Categories
AGENDA NASIONAL

Konvoi bawa keluar rakyat Malaysia selamat tiba di sempadan Ukraine-Poland

KUALA LUMPUR, 27 FEB: Sembilan rakyat Malaysia bersama dua tanggungan mereka dan seorang warga Singapura yang dibawa keluar dari Kyiv, Ukraine selamat tiba di Poland awal pagi tadi dan disambut dua pegawai Kedutaan Besar Malaysia di negara itu.

Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi ciapan di Twitter memaklumkan konvoi tersebut yang diketuai oleh Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Ukraine Fadhilah Daud kini sedang menuju ke ibu kota Poland.

“Mereka sedang menuju ke Warsaw pada waktu ini dan dijangka pulang ke Kuala Lumpur dalam masa yang terdekat,” katanya.

Sementara itu, Wisma Putra menerusi hantaran di Twitter memaklumkan konvoi itu selamat tiba di sempadan Korczowa-Krakovets pada pukul 5.45 pagi waktu Malaysia (10.45 malam, 26 Feb waktu tempatan).

“Wisma Putra sentiasa berhubung dengan pegawai kedutaan mengenai lokasi, keselamatan dan konvoi yang mengiringi mereka,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata pemindahan baki rakyat Malaysia di Ukraine sedang giat dilakukan manakala 13 rakyat Malaysia telah meninggalkan negara itu dalam tempoh beberapa minggu lepas berikutan keadaan tidak menentu di rantau itu.

Presiden Rusia Vladimir Putin pada Khamis mengumumkan operasi ketenteraan khas di wilayah Donbas, timur Ukraine.

Susulan itu, Presiden Ukraine Volodymyr Zelenskyy mengisytiharkan darurat di seluruh negara.

Ukraine juga telah mengumumkan penutupan ruang udaranya untuk kegunaan awam, kerana ‘berisiko tinggi’ kepada penerbangan awam.

Difahamkan, pelan pemindahan untuk rakyat Malaysia adalah menerusi jalan darat ke Poland, yang meliputi perjalanan 782 kilometer.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

Vaksin Covid-19: Malaysia kerjasama Rusia, bincang masa terdekat

KUALA LUMPUR, 22 SEPT: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Institut Bioteknologi Negara (NIBM) menandatangani surat hasrat (LoI) dengan Kedutaan Rusia untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan vaksin Covid-19.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Ahmad Amzad Hashim berkata, Dana Pelaburan Langsung Rusia (RDIF) memperoleh hak ekslusif sebagai pembekal vaksin Sputnik V, ke seluruh dunia.

“Sputnik V merupakan vaksin yang dibangunkan oleh ‘Gamaleya National Research Centre of Epidemiology and Microbiology’ iaitu agensi yang sama membangunkan vaksin ‘Middle East Respiratory Syndrome (MERS)’.

“Ujian klinikal fasa 3 Sputnik V dijangka melibatkan peserta seluruh dunia. Perbincangan lanjut akan diadakan dengan Kedutaan Rusia berkenaan vaksin itu dalam masa terdekat,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan yang dikemukakan Senator Datuk Razali Idris yang mahukan penjelaskan tentang pencapaian terkini pasukan khas di bawah MOSTI, bagi meneroka peluang dengan negara lain untuk menghasilkan vaksin Covid-19.

NIBM, katanya juga menandatangani LoI dengan Kedutaan Cuba di Malaysia, bagi kerjasama dengan ‘Finlay Vaccine Institute (BioCubaFarma)’ dan ‘Centre of Genetic Engineering and Biotechnology (CIGB)’, Cuba untuk mendapat akses kepada vaksin Covid-19 yang sedang dibangunkan.

Selain itu, MOSTI juga mengambil inisiatif untuk terlibat dalam pertubuhan ‘Coalition for Epidemic Preparedness Innovations (CEPI)’ bagi membolehkan negara mendapat akses kepada pembangunan vaksin, pemindahan teknologi dan kepakaran baharu, kepada penyelidik tempatan.

Ahmad Amzad berkata antara faedah yang diperoleh oleh Malaysia dengan menyertai platform CEPI adalah mendapat keutamaan untuk menyertai ujian praklinikal dan ujian klinikal vaksin baharu, terutamanya apabila berlaku sesuatu wabak.

