Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB: 908 rumah dikenal pasti untuk baik pulih, bina baharu

SHAH ALAM, 7 JAN: Sebanyak 908 unit rumah dikenal pasti perlu dibaik pulih dan dibina baharu akibat banjir setakat 4 Januari lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata daripada jumlah keseluruhan itu, 876 perlu dibaik pulih manakala 32 unit perlu dibina baharu.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) semalam mempertanggungjawabkan EXCO Perumahan Rodziah Ismail untuk melihat keseluruhan keadaan rumah, apakah jenis bantuan yang boleh disampaikan.

“Mungkin ada pengumuman Kerajaan persekutuan yang kita akan padankan dengan keperluan mangsa banjir yang terjejas kediaman disamping bantuan Lembaga Zakat Selangor (LZS),” katanya.

Beliau berkata pada sidang media khas situasi banjir di bilik mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Amirudin berkata, rumah yang dibaik pulih terdiri pelbagai kategori dan EXCO perumahan akan membuat penyelarasan setiap rumah yang terjejas.

“YB (yang berhormat) Rodziah akan menilai dalam tempoh seminggu, selepas itu beliau atau Kerajaan Negeri akan umumkan bentuk bantuan bagi rumah yang hilang, roboh dan baik pulih terkesan akibat banjir,” katanya.

Keadaan rumah yang terjejas akibat banjir ketika tinjauan di Kampung Sungai Lui, Hulu Langat pada 21 Disember 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Kerajaan Negeri kumpul data rumah Orang Asli perlu dibaiki, bina baru

SHAH ALAM, 28 NOV: Kerajaan Negeri akan mendapatkan maklumat berkaitan kediaman masyarakat Orang Asli bagi proses membina, baik pulih dan menaik taraf kedaifan.

EXCO hal ehwal Orang Asli berkata pengumpulan data itu susulan pembentangan Dato’ Menteri Besar dalam Belanjawan #Selangor 2022 yang memperuntuk RM1.5 juta bagi tujuan keselesaan etnik terbabit.

“Kita akan dapat maklumat daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan wakil rakyat mengenai keadaan rumah-rumah penduduk sama ada perlu dibaiki atau dibina baru.

“Keadaan setiap rumah tidak sama dan kos perbelanjaan juga tidak sama jadi kita kumpul maklumat terlebih dulu,” kata Hee Loy Sian ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata ini kali pertama belanjawan Kerajaan Selangor memberi peruntukan untuk membina rumah untuk masyarakat Orang Asli.

“Ini adalah berita gembira dan mereka menyambut baik usaha Kerajaan Negeri ini kerana sebelum ini hanya peruntukan baik pulih,” katanya.

Jumaat lalu, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana berkenaan memfokus kepada program membina, baik pulih dan naik taraf kedaifan kediaman di perkampungan mereka.

“Kemudahan-kemudahan prasarana sedia ada juga akan dinaik taraf sekali gus menaikkan sosioekonomi dan mengekalkan budaya masyarakat Orang Asal yang telah sekian lama diamalkan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Categories
AGENSI SELANGOR

PKNS, TNB teruskan kerjasama bantu asnaf miliki rumah

SHAH ALAM, 9 NOV: Seramai 18 keluarga asnaf kini memiliki rumah yang lebih selesa hasil kerjasama strategik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersama Tenaga Nasional Bhd (TNB) melalui program ‘Better Brighter Home @ Projek Baiti Jannati TNB Peringkat Selangor’.

Program itu dilaksanakan dengan setiap asnaf menerima rumah serta diberikan perabot asas rumah seperti almari pakaian, meja makan dan mesin basuh menggunakan peruntukan wang zakat TNB dan PKNS yang juga mendapat bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi mengenal pasti golongan asnaf yang layak.

Ketua Pegawai Korporat PKNS Idris Ishak berkata 13 penerima dapat melunaskan baki bayaran perumahan mereka manakala lima lagi menerima unit rumah baharu di Pangsapuri Kuang Raya milik PKNS, melibatkan jumlah keseluruhan peruntukan zakat untuk inisiatif itu sepanjang 2020 dan 2021 sebanyak RM2.5 juta.

