Categories
AGENDA NASIONAL

MKN, ROS arah Kongres Nasional KEADILAN dalam talian ditangguh

SHAH ALAM, 5 JUN: Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2020 dalam talian yang dijadual berakhir esok ditangguh.

Ketua setiausaha pengelola merangkap pengarah kongres berkata penangguhan itu berikutan surat arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan makluman lisan Pendaftar Pertubuhan (ROS) semalam.

Nik Nazmi Nik Ahmad berkata arahan tersebut bertentangan surat MKN bertarikh 27 Mei yang menyatakan tiada halangan jika penganjuran dibuat dalam talian sepenuhnya.

Sekalipun membuat bantahan, beliau berkata Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN memutuskan untuk menangguh kongres berkenaan ke tarikh yang akan diumumkan kemudian.

“Butiran keputusan ini akan diumumkan Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Amanat Khas esok menerusi Facebook parti pada 11 pagi 6 Jun,” katanya.

Kongres Nasional Tahunan KEADILAN 2020 dijadual berlangsung selama tiga hari bermula semalam secara maya susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi mengekang penularan Covid-19.

Kongres tahunan ke-15 dimulai dengan persidangan Wanita semalam termasuk ucapan Penasihat parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diikuti ucapan dasar Ketua Wanita Fuziah Salleh.

Hari ini, persidangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dimulai dengan ucapan dasar oleh ketuanya Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Categories
ADN SELANGOR

Hargai wanita, ADN Kota Anggerik edar 200 kuntum ros

SHAH ALAM, 11 MAC: Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Anggerik mengedar 200 kuntuman ros kepada pengunjung serta peniaga wanita di Pasar Moden Seksyen 6 dan 16 hari ini sebagai simbolik penghargaan.

Wakil rakyat Najwan Halimi berkata pemberian itu sempena Hari Wanita Sedunia yang disambut Isnin lalu selain merupakan tanda terima kasih terhadap pengorbanan kaum itu.

“Dalam apa jua bidang dan lapangan yang diceburi sama ada suri rumah, peniaga, penjawat awam, pendidik dan lain-lain, peranan wanita sememangnya cukup signifikan dan wajar diraikan.

“Semoga kuntuman ros ini dapat menambahkan keceriaan dan kegembiraan mereka untuk sepanjang hari ini,” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya, sejak menjadi wakil rakyat, beliau memastikan Hari Wanita disambut dan tahun ini memilih kawasan pasar yang menjadi lokasi tumpuan wanita.

“Edaran ros ini dilakukan bersama Penggerak Wanita Berdaya (PWB) DUN Kota Anggerik dan Batu Tiga,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

RoS benar adakan mesyuarat agung sehingga 31 Disember

PUTRAJAYA, 18 OGOS: Pertubuhan berdaftar dibenar melaksanakan mesyuarat agung selewat-lewatnya 31 Dis 2020 setelah mengambil kira kesukaran yang dihadapi ekoran pandemik Covid-19, demikian menurut Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Dalam kenyataan di sini semalam, RoS memaklumkan ia menerima banyak permohonan daripada pertubuhan berdaftar untuk melanjut atau menangguhkan pelaksanaan mesyuarat agung pada tahun ini berikutan tidak dapat memenuhi kehendak prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Antaranya ialah ketiadaan kapasiti ruang yang boleh menempatkan ahli-ahli hadir mesyuarat terutamanya bagi pertubuhan yang bertaraf kebangsaan serta mempunyai cawangan dengan ahli yang ramai di seluruh negara, katanya.

Di samping itu, tempoh untuk melaksanakan mesyuarat agung berkenaan juga amat singkat bagi persediaan mesyuarat seperti penghantaran notis yang memerlukan tempoh masa yang ditetapkan selaras dengan perlembagaan pertubuhan masing-masing, katanya.

RoS berkata kebenaran itu diberikan untuk memastikan pertubuhan berdaftar tetap melaksanakan mesyuarat agung pada tahun 2020 dan tidak melangkaui tahun semasa agar pengurusan pertubuhan dapat dilaksanakan dengan baik selaras dengan kehendak perlembagaan pertubuhan dan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 335).

“Kebenaran yang diberikan adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 3A, Akta 335,” kata RoS.

RoS berkata selepas pelaksanaan mesyuarat agung berkenaan, pertubuhan berdaftar hendaklah mengemukakan penyata tahunan kepada RoS selaras dengan peruntukan Seksyen 14(1), Akta 335.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Isu pendaftaran PAKATAN dan PPBM selesai

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 16 MEI: Pendaftaran Pakatan Harapan (PAKATAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akhirnya selesai, selepas mendapat kelulusan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu berjaya diselesaikan, hari ini.

“Walaupun kita dihalang pada awalnya tetapi kini tidak lagi,” katanya pada Himpunan Merdeka Rakyat, di Padang Timur, di sini, hari ini.