Selain itu, Malaysia juga akan mempunyai akses kepada data-data penyelidikan dan pembangunan berkaitan penghasilan vaksin yang dibiayai oleh CEPI, termasuk penyelidikan vaksin kumpulan penyelidik Universiti Oxford.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA GLOBAL

WHO bincang dengan Rusia mengenai vaksin Covid-19

GENEVA, 12 OGOS: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sedang dalam perbincangan dengan Rusia mengenai kemungkinan pra kelayakan vaksin COVID-19 pertama di dunia, lapor agensi berita Xinhua, memetik jurucakap WHO pada Selasa.

“Kami kini sedang berhubung dengan pihak berkuasa kesihatan Rusia dan perbincangan masih berjalan mengenai kemungkinan pra kelayakan vaksin berkenaan oleh WHO,” kata jurucakap WHO Tarik Jasarevic dalam taklimat media secara maya.

“Pra kelayakan daripada mana-mana vaksin melibatkan tinjauan dan penilaian yang ketat terhadap semua data yang diperlukan untuk keselamatan dan keberkesanan” dalam ujian klinikal, kata Jasarevic, sambil menambah di peringkat WHO, proses ini adalah serupa bagi setiap calon vaksin.

“Setiap negara mempunyai badan pengawasan nasional yang meluluskan penggunaan vaksin atau ubat-ubatan di wilayahnya,” katanya.

“Pengilang memohon pra kelayakan WHO kerana ia membuktikan piawaian kualiti.”

Presiden Rusia Vladimir Putin pada Selasa berkata negaranya telah mendaftarkan vaksin melawan Covid-19 pertama di dunia.

Putin berkata beliau berharap pengeluaran massa vaksin yang telah didaftarkan di Rusia akan bermula dalam waktu terdekat, dan pemvaksinan tersedia untuk orang ramai di negara ini secara sukarela.

Timbalan Perdana Menteri Rusia, Tatyana Golikova berkata beliau berharap pengeluaran vaksin itu akan dimulakan pada akhir Ogos atau awal September dan pekerja kesihatan akan menjadi yang pertama diberi vaksin.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Cuaca panas tidak boleh matikan virus Covid-19 – ahli sains Rusia

MOSCOW, 14 MEI: Musim panas tidak mematikan koronavirus yang hidup di permukaan, sebaliknya boleh menyumbang kepada kadar peningkatan kejadian di Rusia, kata pengarah Pusat Penyelidikan Klinikal di Kazan Federal University, Albert Rizvanov.

Menurut agensi berita Rusia (TASS), Rizvanov yang juga mengetuai pasukan penyelidik untuk menghasilkan vaksin Covid-19 berkata:

“Suhu (udara) yang rendah boleh meningkatkan daya tahan virus: suhu optimum untuk virus empat hingga lapan darjah (Celsius). Bila suhu udara meningkat, virus jadi kurang stabil.

“Namun, virus ini mudah merebak melalui udara (bercakap, bersin, batuk atau hanya dengan bernafas), bersalam dan bersentuhan dengan permukaan baharu tercemar. Virus itu juga boleh terurai dengan lebih pantas walaupun pada ketika musim panas.

Menurutnya, ketika musim panas, orang lebih cenderung keluar dan berhubung antara satu sama lain dengan lebih kerap. “Ia mungkin menjadi faktor risiko tambahan,” katanya.

Rusia setakat ini, mencatatkan 242,271 kes dengan 48,003 pesakit sudah sembuh manakala 2,212 orang lagi meninggal dunia.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Rusia boleh bertindak tangani harga rendah minyak dunia

MOSCOW, 11 MAC: Rusia boleh meningkatkan pengeluaran minyak antara 200,000-300,000 tong sehari (bpd) untuk jangka pendek dan sehingga 500,000 bpd pada masa depan bagi menangani kejatuhan berlarutan harga minyak.

Agensi berita Xinhua melaporkan, Menteri Tenaga, Alexander Novak, berkata tumpuan utama Rusia ketika ini untuk bertindak balas pantas terhadap keadaan pasaran bagi menangani akibat kejatuhan harga.

“Tugas kami sekarang memberi respon pantas terhadap keadaan pasaran bagi mengurangkan kebanyakan kesan buruk selain terus melakukan pemantauan,” katanya.

