Categories
AGENDA NASIONAL

Ramai setuju mansuh jarak di rumah ibadat, namun perlu ikut SOP asas

KUALA LUMPUR, 8 MAC: Aktiviti solat jemaah di masjid atau surau dan upacara sembahyang di rumah ibadat bukan Islam boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal yang diumumkan semalam, rata-rata diterima baik masyarakat.

Bagaimanapun, mereka menyarankan agar tatacara operasi piawai (SOP) asas dikekalkan apabila Malaysia memasuki fasa ‘Peralihan ke Endemik’ bermula 1 April ini.

Ahli Dewan Negara Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad berkata kerjasama Pihak Berkuasa Agama Negeri untuk mengekalkan SOP asas seperti pemakaian pelitup muka dan sanitasi tangan merupakan langkah pencegahan Covid-19.

“Jika diteliti apa yang telah diamalkan di negara-negara dunia dalam kalangan negara umat Islam, usaha merapatkan saf telah pun dijalankan sebagaimana yang telah dilaksanakan di Arab Saudi baru-baru ini,” katanya dalam ciapan Twitter beliau hari ini.

Zulkifli yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata hukum penjarakan sebelum ini adalah ketika Covid-19 sedang memuncak dan kadar vaksinasi masih rendah, namun apabila keadaan sebaliknya berlaku, wajarlah hukum penjarakan ketika solat disemak semula dan dipertimbangkan untuk dimansuhkan.

Pengerusi Surau Ar-Rahmah Seksyen 8 Shah Alam, Selangor Ab Halim Ab Rahman berkata pihaknya terbuka untuk menerima aktiviti solat tanpa penjarakan fizikal, bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan Kerajaan Negeri.

“(Kerajaan Persekutuan) mesti (sudah) lakukan kajian, justifikasi dan sebagainya dan kita akur. Jika kerajaan negeri buat SOP yang lebih ketat daripada yang dibenarkan iaitu penjarakan satu meter, saya tiada bantahan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Sementara itu, Presiden Malaysia Hindu Sangam Datuk R.S. Mohan Shan berkata walaupun negara akan memasuki fasa peralihan ke endemik, adalah penting agar SOP seperti penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka terus dipatuhi.

“Sebagai presiden, saya secara peribadi ingin menasihatkan pengurusan kuil untuk terus mematuhi peraturan tertentu sebagai langkah pencegahan virus yang membawa maut ini walaupun telah lengkap vaksinasi. Kita perlu menjaga diri sendiri dahulu dan saya rasa SOP ini masih diperlukan dalam cara tertentu di kuil bagi memastikan penganut dapat melakukan ibadah mereka dengan selamat.

“Saya menyokong cadangan perdana menteri mengenai pemansuhan penjarakan fizikal bagi aktiviti di rumah ibadat, yang saya percaya keputusan itu dibuat dengan melihat kepada banyak aspek,” katanya kepada Bernama.

Presiden Kuil Sri Subramaniam Swamy Batu Gajah Dr Subramaniam Suppiah pula berkata kita tidak boleh selesa dengan peraturan baharu itu, malah perlu lebih berhati-hati dan mematuhi SOP.

“Masih ada orang yang menderita daripada virus Covid-19 ini dan saya ingin menyarankan kepada semua agar terus mengikut peraturan dan garis panduan untuk kekal selamat dan berhati-hati dengan virus ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis Shah Alam terima aduan rumah ibadat langgar SOP

SHAH ALAM, 23 JUN: Polis Shah Alam menerima aduan rumah ibadat selain Islam yang cuba mengadakan upacara tanpa mengikut tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berikutan itu, Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata pasukan pemantauan Covid-19 digerakkan ke kawasan terbabit untuk menjalankan pemeriksaan.

