Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

EXCO: Tiada Rumah Selangorku dijual tanpa kebenaran

SHAH ALAM, 6 DIS: Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) memaklumkan tiada unit Rumah Selangorku (RSKU) dijual pemilik kepada pihak ketiga tanpa kebenaran dan kelulusan.

EXCO Perumahan Rodziah Ismail berkata LPHS menetapkan tempoh pemilikan hartanah mesti mencukupi lima tahun pemilikan dari tarikh diterima pemilik pertama sebelum boleh dijual

“Berdasarkan rekod LPHS sehingga Oktober 2021 mendapati tiada unit Rumah Selangorku dijual pemilik kepada pihak ketiga tanpa kebenaran dan kelulusan. Semua urusan penjualan kepada pihak ketiga melalui permohonan secara sah,.

“Tujuan dasar ini dilaksana untuk memastikan hanya golongan layak sahaja memiliki hartanah harga kawalan di Selangor selain mengelakkan aktiviti spekulasi harga dan manipulasi golongan yang ingin
mengambil kesempatan,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Pandamaran Leong Tuck Chee mengenai bilangan unit Rumah Selangorku dijual pemilik kepada pihak ketiga tanpa kebenaran dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Rodziah berkata LPHS diberi tanggungjawab memastikan pengagihan dan pemilikan hartanah harga kawalan termasuk jenis kos rendah dan Rumah Selangorku hanya dimiliki oleh golongan berpendapatan rendah atau sederhana.

Categories
EXCO SELANGOR

24,428 unit Rumah Selangorku berjaya siap, ditawar kepada penduduk

SHAH ALAM, 1 DIS: Sebanyak 24,428 unit Rumah Selangorku berjaya disiapkan dan ditawar kepada penduduk sejak 2018 sehingga 15 November lalu.

Rumah jenis C paling banyak siap iaitu 9,294 unit diikuti jenis D (7,822 unit), jenis B (4,122 unit) manakala jenis A (2,019) dan jenis E (1,171), maklum EXCO kerajaan tempatan.

Ng Sze Han berkata rumah yang siap dibina tidak diserahkan kepada Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS), sebaliknya ditawarkan terus kepada orang awam untuk proses pembelian.

“Dasar Rumah Selangorku mensyaratkan pembangunan rumah mampu milik untuk dibangunkan pemaju secara subsidi bersilang yang mana kos pembinaannya ditanggung 100 peratus pemaju.

“LPHS hanya bertindak sebagai agensi yang mengagihkan unit tersedia kepada mereka yang layak ditawarkan melalui sistem pendaftaran permohonan hartanah Selangor,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau mewakili EXCO Perumahan Rodziah Ismail menjawab pertanyaan wakil rakyat Bukit Lanjan Elizabeth Wong berhubung jumlah rumah mampu milik yang siap dibina dan diserah.

Sementara itu, Sze Han berkata sebanyak 30 peratus kuota daripada jumlah keseluruhan unit dibina di setiap projek diagih kepada penjawat awam yang berkhidmat di negeri ini.

Jelasnya, kuota pengagihan itu diluluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 4 Disember 2013.

“Penetapan kuota ini terpakai sekiranya kakitangan yang bekerja di pusat khidmat Dewan Undangan Negeri merupakan kakitangan diiktiraf di bawah skim penjawat awam,” katanya lagi.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Dua projek Rumah SelangorKu di Gombak diteruskan semula

GOMBAK, 3 OKT: Projek Rumah SelangorKu Nilam dan Kristal di Taman Mutiara Selayang, dekat sini yang terbengkalai sejak 2013 akan disambung pembinaannya, kata EXCO perumahan.

Rodziah Ismail berkata projek berjalan semula selepas sembilan keluarga setinggan di Kampung Bendahara yang tinggal di tapak pembangunan itu setuju dipindahkan.

