Categories
AGENDA NASIONAL

Tengku Permaisuri cemar duli baca berita sempena ulang tahun RTM

SHAH ALAM, 1 APRIL: Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor mencemar duli membaca berita perdana sempena ulang tahun Radio Televisyen Malaysia (RTM) ke-75.

Tengku Permaisuri Norashikin tampil kira-kira 15 minit dalam slot khas pada jam 8 malam yang menyampaikan berita berkaitan isu semasa negara, lapor Astro Awani.

Sementara itu, Penerbit Berita Perdana Khas Khairul Azli Rahim berbesar hati dan teruja atas kesudian Baginda menyampaikan berita yang disunting olehnya.

“Ini kemunculan kali pertama Baginda di kaca televisyen selepas ditabalkan menjadikan Permaisuri Selangor selepas lima tahun lalu.

“Saya mewakili pihak produksi dan kru penerbitan berita RTM mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudian baginda meluangkan masa untuk menyampaikan berita kami hari ini,” katanya.

Tatarias wajah dan busana Tengku Permaisuri Norashikin disediakan oleh Unit Imej dan Solek RTM.

Baginda yang pernah berkhidmat bersama RTM dinobatkan sebagai Penyampai Berita TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa pada 2005.

Categories
AGENDA NASIONAL

Hari Kebangsaan: Sambutan norma baharu catat sejarah, teknologi 3D CGI

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini pastinya melakar sejarah baharu kepada rakyat Malaysia apabila buat julung kalinya, acara perbarisan dan perarakan mengikut norma baharu akan disiarkan melalui saluran televisyen.

Setiausaha Bahagian Kanan (Pengurusan) Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Mohammad Diah Wahari berkata acara itu akan dirakam lebih awal secara berasingan bagi setiap kontinjen yang dikenal pasti bertujuan mengurangkan perhimpunan ramai selain memastikan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan pandemik COVID-19 dipatuhi.

“Tahun ini, kerajaan tidak akan mengadakan sebarang acara perbarisan dan perarakan seperti sebelum ini. Acara kali ini akan diadakan di Dataran Pahlawan, Putrajaya dengan keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi memeriksa kawalan kehormat utama.

“Seterusnya baginda akan mencemar duli menyaksikan siaran langsung yang akan disediakan pihak Radio Televisyen Malaysia (RTM),” katanya selepas menjadi tetamu program @Radio di Bernama Radio bertajuk Bulan Kebangsaan 2020 ‘Malaysia Prihatin’ hari ini.

Memperincikan sambutan bertema Malaysia Prihatin itu, Mohammad Diah berkata RTM diberi tanggungjawab menyunting rakaman menggunakan teknologi realiti gabung yang terdiri daripada realiti terimbuh dan teknologi 3D CGI (Imej Janaan Komputer).

Beliau mengajak rakyat untuk bersama-sama meraikan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-63 dengan menonton siaran RTM agar turut merasai kemeriahannya walaupun tidak dapat menyaksikan perarakan kontinjen beruniform, aset keselamatan dan persembahan acara simbolik secara langsung di lokasi.

“Sebagai rakyat Malaysia, marilah kita bersama-sama memeriahkan sambutan dengan norma baharu walau di mana sahaja kita berada tanpa mengira umur, bangsa dan agama. Hargailah perjuangan pejuang terdahulu memperjuangkan kemerdekaan negara,” katanya.

Mohammad Diah turut mengajak rakyat negara ini mengibarkan Jalur Gemilang di kediaman masing-masing selain menyertai pelbagai program kenegaraan anjuran KKMM, Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) dan RTM sebagai tanda patriotik kepada negara.

Mengulas mengenai program kenegaraan, beliau berkata antara yang sedang dan akan diadakan ialah Merdeka@Komuniti, Sayembara Sajak Merdeka, pertandingan fotografi Klik@Merdeka 2020, Webinar Rukun Negara, e-Treasure Hunt, Kapsul ‘Terima Kasih Hero’ dan konsert Kita Merdeka 1957-2020.

