Categories
NASIONAL

Tindakan JPP gantung Manikavasagam tepat, tidak lindungi kepentingan individu

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 MEI: Timbalan Ketua Wanita PKR, Rodziah Ismail menganggap keputusan Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) dan Lembaga Disiplin mengantung keahlian S Manikavasagam ekoran tuduhan terhadap Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah tepat.

Rodziah yang juga Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita menganggap tindakan JPP dan Lembaga Disiplin itu tidak melindungi sesiapa yang didakwa melakukan kesalahan tanpa mengira kedudukan atau pangkat.

Katanya, JPP juga mengambil kira beberapa kelemahan yang timbul sepanjang pemilihan parti berlangsung.

rodziah pc green 20 jul 01“Saya yakin JPP tidak mengambil tindakan semberono. Ada asasnya.

“Sesiapa yang terbukti melanggar peraturan parti akan diambil tindakan. Tidak kira sama ada seseorang itu anggota biasa atau peringkat pimpinan,” katanya ketika ditemui pada Sambutan Hari Ibu peringkat negeri 2014, di Kompleks Belia dan Kebudayaan, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Rodziah menggesa semua ahli parti yang bertanding perlu melihat positif dalam pemilihan.

“Kita kena lihat bahawa pertandingan adalah sesuatu yang baik untuk parti. Jika mengeluarkan sesuatu kenyataan, ia perlu ada asas untuk dibuktikan.

“Kita mesti mengamalkan budaya politik yang baik. Politik kita bukan kotor dan menjatuhkan satu sama lain,” katanya.

Beliau berkata, JPP dan Lembaga Disiplin serius mengambil tindakan sama ada seseorang itu adalah pengadu atau tidak.

TerusTerang Manikavasagam pic“Kini, parti agak serius untuk ambil tindakan kepada sesiapa bukan disebabkan pengadu atau tidak. Kita lihat keseluruhan isu, saya rasa sudah masanya parti menunjukkan disiplin yang tinggi.

“Semua berhak, walaupun yang digantung untuk tampil ke depan untuk menyatakan alasan dan mengemukakan rayuan supaya boleh dipertimbangkan,” katanya.

Sebelum ini, Manikavasagam digantung keahliannya ekoran melanggar peraturan parti atas kesalahan memburukkan imej parti kepada media arus perdana.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB arah peguam serah notis saman pada Manikavasagam

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 13 MEI: Satu notis tuntutan saman akan dihantar kepada calon Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kuala Selangor, S Manikavasagam ekoran kenyataannya yang mendakwa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengamalkan politik wang bagi meraih sokongan pengundi pada pemilihan parti itu.

Abdul Khalid dalam satu kenyataan ringkas di Facebook berkata, beliau sudah mengarahkan peguamnnya untuk berbuat demikian kerana menganggap dakwaan Manikavasagam adalah melampau dan tidak berasas.

“Saya sudah arahkan peguam untuk menghantar notis tuntutan saman kepada Manikavasagam kerana menuduh saya melakukan rasuah membeli pengundi,” katanya.

mb khalid ibrahim kongres ke 9 PKR 04Sebelum ini, Manikavasagam yang juga Penyelaras Pusat Khidmat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati mendedahkan terdapat individu yang ‘sanggup’ membayar RM50 untuk meraih sokongan terhadap Abdul Khalid.

Beliau mendakwa akan mendedahkan bukti rakaman dan gambar individu yang terbabit dalam politik wang berkenaan dalam masa terdekat dan meminta Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mengambil tindakan sewajarnya.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan sekeras-kerasnya Abdul Khalid yang juga penyandang Ketua PKR Cabang Kuala Selangor yang meyifatkan ia tidak berasas sama sekali dan meminta pihak yang tidak berpuas hati berkenaan pemilihan melaporkan kepada pihak bertanggungjawab.