“Selepas selesai isu pemilikan tanah penghuni setinggan, ini bermakna kita boleh terus laksanakan projek (Rumah SelangorKu). Pembeli tak akan menunggu lama lagi.

“Projek ini dah terbengkalai lama hampir sembilan tahun. Lepas ini akan diteruskan dan jangka siap dalam tempoh setahun,” katanya ditemui di Dewan Rakyat, Padang Awam Batu Caves semalam.

Terdahulu Dato’ Menteri Besar menyerahkan tawaran milikan tanah atau Notis 5A kepada 19 penduduk setinggan daerah ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata tawaran membabitkan 10 penduduk Kampung Sungai Tua manakala baki dari Kampung Bendahara yang diberikan tanah gantian di Kuang dan Batu Arang.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Gembira miliki Rumah Selangorku dalam usia muda

KUALA SELANGOR, 11 SEPT: Pembeli Rumah Selangorku di Taman Alam Suria di sini, menyuarakan kegembiraan dan berpuas hati kerana dapat membeli rumah pertama dalam usia muda.

R Divya Sharmathy

Pengurus syarikat pengangkutan R Divya Sharmathy, 28, berkata beliau juga tidak sabar untuk membawa ibu bapa berpindah ke rumah baharunya.

“Saya bersyukur dapat miliki rumah sendiri dalam usia muda. Saya memohon rumah ini dua tahun lalu dan berpuas hati dengan kualiti dan keselesaan yang ditawarkan Rumah Selangorku selain harganya berpatutan.

“Buat masa ini saya belum terfiikir untuk berkahwin, jadi saya bercadang membawa ibu dan ayah untuk tinggal bersama,” katanya ditemui pemberita selepas menerima kunci rumah yang disampaikan EXCO Perumahan Rodziah Ismail.

Bagi pesara Rohaya Md Isa,54, beliau membeli rumah untuk anaknya yang kini menyewa di Taman Medan, Petaling Jaya.

Rohaya Md Isa

“Apabila menyewa kami sekeluarga sukar datang untuk melawatnya, jadi kalau dia tinggal di rumah sendiri mudah untuk kami datang bermalam.

“Mungkin anak saya akan pindah ke rumah baharu pada Disember ini,  saya tidak sabar untuk menghias rumah dengan membeli keperluan serta kelengkapan rumah,” katanya.

Sebanyak 170 unit Rumah Selangorku di Taman Alam Suria mula dibina pada 22 Februari 2019 di kawasan seluas 5.08 ekar dan siap 24 Mei tahun ini.

Rumah teres satu tingkat itu mempunyai keluasan 900 kaki persegi dan dijual dengan harga RM250,000.

Dasar Rumah Selangorku menumpu penambahbaikan aspek pemilikan, perancangan dan pelaksanaan supaya memberi manfaat kepada pemaju, pelaksana dasar dan pemilik rumah.

Rumah Selangorku dijual pada harga antara RM42,000 sehingga RM250,000 dan menumpukan golongan berpendapatan rendah.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

170 unit Rumah Selangorku di Taman Alam Suria habis terjual

KUALA SELANGOR, 10 SEPT: Sebanyak 170 unit Rumah Selangorku di Taman Alam Suria di sini siap dibina dan mendapat tempahan sehingga habis terjual kepada orang awam.

EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar berkata semua unit perumahan jenis teres satu tingkat itu mendapat sambutan menggalakkan dan menerima lebih 1,300 permohonan.

“Dengan permohonan ini menunjukkan permintaan rumah landed (bertanah) masih ada dan Kerajaan Negeri kini melihat lokasi bersesuaian untuk memperbanyak perumahan seperti ini.

“Ini bukti kesungguhan dan komitmen pemaju IJM Land dalam menyahut usaha Kerajaan Negeri dalam menyediakan rumah mampu milik kepada golongan B40 dan M40,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis serahan kunci kepada penduduk di taman itu dengan disertai Pengurus Besar Kanan IJM Land Dato’ Hoo Kim See.

