Categories
AGENDA NASIONAL

Maklum kepada polis jika jiran langgar SOP Aidilfitri

KANGAR, 10 MEI: Orang ramai dinasihatkan supaya memerhati kawasan kejiranan mereka dan memaklumkan kepada polis sekiranya terdapat individu yang pulang beraya ke kampung tanpa kebenaran daripada pihak berkuasa, kata Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad.

Beliau berkata maklumat sedemikian diperlukan bagi membolehkan pihak polis mengambil tindakan tegas terhadap individu yang masih berdegil dan tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Aidilfitri 2021.

“Polis Perlis juga akan tingkatkan jumlah keanggotaan dalam memastikan pematuhan SOP serta akan mengambil tindakan tegas terhadap individu di kawasan perumahan…termasuk memperketatkan kawalan di sempadan negeri, stesen bas dan stesen keretapi,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Surina juga menasihati orang ramai agar mematuhi SOP Aidilfitri dan berada di rumah kecuali mempunyai urusan penting.

Menurut beliau kadar pematuhan SOP di Perlis adalah tinggi iaitu 98 peratus dan berharap orang ramai terus mematuhi ketetapan tersebut bagi mengekalkan Perlis sebagai negeri hijau dan seterusnya memutuskan rangkaian jangkitan Covid-19.

Mengulas mengenai jumlah kenderaan yang dikesan bertambah di Perlis sejak beberapa hari kebelakangan ini, Surina berkata jumlah kemasukan kenderaan ke negeri itu tidak serius iaitu sekitar lima peratus berbanding hari biasa.

“Peningkatan jumlah kenderaan adalah berpunca daripada ibu bapa yang mengambil anak-anak mereka yang menuntut di institusi pengajian tinggi sekitar negeri ini untuk pulang beraya di samping kemasukan penduduk dari Kedah yang berulang-alik bekerja di Perlis,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kangar Supt Wari Kiew berkata pihaknya akan melakukan rondaan pematuhan SOP Aidilfitri secara menyeluruh di sekitar Kangar bermula hari ini.

“Hari Raya nanti, kita akan ‘all out’ termasuk melakukan rondaan dari rumah ke rumah bagi memastikan orang ramai mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Diharapkan agar orang ramai dapat terus memberi kerjasama dengan polis bagi mencegah penularan wabak Covid-19 di negeri ini,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anggota PGA ditembak, ATM buat rondaan agresif di sempadan Thailand

PASIR MAS, 28 NOV: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) meningkatkan lagi kesiapsiagaan dengan melaksanakan rondaan secara agresif di kawasan panas sempadan Malaysia-Thailand di Kelantan, susulan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ditembak baru-baru ini.

Panglima 8 Briged Brig Jen Zamsari Abu Hassan berkata kesiapsiagaan itu meliputi pengukuhan aktiviti risikan, termasuk penggunaan dron dan kerjasama dengan agensi keselamatan lain.

“Dua kumpulan (platun) tambahan dari kem Pengkalan Chepa diarahkan bersiap sedia untuk digerakaturkan, bagi membantu operasi semasa keadaan kecemasan atau kontinjensi sekiranya berlaku.

“Setiap anggota kami yang beroperasi dikehendaki memakai helmet balistik dan jaket kalis peluru, bagi mencegah kecederaan akibat tembakan daripada penjenayah rentas sempadan,” katanya kepada pemberita selepas Lawatan ke kawasan Ops Benteng di Sempadan Malaysia-Thailand berdekatan Rantau Panjang, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar Perlis maut dipercayai ditembak penyeludup.

Zamsari berkata kesiapsiagaan itu turut melibatkan peralatan iaitu bot tempur, bot enjin sangkut bagi mengawal sempadan dan kedaulatan negara, daripada aktiviti jenayah rentas sempadan.

“Kita telah mengenal pasti lebih 59 kawasan panas dan perlu melakukan rondaan yang lebih agresif di kawasan itu, dengan mengambil berat aspek keselamatan hampir 274 anggota kami ditugaskan di sempadan berdekatan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata anggotanya bersedia dan mempunyai moral yang tinggi, untuk mempertahankan kawasan sempadan walaupun apa jua berlaku terutamanya seperti bakal menghadapi banjir dan tembakan.

Katanya, lawatan beliau hari ini bertujuan memantau persiapan operasi yang sedang dilaksanakan oleh Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) bagi mengukuhkan kedaulatan negara di sempadan Malaysia-Thailand.

“Kami mahu setiap anggota jangan rasa gentar, sebaiknya perlu bertugas penuh amanah, disiplin untuk negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Covid-19: Polis giatkan rondaan di lokasi tumpuan ramai

SHAH ALAM, 11 OKT: Polis Selangor menggiatkan rondaan di beberapa lokasi tumpuan orang ramai, antaranya pusat beli-belah, stesen minyak dan restoran.

Pihak berkuasa itu dalam kenyataan di Facebook memaklumkan pemeriksaan bagi memastikan masyarakat mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) untuk membendung penularan Covid-19.

“Masyarakat diminta agar terus mematuhi SOP yang telah ditetapkan seperti memakai pelitup muka, membersihkan tangan menggunakan sabun atau cecair pembasmi kuman dan mengamalkan penjarakan fizikal bagi menghentikan penularan rantaian wabak ini,” tulisnya.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan polis menahan seramai 450 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Daripada jumlah itu, seramai 378 individu dikompaun, 66 orang direman manakala enam lagi dijamin.