“Ini adalah komitmen kami (PKNS dan TNB) selama tiga tahun sejak 2019 dan kami akan teruskan dan jadikan satu program tahunan kami, selagi mampu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan kepada penerima di Dewan Aster, Bangunan Ibu Pejabat PKNS hari ini.

Idris turut berkata program tanggungjawab sosial korporat (CSR) seperti itu perlu penglibatan pihak korporat yang lain supaya sama-sama dapat membantu menyediakan perumahan kepada golongan asnaf.

Pengurus Besar State Stakeholders Affairs Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Cyberjaya, Bahagian Regulatory & Stakeholder Management TNB, Ir Ahmad Rezahan Mohammad berkata kerjasama tersebut diteruskan buat tahun ketiga susulan maklum balas yang sangat baik daripada semua pihak khususnya dalam usaha membantu menangani masalah kemiskinan di bandar.

“Program ini juga berjalan sepanjang tahun lepas tetapi akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara, kami terpaksa menangguhkan majlis penyerahan kepada tahun ini dan alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar hasil usaha sama bersama PKNS,” katanya yang turut berharap kerjasama murni itu akan tetap diteruskan untuk tahun-tahun mendatang.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Dua projek perumahan dibangunkan atas tanah wakaf Mais

KLANG, 28 OKT: Dua projek perumahan dibangunkan atas tanah wakaf milik Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Jalan Limau, Kapar di sini dengan nilai pembangunan kasar RM28 juta.

Dikenali sebagai UME Impian dan UME Idaman, projek berkeluasan 1.21 hektar setiap satu berkonsepkan ‘istibdal’ iaitu menggantikan tanah wakaf dengan tanah lain bernilai tinggi, kata pengerusi Mais.

Pembinaan perumahan oleh anak syarikat Perbadanan Wakaf Selangor itu turut diluluskan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor sejak 17 Oktober 2017, jelas Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusoh.

“Tujuan kita menggunakan kaedah ini supaya mudah tanah wakaf ini dibangunkan untuk projek perumahan, malah ia turut dibenarkan mengikut hukum,” katanya selepas melancarkan projek berkenaan hari ini.

Abdul Aziz berkata kedua-dua pembinaan masing-masing melibatkan 37 unit rumah teres satu tingkat dengan tawaran harga antara RM380,000 sehingga RM480,000.

“Semoga pelaksanaan projek ini dapat memberi peluang kepada lebih ramai umat Islam untuk memiliki rumah dengan harga berpatutan,” katanya lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Rumah Idaman guna teknologi pasang siap, kurang bergantung pekerja asing

SHAH ALAM, 27 OKT: Projek Rumah Idaman menggunakan sistem binaan berindustri (IBS) dan teknologi pasang siap yang mesra alam, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penggunaan IBS dapat mengoptimumkan kos pembinaan tanpa menjejaskan kualiti rumah selain dapat mengurangkan kebergantungan pekerja asing.

“Dengan IBS, Rumah Idaman semakin mampu dimiliki kerana kos pembinaan jadi optimum dan yang paling penting meningkatkan kualiti rumah mampu milik supaya dapat didiami dengan selesa.

“Kami yakin dengan rekod prestasi rakan kerjasama MGB Berhad dan LBS Bina Group berdasarkan pengalaman meluas menggunakan sistem binaan berindustri lebih 10 tahun,” katanya.

Beliau berkata dalam pengumuman khas berkaitan Rumah Idaman secara langsung di Facebook rasminya hari ini.

Terdahulu, Amirudin memaklumkan enam projek Rumah Idaman dibina untuk membantu rakyat yang bekerja dan tinggal di Selangor memiliki kediaman pertama.

Projek itu dibina di lokasi strategik meliputi Bandar Saujana Putra, Shah Alam, Puchong, Cybersouth dan Bandar Puncak Alam.