Harga minyak terus menjunam selepas Pertubuhan Negara Pengeksport Minyak (OPEC) dan pengeluar utama lain termasuk Rusia, gagal mencari kata sepakat di Vienna bagi melanjutkan lagi tempoh pengurangan pengeluaran yang sepatutnya tamat pada hujung bulan ini.

Novak berkata, pada mesyuarat itu Rusia dan beberapa negara bukan anggota OPEC mencadangkan memperluaskan perjanjian sedia ada iaitu pengurangan pengeluaran sebanyak 1.7 juta bpd untuk sekurang-kurangnya satu perempat lagi dan memantau pasaran sebelum mengambil langkah lanjut.

Bagaimanapun, OPEC terutama Arab Saudi mencadangkan meningkatkan lagi jumlah pemotongan pengeluaran sehingga sebanyak 1.5 juta bpd lagi daripada jumlah sedia ada bermula 1 April hingga hujung 2020.

“Rusia tidak bersetuju dengan cadangan ini kerana menyatakan, pilihan Rusia mampu menstabilkan dengan ketara keadaan harga tidak menentu di pasaran.

“Pintu tidak tertutup. Hakikat bahawa perjanjian pengurangan pengeluaran tidak dilanjutkan bermula 1 April tidak bermakna kita tidak lagi boleh terus bekerjasama dengan OPEC dan negara bukan anggota OPEC,” kata Novak.

Katanya, perjanjian yang dikenali sebagai OPEC+ yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu, menunjukkan keberkesanannya, membolehkan Rusia menjana keuntungan tambahan sebanyak 10 trilion ruble (kira-kira US$140 bilion).

Beliau berkata, Rusia dan OPEC bersetuju untuk mengadakan mesyuarat dengan lebih kerap pada Mei dan Jun bagi menilai keadaan pasaran.

-BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Harga minyak diunjur sekitar US$30 setong tahun ini

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Moody’s Analytics mengunjurkan harga minyak rendah sepanjang 2020 selepas kegagalan perjanjian mengurangkan pengeluaran antara Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dengan Arab Saudi dan Rusia yang menyebabkan harga jatuh menjunam, penurunan terbesar sejak 1991.

Pakar Ekonomi Tenaga Moody’s Analytics Chris Lafakis berkata peserta pasaran perlu bersedia dengan jangkaan harga minyak diniagakan sekitar US$30 setong.

Menurutnya, peserta pasaran menjangkakan OPEC+ (negara-negara OPEC tambah 10 negara pengeluar minyak bukan-OPEC termasuk Rusia) melanjutkan perjanjian pengurangan pengeluaran yang dijadualkan berakhir pada Mac.

“Tetapi berdepan dengan berita bahawa Rusia tidak akan menyertainya, Arab Saudi memutuskan untuk mengikut jejak langkahnya. Negara itu membayangkan bahawa ia akan meningkatkan pengeluaran melebihi 10 juta tong sehari,” katanya dalam satu kenyataan.

Lafakis berkata tindakan itu memberikan tamparan hebat kepada pengeluar minyak ditambah lagi dengan penularan Covid-19 yang menjejaskan permintaan terhadap perjalanan dan pengangkutan.

“Dunia kini berdepan dengan lebihan bekalan minyak mentah yang nampaknya berterusan sehingga tempoh beberapa bulan,” katanya sambil menambah untuk memulihkan semula harga minyak memerlukan tiga syarat.

Syarat pertama, katanya, kebimbangan global terhadap pandemik Covid-19 perlu reda, kerana kebimbangan akan menjejaskan dengan ketara aktiviti ekonomi global, terutamanya dalam sektor perjalanan dan pelancongan.

Keduanya, eksplorasi dan pengeluaran minyak perlu dikurangkan: terutamanya pengeluar dengan kos paling tinggi di dunia dengan kitaran proses yang sangat pantas perlu berhenti mencari minyak.

Ketiganya, perselisihan geopolitik antara Arab Saudi dan Rusia perlu ditamatkan.

“Kerjasama mereka telah menstabilkan harga minyak dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tetapi tanpa kerjasama itu, pasaran minyak akan menjadi tidak menentu yang mana hanya pengeluar dengan kaedah pengeluaran yang paling padu boleh meraih keuntungan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Dasar Monetarinya Ryan Sweet berkata impak daripada penurunan harga memberi kelebihan kepada perbelanjaan pengguna.