“Saya memang tidak beri duit kepada orang supaya mengundi saya kerana saya adalah antara individu yang tidak mengamalkan politik wang sepanjang menerajui Selangor sebagai menteri besar,” katanya.

manikavasagam mike kapar blue 01Abdul Khalid berkata, tujuan utama beliau ingin mempertahankan jawatan ketua cabang adalah untuk terus menambahbaik khidmat kepada rakyat di kawasan itu selain membalas budi terhadap parti.

“Saya akui ramai yang tidak suka saya sebab itu saya mahu bertanding mengekalkan kerusi ini supaya mempunyai peluang untuk berkhidmat dengan lebih baik kepada anggota di cabang Kuala Selangor,” katanya.

Walaupun mengakui dirinya tidak disenangi sesetengah ahli parti kerana kesibukannya menguruskan Selangor sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai ketua cabang.

-NFN-

Categories
SELANGOR

PKR kesal pemaju guna samseng, polis roboh rumah pekerja estet

Oleh : NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM 3 DIS: Pengerusi Biro Aduan Rakyat PKR, S Manikavasagam kesal dengan tindakan syarikat konglomerat multinasional yang menggunakan kira-kira 150 orang samseng dan polis untuk menghalau keluar 86 pekerja Estet Bukit Rajah, di sini, 26 Oktober lalu.

Pekerja yang sudah berkhidmat antara 20 hingga ke 40 tahun dengan syarikat menjalankan aktiviti perladangan itu dihalau sebelum rumah mereka dirobohkan bagi memberi laluan kepada projek pembinaan kawasan perindustrian dan perumahan.

S Manickavasagam 01Manikavasagam berkata, tindakan meroboh 20 kediaman pekerja itu melanggar perjanjian yang dibuat antara penduduk dan syarikat terbabit yang sebelum ini berjanji untuk membina rumah lain terlebih dahulu sebelum kerja meroboh dijalankan.

“Syarikat itu berjanji untuk menyiapkan rumah di kawasan yang tidak berapa jauh dari sini dalam tempoh tiga tahun tetapi sehingga kini rumah masih belum disiapkan membabitkan perjanjian, pada 2009.

“Malangnya, syarikat terbabit melanggar perjanjian itu dengan menghantar polis dan samseng yang menggunakan kekerasan serta bertindak ganas menghalau penduduk yang terdiri daripada pekerja Oil Mill Division syarikat keluar daripada rumah mereka.

“Anggota polis lelaki juga bertindak kasar ke atas penduduk wanita dan ini adalah satu kesalahan kerana tidak mematuhi prosedur yang sepatutnya,” katanya.

Manikavasagam berkata, seharusnya sebarang tindakan atau penahanan terhadap wanita perlu dijalankan anggota polis wanita.

polis mengasari alagamahKatanya, mangsa terbabit, M Alagamah akan membuat laporan polis berhubung kekasaran itu dengan dakwaan mencabuli hak wanita.

Selain anggota polis, Manikavasagam mendakwa terdapat pihak yang dikatakan sebagai ‘samseng berlesen’ yang turut bertindak menghalau penduduk terbabit sebelum kerja meroboh dijalankan.

Sebelum ini, seramai 38 pekerja Main Division mengalami nasib sama apabila mereka diarahkan berpindah bagi memberi laluan kepada sebuah projek syarikat berkenaan, pada 2009.

Bagaimanapun, sehingga kini pekerja terbabit sehingga masih menyewa disebabkan syarikat itu gagal membina rumah seperti yang dijanjikan mereka.

-NFN-

Categories
SELANGOR

30 penduduk DUN Bukit Melawati terima manfaat Skim Mesra Usia Emas

Camera 360Oleh : Lizawati Madfa

KUALA SELANGOR 7 NOV : Lebih 30 penduduk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Melawati menerima manfaat Skim Mesra Usia Emas (SMUE) iaitu khairat kematian, sepanjang bulan September dan Oktober lalu.