“Bagaimanapun, pemantauan mendapati setiap rumah ibadat mengikuti SOP ditetapkan dan setakat ini tiada sebarang kompaun dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memberi kerjasama dan mematuhi SOP bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan tiada aktiviti keagamaan di rumah ibadat sepanjang PKP. Hanya 12 ahli jawatankuasa dibenarkan hadir tanpa melibatkan penganut lain.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Masjid, surau Sungai Air Tawar dapat bantuan RM1,000

SHAH ALAM, 25 APRIL: Sebanyak 54 surau dan 15 masjid di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar menerima bantuan kewangan daripada Kerajaan Negeri RM1,000 semalam.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Ir Izham Hashim berkata sumbangan berkenaan untuk membantu pengurusan rumah ibadat melaksanakan aktiviti sepanjang Ramadan.

“Semoga sumbangan ini memudahkan pengurusan rumah ibadat berkenaan untuk mengimarahkan masjid dan surau sepanjang bulan Ramadan.

“Selain itu, kita turut mengagihkan beberapa kotak kurma,” katanya menerusi Facebook.

Pada majlis sama Izham turut menyampaikan Baucar Skim Mesra Usia Emas kepada pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung di DUN Sungai Air Tawar untuk diagihkan kepada penerima layak.

Beliau berharap sumbangan itu sedikit sebanyak memberi manfaat kepada penduduk DUN tersebut.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

STFC saran lima garis panduan cegah Covid-19 di rumah ibadat

SHAH ALAM, 28 MAC: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menyarankan beberapa garis panduan susulan kebenaran pembukaan rumah ibadat di negeri ini.

Anggotanya Dr Siti Mariah Mahmud berkata pengurusan rumah ibadat selain Islam perlu mengamalkan lima langkah mengekang perebakan wabak meliputi:

1. Lindungi warga emas atau orang tua
– Menyediakan tempat khusus kepada golongan berisiko tinggi berumur 60 tahun ke atas, penjarakan fizikal dua meter, memakai pelitup muka dan memastikan sistem pengudaraan berfungsi dengan elok.

2. Menambah sesi upacara rumah ibadat
– Memendekkan waktu setiap sesi upacara serta mengehadkan jumlah kehadiran berbanding sesi panjang melibatkan jumlah kehadiran yang ramai termasuk melakukan proses sanitasi setiap kali sesi berakhir.

3. Manfaat ruang atau tempat terbuka
– Covid-19 mudah merebak di tempat padat, sesak dan tertutup, justeru pengurusan rumah ibadat perlu kreatif untuk menempatkan pengunjung.

4. Langkah pencegahan di kawasan pengudaraan tertutup
– Menambah baik sistem pengudaraan dengan membuka tingkap dan pintu, melaksanakan penjarakan fizikal dua meter serta memakai pelitup muka manakala warga emas tidak digalakkan mengunjungi rumah ibadat yang mempunyai sistem pengudaraan tertutup.

5. Mengawal interaksi pengunjung rumah ibadat
– Pengurusan rumah ibadat perlu sentiasa mengingatkan pengunjung supaya melakukan interaksi sosial di kawasan yang lebih selamat, terbuka, kurang sesak dan kurang padat selain tidak berkumpul sebelum atau selepas upacara keagamaan dijalankan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Rumah ibadat bukan Islam dibenar operasi ketika PKP

PUTRAJAYA, 13 FEB: Rumah ibadat bukan Islam kini dibenarkan beroperasi semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berkuat kuasa 12 hingga 18 Feb, kata Kementerian Perpaduan Negara.

Menurut kenyataan kementerian itu hari ini, perkara tersebut diputuskan pada Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan Covid-19 Bilangan 14 Tahun 2021 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut kementerian itu, pembukaan rumah ibadat bukan Islam tersebut tertakluk kepada tatacara operasi piawai (SOP), iaitu bilangan kehadiran penganut tidak melebihi 30 orang pada satu-satu masa serta perlu menjalankan kerja sanitasi di premis selama 30 minit sebelum dan selepas aktiviti keagamaan atau sembahyang.