Ketika menyentuh pembebasan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, Muhyiddin menyifatkan ia sebagai amat bermakna untuk rakyat dan negara.

Katanya, Anwar akan diangkat sebagai perdana menteri seperti diimpikan rakyat.

Categories
NASIONAL

Perbicaraan PAKATAN-ROS 5 April ini

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Mahkamah Tinggi menetapkan 5 April ini bagi perbicaraan permohonan Pakatan Harapan (PAKATAN) supaya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM atau ROS) menjawab permohonan mendaftarkan gabungan itu.

Ketua Biro Undang-Undang PAKATAN, Gobind Singh Deo berkata, gabungan itu sebagai pemohon, sementara ROS selaku responden dipanggil untuk pengurusan kes, di hadapan Yang Arif Datuk Azizah Nawawi, hari ini.

“Pemohon memohon satu tarikh perbicaraan awal memandangkan pilihan raya umum kian menjelang dan Parlimen akan bersidang sehingga 5 April ini.

“Mahkamah menetapkan 5 April 2018, pada jam 3 petang untuk bicara,” katanya.

Pemohon diwakili Michelle Ng, manakala Shamsul Bolhassan dari Kamar Peguam Negara hadir bagi pihak responden.

PAKATAN memfailkan permohonan berkenaan, pada 21 Februari lalu melalui Tetuan Gobind Singh Deo & Co.

PAKATAN menamakan Setiausaha Jawatankuasa Penaja, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Dr Shahruddin Md Salleh sebagai pemohon, manakala ROS sebagai responden.

Mereka memohon mendapatkan kebenaran bagi perisytiharan tindakan ROS tidak mendaftarkan PAKATAN sebagai pertubuhan berdaftar bercanggah dengan kewajipan statutori badan itu dan harapan sah mereka (pemohon).

Categories
NASIONAL

Pecat Abdul Khalid, ROS panggil PKR

SHAH ALAM, 20 OGOS: Pendaftar Pertubuhan (ROS) memanggil Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung pemecatan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada parti itu.
Pengerusi Lembaga Disiplin PKR , Datuk Dr Tan Kee Kwong, berkata pihaknya menerima faksimili daripada ROS, pada jam 3 petang semalam.
pengerusi lembaga disiplin pkrKatanya, beliau akan bertemu dengan pegawai ROS bersama ahli PKR yang juga Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa, pada 21 Ogos ini.
“ROS memanggil parti berhubung tuduhan salah laku Lembaga Disiplin dan kepimpinan pusat.
“Surat itu daripada Ketua Bahagian Penguatkuasaan ROS, ASP Akmal Yahaya,” katanya dipetik The Malaysian Insider, hari ini.
Categories
NASIONAL SELANGOR

Kenapa Hanya DAP, Kenapa ROS Tidak Bertindak Terhadap Umno?

PC Husam Musa Putrajaya Persint 9 01

PUTRAJAYA, 19 APRIL : Mengapa Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) tidak mengenakan sebarang tindakan terhadap Umno tetapi bercadang untuk mengambil tindakan terhadap DAP di saat Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semakin hampir?

Ini kerana Umno boleh diisytiharkan sebagai parti haram kerana hampir 75 peratus daripada belasan ribu cawangan Umno di seluruh Malaysia tidak pernah didaftarkan semula dengan ROS sejak parti itu diharamkan pada Februari 1988.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa berkata, walaupun rakyat Malaysia telah memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Jalan Duta bagi mengarahkan ROS untuk mengambil tindakan terhadap Umno tetapi kenapa hanya DAP sahaja yang disiasat.

“Pada hari Selasa lepas, petisyen telah difailkan oleh sebilangan rakyat Malaysia di Mahkamah Tinggi Jalan Duta untuk mengarahkan ROS untuk bertindak ke atas Umno.

“Kerana Umno sebenarnya dialah sebuah pertubuhan haram.

?Mengikut Akta Pertubuhan 1966 bila mana-mana cawangan sesebuah parti tidak berdaftar, dengan sendirinya pertubuhan itu adalah haram dan wajib bagi ROS bagi bertindak,” katanya dalam satu sidang media di bilik gerakan Pas Putrajaya di sini hari ini.

Husam berkata demikian apabila memberi respons terhadap keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada 17 Apr yang tidak mengikhtiraf jawatankuasa eksekutif baru DAP.

Keputusan tersebut telah menjejaskan kemampuan DAP untuk mempertandingkan calon di dalam pilihanraya umum ke ? 13 (PRU 13).

Sebelum ini, Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shahrin mendedahkan bahawa sebanyak 2,181 cawangan Umno di Kelantan termasuk di Tanah Merah, Jeli, Bachok, Tumpat, Kota Bharu adalah haram.

