Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PLUS buka semula medan selera R&R, ikut SOP ketat

KUALA LUMPUR, 11 FEB: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) membuka semula medan selera di kawasan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) termasuk dua restoran jejantas dan hentian sebelah di lebuh raya kendaliannya serta Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), bermula semalam.

PLUS dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembukaan semula ruang makan itu selari dengan pengumuman kerajaan berhubung kebenaran makan di restoran dengan tatacara operasi piawai (SOP) yang ketat berkuat kuasa semalam.

“PLUS menasihatkan pelanggan lebuh raya yang berhenti untuk menikmati makanan dan minuman di kawasan berkenaan agar mematuhi SOP yang ditetapkan iaitu hanya dua orang dibenarkan untuk satu meja makan dengan memastikan penjarakan fizikal satu meter.

“Semua kemudahan di R&R dan hentian sebelah seperti tandas awam dan surau dibuka 24 jam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini manakala restoran, gerai serta trak makanan dan minuman bergerak termasuk kedai serbaneka beroperasi mulai 6 pagi hingga 10 malam,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, prapesanan menerusi aplikasi PLUS juga digunakan dalam usaha membantu rakan niaga menerima tempahan daripada pelanggan dan ia boleh dimuat turun secara percuma melalui google Play Store atau App Store.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

R&R tetap dibina tetapi berubah lokasi ke Sungai Air Tawar

SHAH ALAM, 14 JULAI: Pembinaan salah satu hentian rehat dan rawat (R&R) Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) diubah lokasinya ke Sungai Air Tawar, Sabak Bernam.

Dato’ Menteri Besar berkata perubahan tersebut dari lokasi asal di Taman Air Manis terpaksa dilakukan kerana kawasan itu akan dibina dengan beberapa bangunan.

“Bagaimanapun, R&R tetap dibina tetapi ia terletak di Sungai Air Tawar kerana sesuai dengan keperluan WCE,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Rizam Ismail pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Amirudin turut menjelaskan projek perumahan di Taman Air Manis, Pancang Bedena, Sabak Bernam dilaksanakan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

“Projek ini sedang dipulihkan dan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu mereka menguruskan proses dokumentasi,” katanya.

Pada 7 Mei lalu, isu projek perumahan berkeluasan 10 hektar yang dirancang sejak 2011 itu dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) bagi sesi pendengaran awam.

Categories
AGENDA NASIONAL

Boleh singgah R&R mulai hari ini, tapi perlu ikut SOP

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Bagi yang merancang perjalanan rentas negeri mulai hari ini, mereka boleh singgah berehat dan menunaikan solat di surau yang disediakan di kawasan rehat dan rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya menuju ke destinasi masing-masing.

Bagaimanapun, pembukaan itu tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan termasuk mengamalkan disiplin diri dan penjarakan sosial.

Ini susulan pengumuman Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengenai pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa hari ini, menyaksikan lebih banyak kelonggaran diberi sehingga 31 Ogos.

Sebelum ini, rakyat Malaysia bukan sahaja tidak boleh merentas negeri tanpa kebenaran pihak berkuasa, malah pelbagai aktiviti tidak dapat dilakukan sebagai usaha kerajaan dalam mengekang penularan pandemik Covid-19.

Turut diumumkan, restoran, gerai makan, semua perniagaan menjual makanan, kedai serbaneka dan runcit, yang sebelum ini hanya dibenarkan beroperasi sehingga 10 malam, kini dibenarkan sehingga 12 tengah malam.

Seorang pengunjung mengambil peluang membeli-belah setelah kerajaan membenarkan hampir semua sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan beroperasi semula pada 4 Mei 2020 mengikut SOP ketat. Foto BERNAMA

Kepada ibu bapa pula, mereka boleh menghilangkan kebosanan anak-anak yang ‘terkurung’ hampir tiga bulan di rumah dengan beriadah di Zoo Negara dan zoo lain kerana premis berkenaan sudah dibenarkan beroperasi.

