This is Our Home – Stateless Minorities and their Search for Citizenship, UNHCR meminta kerajaan-kerajaan di dunia menamatkan amalan diskriminasi menjelang tahun 2024.

“Sekiranya anda hidup di dunia ini tanpa kewarganegaraan, anda hidup tanpa identiti, tanpa dokumentasi dan tanpa hak serta keistimewaan yang kita ambil mudah seperti mempunyai pekerjaan dan pendidikan,” kata pengarah divisyen perlindungan antarabangsa UNHCR, Carol Batchelor pada satu sidang akhbar.

“Kerajaan sepatutnya memberikan kerakyatan kepada orang yang lahir di negara berkenaan. Kerajaan juga perlu membantu penduduk tetap mendapatkan kerakyatan,” tambahnya.

Selain Rohingya, etnik-etnik lain yang dinafikan kerakyatan walaupun ramai antara mereka sudah menetap di tanah air sendiri sejak beberapa generasi lalu termasuk puak Kurdis di Syria, etnik Karana di Pulau Madagascar dan suku Pemba di Kenya.

=EZY=

 

Categories
GLOBAL

Komuniti antarabangsa janji bantuan AS$344j kepada Rohingya

GENEVA 25 OKT: Penderma-penderma antarabangsa kelmarin berjanji akan menyumbang lebih AS$344 juta (RM1.4 bilion) bagi meningkatkan penghantaran bantuan kemanusiaan kritikal kepada pelarian Rohingya dan komuniti tuan rumah di Bangladesh, lapor agensi berita Xinhua.

Dana turut dijanjikan untuk bantuan kemanusiaan di Myanmar, kata Pesuruhjaya Tinggi Bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) dalam satu kenyataan selepas penderma-penderma antarabangsa bertemu di Geneva.

UNHCR berkata, peningkatan dalam keganasan, ketidakstabilan dan keperluan kemanusiaan memaksa hampir 600,000 etnik Islam Rohingya dari utara negeri Rakhine, Myanmar melarikan diri ke Cox’s Bazar di Bangladesh sejak 25 Ogos lalu sekali gus mencetuskan krisis pelarian paling pantas berkembang di dunia.

“Para penderma kemanusiaan menzahirkan perpaduan dan belas kasihan mereka kepada keluarga dan masyarakat (Rohingya) yang memerlukan.

“Janji yang amat pemurah ini harus segera diterjemahkan dalam usaha menyelamatkan pelarian yang terdedah kepada bahaya dan menyokong tuan rumah (Bangladesh) yang telah melakukan sehabis baik untuk membantu,” kata Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan dan Bantuan Kecemasan PBB, Mark Lowcock (gambar kecil).

Sebanyak 35 ikrar dibuat pada persidangan di Geneva anjuran Pertubuhan Migrasi Antarabangsa (IOM), UNHCR dan Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) itu.

PBB dan rakan-rakan kongsinya melancarkan pelan tindakan untuk tempoh enam bulan bermula September 2017 hingga Februari 2018 bagi memenuhi keperluan 1.2 juta pelarian yang baru tiba dan sedia ada di Bangladesh.

SUMBER: BERNAMA