Categories
AGENDA NASIONAL

Bomba: Hampir 30 rumah di Gemas rosak akibat hujan lebat, ribut

SEREMBAN, 20 FEB: Kira-kira 30 rumah membabitkan lebih 130 penduduk di Gugusan Felda Jelai 1 hingga 4 dekat Gemas mengalami kerosakan akibat hujan lebat dan ribut, petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemas Penolong Penguasa Bomba Mohd Farid Abu Bakar berkata kejadian hampir setengah jam bermula 5.30 petang itu mengakibatkan bumbung rumah penduduk diterbangkan angin manakala beberapa kenderaan dihempap pokok.

“Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini dan hanya empat orang daripada satu keluarga ditempatkan di Kuarters Felda Jelai 1 selepas rumah mereka rosak teruk.

Kira-kira 30 rumah membabitkan lebih 130 penduduk di Gugusan Felda Jelai 1 hingga 4 dekat Gemas, Negeri Sembilan mengalami kerosakan akibat hujan lebat dan ribut, petang tadi. Foto Facebook Bernama

“Ada mangsa yang menumpang di rumah saudara mara untuk sementara waktu dan ada yang tidak berpindah kerana kerosakan dialami tidak teruk selain bimbang penularan Covid-19 sekiranya dipindahkan,” katanya kepada Bernama malam ini.

Beliau berkata kejadian itu pertama kali berlaku setakat tahun ini dan jumlah kerugian masih dinilai.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menerusi akaun Twitter mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir yang dijangka berlaku melibatkan beberapa negeri termasuk Negeri Sembilan, Kedah, Perak dan Kelantan sehingga malam ini.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Negeri terima lebih 9,000 permohonan baiki rumah rosak akibat banjir

SHAH ALAM, 7 FEB: Kerajaan Negeri menerima lebih 9,000 permohonan membaiki kediaman yang rosak akibat banjir pada Disember tahun lalu, kata EXCO perumahan.

Rodziah Ismail berkata daripada jumlah itu, lebih 3,000 permohonan telah dibuat penilaian sehingga minggu lalu.

“Penilaian ini melibatkan pelbagai agensi antaranya pihak berkuasa tempatan (PBT), Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Kita jangka penilaian rumah untuk dibaiki ini selesai hujung bulan ini dan Dato’ Menteri Besar akan umumkan jumlah sebenar menjelang Mac. Selain itu, laporan penilaian berhubung perkara ini diterima setiap minggu,”katanya.

Rodziah mencadangkan bantuan baik pulih kediaman yang terkesan banjir diberikan dalam bentuk wang tunai berbanding dibaiki kerajaan pusat.

“Kerajaan Negeri tiada kapasiti untuk pergi satu rumah ke rumah dan pemberian kewangan ini mempercepatkan proses bantuan serta tidak perlu menunggu lama,”katanya.

Pada 3 Februari lalu, Dato’ Amirudin Shari memaklumkan sebanyak 10,510 rumah mangsa terjejas bencana seluruh negeri ini akan dibaik pulih dan 44 dibina baharu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Nyaris dipatuk ular tedung, wanita lega LZS baik pulih rumah sepupu bisu

SHAH ALAM, 12 JAN: Nasib sepasang adik-beradik bisu yang nyaris dipatuk ular tedung ketika banjir melanda Kampung Bukit Lanchong di sini bulan lepas mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Kediaman Robaiyah Mohamad, 65, dan Rohani Mohamad, 58, yang rosak teruk akibat bencana akan dibaik pulih sebaik proses bancian selesai dijalankan agensi berkenaan dijangka pada Februari ini.

Suhaina Samsudin

Sepupu mereka, Suhaina Samsudin, 38, berkata dia bersyukur kerana rumah didiami kedua-dua wanita terbabit sejak lebih empat dekad akan dibaiki terutama siling dari ruang dapur yang dipercayai menjadi laluan masuk haiwan berbisa itu.

“Saya simpati dengan kehidupan sebatang kara mereka. Bila dapat tahu rumah ini akan dibaiki saya rasa lega sangat dan tak perlu bimbang untuk tinggalkan mereka memandangkan saya duduk jauh.

 

“Risau juga sebab ketika banjir baru-baru ini, dua ekor ular tedung hitam masuk ke rumah dan mereka berdua hampir dipatuk. Syukur tiada apa-apa kerana mereka cepat-cepat keluar selamatkan diri dalam limpahan air banjir,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Terdahulu, Robaiyah dan Rohani antara 25 asnaf fakir di kampung berkenaan yang dikenal pasti layak mendapat bantuan baik pulih itu selepas menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif LZS Saipolyazan M Yusop hari ini.

