Categories
SELANGOR

Rumah Terbuka Selangor: Sate Che Mat, Kebab 5Ruz antara jadi tumpuan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 JUN: Majlis Rumah Terbuka Sempena Sambutan Eidul Fitr Peringkat Negeri mendapat sambutan apabila dihadiri lebih 50,000 pengunjung sejak pagi tadi.

Tinjauan SelangorKini mendapati, walaupun jam sudah menunjukkan jam 4.00 petang, namun pengunjung majlis penuh meriah itu masih beratur panjang untuk mengambil juadah yang disediakan.

Antara gerai yang mendapat tumpuan pengunjung termasuklah gerai Kebab 5Ruz yang menggunakan rempah rahsia dalam resepinya.

Pengusaha perniagaan terbabit, Muhammad Faizal Yop, 35, berkata, kakitangannya gerainya mula diserbu orang ramai sejak jam 10.00 pagi tadi.

“Kami menyediakan lebih 2,000 keping kebab ayam dan daging. Sehingga kini hanya tinggal sedikit sahaja, kurang 100 sahaja tapi orang masih beratur panjang.

“Antara keistimewaan kebab kami, kami menggunakan rempah rahsia yang berbeza dengan kebab lain,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Gerai Sate Che Mat daripada Sekinchan turut tidak menang tangan untuk menyediakan sate untuk pengunjung yang sentiasa beratur panjang.

SelangorKini difahamkan pengusaha terbabit menyediakan lebih 20,000 cucuk sate untuk majlis rumah terbuka kali ini.

Manakala, Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) pula menyediakan lebih 10 tan buah-buahan tempatan daripada ladang PKPS sendiri. Antaranya buah nangka, tembikai, tembikai susu dan jambu batu.

Gerai lain yang turut mendapat tumpuan, cendol, bihun sup gearbox, ayam golek, roti john, apam balik crispy, ketupat, lemang, rendang dan banyak lagi.

Majlis ini turut dimeriahkan lagi dengan persembahan istimewa beberapa artis popular seperti Jay Jay, Khai Bahar, Yassin dan lain-lain.

Categories
SELANGOR

Lebih 50,000 meriahkan Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitr, rai perpaduan kaum

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 JUN: Lebih 50,000 rakyat terdiri daripada pelbagai lapisan bangsa dan agama memeriahkan sambutan Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitri, peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, hari ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyifatkan sambutan menggalakkan itu sebagai lambang manifestasi perpaduan rakyat di negeri berkebajikan itu.

“Berpuluh ribu rakyat yang hadir pada majlis ini membuktikan manifestasi sebenar perpaduan rakyat Selangor yang hidup aman dan damai.

“Di bawah lindungan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, saya percaya keamanan dan keharmonian ini dapat dikekalkan,” katanya.

Amirudin berkata demikian ketika berucap pada sembah ucapan Dato’ Menteri Besar kepada baginda, pagi ini.

Terdahulu, majlis yang turut dihadiri DYMM Sultan Selangor itu turut diserikan dengan kehadiran Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut berkenan mencemar duli hadir pada majlis tahunan itu.

Turut hadir, pimpinan Kerajaan Negeri antaranya Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan barisan Exco Kerajaan Negeri juga hadir memeriahkan sambutan.

Hadir sama, bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan pimpinan tinggi Kerajaan Persekutuan, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Dr Dzulkefly Ahmad.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Media terima akses, tiada sekatan aju soalan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 JUN: Petugas media diberikan akses bertanyakan sebarang soalan kepada pimpinan tertinggi Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitri, peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, pagi ini.

Langkah itu sekali gus mengenepikan sentimen kononnya pentadbiran Pakatan didakwa tidak lagi mesra media selepas berjaya mentadbir kepimpinan tertinggi Putrajaya.

Antara pimpinan tertinggi Putrajaya yang diajukan soalan daripada pemberita, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Kedua-duanya memberikan akses mudah diajukan soalan daripada pemberita, membabitkan isu-isu semasa negara.