Penyelaras DUN, S Manikavasagam, berkata setiap peserta menerima RM 1,000 di pejabat DUN berkenaan, manakala baki RM 1,500 pula akan disampaikan dalam satu majlis anjuran Pejabat Daerah Kuala Selangor yang akan diadakan dalam tempoh terdekat.

smue 03“Wakil pejabat penyelaras DUN akan ke rumah peserta yang tidak dapat hadir ke pejabat bagi menyampaikan wang yang diamanahkan ini.

“Pemberian ini bukti kerajaan Selangor dan Pakatan Rakyat komited dalam menunaikan segala manifesto pilihan raya, terutama dalam soal kebajikan rakyat tanpa mengira jantina, kaum, agama, fahaman politik, status ekonomi dan tahap sosial mereka,” katanya.

SMUE adalah satu daripada tujuh agenda Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor (MES) yang dilancarkan kerajaan negeri, pada Ogos 2008.

smue 02Manikavasagam berkata, melalui skim itu, penama yang berdaftar layak menuntut dari Pusat Khidmat DUN kawasan mereka sumbangan khairat kematian sebanyak RM 2,500 melalui dua fasa apabila ahli meninggal dunia.

“Ia adalah inisiatif kerajaan negeri bagi meringankan beban waris ahli yang meninggal dunia. Kita berharap pemberian inisiatif ini dapat membantu mereka sama ada untuk menguruskan jenazah atau perkara lain yang perlu,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rumah balu Ketua MIC terbakar, dapat pembelaan PKM DUN Melawati

Rumah balu Ketua MIC terbakar, dapat pembelaan PKM DUN Melawati

SHAH ALAM 30 OKT: Meskipun mendiang suaminya ketika hayat cukup dikenali dengan banyak berjasa terhadap MIC tetapi penderitaan akibat rumah terbakar yang dialami, Devi a/p Raman, 66, kira-kira tiga bulan lalu tidak dihiraukan parti yang mewakili kaum India itu.

Bagaimanapun, Devi agak bernasib baik apabila Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Melawati, S.Manikavasagam dengan disertai Penghulu Mukim Api-api, Husain Idris tampil menghulurkan bantuan kepada ibu tunggal itu.

Manikavasagam berkata, antara bantuan yang dihulurkan termasuk wang tunai RM500 disumbangkan Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Selangor serta barang binaan seperti papan dan atap dari PKM DUN Melawati.

“Mendiang S.Anandan bekas Ketua Cawangan MIC Kampung Telok Piah, dulunya seorang yang berkhidmat cemerlang dalam MIC serta pernah diberikan pingat penghormatan oleh Tan Sri V.Manikavasagam kerana jasa beliau itu.

“Namun sekarang ini apabila isteri mendiang menghadapi kesusahan, rumah terbakar tidak ada seorang pun pemimpin MIC datang menjengah atau menghulurkan bantuan, mana slogan ‘MIC care’,” kata Manikavasagam kepada TV Selangor.

Manikavasagam berkata, akibat daripada kebakaran yang membawa anggaran kerugian kira-kira RM75,000 itu, Devi juga kehilangan sumber pendapatan dari perniagaan kedai makan secara kecil-kecilan yang diusahakan di rumahnya.

Devi yang menyambut perayaan Deepavali tidak berapa lama lagi juga dimasukkan ke dalam program Jom Shopping sempena Deepavali yang diadakan di pasaraya Giant, Pasir Penampang hari ini.

“Semua bantuan yang dihulurkan ini sebenarnya tidaklah mencukupi tetapi setidak-tidaknya mampu meringankan penderitaan dan bebanan yang terpaksa ditanggung Devi,” kata Manikavasagam lagi.

-EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Kampung Jln Kenangan terharu dapat TOL selepas 40 tahun

Kampung Jln Kenangan terharu dapat TOL

SHAH ALAM, 13 SEPTEMBER : Penantian 67 penduduk Kampung Jalan Kenangan, Kapar lebih 40 tahun yang tinggal berstatuskan setinggan berakhir apabila Kerajaan Negeri meluluskan Lesen Menduduki Sementara (TOL).

Kegembiraan penduduk terbabit bertambah manis apabila mereka dijangka bakal memperolehi Borang 5A dalam jangkamasa tiga tahun sebaik tamat tempoh TOL pada 2016 nanti.

