Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar boleh jangkit Covid-19 meningkat semula, KKM pantau hospital seluruh negara

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memantau hospital-hospital di seluruh negara susulan indikator kadar kebolehjangkitan Covid-19 (R-Naught) Malaysia meningkat kepada angka 1.0, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Khairy dalam ciapan menerusi akaun Twitter rasminya semalam turut menggesa individu yang telah diberi temu janji dos penggalak Covid-19, agar mengambil dos berkenaan.

“Warga emas, jika boleh, perlu mengelakkan tempat yang sesak. Amalkan #TRIIS (lakukan uji, lapor, asingkan, maklumkan, dapatkan rawatan segera),” ciap beliau.

Nilai R-Naught merujuk kepada tahap keberjangkitan kes Covid-19, iaitu berapa banyak kes yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.

Sementara itu Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam catatan di akaun Twitter beliau menyifatkan peningkatan semula kadar kebolehjangkitan bermakna kes harian semakin mendatar.

“Kebimbangan kita (Kementerian Kesihatan) adalah jika ia (kes harian) kembali meningkat,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menggesa orang ramai supaya mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dan kumpulan rentan dinasihatkan supaya mendapatkan segera dos penggalak apabila janji temu diberi.

Beliau turut melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes positif Covid-19 negara selama empat hari berturut-turut apabila sebanyak 6,323 kes baharu Covid-19 dicatatkan Khamis.

Sebelum itu, kes harian Covid-19 di Malaysia menunjukkan trend penurunan dengan 4,343 kes baharu dicatat pada Ahad sebelum ia meningkat semula mulai Isnin sehinggga semalam.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 di Selangor antara terendah

SHAH ALAM, 5 Ogos: Kadar kebolehjangkitan (RT) Covid-19 di Selangor setakat semalam adalah yang ke-11 dalam negara meskipun lebih 8,000 kes dilaporkan.

Ketua pengarah kesihatan berkata kadar RT di Selangor adalah 1.08 iaitu lebih rendah jika dibanding Kelantan, Terengganu dan Perak.

“Berdasarkan data terkini pada 4 Ogos 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.07. Negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Kelantan (1.31) diikuti oleh Terengganu (1.26), dan Perak (RT 1.22).

“Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Negeri Sembilan, Perlis, dan Wilayah Persekutuan Labuan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan, hari ini.

Menerusi perkongsian jadual nilai RT negeri-negeri lain adalah Pahang (1.22), Pulau Pinang (1.19), Sabah (1.17), Kedah (1.16), Johor (1.14), Kuala Lumpur (1.13), Sarawak (1.11), Putrajaya (1.08) dan Melaka (1.06).

Sementara itu, menerusi kenyataan sama, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 164 kematian dilapor hari ini dengan angka korban akibat Covid-19 paling ramai di Selangor dengan 45 kematian.

Katanya, daripada 164 kematian, sebanyak 22 kes melibatkan kematian sebelum tiba ke hospital (BID) dengan jumlah tertinggi adalah di negeri ini dengan sembilan kes.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kadar boleh jangkitan Covid-19 turun lima hari berturut-turut

SHAH ALAM, 3 JUN: Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 di seluruh negara mencatatkan penurunan dalam tempoh lima hari berturut-turut mulai Sabtu.

Rekod ketua pengarah kesihatan di Facebook menunjukkan kadar terbabit yang mencatat 1.06 semalam, merosot daripada 1.16 pada 29 Mei dan 1.12 (30 Mei).

Pada 31 Mei, nilai Rt merekodkan kadar 1.09 manakala kelmarin 1.07.

Mengikut data Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, hanya Johor mencatatkan Rt bawah nilai kebangsaan dengan 1.04, manakala Kedah merekodkan kadar sama 1.06.

Labuan pula mendahului negeri lain dengan kadar 1.49, disusuli Negeri Sembilan (1.24), Sabah (1.21), Melaka (1.19), Perlis (1.18) dan Pahang (1.13).

Pulau Pinang dan Kelantan masing-masing 1.12, Perak (1.11) sementara Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Terengganu serta Sarawak (1.09).

Jumlah jangkitan harian Covid-19 naik 600 kes lagi kepada 7,703 kes semalam dengan Selangor kekal merekodkan kes tertinggi sebanyak 2,728 kes.

Jumlah kematian turut meningkat kepada 126 kes, rekod tertinggi sejak penularan pandemik.

Sumber Facebook Dr Noor Hisham Abdullah
Categories
AGENDA NASIONAL

Kadar boleh jangkit Covid-19 naik, Terengganu tertinggi

SHAH ALAM, 12 APRIL: Kadar kebolehjangkitan Covid-19 (Rt) mengikut kes seharian di seluruh negara meningkat semalam kepada 1.06.

Pada Jumaat, Rt merekodkan nilai sama iaitu 1.06 sebelum menurun kepada 1.03 pada Sabtu.

Berdasarkan data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook,
Terengganu mencatat kadar boleh jangkit tertinggi iaitu 1.56.

Putrajaya pada kedudukan kedua merekod 1.34, Sabah (1.21), Kelantan (1.15), Sarawak (1.08), Melaka (1.08), Perak (1.07) dan Kedah (1.06).

Kuala Lumpur dan Labuan masing-masing 1.05 sementara Selangor 1.02.

Tiga negeri yang merekodkan Rt bawah satu ialah Pulau Pinang dan Pahang, masing-masing 0.96 dan Johor (0.88).

Nilai Rt terendah yang pernah dicatat negara ini ialah 0.81 pada 3 Mac lalu.

Kementerian Kesihatan sebelum ini menjangka negara mencapai kadar Rt kurang 1.0 menjelang Mei.

Sumber Facebook Noor Hisham Abdullah
Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Perak catat kadar kebolehjangkitan paling tinggi

KUALA LUMPUR, 21 FEB: Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 mengikut kes harian untuk seluruh negara hari ini berada di tahap 0.90, dengan Perak mencatat Rt tertinggi pada 1.93.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi infografik yang dikongsikan di akaun Twitter beliau memaklumkan, Kelantan merekodkan nilai Rt kedua tertinggi pada 1.13 diikuti Negeri Sembilan (1.03) dan Kedah (1.0).

Negeri lain yang mencatat bacaan di bawah satu ialah Sarawak (0.99), Johor (0.91), Selangor dan Pulau Pinang (masing-masing 0.89), Perlis (0.86), Putrajaya (0.84), Terengganu (0.83), Kuala Lumpur (0.82), Sabah (0.79), Pahang (0.76), Labuan (0.66), manakala Melaka (0.65).

Hari ini, kes baharu positif pandemik Covid-19 merekodkan empat angka dengan 3,297 kes, selain lima kematian dilaporkan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Johor catat kadar kebolehjangkitan tertinggi – KKM

KUALA LUMPUR, 4 FEB: Johor mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) harian tertinggi di negara ini iaitu pada 1.18 setakat semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Berdasarkan infografik yang dikongsikan menerusi akaun Twitter beliau, Kuala Lumpur merekodkan Rt kedua tertinggi pada 1.12, diikuti Labuan (1.11), Terengganu dan Selangor masing-masing mencatatkan 1.10 manakala Sarawak (1.03) dan Pahang (1.01).

Negeri-negeri lain mencatatkan bacaan di bawah satu iaitu Perak 0.99, Melaka (0.96), Kedah dan Pulau Pinang (0.93), Putrajaya (0.90), Negeri Sembilan dan Sabah (0.89), Perlis (0.82) dan Kelantan (0.84).

Rt untuk seluruh negara pula ialah 1.09, katanya.

– BERNAMA