Setiap unit rumah memiliki keluasan 1,000 kaki persegi, reka bentuk praktikal serta dijual dengan harga RM250,000

Rumah Idaman juga dilengkapi tiga bilik tidur, dua bilik air, dua ruang parkir, seunit televisyen dan peti ais serta kabinet.

Maklumat terkini boleh dicapai melalui laman sesawang www.platselangor.com.

 

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Keluarga asnaf seronok beraya rumah baharu percuma

KETIKA umat Islam girang merai pagi Aidilfitri, keluarga Rohaya Atan, 41, dan suami A’adila Abd Aziz, 48, sibuk menadah baldi.

Rumah mereka di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor kerap dimasuki air hujan dek atap zink telah berkarat. Bocor sana sini.

Dibina abang Rohaya kira-kira 30 tahun lalu, mereka membeli pada harga RM900, itu pun secara ansuran selama 10 bulan. Kini, rumah itu hanya menunggu masa menyembah bumi.

Tapi itu dulu. Kali ini, mereka berhari raya di rumah baharu sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS). Rumah tiga bilik berkeluasan 800 kaki persegi lengkap kemudahan elektrik dan air.

Air paras betis

Setiap kali air pasang, dapur dan bilik air digenangi air separas betis berhari-hari lamanya. Kadang-kala sampai berminggu-minggu.

Kedudukan rumah di antara pinggir sungai dan tambakan jalan berturap menyebabkan air tertampung. Lambat mengalir.

Bahkan, dinding dan lantai papan rumah kayu pula kian rapuh dimakan anai-anai. Salah melangkah, kaki lobos ke bawah.

Kediaman lama keluarga Rohaya Atan di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor yang kerap dimasuki air hujan dek atap zink telah berkarat

Setiap kali hujan, anak-anak yang mahu ke sekolah juga terpaksa memijak batu besar untuk menyeberang ke jalan.

Lebih-lebih lagi Zaifitri A’adila, anak bongsu berusia sembilan tahun yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) fizikal sejak lahir.

Rumah itulah didiami bersama lima anak berusia antara sembilan hingga 23 tahun. Di situlah mereka menyambut Aidilfitri sekian lama, hanya ala kadar.

Bukan tidak teringin tetapi jangankan rumah baharu, belanja harian pun selalu sangkut. Mujur ada bantuan bulanan LZS untuk menampung perbelanjaan keluarga.

Berapalah sangat pendapatan nelayan pantai. Setiap kali turun ke laut dapatlah sekitar RM35. Itupun kalau cuaca baik. Kalau cuaca buruk atau musim tengkujuh, berhari-hari tidak ke laut. Mereka makan apa yang ada. Selalunya sayur yang dikutip sekitar kampung, ikan masin dan ikan pekasam yang dibuat sendiri.

Justeru, mereka gembira tidak terkata apabila ditawar rumah baharu percuma sumbangan LZS. Syukurnya tidak terkira. Mereka berterima kasih kepada LZS dan wakil rakyat Permatang Rozana Zainal Abidin yang banyak membantu.

“Macam bermimpi. Dahulu, tidak pernah terfikir dapat memiliki rumah sendiri kerana saya tidak mampu.

“Anak-anak tidak sabar mahu raya walaupun persiapan ala kadar sahaja,” kata Rohaya kepada Selangorkini.

Pada Oktober tahun lalu, mereka dengan penuh ceria berpindah ke rumah bernilai antara RM86,000 hingga RM90,000.

Tidak terlintas

Seperti jiran mereka, rumah Rahmat Idris, 59, juga usang dan sering dinaiki air. Bersama isteri dan enam anak berusia 30 hingga 15 tahun, mereka mendiami rumah itu 12 tahun lamanya.

Dengan menjual besi, tin aluminium, barangan plastik di pusat kitar semula selain menjual daun nipah kepada peniaga otak-otak, impian memiliki rumah sempurna telah lama luput dari hasrat.