‘Bagaimanapun, implikasi terhadap pelaburan berkaitan tenaga adalah tidak menentu kerana ia bergantung kepada pulang modal harga minyak.

“Justeru itu, penurunan harga minyak boleh menjejaskan ekonomi suku ini dan suku akan datang,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia jangka pelaburan lebih US$100 juta di Rusia

PETALING JAYA, 17 OKT: Delegasi perniagaan Malaysia yang baru-baru ini menghadiri Sidang Kemuncak Pelaburan Volga & Hari Halal Sedunia 2019 di Samara, Rusia menjangkakan pelaburan bernilai lebih US$100 juta dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.

Ini berikutan permintaan tinggi terhadap produk dan perkhidmatan Malaysia daripada Komanwel Negara-Negara Merdeka (CIS) yang termasuk Rusia.

Presiden Kumpulan Mofaz Sdn Bhd, Mohamed Fauzy Abdul Hamid yang mengetuai delegasi swasta itu berkata, mereka telah menandatangani perjanjian pelaburan bernilai US$21 juta dalam pelbagai sektor seperti pertanian, keusahawanan, fintech, perkhidmatan perundingan dan kesihatan.

“Kami melihat ini sebagai pasaran baharu dalam dunia tanpa sempadan yang tidak patut dibazirkan.

“Walaupun ada permintaan besar untuk produk dan perkhidmatan halal bagi memenuhi keperluan umat Islam di CIS, iaitu kira-kira 30 juta dari 162 juta penduduk, kami juga melihat potensi dalam segmen pelancongan kesihatan yang boleh dengan mudah dimanfaatkan oleh syarikat Malaysia, ” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar pasca acara itu yang diadakan dari 3-5 Oktober.

Delegasi itu yang terdiri daripada 54 penggiat perniagaan, telah bekerjasama dengan Persatuan Perniagaan Islam Antarabangsa Rusia (IAIB) dan Dewan Perniagaan ASEAN.

Sementara itu, Presiden Dewan Perdagangan ASEAN, Datuk Moehamad Izat Emir berkata, dewan itu akan terus bekerjasama dengan IAIB untuk menganjurkan Sidang Kemuncak & Ekspo Halal ASEAN di Rusia, dijangka diadakan pada April 2020.

“Sebagai badan yang masih muda dan agresif yang ditubuhkan pada tahun lepas, kami mahu membantu kerajaan untuk berhubung dengan negara dan pihak yang mahu bekerjasama dengan Malaysia, sama ada dalam sosial dan ekonomi.

“Mempunyai kira-kira 500 ahli setakat ini, kami berharap lebih banyak perniagaan tempatan akan menyertai kami di mana kami akan membantu untuk memudahkan perjalanan mereka untuk mengembangkan jenama dan eksport mereka di peringkat global,” katanya.

– BERNAMA

Categories
EKONOMI

Terdapat ruang penambahbaikan perdagangan Malaysia-Rusia

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam perdagangan dua hala antara Malaysia dan Rusia, yang berjumlah US$2.2 bilion pada 2016, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Marzuki Yahya.

Beliau berkata perdagangan dua hala antara kedua-dua negara boleh dipertingkatkan dengan mempelbagaikan portfolio dan prospek industri termasuk tenaga, perubatan, penerbangan dan aeroangkasa serta produk dan perkhidmatan berkaitan IT.

“Kerjasama dalam industri dengan nilai tambah tinggi adalah kaedah terbaik,” katanya dalam ucapan pada pembukaan persidangan serantau mengenai “A Changing Asia in a Transforming World” di sini hari ini.

Rusia kini mengeksport teknologi pertahanan ke negara-negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

Marzuki berkata negara-negara di Asia Tenggara pada umumnya tidak memberi perhatian yang mencukupi kepada hubungannya di benua Eurasia.

“Kelihatan terdapat pengaruh maritim tentang bagaimana kita mengutamakan hubungan kita. Selama beberapa dekad, tumpuannya untuk mewujudkan kerjasama yang lebih baik antara negara-negara di Lembangan Pasifik. Baru-baru ini, perspektif itu telah diperluaskan dengan melibatkan negara-negara di sekitar Lautan Hindi,” katanya.

