Categories
RENCANA

Jurutera Malaysia terpilih cipta pembesar suara kereta McLaren Senna

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Jurutera dari Malaysia, Ruslin Tamsir, hanya ada satu pesanan kepada mereka yang ingin mengikuti jejak langkahnya dalam mengejar impian menjadi pereka cipta berjaya: “Jangan berhenti percaya kepada kebolehan diri”.

Rekaan pembesar suara (speaker) unik ciptaan Ruslin dipasang di dalam kereta buatan Britain, model McLaren Senna sejak 2018, dan patennya juga berjaya diterbitkan oleh Pejabat Paten Eropah (EPO).

Pembesar suara unik itu dibangunkan kerana syarikat kereta berkenaan mahukan satu bentuk ‘penutup’ speaker yang kelihatan seperti ia bercantum terus dengan kotak speaker fiber karbon di pintu kereta itu, bagaikan langsung tidak kelihatan sambungannya, tanpa menjejaskan nilai estetika kereta dan pada masa yang sama memastikan pengalaman audio yang hebat.

Reka bentuknya mungkin kelihatan ‘simple’, namun sebenarnya banyak perkara kompleks yang perlu diambil kira dalam melindungi pembesar suara daripada sebarang kerosakan, memasang pembesar suara di sudut yang sempit dan memberikan hasil bunyi terbaik.

Mengulas lebih lanjut mengenai paten berkenaan kepada Bernama, pencipta yang berasal Kuala Lumpur itu berkata EPO menerbitkan paten berkenaan pada 21 Okt lepas, yang bermakna penemuan Ruslin itu tidak boleh ditiru, digunakan, diedarkan, diimport, atau dijual, secara komersial oleh orang lain tanpa persetujuannya.

Kejayaan Datang Bukan Mudah

Ruslin mengaku pencapaiannya itu bukan datang dengan mudah, kerana banyak halangan dan cabaran perlu ditempuhi, dengan cabaran paling awal adalah waktu yang terhad, hanya tempoh kira-kira setahun diberikan untuk menyiapkan ciptaannya itu.

“Saya gagal berkali-kali semasa peringkat prototaip dan saya memang semakin letih… ada juga ketika saya merasa ingin melupakan sahaja idea ini dan memulakan semuanya sekali lagi bermula dari bawah, dengan pendekatan yang jauh lebih konvensional,” katanya.

“Tetapi saya terus meneliti sejumlah prototaip kemudiannya, konsep itu akhirnya nampak meyakinkan dan dengan pantas dihantar untuk pengesahan dan ujian yang hasilnya – ia menjadi konsep yang terbukti dan diperakui di bawah peraturan Pasukan Petugas Automotif Antarabangsa (IATF) 16949,” katanya dan menambah usaha dan kerja keras, pastinya tidak akan pernah gagal.

Sentuhan anak Malaysia pada kenderaan Mclaren Senna bukanlah satu-satunya kejayaan Ruslin kerana beliau juga pernah bekerja dalam projek yang melibatkan syaikat automotif antarabangsa yang lain termasuk BMW, Mini, dan Volvo.

“Lain-lain projek yang saya pernah sertai adalah pembuatan panel pembesar suara bagi kenderaan BMW terkini Siri 5 dan 7, di samping panel pembesar suara bagi kenderaan Volvo model terkini XC90 dan XC60.

“Semua ini saya usahakan di tempat kerja saya sebelum ini di Harman International di Jerman sejak 2014,” katanya sambil menambah syarikat itu tertumpu kepada kerja mencipta dan kejuruteraaan dalam sistem penyambungan dan audio dalam kereta.

Keluar Dari Zon Selesa

Dalam berkongsi nilai yang menyumbang kepada pencapaiannya itu, Ruslin berkata adalah penting untuk terus mencabar diri sendiri dan melangkah keluar dari zon selesa, serta bersiap sedia menyesuaikan diri dengan budaya dan persekitaran kerja yang berbeza.

“Ketika saya bekerja di Jerman, saya perlu berkomunikasi dengan pasukan saya dalam bahasa Jerman dan saya menganggap ia sebagai satu cabaran, lalu saya mengikuti kelas yayasan bahasa Jerman di Malaysia sebelum saya berlepas ke Jerman dan terus mempelajari bahasa Jerman semasa bekerja di sana,” katanya sambil menggesa para belia serta pencari kerja untuk belajar bahasa baru.

Ruslin berkata beliau meninggalkan Harman International pada 2019 dan menubuhkan syarikat berteknologi tinggi, yang jelas berada di landasan tepat untuk membangunkan bas elektrik penuh pertama di Malaysia.

“Visi saya melalui syarikat ini adalah membuat bas Kenderaan Elektrik (EV) buatan sendiri pertama di Malaysia dan akhirnya menjadi syarikat kenderaan elektrik pertama di negara ini. Bas EV akan menjadi bas EV pertama yang dibuat oleh jurutera Malaysia untuk Malaysia,” katanya .

Ruslin berkata beliau sanggup membimbing anak muda negara yang berhasrat melebarkan pengalaman dan menajamkan kemahiran di Jerman, untuk menceritakan kepada mereka mengenai apa yang menanti di Jerman.

“Mereka yang berhasrat untuk ke Jerman boleh hubungi saya menerusi LinkedIn atau Facebook untuk sebarang nasihat mahupun bimbingan,” katanya.

Ruslin boleh dihubungi di Facebook dan Linked menggunakan nama pengguna Ruslin Tamsir

– BERNAMA