Sambutan kali ini menyaksikan logo berbentuk hati menjadi pilihan selepas kali terakhir ia digunakan pada 2016 dengan warna bendera Jalur Gemilang menjadi latarnya, yang melambangkan keprihatinan kerajaan Malaysia terhadap masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Logo dan tema Hari Kebangsaan diperkenal ketika Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Julai lalu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Program TV Pendidikan di RTM bermula 6 April

PUTRAJAYA, 4 APRIL: Program TV Pendidikan diperkenalkan melalui Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk membolehkan pelajar mendapat akses kepada bahan pembelajaran melalui platform alternatif terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM dalam kenyataan hari ini berkata program itu mula bersiaran pada 6 April ini menerusi saluran TV Okey, iaitu satu daripada saluran RTM.

Sebagai permulaan, KPM berkata program itu disiarkan selama dua jam pada 9 hingga 10 pagi dan 1 hingga 2 petang pada setiap hari sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.

Kementerian itu berkata slot TV pendidikan dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu merupakan tambahan kepada siaran EduwebTV yang pada ketika ini dilaksanakan oleh KPM secara web streaming.

“Melalui kerjasama ini, KPM menyediakan rancangan berbentuk pembelajaran bersesuaian untuk disiarkan oleh RTM.

“Dengan ini, pelajar yang tidak mendapat capaian internet tidak ketinggalan dan masih boleh mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah melalui televisyen,” katanya.

KPM berkata jadual rancangan boleh didapati dengan melayari portal rasmi KPM di www.moe.gov.my atau di media sosial rasmi KPM iaitu Facebook, Instagram dan Twitter @KemPendidikan.

“Slot ini boleh ditonton secara percuma menerusi saluran 110 MyFreeview TV. Selain itu, siaran ini juga boleh ditonton menerusi saluran 146 di ASTRO dan ASTRO NJOI,” katanya.

KPM berkata bagi pelajar yang mempunyai capaian internet, siaran itu boleh ditonton melalui laman sesawang www.myklik.rtm.gov.my secara web streaming.

“KPM berharap usaha ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar, guru dan ibu bapa bagi memastikan proses pembelajaran pelajar dapat diteruskan dengan efektif dan menarik walaupun dalam keadaan yang mencabar ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Beri ruang SPRM siasat dua pegawai RTM

KUALA LUMPUR, 14 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi ruang untuk menjalankan siasatan berhubung dua pegawai kanan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang direman bagi membantu siasatan berhubung penggunaan dana sebuah institusi zakat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu pada 12 Oktober lalu.

“Jadi biar mereka buat siasatan dan saya akan bincang dengan pegawai-pegawai di RTM (mengenai perkara itu),” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Dua pegawai kanan RTM itu dilaporkan direman sembilan hari sehingga 15 Oktober bagi membantu siasatan berhubung apa yang disyaki salah guna dana Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya semalam berkata, kedua-dua pegawai wanita berusia 37 tahun dan 40 tahun itu antara tiga individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes berkenaan pada 7 Oktober lalu.

Seorang lagi dibebaskan selepas keterangannya diambil.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Program agama di RTM tidak dikurangkan

KUALA LUMPUR, 26 DIS: Jabatan Penyiaran Malaysia menafikan dakwaan program keagamaan yang bersiaran di Radio Television Malaysia (RTM) akan dikurangkan mulai tahun depan.

Menerusi satu kenyataan hari ini, jabatan itu menegaskan program agama yang kini bersiaran di RTM tidak akan dikurangkan kerana ia mendapat sambutan yang amat baik daripada penonton.

