Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Sumbang RM370,000 Kepada Rumah Ibadat Bukan Islam

SHAH ALAM 06 APRIL : Prihatin dengan kebajikan penduduk bukan Islam di negeri ini, Kerajaan Negeri Selangor menyumbangkan sebanyak RM370,000 kepada 19 buah rumah ibadat Cina, Hindu dan Gereja bagi fasa pertama tahun ini.

Majlis penyerahan itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu.

Sumbangan itu adalah bagi melaksanakan proses naik taraf dan kebajikan persatuan ialah Persatuan mengikut permohonan persatuan.

Rata-rata wakil persatuan gembira dengan keprihatinan Pakatan Rakyat (PR) terhadap mereka sejak menerajui kerajaan negeri.

Persatuan Penganut Dewi Sri Maha Durgaiamman, Shah Alam, merupakan salah sebuah badan keagamaan yang menerima sebanyak RM20,000 daripada peruntukkan itu.

Wakilnya, T.Loganathan, 47, meluahkan kegembiraan dan berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan oleh kerajaan negeri itu.

Katanya, sumbangan itu diperuntukkan bagi kerja-kerja menaiktaraf kuil itu.

“Dengan sumbangan ini pihak kami dapat menjalankan kerja menaiktaraf kuil yang rosak akibat banjir baru-baru ini.

“Ini merupakan kali kedua persatuan kami menerima sumbangan ini, sebelum ini sebanyak RM2,500 bagi aktiviti untuk komuniti di kuil kami,” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, sejak penubuhan kuil itu 17 tahun lalu, persatuannya tidak pernah menerima bantuan dari kerajaan negeri sebelum tahun 2008.

Sementara itu, Ronnie berkata kerajaan negeri sudah memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta untuk diberikan kepada rumah ibadat sebelum April depan.

Katanya, peruntukkan selebihnya iaitu RM3.5 juta akan diberikan selepas bulan April.

Beliau berkata bagi tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM6 juta berbanding sebanyak RM3 juta bagi tahun 2009 dan 2010 serta tahun 2011 sebanyak RM4 juta.

“Ini kerana pada tahun ini, simpanan kerajaan negeri sudah meningkat kepada RM1.9 billion selain permintaan yang bertambah daripada persatuan,” katanya.