Selain itu, premis juga perlu menggunakan aplikasi MySejahtera bagi tujuan rekod di kawasan yang mempunyai liputan Internet yang luas.

“Pengecualian imbasan kod MySejahtera yang hadir ke rumah ibadat bukan Islam diberikan kepada penganut yang berumur 60 tahun ke atas dan tidak mempunyai telefon pintar,” demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian itu, bagi tokong Buddha, Tao, wat Siam dan gereja, jadual waktu sembahyang bermula 6 pagi hingga 2 petang.

Untuk kuil Hindu, sesi pertama dibuka bermula 6 hingga 10 pagi dan sesi kedua bermula 5 petang hingga 9 malam, manakala gurdwara bermula 6 hingga 9 pagi.

Kementerian itu menasihati semua penganut bukan Islam di seluruh negara mematuhi SOP yang ditetapkan sepanjang tempoh kuat kuasa berkenaan, bagi memastikan tiada penularan wabak dalam kalangan penganut dan bersama-sama membudayakan norma baharu untuk memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

PKPB Klang: Rumah ibadat, institusi pendidikan dan taman ditutup

SHAH ALAM, 8 OKT: Masjid, surau dan rumah ibadat bukan Islam ditutup sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di mukim Klang yang berkuat kuasa jam 12.01 pagi esok.

Dato Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata turut ditutup institut pengajian tinggi awam dan swasta, institut latihan kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz serta pusat jagaan kanak-kanak.

“Penutupan juga melibatkan taman awam, pusat rekreasi, taman permainan. Semua aktiviti sukan, rekreasi, sosial dan budaya adalah tidak dibenarkan bermula 9 Oktober hingga 23 Oktober,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kerajaan memutuskan PKPB dikuatkuasa di mukim Klang mulai jam 12.01 pagi pada Jumaat ini.

Klang bertukar kepada zon merah semalam apabila mencatatkan 77 pesakit aktif yang sedang dirawat.

Categories
EXCO SELANGOR

Pembinaan rumah ibadat kena ikut peraturan

SHAH ALAM, 25 NOV: Kerajaan Negeri akan mengenakan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang membina rumah ibadat tanpa mematuhi garis panduan ditetapkan.

EXCO Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, sebelum ini terdapat beberapa buah kuil yang dibina melanggar peraturan yang ditetapkan Kerajaan Negeri.

“Kadang-kadang ada kuil dibina di tempat yang diwartakan tetapi mereka bina bangunan tambahan yang melanggar peraturan.

“Apabila perkara ini berlaku, Kerajaan Negeri terpaksa bertindak tetapi akhirnya kami pula dipersalahkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Media Selangor pada Majlis Penyerahan Bantuan Peruntukan Rumah Ibadat Bukan Islam (Kuil) Fasa 6/2019 serta Penyerahan Bantuan Yuran Pengajian IPTA/IPTS Fasa 8 di Bilik Mesyuarat Kekwa, Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor, Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini, hari ini.

Ganabatirau berkata, perkara seumpama ini tidak akan berlaku jika semua pihak menghormati undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

Sementara itu, Ganabatirau mencadangkan supaya pihak pengurusan kuil mengutip data penduduk setempat seperti dilakukan pengurusan masjid, surau dan gereja.

Katanya, data yang diperolehi itu kelak mampu membantu pihak pengurusan kuil mengenal pasti program yang sesuai untuk komuniti setempat.

Categories
SELANGOR

Peruntuk RM6 juta penuhi keperluan rumah ibadat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 26 MEI: Kerajaan Negeri memperuntukkanRM6 juta bagi bantuan kewangan kepada rumah ibadat selain Islam di Selangor, pada tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, peruntukan itu meliputi Tokong, Kuil, Gereja dan Gudwara yang diselaraskan di bawah Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam.

Katanya, Kerajaan Negeri juga sedar dan prihatin dengan keperluan serta cabaran dihadapi masyarakat agama Buddha.