Kediaman jenis D berharga RM250,000 itu berkeluasan 900 kaki persegi yang dibina di keluasan tanah 5.08 ekar.

Untuk rekod, projek Taman Alam Suria Kuala Selangor memperolehi Lesen Pemajuan dan Permit Iklan dan Jualan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 27 Jun 2018 dan mula dibina pada 22 Februari 2019.

Sijil perakuan dan pematuhan siap (CCC) diperolehi pada 24 Mei namun proses penyerahan kunci kepada pembeli ditangguh berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa pada 1 Jun.

Categories
EXCO SELANGOR

Permohonan bina 204,871 unit Rumah Selangorku diterima, lebih 60,000 lulus

SHAH ALAM, 5 SEPT: Kerajaan Negeri menerima permohonan bagi pembangunan 204,871 unit Rumah Selangorku pada tahun ini, kata EXCO perumahan.

Rodziah Ismail berkata daripada jumlah itu lebih 60,000 telah diluluskan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dengan 18,647 unit sedang dibina di sekitar Lembah Klang.

“Sebenarnya pembangunan Rumah Selangorku memang terjejas apabila Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) sebelum ini lambat memberi kelulusan untuk sektor pembinaan beroperasi.

“Namun, kita akan ambil kira semua perkara untuk pastikan semuanya berjalan lancar,” katanya ketika ditemui selepas turun padang bagi meninjau penganjuran Pasar Mesra di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hicom hari ini.

Pada masa sama, Rodziah berkata pihaknya menerima banyak permohonan daripada pemaju yang mahu beroperasi pada luar waktu untuk memastikan rumah dapat disiapkan pada tempoh ditetapkan.

“Perkara ini perlu mengikut syarat ditentukan pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing. Mereka (pemaju) mesti memohon melalui PBT untuk mendapat pertimbangan sekiranya ingin beroperasi di luar waktu dibenarkan,” katanya.

Dasar Rumah Selangorku menumpu penambahbaikan aspek pemilikan, perancangan dan pelaksanaan supaya memberi manfaat kepada pemaju, pelaksana dasar dan pemilik rumah.

Rumah Selangorku dijual pada harga antara RM42,000 sehingga RM250,000 dan menumpukan golongan berpendapatan rendah.

Categories
EXCO SELANGOR

Pemaju diminta segera serah kunci Rumah Selangorku, elak pembeli terbeban

SHAH ALAM, 24 JULAI: Pemaju diminta menyegerakan penyerahan kunci kepada pemilik Rumah Selangorku yang siap dibina bagi mengelak mereka terbeban.

EXCO perumahan dan kesejahteraan bandar berkata ini kerana pembeli menanggung kos sewa rumah selain pinjaman bank untuk kediaman yang bakal diduduki.

“Ada rumah yang telah siap namun disebabkan tatacara operasi piawai (SOP) tertentu dan larangan merentas daerah, serahan kunci tidak dapat dibuat atau pemaju menangguhkannya.

“Justeru, saya sarankan mereka (pemaju) supaya menyegerakan proses tersebut tanpa perlu menganjurkan majlis besar-besaran kerana yang penting masyarakat tidak terbeban,” kata Rodziah Ismail.

Beliau ditemui pemberita selepas meninjau Program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga di pusat pemberian vaksin (PPV) Hotel De Palma Seksyen 19 di sini semalam.

Mengulas lanjut, Rodziah berkata sebanyak 62 projek Rumah Selangorku siap dibina dalam tempoh dua tahun membabitkan 23,209 unit manakala baki 19,665 unit lagi dijangka menjelang akhir tahun ini.

“Projek paling banyak siap di Hulu Langat iaitu 19 projek dengan 5,940 unit diikuti 12 projek di Petaling membabitkan 5,659 unit,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Lebih 80,000 Rumah Selangorku dibina menerusi 41 projek

KAJANG, 2 MEI: Kerajaan Selangor meluluskan pembinaan 80,650 unit Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan menerusi 41 projek.