Berdasarkan persekitaran geopolitik dan geoekonomi semasa, Marzuki menegaskan keperluan untuk menghalakan pandangan rantau ini kepada Rusia dan negara-negara Asia Tengah.

“Jarak dari segi geografi menyumbang ini kepada tahap tertentu. Bagaimanapun, kita perlu mengakui bahawa masih banyak yang boleh kita raih daripada hubungan rapat dengan Rusia,” katanya.

Marzuki berkata hasrat Rusia untuk membangunkan hubungan yang erat dengan rantau Timur Jauh memberi Moscow langkah lebih baik untuk melibatkan negara-negara utama di Asia Timur termasuk ASEAN.

“Terdapat banyak peluang yang kita boleh bangunkan dalam bidang sosio ekonomi dan budaya. Terdapat juga saluran dalam isu politik dan keselamatan yang boleh kita laksanakan. Sehubungan itu, kini merupakan masa yang baik bagi pelan untuk meningkatkan hubungan ASEAN-Rusia kepada kerjasama strategik,” katanya.

Persidangan serantau selama dua hari yang berakhir esok merupakan anjuran bersama kumpulan pemikir Valdai Discussion Club yang berpangkalan di Moscow dan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tun M: Rusia berminat jual pesawat kepada Malaysia

SINGAPURA, 14 NOV: Rusia menawarkan kepada Malaysia untuk membeli pesawatnya, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Tawaran itu dibuat pada mesyuarat dua hala antara Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Rusia Vladimir Putin pada Selasa malam.

“Beliau (Putin) membangkitkan kemungkinan menjual pesawat mereka kepada kita. Ia bergantung kepada kedudukan kewangan kita,” kata Dr Mahathir kepada pemberita selepas menerima kunjungan hormat daripada Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Christine Lagarde di sini.

Dr Mahathir berada di sini untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-33 dan sidang kemuncak berkaitan, manakala Lagarde berada di sini sebagai tetamu.

Bagaimanapun, Dr Mahathir tidak mendedahkan sama ada tawaran itu untuk tujuan ketenteraan atau komersial.

Ditanya sama ada Rusia akan membantu menyelenggara pesawat yang dibeli dari Moscow, Dr Mahathir berkata: “Beliau akan membantu kita. Kita mempunyai sejumlah Sukhoi…sebahagiannya tidak dapat melakukan penerbangan.”

Pada mesyuarat dua hala dengan Rusia, Dr Mahathir berkata Malaysia perlu “banyak belajar tentang cara untuk menyelenggara dan membaiki pesawat.”

Kementerian Pertahanan Malaysia yang mengendalikan pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM dan MiG-29.

Dilaporkan terdapat isu berhubung penyelenggaraan dan servisnya.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu telah menyatakan bahawa hanya empat daripada 18 pesawat Sukhoi dapat melakukan penerbangan dengan baik, manakala yang lain sedang dibaiki.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL NASIONAL

Malaysia-Rusia tingkatkan perdagangan dua hala

SINGAPURA, 14 NOV: Malaysia dan Rusia melahirkan harapan untuk meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Rusia, Vladimir Putin, hari ini, mengadakan mesyuarat dua hala di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-33, di bandar raya ini.

Putin menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-Rusia ke-3 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-13.

Tahun lepas, Malaysia dan Rusia meraikan sambutan ke-50 hubungan diplomatik kedua-dua negara.

“Hubungan antara Rusia dan Malaysia berkembang dan kami melakukannya dengan baik,” kata Putin, dan menambah bahawa kedua-dua negara menyaksikan peningkatan ketara dalam perdagangan sebanyak 60 peratus untuk lapan bulan pertama.

“Banyak lagi yang masih boleh dilakukan dan saya fikir banyak lagi yang dapat dilakukan pada tahun-tahun sebelumnya. Saya gembira dapat berjumpa dengan anda dan berpeluang bercakap… untuk mendapat peluang bersama anda,” katanya melalui penterjemah.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, mesyuarat berkenaan akan menjadi platform bagi melihat hubungan dengan Rusia dan berharap untuk meningkatkan perdagangan.