Menurut penduduk, Hamdan Bakri, 43, kejayaan itu berhasil usaha Penyelaras Adun Bukit Melawati, S.Manikavasagam ketika itu masih Ahli Parlimen Kapar, Exco Kesihatan Selangor, Dr Daroyah Alwi dan Pegawai Daerah Kapar memperjuangkan isu itu bagi mendapatkan status TOL tanah kediaman penduduk kampung.

“Mujur Kerajaan Negeri sekarang prihatin bantu kami, terima kasih juga kepada (Penyelaras Adun Bukit Melawati) S. Manikavasagam, (Exco Kesihatan) YB Dr Daroyah (Alwi) dan Pegawai Daerah yang bersusah payah berusaha hingga kami memperolehi TOL,” ujar Hamdan kepada TV Selangor.

Sementara itu, Manikavasagam ketika dihubungi memberitahu, usaha mendapatkan TOL untuk penduduk Kampung Kenangan sudah dimulakan sejak beliau memulakan tugas sebagai Ahli Parlimen Kapar pada 2008.

Bagaimanapun usaha itu menghadapi kesukaran apabila pihak Pejabat Daerah Klang meletakkan kawasan tersebut sebagai kawasan pemantauan banjir.

“Selepas kira-kira lima hingga enam tahun, didapati rumah-rumah di Kampung Kenangan tidak dinaiki banjir kecuali dua, tiga buah rumah sahaja, barulah permohonan itu berjaya baru-baru ini.

“Dr Daroyah juga memaklumkan pihak beliau akan mengusahakan geran bagi tanah kediaman penduduk terbabit selepas TOL tamat tempoh tiga tahun akan datang melalui skim pemberian geran Kerajaan Negeri.

“Kesemua mereka dah tinggal atas tanah itu sudah lebih 10 tahun, jadi mereka memang layak sebab ada yang dah tinggal situ hingga 43 tahun,” kata Manikavasagam.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bumbung SRA Kampung Assam Jawa Runtuh, Kerajaan Negeri Digesa Segera Beri Perhatian

manikavasagam sekolah agama assam jawa daif 02

KUALA SELANGOR, 20 JULAI: Pengarah Biro Aduan Rakyat PKR, S Manikavasagam menggesa Kerajaan Selangor mengambil tindakan segera bagi membaiki bangunan Sekolah Rendah Agama Kampung Assam Jawa yang dikatakan agak daif.

Manikavasagam berkata keadaan sekolah tersebut bertambah buruk selepas dilanda ribut kencang baru-baru ini yang mengakibatkan sebahagian bumbung serta siling di dalam salah satu bilik darjah runtuh lalu menimpa seorang guru yang sedang mengajar.

Menurut Manikavasagam lagi, guru berkenaan, Siti Shajaratuddurah mengalami kecederaan dan terpaksa menerima rawatan lima jahitan di bahagian kepala.

“Sekolah ini serba daif dengan bilangan murid yang ramai iaitu, 320 orang, berbanding sekolah rendah agama yang lain di daerah ini.

?Jadi jadi saya harap Exco Hal Ehwal Islam yang baru, Sallehen Mukhyi dapat berikan perhatian segera untuk membaiki keadaan sekolah ini,? katanya kepada TV Selangor selepas melawat sekolah berkenaan baru-baru ini.
.
“Ini penting dalam memberi pembelajaran didikan agama kepada anak-anak kita di dalam dan luar kawasan Assam Jawa.

“Saya tidak mahu kejadian tidak diingini berulang dan berterima kasih kepada pihak yang berkaitan yang dapat hadir melihat keadaan sekolah seterusnya memberi jaminan untuk membaikinya dengan kadar segera,” ujar beliau.

Turut serta mengiringi beliau dalam lawatan tersebut, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SRA Assam Jawa, Sarifudin Md Yusof dan Ketua Kampung Assam Jawa Ramli Yusof.