Dato’ Menteri Besar berkata daripada jumlah itu, lebih 77,000 ditawarkan kepada orang awam manakala selebihnya diberikan kepada Kerajaan Negeri untuk pelaksanaan Skim Smart Sewa Kemudian Beli (2STAY).

“Menjelang akhir tahun ini juga, kita jangka ada 900 unit lagi untuk skim 2STAY namun berkapasiti kurang 1,000 kaki persegi.

Rumah Selangorku Residensi Adelia, Kajang

“Kerajaan Negeri juga akan gunakan wang denda dikenakan kepada pemaju yang gagal menjual unit Bumiputera untuk membina rumah khas skim 2STAY ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Selangorku Residensi Adelia hari ini.

Terdahulu beliau melawat tapak projek Rumah Idaman di Persiaran Tropicana dekat sini.

Sementara itu, Amirudin berkata kelulusan projek perumahan yang lengkap dengan kemudahan membuktikan pihaknya serius membantu rakyat memiliki kediaman.

Menjelang empat tahun lagi, pihaknya yakin dapat menyediakan rumah berdaya huni dilengkapi infrastruktur untuk kegunaan masyarakat.

“Jadi lepas ini kita boleh keluar daripada gambaran negatif terhadap rumah kos rendah dengan kemudahan daif, keadaan menakutkan dan mengecewakan” katanya.

Menerusi Belanjawan Selangor 2021, Amirudin mengumumkan sebanyak RM20 juta bagi Program Skim Smart Sewa menggunakan dana Tabung Amanah Pengecualian Syarat Kuota Bumiputera.

 

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pembeli Rumah SelangorKu syukur miliki rumah selesa

HULU SELANGOR, 10 APRIL: Pembeli Rumah SelangorKu di Taman Bunga Raya di sini tidak menyangka dapat membeli rumah selesa dengan harga mampu milik.

Hisamudin Hashim, 38, berkata dia bersyukur memiliki rumah teres dua tingkat yang mempunyai empat bilik pada harga RM250,000.

“Saya hanya mencuba nasib memohon membeli rumah tetapi tidak sangka lulus sebab gaji sebagai pembantu tadbir tidak tinggi.

Hisamudin Hashim 38

“Ketika ini saya menyewa di Kota Damansara, Insya-Allah saya dan keluarga berpindah ke sini sedikit masa lagi,” katanya ditemui pemberita selepas menerima kunci rumah yang disampaikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sebanyak 419 unit rumah dibina atas kawasan seluas 26.8 ekar dengan 109 unit fasa pertama siap.

Bagi Mohd Hazwan Abdul Wahab, 40, sukar untuk menggambarkan perasaan apabila impian memiliki rumah sendiri tercapai.

Mohd Hazwan Abdul Wahab 40

“Semua orang impikan kediaman selesa tetapi bukan semua mampu memilikinya, justeru saya berharap Kerajaan Negeri membina lebih banyak rumah mampu milik untuk golongan bergaji rendah,” katanya.

Sementara itu Muhammad Zahiruddin Mohammed, 33, berkata projek Rumah SelangorKu memenuhi impian golongan berpendapatan rendah (B40) memiliki kediaman selesa.

“Saya harap Kerajaan Negeri meneruskan usaha membina rumah untuk golongan B40 kerana masih ramai di luar sana yang belum memiliki kediaman sendiri,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

3,000 unit Rumah Selangorku di Semenyih, Rawang siap tahun ini

SHAH ALAM, 1 APRIL: Sebanyak 3,000 unit rumah mampu milik di beberapa kawasan seluruh negeri dijangka siap menjelang Disember tahun ini.

EXCO perumahan berkata projek Rumah Selangorku tersebut meliputi Semenyih, Hulu Kelang, Telok Panglima Garang, Rawang dan Sungai Buloh.

