Categories
NASIONAL

Hampir jam 4.30 petang orang ramai masih berduyun ke rumah terbuka PM

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 15 JUN: Walaupun Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri hanya berbaki kurang sejam sahaja lagi sebelum berakhir pada jam 4.30 petang namun SelangorKini mendapati masih ramai yang baru tiba untuk menyertai kemeriahannya.

SelangorKini yang sempat menyapa salah sebuah keluarga yang baru sahaja tiba diberitahu, beliau dan keluarga teruja untuk bertemu pemimpin Kerajaan Pakatan Harapan khasnya Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Tak dapat makan pun tak apa, cuma harap dapat bersalaman dengan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri lain,” kata wanita berbangsa Cina itu sambil bergegas menuju ke tapak rumah terbuka itu.

Beliau yang datang bersama empat sekeluarga memberitahu, walaupun terpaksa berjalan kaki jauh tetapi tidak mematahkan semangatnya untuk hadir ke majlis itu.

Tinjauan SelangorKini turut mendapati kenderaan tetamu yang hadir di Kompleks Seri Perdana itu terpaksa meletakkan kenderaan lebih satu kilometer apabila kawasan di Kompleks Seri Perdana dibanjiri ribuan kenderaan pengunjung.

Sebelum itu, pada sebelah pagi Mahathir dan beberapa Menteri mengambil kesempatan bertemu dengan orang ramai yang hadir.

Antara Menteri yang hadir pada sebelah pagi, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pelajaran, Dr Maszlee Malik; Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan beberapa Menteri lain.

Manakala, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mula mengambil giliran menyantuni orang ramai apabila Mahathir dan Menteri lain menunaikan solat Jumaat.

Selain itu, Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir pada majlis rumah terbuka itu.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Sambutan luar biasa tanda semangat rakyat bersama kerajaan baru

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 15 JUN: Kehadiran luar biasa masyarakat berbilang bangsa di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri mencerminkan sokongan padu rakyat terhadap kerajaan baru Pakatan Harapan (PAKATAN).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sambutan diberikan rakyat terhadap majlis itu sangat luar biasa berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Suasana sambutan rumah terbuka aidilfitri Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ini menunjukkan semangat rakyat untuk bersama kerajaan baru sangat kuat menjelang pasca PRU14.

“Insha Allah dengan sokongan begini besar Kerajaan Pakatan Harapan akan memenuhi aspirasi rakyat Malaysia keseluruhannya, insha allah,” katanya kepada pemberita pada majlis yang diadakan di Kompleks Seri Perdana di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, kehadiran masyarakat pelbagai kaum juga membuktikan kematangan rakyat menolak sentimen perkauman dan agama.

Katanya, keadaan ini dianggap sebagai petanda yang amat baik untuk Malaysia lebih maju ke hadapan.

Terdahulu, dianggarkan lebih 50,000 masyarakat berbilang bangsa hadir di Rumah Terbuka Perdana Menteri sejak awal pagi lagi.

Di samping menjamu selera dengan pelbagai juadah disediakan orang ramai turut tidak melepaskan peluang untuk bersalaman dengan pemimpim PAKATAN yang hadir.

 

=EZY=