Manikavasagam dalam lawatannya juga berkesempatan menghulurkan sumbangan wang tunai dan hamper kepada Siti Shajaratuddurah ketika menziarahi guru terbabit di kediaman beliau.

manikavasagam sekolah agama assam jawa daif 01

Categories
NASIONAL

Suhakam Minta Polis Patuhi Akta Kaedah-Kaedah Lokap

memorandum SUHAKAM

KUALA LUMPUR, 20 JUN : Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) akan memastikan pihak polis mematuhi dan menguatkuasakan Akta Kaedah-kaedah Lokap dan Kod Prosedur Jenayah.

Pematuhan kepada akta ini bagi memastikan kes kematian dalam tahanan lokap yang disebabkan oleh kecuaian polis dapat dikurangkan.

Ini kerana menurut Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam, pihaknya tidak mampu menangani kes kematian dalam tahanan polis yang dikatakan terlalu ramai dan makin kritikal.

Beliau difahamkan setakat ini, sebanyak 222 kes kematian dalam lokap dilaporkan sejak tahun 2000, dengan kes terbaru membabitkan seorang jurutera, P Karuna Nithi yang disahkan meninggal dunia di Balai Polis Tampin, Negeri Sembilan.

“Kami tidak mampu untuk mendengar lebih banyak kes kematian dalam tahanan yang dilaporkan saban hari.

“Negara ini mempunyai undang-undang dan Akta Kaedah Lokap yang harus dipatuhi polis, antaranya memastikan tahanan berada dalam keadaan selamat, memastikan kamera litar tertutup (CCTV) berfungsi untuk memantau keadaan tahanan.

“Memaklumkan kepada keluarga tahanan sekiranya berlaku sesuatu dengan kadar segera selain mematuhi jangka masa soal siasat, hak dan keselamatan orang dalam tahanan.

“Undang-undang sudah ada, polis hanya perlu ikut sahaja. Apa yang boleh saya jamin ialah pihak Suhakam akan menggesa supaya akta ini dikuatkuasakan untuk mengelak perkara sama berulang lagi,” katanya semasa menerima memorandum daripada keluarga mendiang Karuna di ibu pejabat Suhakam, di sini pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan PKR, S Manikavasagam yang mewakili keluarga mendiang menggesa supaya Suhakam menubuhkan satu badan siasatan bebas untuk menyiasat punca sebenar kematian Karuna.

Tegasnya, pihaknya sudah menghantar memorandum kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tempoh hari atas tujuan sama (menyiasat kematian Karuna), namun tiada respon diberikan sehingga hari ini.

“Sudah banyak kali kes sebegini dilaporkan, tetapi malangnya polis tidak pernah ambil sebarang tindakan.

“Polis ambil jalan mudah dengan mengatakan tahanan diserang sakit jantung. Adakah ini adil untuk keluarga mendiang sedangkan laporan perubatan sudah sahkan mendiang dicederakan,” tegasnya.

Memorandum itu antara lainnya mempersoalkan tindakan polis yang tidak memindahkan mendiang ke penjara Sungai Udang setelah dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, sebaliknya membiarkan Karuna di Balai Polis Tampin.

Keluarga mendiang turut mempersoalkan mengapa tiada rakaman CCTV dilakukan pada hari kejadian sehingga menimbulkan syak wasangka bahawa polis cuba menyembunyikan bukti.

Selain itu, memorandum tersebut turut mempertikaikan mengapa keluarga mendiang masih tidak diberikan sebarang penjelasan tentang perkara sebenar yang berlaku sehingga mengakibatkan kematian Karuna.

Karuna,42, disahkan meninggal dunia pada 1 Jun lalu di ibu pejabat polis daerah Tampin, sehari sebelum keluarganya sempat mengumpul wang untuk mengikat jaminnya.

Sehari selepas itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh dilaporkan berkata tiada unsur jenayah dalam kes kematian Karuna yang ditahan pada 27 Mei selepas didakwa menyerang isterinya dan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun pada 14 Jun lalu, dalam laporan bedah siasat ke atas mangsa menunjukkan mendiang mengalami 49 kecederaan.

