Categories
EXCO SELANGOR

Tarian ronggeng bakal diperkenal sebagai identiti Selangor

SHAH ALAM, 5 JAN: Tarian ronggeng bakal diangkat sebagai identiti budaya negeri ini, kata EXCO kebudayaan.

Borhan Aman Shah berkata ketika ini pihaknya sedang menyediakan kertas kajian mengangkat seni itu sekali gus memperkenalkannya kepada generasi muda.

“Tarian ini merangkumi semua elemen muzik dan rentak yang berbeza serta mempunyai peringkat pergerakan dari perlahan, sederhana yang akhirnya menjadi rancak.

“Konsep pakaian penari juga berbeza dan perlu kemas. Dahulu orang ikat kain di pinggang serta baju dimasukkan ke dalam. Cara meronggeng lebih sopan dan beradab malah tidak menampakkan kemesraan sebaliknya lebih kepada hormat-menghormati,” katanya.

Beliau bercakap dalam program Bual Bicara: Membina Budaya di Selangor disiarkan menerusi YouTube SelangorTV dan Facebook Media Selangor malam tadi.

Jelas Borhan, tarian berkenaan seakan pergerakan joget lambak dan dahulu ianya sinonim dengan majlis kenduri, keramaian atau pesta.

Selangor berusaha mengangkat beberapa kesenian di negeri ini antaranya tarian pooja, muzik gambus dan cempuleng serta tarian kuda menerusi program Rentak Selangor.

Inisiatif sejak 2016 itu bertujuan menyemarak seni, budaya dan warisan dengan menyediakan landasan persembahan selain menyediakan ruang kepada tokoh warisan dan penggiat seni budaya dari pelbagai komuniti untuk berkongsi ilmu.