SERDANG, 26 JAN: Polis akan mengawal ketat dan melakukan rondaan berkala di premis perniagaan sekitar lokasi tanah mendap di Jalan LP 1A/2, Seri Kembangan di sini semalam bagi mengelakkan kejadian jenayah.
Ketua Polis Daerah Serdang ACP A.A. Anbalagan berkata kawalan itu adalah sebagai langkah memastikan tiada berlaku sebarang kejadian ‘pecah kedai’ dan kecurian, sepanjang premis-premis terbabit ditutup susulan bencana itu.
Beliau berkata selain polis, agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Majlis Bandaraya Subang Jaya dan Rela, turut membantu menjaga keselamatan kawasan berkenaan.
“Kejadian mendapan tanah di lokasi berkenaan diklasifikasikan sebagai bencana, maka polis telah menetapkan beberapa agensi penguatkuasa untuk membantu memastikan kawasan itu selamat dan terjamin,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mengulas mengenai kerja membaik pulih kawasan mendapan tanah itu, Anbalagan berkata pihak berkuasa tempatan sedang mencari solusi jangka masa panjang membaik pulih kawasan itu, memandangkan pemasangan cerucuk besi yang dilakukan di tebing longkang berhampiran adalah sementara.
Dalam kejadian pada pukul 6.38 petang semalam, tanah runtuh berhampiran longkang besar di Jalan LP 1A/2, telah menyebabkan lima buah kenderaan rosak teruk.
— BERNAMA