Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga bomba kena renjatan elektrik padam rumah atas air terbakar

KOTA KINABALU, 16 MEI: Kira-Kira 15 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Meruntum, Lok Kawi semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah Mohd Ali Ismail berkata kejadian dipercayai bermula pada 5.30 petang dan pihaknya menerima laporan kira-kira 10 minit selepas itu sebelum api berjaya dikawal pada 8.01 malam ini.

Beliau berkata tiga anggota bomba mengalami kecederaan selepas terkena renjatan elektrik ketika menjalankan operasi memadam kebakaran itu.

“Ketiga-tiga anggota itu mengalami kecederaan tidak serius dan sudah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I serta Hospital Queen Elizabeth II untuk rawatan lanjut, mereka berada dalam keadaan stabil.

“Setakat ini, kita tengok 15 buah rumah terlibat tetapi kita akan buat pemeriksaan lagi tengok kerosakan semua, selepas ini kita akan memadam sisa-sisa yang terbakar sebelum menyiasat punca kebakaran itu,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.

Mohd Ali berkata seramai 25 anggota dan lima jentera dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran daripada Balai Bomba Kota Kinabalu, Penampang dan Lintas dengan dibantu pasukan bomba Angkatan Tentera Malaysia dari Kem Lok Kawi yang terletak berhampiran kawasan kejadian.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Hampir 30 rumah atas air di Pulau Gaya terbakar

KOTA KINABALU, 11 MAC: Hampir 30 rumah atas air di Kampung Lok Urai, Pulau Gaya dekat sini musnah dijilat api dalam kejadian dipercayai bermula sekitar 8.30 malam ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah ketika dihu\bungi mengesahkan perkara berkenaan dan kerja-kerja memadam kebakaran masih berjalan ketika ini.

“Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan penduduk bertindak menyelamatkan diri dengan terjun ke laut…punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Beliau berkata pasukan JBPM Sabah menghantar pasukan daripada tanah besar dengan menggunakan bot untuk menjalankan tugas memadam kebakaran dan menyelamat mangsa.

Terdahulu, tular beberapa gambar serta video dikongsi netizen di laman sosial keadaan api yang marak itu dapat disaksikan dari pinggir pantai Kota Kinabalu.

Pulau Gaya boleh diakses dengan menggunakan bot dari tanah besar di sini dengan perjalanan sekitar 15 hingga 20 minit bergantung kepada keadaan cuaca dan laut.

– BERNAMA