“Keperluan masyarakat agama Buddha terutama daripada segi keperluan tanah dan prasarana rumah ibadat meningkat sejak 40 tahun kebelakangan ini disebabkan peningkatan penganut.

“Ini juga termasuk peningkatan anak-anak muda yang menyertai program keagamaan, pendidikan dan kebajikan keagamaan yang diuruskan pertubuhan-pertubuhan agama Buddha di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama sempena Sambutan Hari Wesak Peringkat Negeri Selangor Tahun 2019, di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di sini, hari ini.

Hadir sama, EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian; EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau serta Pengerusi Selangor Buddhist Development Committee, Loka Ng Sai Kai.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, sejak 2008, Kerajaan Negeri menubuhkan sebuah Jawatankuasa Hal Ehwal Selain Islam yang turut dianggotai wakil-wakil daripada pertubuhan agama selain Islam termasuk agama Buddha.

“Jawatankuasa ini bermesyuarat sekurang-kurangnya enam kali setahun bagi membincangkan dan menyelesaikan perkara-perkara berkaitan permohonan tanah serta hal ehwal berkaitan rumah ibadat selain Islam supaya ia dapat diuruskan dengan lebih efisyen serta berkesan.

“Kerajaan Negeri juga memberi peruntukan kepada pelbagai pertubuhan agama untuk membaik pulih rumah-rumah ibadat dan menjalankan aktiviti keagamaan masyarakat selain Islam,” katanya.

Categories
SELANGOR

Wujud SOP khas pemindahan rumah ibadat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 27 NOV: Kerajaan Negeri disarankan supaya mewujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) khas bagi kerja pemindahan rumah ibadat, di Selangor.

Ahli Dewan Negeri Sentosa, Gunarajah R. George berkata, garis panduan dalam SOP itu mampu membantu melancar dan mengelakkan kejadian tidak diingini semasa proses pemindahan rumah ibadat.

“Kita perlukan satu kaedah khas supaya pemindahan rumah ibadat tidak menjadi huru-hara,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Negeri Selangor, di sini.

Katanya, kerajaan hari ini tidak boleh mengulangi kesilapan kerajaan terdahulu yang tidak memikirkan penyelesaian isu kedudukan rumah ibadat di atas tanah yang mahu dipindah milik.

Gunarajah turut mendakwa terdapat banyak tanah estet di kawasan kuil dijual kepada syarikat pemaju.

“Sepatutnya sebelum dipindah milik, kerajaan perlu memikirkan bagaimana untuk menyelesaikan isu rumah ibadat yang sudah sedia terbina di atas tanah itu,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Rumah ibadat: Tolak tapak tidak sesuai

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 NOV: Permohonan pemaju menempatkan rumah ibadat di atas tapak tidak sesuai perlu ditolak, kata Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana serta Pengangkutan, Datuk Teng Chang Khim.

Beliau berkata, ia boleh dilakukan terutama kuasa pembangunan dan penempatan terletak dalam bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT)

Tokong SeiLing6“Jika diberikan tempat tidak sesuai, maka PBT boleh mengambil tindakan dengan menolak permohonan terbabit.

“Ahli Majlis juga boleh memainkan peranan dengan memastikan penempatan tapak sesuai dan selamat,” katanya di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) berhubung penempatan rumah ibadat bukan Islam berhampiran kawasan berbahaya.

Sejak 2008, sebanyak 196 tapak tanah diberikan Kerajaan Negeri untuk pembangunan rumah ibadat selain Islam.

-NFN-

Categories
SELANGOR

Setahun MB: Tambah baik peruntukan masjid dan rumah ibadat

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM – Di bawah pentadbiran Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, masjid dan surau serta rumah ibadat bukan Islam diberi perhatian sewajarnya.

Rumah ibadat itu masing-masing menerima peruntukan antara RM10,000 hingga RM50,000 untuk melaksanakan kerja membaikpulih bagi keselesaan penduduk setempat.