“Hampir setiap bulan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor meluluskan projek pembinaan rumah.

Rodziah Ismail melakukan gimik pelancaran seminar pemantapan pengurusan kediaman bangunan berstrata di Pusat Konvensyen Shah Alam pada 1 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

“Selepas mendapat kelulusan, pemaju perlu berurusan dengan pihak berkuasa tempatan bagi memastikan projek berjalan lancar,” kata Rodziah Ismail selepas merasmikan seminar pengurusan kediaman bangunan berstrata di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini.

Sementara itu, beliau menyasar sebanyak 3,000 unit Rumah Selangorku Harapan dan Rumah Selangorku Idaman yang dikhaskan untuk Skim Smart Sewa Kemudian Beli (2STAY) siap dua tahun lagi.

“Skim ini menawarkan tempoh sewa antara dua hingga lima tahun sebelum penyewa diberi pilihan untuk beli atau sebaliknya,” katanya lagi.

Skim 2STAY membantu golongan berpendapatan rendah dan individu sukar mendapat pembiayaan untuk memiliki kediaman sendiri pada harga kurang RM200,000.

Program tersebut membabitkan unit kontra percuma di bawah inisiatif Rumah Selangorku Idaman dan Rumah Selangorku Harapan.

 

Categories
EXCO SELANGOR

Selangor lulus pembinaan lebih 25,000 Rumah SelangorKu – EXCO

SHAH ALAM, 12 DIS: Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan 27,951 unit Rumah SelangorKu Harapan setakat 30 November lalu.

EXCO perumahan berkata sebanyak 10 projek bakal dilaksana mengikut fasa bermula awal tahun depan serta dijangka siap pada 2023 dan 2024.

“Selangor turut memperkenalkan Insentif Galakan Pembinaan Rumah Mampu Milik yang membolehkan pemaju meminda syarat Rumah SelangorKu jenis A, B, C dan D kepada E khas.

“Inisiatif ini dijangka bakal menambah 30,000 unit rumah tersebut berkeluasan 92.9 meter persegi dengan harga jualan tidak melebihi RM250,000 seunit dalam tempoh tiga tahun,” kata Rodziah Ismail kepada SelangorKini hari ini.

Beliau berkata rumah diperkenal Kerajaan Negeri itu turut mempunyai kelengkapan sama dengan Rumah Idaman seperti penghawa dingin, kabinet dapur, kabinet baju dan pemanas air.

Pada 30 Oktober Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pemaju dibenar meminda syarat Rumah Selangorku jenis A, B, C dan D kepada E melalui Insentif Galakan Pembinaan Rumah Mampu Milik bertujuan merancakkan semula sektor pembinaan yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mengikut konsep asal projek perumahan itu dijual pada harga jualan antara RM42,000 sehingga RM250,000 dengan variasi lima jenis iaitu jenis A, B, C, D dan E berkeluasan antara 65 sehingga 92.9 meter persegi.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO sasar 21,094 unit Rumah Selangorku siap dalam tiga tahun

SHAH ALAM, 3 DIS: Kerajaan Negeri menyasar pembinaan 21,094 unit Rumah Selangorku dalam tempoh tiga tahun.

EXCO perumahan berkata sebanyak 9,606 unit sedang dibina di Kuala Langat, Sepang dan Kajang.

Sementara 6,368 unit lagi meliputi kawasan Shah Alam, Klang, Petaling Jaya, Subang Jaya dan Ampang.

“Sebanyak 5,120 unit pula sedang dibina di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor dan Selayang,” kata Rodziah Ismail ketika dihubungi.

Beliau berkata tumpuan diberikan kepada pembinaan kediaman selesa bagi golongan berpendapatan rendah dan menengah selain memastikan tiada rakyat terpinggir.

Sebanyak 14,497 unit Rumah Selangorku berjaya disiapkan antara 2018 hingga kini. Sementara 102,996 unit dalam proses mendapat kelulusan.