Categories
SELANGOR

Pejabat Tanah Perlu Percepat Proses Hak Milik

SEMENYIH,6 MAC: Senarionya rumah sudah lama dibina, bergenerasi sudah mendiaminya, namun tanah itu masih tanah tumpangan kerajaan.

Disebabkan itulah penduduk Kampung Batu 3, Jalan Bangi mendesak agar proses pemberimilikan tanah tersebut dipercepatkan.

Menurut Ketua Kampung, Abdul Saman Kamid,60, sudah dua kali penduduk kampung mengemukakan permohonan tanah kerajaan tersebut melalui Pejabat Daerah Hulu Langat bagi Mukim Semenyih.

“Kali pertama ialah pada 2004, kemudian pada tahun 2009. Kos sudah melebihi RM 1,000 setiap penduduk tetapi tiada hasil lagi buat masa ini.

“Tetapi ini bukan soal wang semata tetapi lebih kepada usaha penduduk yang sekian lama bermastautin di sini untuk mendapat kebenaran mendiami di sini secara hitam putih,” ujar Saman sambil memberitahu terdapat lebih daripada 100 buah rumah di kampung tersebut di atas tanah berkeluasan lebih kurang 200 ekar.

Sehubungan itu, Saman mewakili penduduk di situ mendesak dan merayu pejabat daerah untuk mempercepatkan proses tersebut.

“Kebanyakan dari kami sudah berpuluh tahun tinggal di sini. Berapa lama lagi kami harus menanti, berapa generasi lagi kami perlu menunggu untuk mendapatkan hak kami.

“Kesemua proses yang diperlukan kita sudah penuhi. Jadi diharapkan pihak pejabat daerah boleh bekerjasama merealisasikan impian kami,” ujar Saman.

Sementara itu, Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat ketika diminta mengulas mengenai hal ini memberitahu beliau sendiri sudah menemui Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr, Xavier Jayakumar untuk berbincang hal ini.

“Namun apa yang kita dimaklumkan ialah proses itu tersangkut di Pejabat Daerah, maka ia tidak dapat diproses di peringkat Negeri.