Bagi masjid atau surau, sumbangan biasanya diserahkan sebelum solat Jumaat kepada nazir untuk meringankan beban dana keperluan jawatankuasa pembangunan masjid.

MB MASJIDTerbaru, sejumlah RM43,000 disumbangkan kepada Masjid Jami’ilhuda di Kampung Melayu Ampang, bahkan imam masjid kariah seluruh Selangor juga menerima kenaikan tambahan elaun RM150 sebulan berkuatkuasa 1 Januari lalu.

Mohamed Azmin berkata, ia bagi menghargai khidmat dan sumbangan imam yang semakin mencabar dalam mengimarahkan masjid di negeri itu.

“Kerajaan Selangor membuat keputusan meningkatkan bayaran elaun imam masjid kepada RM900 sebulan yang dilaksanakan, pada 1 Syawal lalu. Kenaikan itu adalah tambahan elaun yang diterima daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berjumlah RM750 setiap bulan,” katanya.

YB Teng sampaikan cek sumbangan kepada pengerusi persatuan tokong (3)Sementara itu, rumah ibadat bukan Islam menerima peruntukan tambahan RM6 juta tahun ini.

Ia sekali gus mengatasi jumlah peruntukan sebelum ini iaitu RM3 juta yang membolehkan pembelajaran agama selain Islam dipertimbang untuk dinaikkan.

“Mengikut penambahan ini, agama Kristian dan Katolik menerima RM1 juta, Hindu/Sikh (RM2 juta), manakala Buddha dan tokong Cina mendapat RM3 juta,” kata Exco Negeri, Datuk Teng Chang Khim.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Sumbang RM370,000 Kepada Rumah Ibadat Bukan Islam

SHAH ALAM 06 APRIL : Prihatin dengan kebajikan penduduk bukan Islam di negeri ini, Kerajaan Negeri Selangor menyumbangkan sebanyak RM370,000 kepada 19 buah rumah ibadat Cina, Hindu dan Gereja bagi fasa pertama tahun ini.

Majlis penyerahan itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu.

Sumbangan itu adalah bagi melaksanakan proses naik taraf dan kebajikan persatuan ialah Persatuan mengikut permohonan persatuan.

Rata-rata wakil persatuan gembira dengan keprihatinan Pakatan Rakyat (PR) terhadap mereka sejak menerajui kerajaan negeri.

Persatuan Penganut Dewi Sri Maha Durgaiamman, Shah Alam, merupakan salah sebuah badan keagamaan yang menerima sebanyak RM20,000 daripada peruntukkan itu.

Wakilnya, T.Loganathan, 47, meluahkan kegembiraan dan berterima kasih dengan sumbangan yang diberikan oleh kerajaan negeri itu.

Katanya, sumbangan itu diperuntukkan bagi kerja-kerja menaiktaraf kuil itu.

“Dengan sumbangan ini pihak kami dapat menjalankan kerja menaiktaraf kuil yang rosak akibat banjir baru-baru ini.

“Ini merupakan kali kedua persatuan kami menerima sumbangan ini, sebelum ini sebanyak RM2,500 bagi aktiviti untuk komuniti di kuil kami,” katanya ketika ditemui.

Tambahnya, sejak penubuhan kuil itu 17 tahun lalu, persatuannya tidak pernah menerima bantuan dari kerajaan negeri sebelum tahun 2008.

Sementara itu, Ronnie berkata kerajaan negeri sudah memperuntukkan sebanyak RM2.5 juta untuk diberikan kepada rumah ibadat sebelum April depan.

Katanya, peruntukkan selebihnya iaitu RM3.5 juta akan diberikan selepas bulan April.

Beliau berkata bagi tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM6 juta berbanding sebanyak RM3 juta bagi tahun 2009 dan 2010 serta tahun 2011 sebanyak RM4 juta.

“Ini kerana pada tahun ini, simpanan kerajaan negeri sudah meningkat kepada RM1.9 billion selain permintaan yang bertambah daripada persatuan,” katanya.