Namun, dalam keterujaan mengunjungi premis dibenarkan, rakyat Malaysia bukan sahaja perlu mematuhi SOP ditetapkan malah mereka perlu beringat bahawa segala aktiviti dilakukan adalah di bawah pemantauan pihak berkuasa.

Menurut Ismail Sabri, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpukan pemantauan kepada pematuhan SOP di premis perniagaan dan kawasan awam selaras penguatkuasaan PKPP.

Malah, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador turut dilaporkan berkata orang ramai yang dilihat tidak mematuhi SOP masih boleh dikenakan tindakan kompaun.

Dalam perkembangan lain, setakat 12 tengah hari semalam, Malaysia mencatat kes Covid-19 satu angka, untuk dua hari berturut-turut dengan tiada kes penularan dalam negara melibatkan kalangan warganegara.

Namun, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tidak pernah jemu mengulangi pesanan agar rakyat negara ini sentiasa mematuhi SOP, mengamalkan normal baharu selain menjaga kebersihan diri masing-masing.

Ini sebagai menghargai penat lelah barisan hadapan yang selama ini bertungkus lumus membantu merealisasikan usaha kerajaan memutuskan rantaian jangkitan untuk memastikan negara bebas Covid-19.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Peniaga di R&R dikecualikan bayar sewa enam bulan

SHAH ALAM, 31 MAC: Peniaga di hentian Rehat dan Rawat (R&R) di lebuh raya dikecualikan daripada membayar sewa selama enam bulan, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media di Putrajaya, hari ini berkata perkara itu berdasarkan persetujuan pihak pengurusan lebuh raya berkaitan.

“Berita baik untuk peniaga, walaupun tidak banyak kenderaan yang melalui lebuh raya kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun nasib mereka tetap dibela.

“Kerajaan berterima kasih atas keprihatinan syarikat ini dan berharap ramai lagi akan tampil kehadapan memberi bantuan,” katanya.

Lapan lebuh raya itu ialah Lebuhraya Utara Selatan (Plus), ANIH Berhad, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) dan Lebuhraya Maju Expressway (MEX).

Turut terlibat Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Kelang Sdn Bhd (Prolintas), Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuh Raya Cheras-Kajang (Grand Saga) dan Lebuhraya Pintas Selat Kelang Utara Baru (Grand Sepadu).

Pengecualian diberi susulan keputusan kerajaan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April untuk mengekang penularan Covid-19.

Categories
NASIONAL

Seremban arah utara dinobat R&R terbaik 2019

OLEH AFIX REDZUAN

SETIA ALAM, 18 APRIL: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menobatkan kawasan rehat dan rawat (R&R) Seremban arah utara sebagai R&R terbaik tahun ini.

Perkara itu diumumkan pada Persidangan Rakan Niaga PLUS 2019 dan pelancaran Program Insentif Rakan Niaga (BPIP), di Pusat Konvensyen Setia Alam, hari ini.

Anugerah berkenaan disampaikan Pengarah Urusannya, Datuk Azman Ismail, kepada Penghulu R&R Seremban arah utara, Mohd Nazim Mail yang membawa pulang wang tunai RM10,000 dan sijil penghargaan.

Azman dalam ucapannya bekata, PLUS akan terus komited memberikan perhatian kepada rakan niaga dalam merealisasikan matlamat syarikat untuk menjaga pelanggan lebuh raya di setiap langkah sepanjang perjalanan mereka.

Kedudukan ini juga termasuk dengan pengenalan lima rakan niaga baharu daripada jenama produk makanan terkenal iaitu Sushi King, My Laksa, Bon 900 Cafe, Daily Fresh dan Family Mart.

Secara keseluruhan, PLUS mempunyai lebih 450 rakan niaga dengan 20 jenama produk makanan terkenal yang mula beroperasi di R&R dan hentian.