“RTM juga tidak menyekat penyampai berita dan hos program memakai tudung. RTM amat kesal dengan tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan berita yang tidak tepat ini,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu merujuk kepada laporan di media sosial yang mendakwa program keagamaan di RTM akan dikurangkan 20 peratus mulai tahun depan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

KKMM bakal sekat video pornografi

OLEH SHEEDA FATHIL

KUALA LUMPUR, 10 JULAI: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan menyekat video berbentuk pornografi daripada menular, dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menterinya, Eddin Syazlee Shith berkata, sekatan itu menjadi salah satu perkara utama yang sedang diperjuangkan kerajaan baharu kini.

“Sekatan ini akan turut mendapat kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia dan Polis DiRaja Malaysia.

“Bila ia mula disekat akan diumum kelak dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian pada Majlis Konsert Kenangan Lalu Mestika D’Klasik sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2018, di Angkasapuri Radio Televisyen Malaysia (RTM), di sini, hari ini.

Majlis turut meraikan tiga pegawai RTM yang akan bersara iaitu mantan Ketua Pengarah Penyiaran, Dato Abu Bakar Ab Rahim; mantan Timbalan Ketua Pengarah Operasi Penyiaran, Magli Alias dan mantan Pengarah Bahagian Khidmat Pengurusan, Azman Abdullah.

Eddin berkata, walaupun tidak berpeluang bekerjasama dengan pegawai terbabit, namun beliau mengucapkan terima kasih atas perkhidmatan cemerlang sepanjang melaksanakan tugas, di RTM.

“Diharap perjuangan dan usaha mereka yang baik di RTM akan diteruskan anda semua,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, RTM adalah entiti penting dalam KKMM dan menghubungkan informasi kepada rakyat serta lidah rasmi kerajaan yang perlu diperkasakan dengan merakyatkan saluran media itu.

Katanya, walaupun berusia 72 tahun, RTM masih kekal relevan dan mampu berkembang ke tahap lebih cemerlang serta beliau komited membantu perkembangan organisasi dan transformasi stesen berkenaan.

“Bagi saya, RTM amat dekat di hati kerana saya membesar dengan mengikuti perkembangan semasa yang disajikan melalui berita dan program disiarkan.

“Saya yakin transformasi itu akan dapat mengukuhkan lagi kedudukan RTM sebagai penyiar rasmi kerajaan, sekali gus meningkatkan daya saing dan produktiviti warga kerjanya,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Pilah.

Terdahulu, Majlis Konsert Kenangan Lalu Mestika D’Klasik turut menampilkan persembahan daripada artis terkemuka tanah air antaranya Hazami, Ernie Zakri, Hael Husaini dan Nassier Wahab.

Pada majlis sama, RTM turut meraikan anak Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang pernah mengalami kebakaran sehingga meragut nyawa beberapa pelajar sebelum ini.

Categories
NASIONAL

Tawaran 10 Minit Rais Yatim Tidak Adil

anwar mb pc pkr hq 01

PETALING JAYA 26 MAC : Pakatan Rakyat mengumumkan pendirian rasmi parti kompenan itu yang sebulat suara menolak tawaran muncul di RTM selama 10 minit untuk menjelaskan manifesto Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tawaran 10 minit yang diberikan oleh Menteri Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, Datuk Seri Rais Yatim dilihat memperolokkan sistem demokrasi dan kebebasan media.

Tawaran Rais dikatakan tidak adil kerana gagasan Umno-BN diberikan 23 jam 50 minit untuk mempromosikan dasar-dasar mereka menerusi rangkaian media kerajaan itu.

“Umno-BN diberikan 23 jam 50 minit, sedangkan PR hanya 10 minit, itu pun belum tentu ia disiarkan semua atau penuh.

“Jika mereka memberikan ruang yang adil dan media yang bebas atau semangat yang merujuk ke arah itu, pasti kami akan mempertimbangkannya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Sehubungan itu, Anwar berkata PR membuat keputusan untuk bergerak pantas dalam kempen PRU 13 bagi membincangkan program bersama dengan negeri PR.

Katanya, PR akan menampilkan pimpinan PR dalam program-program itu bagi menangkis tohmahan fitnah yang dilemparkan oleh Umno-BN.