Bercerita lanjut, Suhaina yang saban bulan berulang-alik dari Cheras ke Bukit Lanchong sejak 2010 untuk melawat sepupunya itu berkata buat masa ini dia memilih untuk tinggal bersama mereka bagi mengurus bantuan diterima pihak tertentu.

“Kita pun faham keadaan mereka yang tidak boleh bercakap, Jadi, kena ada orang yang boleh bantu lebih-lebih lagi untuk terjemahkan setiap mesej ingin disampaikan mereka,” katanya.

Menurutnya, semasa zaman kanak-kanak sepupunya itu tinggal di hutan bersama keluarga selain tidak bersekolah dan bergaul dengan masyarakat luar.

“Masa mereka banyak dihabiskan dalam hutan. Seingat saya, pada usia belasan tahun baru mereka berpindah ke sini bersama ibu bapa termasuk dua beradik lain.

“Bagaimanapun, kedua-dua ibu bapa mereka dan kakak sudah meninggal dunia manakala adik lelaki menghilangkan diri sehingga sekarang. Jadi, kehidupan mereka amat susah,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Enam rumah rosak dilanda ribut siap dibaiki esok

SHAH ALAM, 22 JUN: Enam rumah di Meru yang rosak teruk akibat dilanda ribut minggu lalu dijangka siap dibaiki sepenuhnya esok bergantung kepada keadaan semasa.

Wakil rakyat Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar berkata buat masa ini tiga rumah telah siap dibaiki dan selebihnya dalam proses baik pulih secara berperingkat.

“Selain kediaman yang kritikal dan perlu segera dibaiki, sebahagian rumah yang mengalami kerosakan kecil juga selesai menjalani proses baik pulih seperti bumbung tercabut.

“Setakat ini, dianggarkan RM20,000 peruntukan telah dibelanjakan untuk semua rumah terlibat dan kos ini termasuk dengan kerja pembersihan yang dijalankan,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Tambah Mohd Fakhrulrazi lebih 50 mangsa membuat permohonan tabung bencana yang dipohon menerusi pejabat daerah.

“Namun proses permohonan ini mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan sebelum diluluskan dan mungkin berlaku kelewatan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya.

Khamis lalu, beberapa rumah di sekitar Jalan Jambu, Taman Meru 3, Taman Desa Permai, Jalan Hamzah Alang, Kampung Budiman, Jalan Nanas dan Jalan Limau mengalami kerosakan termasuk bumbung tercabut selain dihempap pokok.

Bagaimanapun kejadian itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.

Categories
ADN AGENDA SELANGOR

20 rumah dilanda ribut, bantuan segera disalur baiki kerosakan

SHAH ALAM, 18 JUN: Sebanyak 20 rumah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Meru mengalami kerosakan akibat ribut petang semalam.

Wakil rakyatnya berkata hujan lebat dan angin kencang menyebabkan bumbung tercabut selain kejadian pokok tumbang malah tiga rumah mengalami kerosakan hampir 80 peratus.

Katanya, kawasan terlibat di Jalan Jambu, Taman Meru 3, Taman Desa Permai, Jalan Hamzah Alang, Kampung Budiman, Jalan Nanas dan Jalan Limau.

“Setakat ini tiada mangsa dipindahkan, mereka di kediaman masing-masing berteduh di ruangan yang tidak terjejas kerana khuatir dengan keadaan semasa Covid-19,” kata Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar kepada SelangorKini.

Beliau berkata pihaknya akan membantu penduduk terjejas dengan segera termasuk bantuan kewangan serta kerja pembaikan rumah.

“Cuma ada sedikit kekangan berikutan banyak kedai tutup kerana sekatan pergerakan, jadi tukang rumah sukar cari barang untuk membaiki rumah, namun kita akan usaha seberapa segera.

“Ketua kampung juga diminta bantu uruskan permohonan bantuan tabung bencana daripada pejabat tanah. Buat permulaan, mangsa terlibat menerima bantuan wang tunai bagi ringankan beban,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata sebanyak 18 laporan diterima berhubung kejadian ribut semalam.

“Namun, kejadian yang berlaku di sekitar Meru ini tidak membabitkan kecederaan atau kemalangan jiwa,” katanya.