SHAH ALAM, 4 MAC: Selangor mendapat rundingan kontrak RM7.5 juta sepanjang seminggu menyertai Expo Dubai 2020 bulan lalu.
EXCO pembangunan usahawan berkata jumlah tersebut membabitkan kerjasama dengan beberapa negara antaranya United Kingdom, India, Indonesia, Poland, Kuwait dan Singapura.
“Ada yang ambil kontrak dengan nilai kecil, mungkin mahu mencuba produk kita. Namun ada yang terus ambil sehingga RM4 juta.
“Tujuh hari di sana menjadi titik tolak kepada usaha Selangor membawa produk usahawan ke seantero dunia,” kata Rodziah Ismail pada Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di sini hari ini.
Jelasnya, daripada penyertaan dalam negara ini, Selangor satu-satunya agensi mempunyai kios sendiri sekali gus membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam membantu golongan peniaga.
“Kita akan pergi ke beberapa tempat lagi (dunia). Sebelum ini selama tiga tahun kita letakkan produk di Nanning, China tetapi kali ini ke Dubai. Sebab di sana (Nanning) orang dah kenal produk kita.
“Jadi mana-mana usahawan yang berminat mengembangkan perniagaan perlu daftar dengan unit perancang ekonomi negeri (Upen) Selangor. Kita akan panggil, beri taklimat untuk bawa ke depan,” katanya.
Rodziah mengetuai delegasi Selangor ke expo berkenaan dari 11 hingga 18 Februari yang turut disertai wakil KoHijrah serta Upen.