Rahmat Idris gembira menerima rumah baharu sumbangan daripada Lembaga Zakat Selangor

Tidak pernah terlintas LZS memberi rumah buat mereka. Basikal, kenderaan untuknya untuk mencari bahan terbuang pun hasil bantuan agensi itu.

“Tidak sangka boleh dapat rumah sendiri. Kalau ikut kemampuan, tidak tahulah bila boleh ada rumah sendiri. Berapa sangatlah pendapatan jual besi buruk,”
katanya.

Selain mereka, seramai 11 lagi keluarga asnaf fakir dan miskin di Kampung Baru Pasir Penambang di sini menerima rumah sedemikian.

Lebih mengujakan mereka, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari sendiri menyampaikan simbolik kunci rumah kepada mereka pada 24 April.

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak penyamar, hubungi TNB sahkan identiti pemasang meter pintar

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Pemilik rumah boleh menghubungi Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk mendapatkan pengesahan pengenalan diri pemasang meter pintar bagi mengelak penyamaran oleh pihak tertentu bagi tujuan tidak baik.

Pengarah Projek Advanced Metering Infrastructure (AMI) TNB Ir. Mohamed Ghous Ahmad berkata mengikut prosedur, setiap pemilik kediaman yang terlibat dengan pemasangan meter pintar akan menerima notis sebelum pemasangan dilakukan sebagai langkah pemakluman dan temu janji.

“Pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di talian 1-300-88-5454 sekiranya mereka ragu-ragu dan ingin mendapatkan pengesahan,“ katanya kepada Bernama.

Mengulas lanjut, Mohamed Ghous berkata bagi kediaman bertingkat seperti kondominium dan pangsapuri, makluman pemasangan akan dibuat menerusi persatuan penduduk atau badan pengurusan bersama (JMB) bangunan sebelum pemasangan dilakukan.

Justeru, katanya pemilik rumah berhak dan wajib menghalang mana-mana petugas pemasangan meter pintar yang meragukan, tidak memakai pakaian seragam atau menunjukkan kad pengenalan diri.

Beliau berkata setiap petugas pemasangan meter pintar itu juga diwajibkan memakai pakaian seragam berwarna oren dan vest serta perlu menunjukkan kad pengenalan diri yang membuktikan mereka adalah kontraktor pemasangan meter pintar TNB.

“Pemasangan meter pintar yang kini giat dilaksanakan di Lembah Klang adalah percuma dan hanya mengambil masa kira-kira sejam untuk dipasang,” katanya menambah kerja-kerja pemasangan meter pintar ini akan dilakukan sepasukan dua petugas bertauliah dan terlatih.

“Mereka terdiri sama ada dalam kalangan kakitangan TNB sendiri atau kontraktor yang dilantik,” kata Mohamed Ghous.

Menurut beliau bacaan meter pintar juga adalah tepat dengan setiap meter diuji serta ditentukur berdasarkan piawaian oleh SIRIM; mematuhi Akta Timbang dan Sukat, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; serta menerima sijil perakuan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga.

Sistem komunikasi meter pintar pula disahkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

TNB merupakan ejen pelaksana program pemasangan meter pintar dalam usaha kerajaan memperkasa pengguna dan meningkatkan pendigitalan dalam kalangan rakyat dan dilaksana di bawah mekanisme Kawal Selia Berasaskan Insentif (IBR).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Pesakit Covid-19 tahap satu, dua dirawat dan kuarantin di rumah

PUTRAJAYA, 12 JAN: Kementerian Kesihatan (KKM) menetapkan pesakit Covid-19 tahap satu dan dua menjalani rawatan serta kuarantin di rumah dengan pemantauan ketat oleh petugas kesihatan berkuatkuasa 1 Jan lepas, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata pasukan khas diwujudkan di peringkat Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) peringkat negeri dan daerah bagi memantau pesakit yang dirawat di rumah.

Bagaimanapun, katanya, pesakit yang bergejala akan dirawat di hospital serta menjalani proses pemantauan seperti biasa.

