Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Rumah makanan mudahkan warga Bandar Utama dapat bantuan segera

PETALING JAYA, 25 SEPT: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama mewujudkan rumah makanan bagi memudahkan golongan terkesan akibat Covid-19 mendapat keperluan.

Inisiatif diperkenal beberapa bulan lalu membolehkan kumpulan itu menerima bantuan segera sebelum bakul makanan diagihkan kepada mereka, kata wakil rakyatnya.

Jamaliah Jamaluddin menjelaskan Kampung Kayu Ara dipilih sebagai lokasi awal berikutan ramai individu terjejas tinggal di kawasan berkenaan.

“Kita khuatir ada penduduk yang perlukan makanan secepat mungkin kerana kalau hantar nama untuk terima bantuan lain akan ambil masa, jadi kita wujudkan rumah makanan ini.

“Apabila mereka datang kita akan segera berikan makanan bergantung apa yang ada ketika itu sebelum diberikan bantuan lanjut,” katanya ditemui pada program Vaksin Selangor bergerak di Kampung Chempaka hari ini.

Jamaliah berkata usaha sama turut dibuat di Kampung Chempaka dengan lebih RM100,000 dibelanjakan bagi program tersebut termasuk agihan bakul makanan.

Pada 3 Mac, DUN Bandar Utama menyasar untuk membantu 20,000 keluarga terjejas akibat wabak Covid-19 melalui peruntukan RM100,000 sumbangan Kerajaan Negeri.