“Perdagangan kita agak baik tetapi kita boleh melakukan lebih baik,” kata Dr Mahathir.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Rusia sedia tarik diri dari Majlis Eropah secara sukarela

MOSCOW, 17 OKT: Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov berkata, Rusia akan menarik diri dari Majlis Eropah (CoE) secara sukarela, seandainya pihak lawan mendesak negara itu berundur, demikian menurut laman web kementerian luar.

“Jika mereka mahu mengusir Rusia, ia tidak semudah itu kerana kami akan keluar secara sukarela,” kata diplomat dalam temu bual dengan saluran televisyen EuroNews pada Selasa.

Menurut agensi berita Xinhua, Rusia menyertai CoE kerana yakin majlis itu akan memastikan ruang perundangan dan kemanusiaan sejagat di Eropah.

Bagaimanapun ujar beliau, ruang itu dilemahkan melalui tindakan tidak sah yang melanggar Piagam.

“Saya tidak fikir penyertaan dalam Majlis Eropah beri kepentingan kepada Rusia, selain kelebihan kepada negara Eropah,” kata menteri luar itu.

Pada 10 Oktober, Setiausaha Agung CoE, Thorbjorn Jagland, berkata majlis itu boleh membatalkan keanggotaan Rusia jika Moscow enggan meneruskan pembayaran untuk belanjawan.

Dewan Parlimen Majlis Eropah (PACE) pada April 2014 pula meluluskan resolusi menghalang hak delegasi Rusia untuk mengundi disebabkan isu Crimea.

Akhirnya pada penghunjung 2015, Rusia memutuskan keluar dari PACE dan menegaskan hanya akan menyertai semula jika hak mengundi dikembalikan.

Moscow menggantung pembayaran pada 2017, namun memenuhi semua kewajiban lain di bawah konvensyen CoE.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL

Rusia cetus kebimbangan Israel, bekal peluru berpandu S-300 kepada Syria

GLOBAL 26 SEPT: Kabinet keselamatan Israel bersidang semalam ketika ketegangan baharu antara Rejim Zionis dan Rusia tercetus berikutan pengumuman Moscow mahu membekalkan sistem pertahanan udara canggih, S-300 kepada Syria.

Semua menteri berkenaan bertemu di Pejabat Perdana Menteri di Baitulmuqaddis untuk menerima maklumat terkini berhubung perkembangan terbaharu itu, kata seorang jurucakap kerajaan tanpa mengulas lanjut.

Menurut agensi berita Xinhua, sejurus selepas mesyuarat itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu akan berlepas ke New York untuk menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada Isnin lalu, Kremlin menyatakan bahawa Presiden Rusia, Vladimir Putin telah memaklumkan Netanyahu menerusi panggilan telefon bahawa Rusia akan membekalkan peluru berpandu darat ke udara, S-300 kepada Presiden Syria, Bashar Al-Assad bagi melindungi tenteranya.

Netanyahu memberi amaran bahawa pemindahan sistem senjata canggih ke tangan ‘pihak yang tidak bertanggungjawab’ itu akan meningkatkan bahaya di Asia Barat.

Pemimpin Rejim Zionis itu juga berkata, Israel akan terus mempertahankan keselamatan dan ke­pentingannya, demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabat Netanyahu.

Langkah Kremlin itu diumumkan sehari selepas Rusia secara rasmi menuduh Tentera Udara Israel bertanggungjawab berhu­bung insiden menembak jatuh pesawat peninjau Il-20 milik Rusia pada Isnin minggu lalu.

Pesawat bersama 15 kru Rusia itu ditembak oleh peluru berpandu Syria tanpa disengajakan ketika Israel melancarkan serangan udara di wilayah Latakia, Syria.

Israel bimbang sistem misil S-300 itu akan mematahkan serangan udaranya ke atas Syria.

Dalam pada itu, Amerika Syarikat (AS) turut menggesa Rusia supaya menimbang semula langkah tersebut.

Rusia mahu memindahkan sistem peluru berpandu S-300 ke Syria pada masa lalu tetapi menangguhkan rancangan itu berikutan tekanan daripada Israel dan AS.

Rejim Zionis melancarkan sekitar 200 serangan udara ke atas Syria dalam tempoh 18 bulan lalu dengan alasan untuk menghalang konvoi senjata Iran daripada bertapak di negara itu.

SUMBER: BERNAMA