“Tindakan ini dilaksanakan kerana kita perlu cepat untuk buat rawatan dan pengasingan terhadap kes positif dan dengan ini, KKM akan terus buat pengesanan kontak bagi melandaikan lengkuk Covid-19,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2021 KKM hari ini.

Dr Adham berkata pesakit tahap satu dan dua itu akan diberikan tempoh selama 10 hari untuk berada di rumah sebelum perlu menjalani ujian saringan pada hari terakhir.

“Ujian saringan akan dibuat pada hari ke-10 di rumah masing-masing dan jika mereka negatif, ini bermaksud mereka telah bebas dari Covid-19,” katanya.

Dr Adham berkata pihaknya akan menilai keluasan rumah serta bilangan isi rumah yang ada, sebelum membenarkan pesakit Covid-19 tahap satu dan dua terbabit menjalani rawatan di rumah masing-masing.

“Pasukan penilai telah diwujudkan bagi meneliti kesiapsiagaan isi rumah serta keadaan rumah, kerana jika rumah kecil, pesakit akan dibawa ke hospital.

“Sekiranya fasiliti rumah mencukupi dan ada bilik untuk diasingkan, serta keluarga memahami isu kuarantin dan pengasingan, selain memahami tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan KKM, mereka akan dirawat di rumah,” katanya.

Ditanya bilangan pesakit yang menjalani rawatan dan kuarantin di rumah setakat ini, Dr Adham berkata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan mengeluarkan perincian berhubung perkara tersebut dalam masa terdekat.

Dr Noor Hisham pada 4 Jan lepas dilaporkan berkata, KKM mempertimbangkan untuk mengasing dan mengkuarantin pesakit Covid-19 yang tidak bergejala dan bergejala ringan di rumah memandangkan kemudahan kesihatan sedia ada semakin terhad susulan peningkatan kes harian yang tinggi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada lagi kuarantin di rumah terhadap individu dari luar negara

SHAH ALAM, 21 JULAI: Kerajaan memutuskan tiada lagi kuarantin wajib di rumah, sebaliknya mereka yang tiba dari luar negara perlu berbuat demikian di stesen yang ditetapkan Jumaat ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga berkata individu terbabit perlu menanggung kos selama 14 hari itu sepenuhnya.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersama Kementerian Kesihatan akan mengenal pasti serta mewartakan institut latihan awam atau hotel yang bersesuaian sebagai stesen kuarantin.

“Susulan keputusan ini, rakyat Malaysia yang ingin pulang ke Malaysia tidak lagi diwajibkan menjalani ujian saringan Covid-19 di negara asal dalam tempoh tiga hari sebelum tarikh penerbangan, namun bagi warga asing mereka perlu membuat saringan terbabit,” katanya pada sidang media, hari ini.

Pada 10 Jun lalu, kerajaan mengarahkan rakyat yang pulang dari luar negara menjalani kuarantin wajib di rumah masing-masing, bukan di pusat yang ditetapkan.

Ismail turut kesal dengan kes tular pesakit di bawah pengawasan Covid-19 yang didakwa mengingkari arahan tersebut dan makan di sebuah restoran di Meru Raya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Lima keluarga dapat rumah baharu menjelang Aidilfitri

SHAH ALAM, 9 MEI: Lima keluarga di Sabak Bernam boleh meraikan Aidilfitri dengan lebih meriah tahun ini apabila menerima rumah sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) semalam.

LZS dalam hantaran di Facebook memaklumkan sebanyak RM400,000 diperuntukkan bagi membina rumah baharu kepada asnaf fakir miskin di daerah berkenaan.

“Dengan bantuan rumah baru ini, keluarga asnaf tersebut dapat menikmati keselesaan tempat berlindung dan berteduh lebih-lebih lagi dalam suasana Ramadan serta Syawal bakal menjelma.

“Semoga bantuan ini dapat dimanfaat dengan sebaiknya dan meningkatkan lagi rasa syukur serta ketaqwaan kepada Allah SWT,” kata agensi itu.

