Categories
AGENSI SELANGOR

Hijrah: Dana tambahan RM30 juta bantu usahawan

SHAH ALAM, 10 JAN: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) akan membantu usahawan kecil menerusi peruntukan tambahan RM30 juta daripada Kerajaan Negeri, kata ketua pegawai eksekutifnya.

Roslim Md Akhir berkata Hijrah menyasarkan 3,000 usahawan baharu pada tahun ini untuk terus memacu pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya, setakat ini pihaknya menyalurkan RM487 juta sejak 2015 hingga hari ini bagi membantu 48,151 peserta dalam usaha melahirkan usahawan berjaya di Selangor.

“Fungsi Hijrah sebagai pemberi modal perniagaan sangat bermakna dalam mencapai hasrat Kerajaan Negeri untuk meningkatkan sosio ekonomi Selangor.

“Kita akan meneruskan usaha membantu usahawan menerusi skim pinjaman mikrokredit bagi membolehkan golongan kelas menengah di Selangor ditambah,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, sehingga kini seramai 9,189 usahawan telah menyelesaikan pinjaman dan dijangka akan memohon pembiayaan semula.

Categories
SELANGOR

Hijrah serah pembiayaan RM991,000

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 13 APR: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menyerahkan pembiayaan pinjaman kepada 106 penerima membabitkan peruntukkan berjumlah RM991,000.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Roslim Md Akhir berkata, penerima itu terdiri daripada peminjam baharu dan pinjaman bermusim menjelang Ramadan dan Aidilfitri depan.

Katanya, pihaknya sentiasa komited membantu usahawan yang terdiri daripada peniaga kecil untuk terus menjana pendapatan dan melebarkan perniagaan.

“Bantuan ini menjadi suntikan dan motivasi kepada usahawan supaya lebih mampan, berdaya saing, inovatif dan kreatif.

“Dengan pembiayaan ini usahawan mencari peluang baharu atau mengembangkan perniagaan mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Bazar Usahawan Radia, di Bukit Jelutong, di sini.

Pada masa sama, Roslim berkata, Yayasan Hijrah Selangor sedia bekerjasama dengan pemaju perumahan atau agensi lain bagi menawarkan peluang dan ruang niaga kepada usahawannya.

Katanya, selain membuka peluang melebarkan perniagaan, usahawan turut dapat mempromosikan jenama tempatan.

“Seperti program Bazar Usahawan Radia di Bukit Jelutong ini, kita bekerjasama dengan dua pemaju gergasi iaitu Sime Darby Properties dan UEM Sunrise Berhad.

“Kami membawa usahawan Hijrah untuk berniaga di kawasan perumahan baharu dibuka ini dalam menarik pengunjung ke sini.

“Terima kasih kepada kedua-dua pihak kerana memberi peluang kepada usahawan kami mencipta pendapatan dan mempromosikan produk mereka,” katanya.

Hadir sama, EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha; Pengarah Wilayan Tengah 1 UEM Sunrise Berhad, Zulkifli Garib dan Ketua Operasi Kumpulan (Pembangunan Perbandaran) Sime Darby Properties, Dato’ Wan Hashimi Wan Ahmad Amin Jaffri.

Terdapat kira-kira 30 peniaga termasuk kenderaan saji menyertai program usahawan itu antaranya peniaga makanan, pakaian dan barangan spa dari jam 10 pagi hingga lima petang.

Turut diadakan bicara perniagaan ‘The Power of Entrepreneurism’ oleh Pengerusi GoHalal, Mohamed Hazil Mohamed Hussin.

Seramai 80 peserta menyertai perkongsian ilmu itu membincangkan teknik pemasaran digital dan terkini serta peluang ruang niaga serta pembiayaan modal.