Categories
SELANGOR

Roslinah: Memimpin organisasi bukan berasaskan gender

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 12 NOV: Tanggungjawab memimpin sebuah organisasi, pertubuhan atau daerah bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan komitmen yang tinggi untuk menjayakannya terutama jika dikepalai seorang wanita.

Namun, bagi Roslinah Md Jani, 42, perkara itu tidak menjadi halangan kepada dirinya untuk membuktikan bahawa faktor gender tidak menjadi masalah jika ingin menjadi pentadbir.

Mencipta sejarah sebagai Pegawai Daerah wanita pertama di Selangor, beliau menganggap kepercayaan itu adalah satu peluang yang tidak patut dilepaskan, bahkan membuka laluan kepada pegawai wanita lain untuk menduduki jawatan pelaksana dalam aspek pembangunan negeri.

Interview DO pertama Selangor SUK (1)“Untuk memimpin organisasi atau daerah adalah tanggungjawab yang berat tetapi dari aspek wanita dan lelaki itu sebenarnya kita saling melengkapi.

“Justeru, tidak perlu memperbesarkan isu berkenaan kerana sumbangan atau perkhidmatan itu sendiri adalah kerjasama antara semua pihak dan bukan disebabkan gender.

“Yang penting, cara melaksanakan kerja serta integriti yang menyumbang kepada kejayaan sesuatu organisasi,” katanya kepada Selangor Kini, di sini, hari ini.

Interview DO pertama Selangor SUK (3)Beliau yang akan menjawat posisi Pegawai Daerah Sepang berkuatkuasa 15 November ini memberi fokus untuk memantapkan organisasi di kawasan itu dalam usaha menjadikan kawasan berkenaan sebagai daerah yang makmur dan bebas daripada segala masalah.

Roslinah yang kini berkhidmat sebagai Timbalan Pegawai Kewangan Negeri di Pejabat Perbendaharaan Negeri turut berazam untuk melaksanakan tanggungjawab yang diberi dengan penuh amanah selepas diberi kepercayaan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohamed Khusrin Munawi.

“Saya berharap kehadiran sebagai pegawai daerah diterima dan akan mendapat bantuan nasihat serta kerjasama daripada warga kerja Pejabat Daerah/Tanah Sepang,” katanya.

-NFN-