Oleh: HAFIZAN TAIB
SHAH ALAM, 4 NOV: Kerajaan Persekutuan harus benar-benar jujur dan ikhlas dalam membantu pembangunan di Selangor ekoran negeri itu penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata sumbangan 23 peratus Selangor terhadap KDNK sewajarnya dilihat Kerajaan Persekutuan dan program pembangunan seperti Sungai Nadi Kehidupan (River Of Life – ROL) seharusnya juga dilakukan di negeri itu.
“Saya sudah membawa perkara ini dalam Majlis Sumber Air Negara yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, beberapa minggu lalu dan perkara sama dibangkitkan dalam perbahasan sidang Dewan Rakya, baru-baru ini.
“Jika Kerajaan Persekutuan jujur dan ikhlas ingin menyumbangkan kepada Kerajaan Negeri, maka projek ini mesti disambung terus ke Selangor kerana ia juga tanggungjawabnya,” katanya dalam sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2016 di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab isu dibangkit Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (Keadilan-Kajang) dan menjelaskan projek itu hanya dijalankan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta dihentikan apabila menghampiri sempadan Selangor.
ROL antara lain bertujuan untuk mengubah kawasan tertentu di Kuala Lumpur yang menghadap Sungai Klang supaya mempunyai nilai ekonomi dan komersial tinggi dengan dibahagi kepada tiga bahagian iaitu pembersihan dan pengindahan sungai serta kemajuan tanah.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri menerima kertas cadangan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berkenaan pembinaan jalan alternatif di Kampung Batu 10, Cheras.
“Bagaimanapun tiga cadangan itu mengakibatkan pengambilan tanah dengan kos cukup tinggi. Kita sedang melihat cadangan lain yang boleh diselesaikan dengan persetujuan penduduk dan wakil rakyat sendiri,” katanya menjawab isu disentuh Razaly Hassan (PAS-Dusun Tua).
Beliau berkata, isu Kampung Mampir di DUN Dusun Tua turut mendapat perhatian Kerajaan Negeri bagi jalan penyelesaian.
Katanya, disebabkan penduduk menduduki tanah itu adaalah Melayu dan keturunan Indonesia tetapi tidak menepati syarat untuk menduduki tanah rezab Melayu, maka perbincangan lanjut bersama wakil rakyat dan penduduk akan dijalankan.
“Perkara ini boleh kita selesaikan dengan menbatalkan tanah rezab Melayu itu dengan menggantikan dengan tanah lain. Namun, terdapat masalah lebih rumit memandangkan pembinaan rumah terlalu padat di atas tanah seluas 1.26 hektar dan tidak teratur membabitkan masalah rezab jalan.
“Kerajaan Negeri bercadang untuk berbincang jika penduduk bersedia bagi mendapatkan hak milik tanah dengan persetujuan kerana kerja perobohan harus berlaku,” katanya.
-NFN-