Menurut Badrul Hisham, melalui proses mahkamah, sebanyak 126 cawangan Umno di Tanah Merah didapati adalah cawangan yang tidak berdaftar dengan ROS.

Akan tetapi Umno Tanah Merah terus bermesyuarat dengan perwakilan daripada cawangan haram Umno (126 cawangan) dan perwakilan daripada mesyuarat haram tersebut telah menghantar perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno pada tahun itu (2008).

Husam berkata, Pas mengalu-alukan jika DAP mahu menggunakan logonya pada PRU-13 dan ini secara tidak langsung melambangkan persefahaman dan perpaduan di dalam Pakatan Rakyat (PR).

“Kita sangat mengalu-alukan, tertakluk kepada pilihan strategi DAP.

?Mereka boleh menggunakan loga Pas ataupun PKR dan ini melambangkan perpaduan di dalam Pakatan,” ujarnya yang merupakan calon Pas bagi kerusi Parlimen Putrajaya.

Categories
NASIONAL

Chegu Bard : 75 Peratus Cawangan Umno Haram

SAMM pc chegu bard badrul hisham 02

KUALA LUMPUR 31 MAC : Tahukah anda cawangan Umno di kawasan anda kemungkinan cawangan haram?

Ini kerana ia mungkin tidak didaftarkan semula dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) selepas parti itu diharamkan pada tahun Februari 1988.

Ketua Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin berkata hampir 75 peratus daripada belasan ribu cawangan Umno di seluruh Malaysia tidak pernah didaftarkan dengan ROS sejak bekas Umno Baru ditubuhkan pada tahun 1988.

Justeru, SAMM mengajak orang awam untuk menyertai kempennya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Umno dengan menyemak status cawangan Umno di tempat tinggal mereka dengan ROS.

Badrul Hisham berkata Umno merasakan mereka amat berkuasa, maka ribuan cawangan Umno di seluruh negara bertindak tidak mendaftarkan semula organisasi politik mereka seperti yang dikehendaki dalam Akta Pertubuhan 1966.

“Diyakini 3/4 daripada cawangan Umno seluruh negara adalah terdiri daripada cawangan haram, malah ada bahagian Umno juga yang terdiri dari bahagian tidak sah pendaftarannya,” katanya lagi.

Contohnya, pada tahun 2008 berlaku pergolakkan dalam Umno bahagian Tanah Merah, Kelantan di mana mereka yang mahu bertanding jawatan utama tidak membayar yuran dan terdiri daripada ahli dari cawangan haram.

“Ini diakui sendiri oleh Setiausaha Agung Umno (Tengku Adnan Tengku Mansor) sendiri dan Pendaftar Pertubuhan.

?Cuma kes di mahkamah dibuang kerana pengadu yang merupakan Ahli Umno telah dipecat melalui surat pemecatan yang telah di ‘back-dated’ kan.

?(Oleh itu) Pengadu telah hilang status sah (local standi) sebagai ahli Umno untuk membawa kes ke mahkamah,” katanya dalam satu sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Selangor Kuala Lumpur (KLSCAH) hari ini.

Menurut Badrul Hisham, melalui proses mahkamah, sebanyak 126 cawangan Umno di Tanah Merah didapati adalah cawangan yang tidak berdaftar dengan ROS.

Akan tetapi Umno Tanah Merah terus bermesyuarat dengan perwakilan daripada cawangan haram Umno (126 cawangan) dan perwakilan daripada mesyuarat haram tersebut telah menghantar perwakilan ke Perhimpunan Agung Umno pada tahun itu (2008).

“Impilikasinya Perhimpunan Agung Umno (PAU) pada tahun itu juga adalah haram kerana dihadiri perwakilan yang haram daripada cawangan Umno yang haram,” katanya lagi.

Katanya, sehingga sekarang lebih 2,181 cawangan Umno di Kelantan adalah haram termasuk di Jeli, Bachok dan Tumpat dan di Kota Bharu.

SAMM dan gabungan Blogger Revolusi 13 mengajak seluruh rakyat di negara ini untuk membantu mengumpulkan maklumat jumlah keseluruhan cawangan Umno yang tidak berdaftar untuk di bawa ke tindakan undang-undang.

“Anda boleh pergi ke Pejabat Pendaftaran Pertubuhan di negeri masing-masing, ambil borang Pertubuhan 27, isi dan buat carian cawangan Umno di tempat anda. Salurkan maklumat itu kepada kami untuk menolak organisasi haram sebagai pemerintah negara.

“Berdasarkan Seksyen 10 Akta Pertubuhan 1966 menyatakan semua warga Malaysia diberi hak untuk memeriksa dokumen pendaftaran mana?mana organisasi berdaftar di Malaysia kecuali beberapa dokumen sulit seperti laporan kewangan,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Ahli PBPM Dakwa Duit RM600,000 Pemberian KDN Lesap Dibawah Presiden Tidak Sah

bekas polis 3

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Ahli-ahli Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) kesal di atas tindakan penyelewengan geran berjumlah RM600,000 oleh Shafie Bakri kononnya menjawat jawatan Presiden PBPM pada ketika ini secara tidak sah.