Selain itu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari turut memberikan ruang kepada pemberita mengajukan soalan selepas selesai mengiringi Duli Yang Mah Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang turut hadir pada program rumah terbuka itu.

Lebih istimewa, Dato’ Menteri Besar itu turut memberikan peluang kepada media rasmi Kerajaan Malaysia, Radio Televisyen Malaysia (RTM) berlintas langsung menerusi slot Berita Nasional Jam 1, di TV1.

Perkembangan positif itu sekali gus mencerminkan keterbukaan pimpinan Pakatan Harapan Persekutuan dan Negeri dalam mengangkat amalan kebebasan media, sebagaimana yang diperjuangkan gabungan itu sebelum ini.

Berbanding keadaan sebelumnya di bawah pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang jarang bertemu media dalam program-program rasmi Kerajaan Malaysia.

=EZY=

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Keberangkatan Sultan Selangor beri makna besar buat Amirudin

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 24 JUN: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari menyifatkan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin ke Majlis Rumah Terbuka Sempena Sambutan Eidul Fitr Peringkat Negeri memberi makna yang besar kepada beliau.

Amirudin berkata, hal ini berikutan beliau baru sahaja dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar menggantikan Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pada 19 Jun lalu.

“Patik bersama keluarga besar pentadbiran Negeri Selangor amat terharu di atas perkenan Tuanku untuk berangkat mencemar Duli buat kali keempat berturut-turut ke Majlis Rumah Terbuka Sempena Sambutan Eidul Fitr anjuran Kerajaan Negeri.

“Keberangkatan Tuanku berdua ke Majlis Sambutan Rumah Terbuka Eidul Fitr hari ini amat besar maknanya buat diri patik yang baharu sahaja mendapat perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk melantik patik sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyembah ucapan kepada baginda pada majlis yang diadakan di Dataran Kemerdekaan di sini, hari ini.

Amiruddin berkata, beliau bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Selangor menjunjung kasih dan merafak sembah di atas perkenan baginda dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor berangkat mencemar Duli ke majlis penuh meriah itu.

Terdahulu, keberangkatan baginda berdua disambut oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah; Amirudin; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan beberapa kenamaan lain dengan diiringi paluan rebana.

Baginda berdua turut mengambil kesempatan beramah mesra sambil bersalaman dengan rakyat jelata di majlis itu.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Rumah Terbuka Selangor: Rakyat berduyun meriahkan suasana

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 JUN: Pelantikan Amirudin Shari sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor turut diraikan rakyat seluruh negeri yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitr peringkat Kerajaan Selangor

Rata-rata, rakyat yang hadir tidak melepaskan peluang untuk bergambar dan bersalaman dengan Dato’ Menteri Besar yang baru itu.

Sebelumnya, Amirudin yang tiba di Dataran Kemerdekaan Shah Alam jam 10.30 pagi tadi, disambut meriah pengunjung yang mula membanjiri perkarangan dataran sejak jam 10.00 pagi lagi.

Terdahulu, Majlis Rumah Terbuka Eidul Fitr peringkat Kerajaan Selangor yang bertemakan Kesatuan Hati, Kemenangan Diinsafi dihadiri pengunjung dari pelbagai jenis kaum, agama dan budaya.

Lebih istimewa, majlis turut diserikan dengan kehadiran Duli Yang Maha Mulia, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin.

Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah turut berkenan mencemar duli hadir pada majlis tahunan itu.

Turut hadir, pimpinan Kerajaan Negeri antaranya Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya dan barisan Exco Kerajaan Negeri juga hadir memeriahkan sambutan.

Hadir sama, bekas Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan pimpinan tinggi Kerajaan Persekutuan, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Dr Dzulkefly Ahmad.

Orang awam masih berpeluang untuk hadir ke majlis yang dijangka tamat sekitar jam 4:00 petang in