Sebahagian besar kecederaan disebabkan oleh objek tumpul pada dada dan kaki, demikian menurut laporan yang disediakan oleh Perunding Forensik Hospital Tuanku Jaafar, Dr Sharifah Safoorah Syed Alwee Al’Aidrus.

Rayu Sumbangan Orang Ramai Biayai Dua Anak Pengidap Epidermolysis

Dua Anak Pengidap Epidermolysis

KUALA SELANGOR, 11 JUN: Pengarah Biro Aduan Rakyat PKR, S Manikavasagam merayu orang ramai menghulurkan sumbangan kepada dua beradik Koovalan Mathimaran, 14 dan Yuwarasan, 12 yang mengidap penyakit Epidermolysis Bullose Dystrophip.

Menurut beliau, sumbangan tersebut diperlukan bagi membantu meringankan beban bapa untuk membiyai kos perubatan dan menyediakan susu tepung khas yang mengandungi nutrisi tinggi untuk Koovalan dan Yuwarasan.

“Keadaan mereka begitu kritikal mereka amat memerlukan rawatan serta nutrisi yang sempurna.

“Ibu bapa mereka tidak kemampuan untuk menyedikan keperluan tersebut, malah Jabatan Kebajikan pula hanya memberi bantuan RM100 sahaja, cukupkah bantuan sebanyak itu?” kata beliau selepas menziarahi kanak-kanak malang itu baru-baru ini.

Sementara itu, bapa kanak-kanak tersebut, Mathimaran Krishnan, 50, memberitahu beliau memerlukan kira-kira RM3,000 sebulan hanya untuk membeli susu tepung dan kos perubatan untuk Koovalan dan Yuwarasan.

“Pendapatan saya sebagai perkerja kontrak kerja rencam seperti potong rumput agak kecil, lebih kurang RM700 sahaja sebulan, memang tak mencukupi,” kata Mathimaran.

Menurut Mathimaran lagi, doktor yang merawat anaknya sebelum ini pernah memberitahu penyakit yang dihidapi anaknya itu boleh sembuh dengan mencadangkan agar beliau mendapatkan rawatan di India.

Koovalan dan Yuwarasan yang sepatutnya bersekolah di tingaktan dua dan darjah enam tidak meneruskan persekolahan mereka disebabkan penyakit yang dialaminya itu.

Selain Koovalan dan Yuwarasan, anak sulong beliau kini masih bersekolah di tingkatan lima di sebuah sekolah menengah di Kuala Selangor dan isteri beliau merupakan seorang suri rumah tangga.

Orang ramai boleh menghulurkan bantuan dengan mendepositkan sumbangan ke akaun Alli a/p Lokanathan bernombor 1-00-72910000126-8 (Agro Bank) atau akaun Komagan a/l Mathimaran bernombor 0995-29-00044472-1 (Bank Simpanan Nasional).

Selain itu orang ramai juga boleh menemui Mathimaran di alamat kediamannya lot 801, Kampung Tengah, Assam Jawa, Estet Bukit Rotan disini atau hubungi 016-378 8308.

Epidermolysis Bullose adalah penyakit tisu yang menyebabkan keadaan kulit yang terlalu rapuh hingga meninggalkan kesan lepuh dan keadaan berkudis di seluruh badan.

Penyakit ini juga boleh menyebabkan kematian sekiranya tidak dirawat dengan segera.