Penyerahan kunci rumah baharu disempurnakan ketua operasi agihan LZS Sabak Bernam, Azizul Fitry Salam.

Categories
NASIONAL

32,951 rumah mampu milik siap dibina sejak tiga bulan pertama 2019

CHUKAI, 20 Mei: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya menyiapkan 32,951 unit kediaman Rumah Mampu Milik (RMM) di seluruh negara dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.

Menterinya Zuraida Kamaruddin berkata daripada jumlah itu, bilangan tertinggi adalah di Kuala Lumpur sebanyak 7,390 unit diikuti Perak 5,688 unit; Putrajaya (4,999); Kedah (4,815); Selangor (3,777); Johor (1,964) dan Pahang (1,884).

“Pakatan Harapan (PH) sasarkan untuk membina sejuta rumah mampu milik dalam tempoh 10 tahun iaitu 100,000 setahun. Tetapi dalam tempoh setahun sahaja kami telah melepasi sasaran dan telah sediakan 360,000 unit kediaman yang telah dimulakan pembinaan tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Pusat Latihan Vokasional dan Teknikal Sistem Binaan Berindustri (IBS) di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri KPKT Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Terengganu Dr Alias Razak.

Pusat latihan IBS di Kijal, Kemaman itu adalah yang pertama di negara ini yang dijalankan secara usahasama antara syarikat gergasi pembinaan IBS Dunia, Sany Construction Industry (SCI) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Sebanyak 150 pelatih peringkat pertama akan dipilih mengikuti latihan selama tiga bulan bermula awal Julai depan dengan 15 orang daripadanya ditaja oleh SCI.

Menurut Zuraida, kewujudan pusat terbabit akan melahirkan lebih ramai tenaga teknikal dan pakar dalam industri IBS dalam kalangan anak tempatan sekali gus mengurangkan kebergantungan kerajaan kepada tenaga buruh asing dalam sektor pembinaan sekurang-kurangnya 40 peratus.

“Dengan teknologi IBS, kita tidak memerlukan tenaga buruh yang ramai kerana kerja 1,000 orang dapat dilakukan oleh hanya 90 pekerja sahaja. Ini juga akan membantu mempercepatkan pembinaan satu juta RMM yang kita sasarkan dengan kos yang lebih murah melalui teknologi moden serta efisien,” katanya. -BERNAMA

 

 

Categories
NASIONAL

Rumah berkualiti jadi keutamaan Kerajaan PAKATAN

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Pembinaan rumah berkualiti dengan persekitaran kondusif bagi golongan berpendapatan rendah dan termiskin akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, PAKATAN turut menyasarkan pencapaian pemilikan 500,000 unit kediaman bagi golongan itu, dalam tempoh lima tahun ini.

“Kajian impak sosial akan dijalankan sebelum sesuatu projek perumahan dilaksanakan bagi memastikan kualiti suasana kawasan perumahan terjamin daripada segi keselamatan dan persekitaran kondusif.

“Pendekatan sebegini memerlukan perancangan rapi bagi memastikan kebajikan rakyat didahulukan. Sistem perolehan tanah dengan harga berpatutan dan tawaran pembinaan rumah secara tender terbuka akan diamalkan bagi memastikan harga rumah terkawal,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu beliau, memetik BERNAMA, hari ini.

Raja Kamarul Bahrin berkata, zaman pemberian rumah yang dibuat secara pilih kasih akan digantikan dengan sistem pemberian saksama mengikut keperluan sebenar melalui data maklumat rakyat serta keluarga yang belum memiliki sebarang kediaman.

“Diharap, tahun 2019 memberi harapan sinaran lebih gemilang untuk kita merintis jalan ke arah negara yang lebih sejahtera di era Malaysia Baharu. Semoga ia membawa pencapaian yang kita hajatkan. Insya-Allah. Selamat menyambut Tahun Baharu 2019,” katanya.