Ini kerana Shafie sebelum ini didapati terlibat perlanggaran fundamental peruntukkan undang-undang kerana terlibat mengatur kehadiran ‘Perwakilan Haram’ dari Pulau Pinang yang hadir ke Perhimpunan Agung pada 24 Januari 2009 untuk mengundi dan memilih beliau sebagai Presiden sedangkan Pendaftar Persatuan Pulau Pinang  dibubarkan oleh ROS pada 25 Jun 2008.

Menurut Naib Presiden PBPM, Nasiruddin Mohamad, geran berjumlah RM600,000  dari Kementerian Dalam Negeri (KDN) ini diberikan hasil inisiatif mantan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mahmood Adam bertujuan menamatkan krisis PBPM tanpa melibatkan mahkamah

Keputusan yang dibuat ini dipersetujui oleh kedua-dua kumpulan bertelagah dalam satu Mesyuarat Jawatankuasa J3P (Pemutihan, Pemilihan dan pemantauan) yang dipengerusikan mantan Timbalan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Fuad Ab Aziz.

“Geran RM600,000 didapati lesap digunakan Shafie yang jelas tidak mematuhi keputusan Mesyuarat Jawatankuasa J3P tanpa pemantauan KDN yang telah bermesyuarat pada 9 Mac 2010.

“Beberapa laporan polis dibuat oleh PBPM di peringkat negeri ekoran penyelewengan geran untuk tujuan diadakan Mesyuarat Agung di semua peringkat di seluruh negara.

“Memorandum turut dihantar ke KDN dan SPRM supaya siasatan dilakukan mengenai penyelewengan yang dimaklumkan disalahguna seperti membuka syarikat, mengadakan majlis makan malam untuk berkempen dan membayar yuran peguam sehingga mencecah ratusan ribu supaya Shafie mengekalkan kuasa menggunakan mahkamah,” katanya.

Lebih mengejutkan dua Sijil Simpanan Tetap untuk Tabung Bangunan PBPM berjumlah RM221,418.07 turut hilang dan dicairkan sedangkan sijil asal berada di dalam simpanan PBPM.

Nasiruddin turut mempersoalkan apakah tindakan Shafie yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Jelebu ini mendapat ‘perlindungan politik dan campurtangan ghaib’ daripada agensi kerajaan atau dibenteng oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atau Penasihat Tabung Kebajikan Datuk Seri Utama Rais Yatim yang juga Ketua Umno Bahagian Jelebu.

“Mengapa wang rakyat RM500,000 untuk kegunaan kebajikan ahli PBPM diseleweng sebanyak RM200,000 yang kepimpinan mereka masih dipertikaikan kesahihannya sebagai peneraju PBPM tidak diambil tindakan segera oleh ROS? Jelas terbukti mereka menyalahi Undang-undang Persatuan dan Akta Pertubuhan 1966,” soal beliau.

Categories
NASIONAL

Elizabeth Mahu ROS Tarik Balik Surat Keterangan Suaram

SHAH ALAM, 9 NOV : Exco Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong Keat Ping akan mengambil tindakan mahkamah terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sekiranya agensi itu terus mendesak beliau untuk memberi keterangan berhubung kes Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

Adun Bukit Lanjan itu berkata, dia telah mengarahkan peguam Edmund Bon untuk menghantar surat penjelasan kepada ROS berhubung perkara itu.

“Saya menerima surat daripada ROS bertarikh 5 November 20102 lalu ditandatangani Penolong Pengarah (Bahagian Penguatkuasa), Asisten Superintenden Arsad Kamaruddin mengarahkan saya hadir memberi kenyataan lisan terhadap siasatan mengenai Suaram.

“Saya tidak akan menghadiri sesi temubual itu dan mengarahkan ROS menarik balik arahan diberikan itu.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap ROS sekiranya mereka gagal berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan media di sini semalam.

Elizabeth merupakan bekas aktivis Suaram.

Elizabeth yang juga Exco Plancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor mendakwa siasatan ROS itu hanya tercetus setelah Suaram mula mendedahkan kes salahguna kuasa di dalam pembelian dua kapal selam Scorpene bernilai 7.3 bilion.

Skandal pembelian senjata tersebut telah mengaibkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Kes tersebut kini dibicarakan di mahkamah Perancis.

Beliau mendakwa siasatan itu menunjukkan ROS dipergunakan untuk tujuan partisan Umno-BN.

“Saya dengan ini menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap Suaram dalam usaha meneruskan kes tersebut di mahkamah Perancis,” katanya.