Categories
NASIONAL

S. Manikavasagam (PKR) – Fokus Calon PRU 13

Sinopsis:

S Manikavasagam (PKR) – N10 Bukit Melawati

Beliau dikenali dikalangan para wartawan sebagai Mike adalah penyandang Ahli Parlimen Kapar yang kini bertanding di Dun N10 Bukit Melawati.”Saya bukan turun pangkat dari Parlimen ke Dun tetapi dikawasan Dun akan memberi lebih banyak masa untuk saya bertemu rakyat” – Mike

PRU13, Mike akan menentang calon BN, Jakiran Jacomah di Dun yang mempunyai 16,153 pengundi berdaftar. Mike juga pernah mendedahkan beliau pernah ditawarkan RM 10 juta untuk meninggalkan Pakatan Rakyat ketika menjadi MP Kapar. Bukit melawati mengandungi 57.63% (Melayu), 12.07% (Cina), 29.86% (India) dan 0.25% lain-lain.

manikavasagam

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sebar Fitnah Terhadap PR Melalui Risalah

Fitnah flyers masa ceramah di dataran kuala selangor 01

KUALA SELANGOR, 23 APRIL: Ribuan risalah fitnah mengenai Pakatan Rakyat(PR) disebarkan ketika siri Jelajah Merdeka Rakyat di Dataran Hotel Sun Inn, Kuala Selangor.

Risalah berkenaan didakwa didalangi oleh Umno-BN bagi mengelirukan pengundi yang hadir bagi mendengar taklimat Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad, dan calon DUN Bukit Melawati, S.Manikavasagam.

Wakil calon DUN Melawati, Noor Azhar Jamil mendakwa risalah berkenaan turut disebarkan secara meluas di beberapa kawasan di pekan Kuala Selangor.

Katanya, tindakan kotor ini mencemarkan amalan demokrasi yang dilaung-laungkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga Pengerusi BN.

Sehubungan itu, satu laporan polis akan dilakukan supaya siasatan khas dapat dilakukan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

“Kita bercadang untuk buat aduan di balai polis, ini merupakan konspirasi terancang pihak yang didakwa daripada parti lawan,” katanya ketika ditemui di bilik gerakan DUN Melawati.

Antara isi kandungan risalah fitnah berkenaan adalah janji PR untuk menjadikan Islam tidak menjadi agama rasmi, kalimah Allah boleh digunapakai semua agama, dan hak keistimewaan Melayu dihapuskan.

Pada siri ceramah yang berlangsung semalam, hampir 3,000 penduduk Kuala Selangor hadir bagi menunjukkan sokongan terhadap PR.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR Tampil Calon Parlimen Dan DUN Boleh Menang

MB Kenduri Rakyat Kuala Langat 04

SHAH ALAM, 15 APRIL : Pengumuman calon PKR peringkat Parlimen dan DUN Selangor yang diumumkan semalam adalah berasaskan kepada calon boleh menang, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, permilihan kesemua calon itu mengambil kira pelbagai aspek di mana PKR mahupun Pakatan Rakyat (PR) bertekad untuk memenangi dan terus menguasai DUN Selangor.

“Kita akan mengadakan upacara untuk mengisytiharkan semula calon PR yang akan bertanding di Selangor kerana kita memasuki Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) sebagai satu pasukan.

“Tujuan kita perkenalkan calon-calon ini adalah supaya mereka dapat bekerja sebagai satu pasukan di kawasan Parlimen dan DUN yang akan kita tanding,” katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan Majlis Himpunan Bulanan Jabatan Kerajaan di Dewan Jubli Perak, pagi tadi.

Sementara itu, Abdul Khalid menyifatkan pencalonannya di kerusi DUN Pelabuhan Klang membuktikan kesungguhan PR untuk memenangi kerusi itu.

Malah menurutnya, beliau sudah bersedia untuk bertanding di kawasan itu sebelum keputusan senarai calon diumumkan.

“Kerusi Pelabuhan Klang sangat sensitif. Untuk menyelesaikan masalah, ia memerlukan seseorang yang ‘high power’. Pakatan mempunyai strategi yang lebih proaktif,” katanya lagi.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan seramai tujuh calon PKR peringkat Parlimen dan 10 peringkat DUN Selangor akan mempertahankan kerusi yang dimenangi masing-masing dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) yang lalu.

Anwar turut memperkenalkan empat muka baru di peringkat Parlimen dan lapan bagi kerusi DUN di negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.

Bekas Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam akan berpindah dari Kapar ke Bukit Malawati.