Categories
AGENSI SELANGOR

Anak sayu kenang arwah bapa tidak sempat diami rumah idaman

SHAH ALAM, 6 OGOS: Seorang anak tidak dapat menyembunyi kesedihan tatkala mengenang allahyarham bapanya tidak sempat mendiami rumah baharu selepas 21 tahun menanti.

Amran Dayat, 36, berkata bapanya Dayat Othman pernah menyuarakan hasrat untuk menduduki teres dua tingkat di Puncak Alam yang dibeli hasil titik peluh keluarganya.

“Sebagai anak saya sangat terkilan sebab ayah tidak sempat duduk di rumah ini dan adik-beradik juga sudah lama tunggu untuk masuk rumah baharu.

Amran Dayat

“Tetapi kami (adik-beradik) bersyukur kerana akhirnya dapat juga kunci rumah. Insya-Allah dalam masa beberapa hari lagi kami dapat tengok rumah yang cantik dilengkapi pelbagai kemudahan,” katanya yang ditemui pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Idaman Warisan di sini hari ini.

Amran merancang untuk menjadikan rumah itu sebagai tempat persinggahan keluarga dan berjanji mengurusnya sebaik mungkin.

“Arwah bapa pernah nyatakan kalau ada rezeki (rumah siap) kami (adik-beradik) perlu uruskan elok-elok kerana inilah satu-satunya harta yang ditinggalkan selepas berhempas pulas bekerja mengumpul wang,” katanya yang kini menetap di Sungai Besar, Sabak Bernam bersama isteri dan dua anak.

Seorang lagi pembeli, Mohd Fauzi Osman, 54, berkata keluarganya terpaksa berpindah sebanyak dua kali di sekitar Puncak Alam sementara menanti kediaman tersebut siap.

Mohd Fauzi Osman

Dia berdepan pelbagai dugaan dengan menyewa di tempat lain yang jauh dari tempat kerja sekali gus menambah beban kewangan keluarganya.

“Bagaimanapun, saya dan isteri bangga melihat rumah sendiri akhirnya siap sebab kami beli sebelum kahwin lagi. Kami terharu dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana menyelesaikan isu ini,” katanya.

Rumah Idaman Warisan dahulunya dikenali sebagai Taman Arcadia, terbengkalai sejak 1999 sebelum diambil alih Pemerbadanan Menteri Besar pada September 2016.

Projek pemulihan bersama Worldwide Holdings Berhad dan LBS Bina Group Berhad membabitkan kos RM38 juta siap sepenuhnya akhir tahun lalu, dilengkapi empat bilik tidur dan tiga bilik air.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Pembeli Rumah Idaman Warisan terima kunci lepas 21 tahun menunggu

SHAH ALAM, 6 OGOS: Penantian lebih dua dekad pembeli Rumah Idaman Warisan di Alam Perdana, Puncak Alam berakhir hari ini selepas masing-masing menerima kunci.

Menariknya, kediaman teres dua tingkat itu dilengkapi set televisyen, kabinet dapur, penghawa dingin, pemanas air dan peti sejuk sebagai insentif kepada 203 pembeli yang menunggu sekian lama.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya komited memastikan rakyat negeri ini menerima pulangan baik hasil tadbir urus cekap.

Dato’ Seri Amirudin Shari berbual bersama pembeli selepas menyerahkan replika kunci Rumah Idaman Warisan di Bangunan SUK, Shah Alam pada 6 Ogos 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Saya berharap pemilik memanfaat kemudahan tambahan diberi dan meneruskan kehidupan dengan lebih selesa selepas ini,” katanya selepas menyerahkan replika kunci kepada pembeli di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini.

Beliau berkata proses pemulihan projek mengambil masa lama berikutan pelbagai aspek teknikal dan undang-undang yang perlu diteliti.

“Selepas melihat pelbagai kaedah dan bertindak sebagai kerajaan prihatin dengan keadaan sosioekonomi rakyat Selangor, semuanya dapat diselesaikan dengan baik.

“Bagaimanapun, saya sedih detik bersejarah ini tidak dapat dirasai semua pembeli kerana ada yang sudah meninggal dunia dan tidak sempat melihat kediaman impian mereka siap tetapi waris dapat berteduh di kediaman tersebut,” kata Amirudin lagi.

Rumah Idaman Warisan dahulunya dikenali sebagai Taman Arcadia, terbengkalai sejak 1999 sebelum diambil alih Pemerbadanan Menteri Besar pada September 2016.

Projek pemulihan bersama Worldwide Holdings Berhad dan LBS Bina Group Berhad membabitkan kos RM38 juta siap sepenuhnya akhir tahun lalu, dilengkapi empat bilik tidur dan tiga bilik air.

Categories
SELANGOR

Selangor naik taraf projek terbengkalai dengan ciri istimewa

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 JUN: Selepas hampir dua dekad terbengkalai, akhirnya projek perumahan Arcadia berjaya disiapkan apabila Kerajaan Negeri mengambil alih projek terbabit.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, lebih menarik lagi, projek membabitkan 203 unit itu dijenamakan semula sebagai rumah Idaman Warisan dengan tambahan kelengkapan seperti penghawa dingin, pemanas air, almari, televisyen, kabinet televisyen dan peti ais.

“Projek di Alam Perdana, Ijok ini kita namakan semula Idaman Warisan kerana dilengkapi kemudahan yang sama Rumah Idaman Selangor.

“Insya Allah kita akan buat penyerahan kunci pada akhir tahun ini kepada pemilik, di mana hari ini kita serahkan sebahagian daripadanya,” katanya.

Beliau berucap mengenai projek terbabit sebelum Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Must Ehsan Development Sdn Bhd bersama Konsortium PNSB-MGB dan Majlis Idaman Warisan di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.

Amirudin berkata, rumah teres dua tingkat itu turut dilengkapi tiga bilik dan dua bilik air.

Kerajaan Negeri memulakan projek pemulihan projek terbengkalai ini pada 2016 menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), LBS Bina Group Berhad (LBS) dan Worldwide Property.

Beliau berkata, usahasama ini menelan belanja kira-kira RM200,000 bagi setiap unit kediaman bagi menyiapkan projek terbengkalai ini.

Amirudin berkata, sebelum ini pembeli projek perumahan terbabit terpaksa menunggu sehingga 19 tahun susulan masalah projek perumahan berkenaan.