Categories
AGENDA NASIONAL

Penganjur sukan ‘rope swing’ sebabkan wanita cedera tiada permit sejak 2017

SHAH ALAM, 2 OKT: Pengusaha sukan lasak hayunan tali tinggi atau ‘rope swing’ di Kuala Kubu Bharu yang menyebabkan seorang wanita cedera baru-baru ini tidak mempunyai permit.

EXCO Sukan Mohd Khairuddin Othman berkata berdasar makluman awal, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) tidak pernah mengeluarkan kebenaran dan permit kepada penganjur untuk menjalankan aktiviti berkenaan sejak 2017.

“Malah mereka pernah mendapat arahan polis untuk menghentikan operasi itu, tetapi gagal menurut arahan dan meneruskan aktiviti berkenaan sehingga berlakunya kejadian tidak diingini.

“Ekoran kemalangan pada 27 September yang melibatkan seorang wanita terhempas itu, MDHS telah mengeluarkan notis untuk menghentikan aktiviti berkenaan serta mengosongkan kawasan terbabit,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau yang juga EXCO pembangunan generasi muda berkata Kerajaan Negeri turut mengarahkan semua aktiviti hayunan tali tinggi dihentikan serta-merta.

Menurutnya, aktiviti itu hanya dibenarkan sehingga pihak berkuasa tempatan mengkaji serta meluluskan peraturan berkaitan di bawah sub program pemurnian pelancongan Selangor.

“Kerajaan Negeri juga akan memantau dan mendapatkan perkembangan semasa mangsa, Siti Halijah Abd Rahim. Saya mendoakan supaya beliau kembali sembuh dari kecederaan yang dialami.”

Sebelum ini, Siti Halijah, 33, dilaporkan terhempas serta mengalami kecederaan tulang belakang selepas melakukan aktiviti lasak itu di Kuala Kubu Bharu.