Categories
AGENDA GLOBAL

Rusuhan di Afrika Selatan, penunjuk perasaan bakar kedai milik warga asing

JOHANNESBURG, 3 SEPT: Rusuhan yang berlaku di bandar Johannesburg pada Isnin menyebabkan beberapa kedai milik warga asing musnah akibat dibakar perusuh, lapor agensi berita Anadolu.

Beberapa kenderaan dan bangunan perniagaan milik rakyat Afrika dan Asia musnah dalam rusuhan yang bertukar menjadi ganas.

Keganasan yang bermula pada Ahad petang di Jeppestown berhampiran Johannesburg itu tercetus apabila penunjuk perasaan merampas kedai milik warga asing dan bertindak membakar kedai berkenaan.

Pada Isnin keganasan menular ke beberapa kawasan lain di Johannesburg dan ibu kota Pretoria, perusuh memecah masuk ke bangunan kedai serta mencuri barang-barang keperluan harian dan peralatan elektronik.

Polis terpaksa menggunakan peluru getah bagi meredakan keadaan selain untuk menghalang perusuh bertindak membakar lebih banyak kedai.

“Kami telah menahan lebih 90 orang di Johannesburg,” kata jurucakap Polis Gauteng Mathapelo Peters kepada wartawan di Johannesburg.

Parti pemerintah Parti Kongres Kebangsaan Afrika (ANC) mengutuk keganasan itu dan menggesa pihak polis mengambil tindakan terhadap perusuh.

“Apa jua alasan diberikan ia tidak boleh diterima, kami mengutuk keganasan yang berlaku,” kata Setiausaha ANC Ace Magashule pada sidang akhbar di Johannesburg pada Isnin.

Beberapa bulan kebelakangan ini, Afrika Selatan dilanda gelombang keganasan yang menyasarkan warga asing dan perniagaan mereka ekoran kemarahan rakyat disebabkan kadar pengangguran yang tinggi.

Penduduk menuduh keadaan itu berpunca daripada warga asing merampas peluang pekerjaan yang ada dan sering memenuhi pusat-pusat perkhidmatan sosial seperti kemudahan kesihatan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rusuhan di Jakarta turut didalangi ISIS

JAKARTA, 23 Mei: Polis Indonesia percaya insiden rusuhan di Jakarta sejak dua hari lepas, turut didalangi kumpulan pengganas ISIS.

Daripada 257 perusuh yang ditahan setakat ini, beberapa orang disyaki menganggotai kumpulan militan ISIS atau Negara Islam Iraq dan Syria.

Ketua Divisyen Hubungan Masyarakat Polis Indonesia, M Iqbal berkata polis sedang memburu dalang atau mereka yang mengarahkan rusuhan itu.

“Kami telah kenalpasti pemimpin kumpulan itu dan sedang memburunya, kumpulan ini juga didapati merancang menyerang premis polis,” katanya pada sidang media di sini.

M Iqbal berkata demonstrasi membantah keputusan Pilihan Raya Presiden Indonesia (Pilpres 2019) sejak dua hari lepas itu dilakukan beberapa kumpulan.

Kumpulan pertama, adalah kumpulan demonstrasi massa yang mengadakan tunjuk perasaan secara aman, dengan mendakwa berlaku penipuan dalam proses Pilpres 2019.

Kumpulan kedua, adalah kumpulan dari luar Jakarta (Jawa Barat, Jawa Timur dan Banten), yang bertujuan merusuh dan mencetuskan suasana tidak aman di Jakarta, dan kumpulan ketiga, adalah mereka yang didalangi ISIS. -BERNAMA

 

Categories
GLOBAL

Rusuhan Jakarta bukan ‘demonstrasi massa spontan’, kata polis

JAKARTA, 22 MEI: Polis mendakwa beberapa siri rusuhan di sekitar Jakarta awal pagi tadi dilakukan secara terancang oleh kelompok tertentu, yang membantah keputusan Pilihan Raya Presiden Indonesia (Pilpres 2019).

Gabernor Jakarta, Anies Baswedan yang pro kepada calon Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang kalah pada Pilpres itu, mendakwa enam orang terbunuh, manakala 200 dilaporkan cedera dalam insiden terbabit.

“Setakat jam 9 pagi tadi, enam terbunuh, 200 cedera,” katanya dipetik media tempatan.

Bagaimanapun, Ketua Divisyen Perhubungan Masyarakat Polis Indonesia, M Iqbal, tidak mengesahkan perkara itu, sebaliknya berkata polis masih menyiasat dakwaan berkenaan.

“Demonstrasi di beberapa tempat sejak lewat malam tadi sehingga awal pagi ini, bukanlah ‘demostrasi massa spontan’ tetapi dilakukan sekelompok kira-kira 200 orang secara terancang bagi menjejaskan ketenteraman awam,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Kejadian rusuhan itu berlaku di sekitar Jakarta antara 11 malam tadi sehingga 5 pagi tadi, dengan kelompok perusuh berkenaan melontarkan batu, “molotov coctail” dan mercun kepada pasukan keselamatan yang meminta mereka bersurai.

Kejadian rusuhan itu berlaku di sekitar Jalan MH Thamrin, Jalan Jatinegara hingga ke kawasan Tanah Abang.

M Iqbal berkata polis bertindak menyuraikan perusuh dengan menggunakan gas pemedih mata, dan menafikan menggunakan peluru hidup, seperti yang tersebar dalam media sosial.

“Perusuh itu kita dapati bukan asal Jakarta, tetapi dari luar Jakarta, dari Jawa Barat, dan terdapat sebuah ambulan ditahan yang tertera logo parti (tidak dinamakan), yang penuh dengan batu, polis bertindak melepaskan gas pemedih mata, ada perusuh cedera tapi belum ada datanya,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 14 kenderaan juga dibakar perusuh dalam kejadian rusuhan pagi tadi, dan polis telah menangkap hampir 100 perusuh.

Sehingga tengah hari ini, keadaan di Jakarta masih terkawal dengan lebih 50,000 anggota polis dan tentera mengawal tempat- tempat strategik di Jakarta.

Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, meminta rakyat Malaysia yang berada di Jakarta, mengelak daripada berada di kawasan yang terjejas.

“Rakyat Malaysia dinasihatkan untuk mematuhi sebarang arahan pihak berkuasa tempatan dari semasa ke semasa,” kata kenyataan itu.

Bagi rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular kecemasan di Indonesia, diminta hubungi talian: +62215224947 /+6281380813036 (selepas waktu pejabat).

-BERNAMA

Kredit foto: Tempo.co