Categories
SELANGOR SELANGOR

Himpunan kereta mewah setiap Ahad di SACC Mall, raih dana anak yatim

SHAH ALAM, 17 NOV: Pertunjukan kereta mewah amal yang diadakan di pekarangan SACC Mall di sini pada setiap Ahad akan diteruskan bagi membantu golongan kurang bernasib baik.

Terbaru acara Supercar Sunday sempena program SACC Charity Drive itu berjaya meraih dana RM12,700 dalam masa dua minggu daripada ahli-ahli kelab kereta mewah.

Dana itu telah disampaikan kepada tiga buah rumah anak yatim di sekitar Lembah Klang pada Ahad lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PKNS Real Estate Fakru Radzi Ab Ghani berkata pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dan berharap agar Supercar Sunday dapat menjadi acara ‘signature’ di SACC Mall.

“Melalui acara ini, pengunjung berpeluang melihat kereta-kereta mewah secara lebih dekat selain berpeluang bergambar bersama kereta idaman.

“Pengunjung turut diberi kesempatan menaiki kereta-kereta tersebut,” katanya.

Pada program edisi keempat itu, sebanyak 40 buah kereta ‘sports’ berkapasiti 50,000 kuasa kuda berjaya dihimpunkan.

Antara kereta mewah terlibat ialah Mustang, BMWi8, Nissan GTR, Porsche Boxster, Lamborghini Huracan, Lamborghini Aventador dan Mercedes E63

Ia turut dimeriahkan dengan kehadiran 56 anak yatim dari Rumah Penyayang Ulin Nuha, Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Al-Mahabbah di Klang serta Rumah Kasih Harmoni Paya Jaras, Sungai Buloh.

Program amal ini mendapat sokongan TerMeetUp Group, ahli Harley Davidson Malaysia dan Mustang Group selain penaja lokasi SACC Mall, PKNS Real Estate, Bazaarlokal, LumiX Technology, Robotz dan Wrapz63.

Sementara itu, penganjur dan pengarah R Group Capital Sdn Bhd Shahrin Ong berkata pihaknya turut merancang membuat ‘countdown’ tahun baharu bersama kelab kereta-kereta mewah, Kelab Harley Davidson Malaysia dan kelab vespa di SACC Mall pada 31 Disember depan.

Sekumpulan anak yatim yang diraikan bergambar bersama kereta mewah pada acara Supercar Sunday di pekarangan SACC Mall pada 14 November 2021. Foto SACC MALL

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kompleks PKNS kembali meriah, majoriti premis mula operasi

SHAH ALAM, 6 OKT: Majoriti perniagaan di Kompleks PKNS Shah Alam dan SACC Mall kembali beroperasi selepas ditutup beberapa bulan akibat pandemik Covid-19.

Hasil jualan juga dilaporkan beransur meningkat susulan tambahan pengunjung ke pusat membeli-belah itu pada hujung minggu, kata pemangku Pengurus Pusat PKNS Real Estate Sdn Bhd.

Syahril Mohd Rashid menjangka kesemua 300 premis beroperasi semula bulan ini sementara menanti pengusaha dan pekerja melepasi tempoh matang dos kedua vaksin.

“Insya-Allah baki bulan yang ada tahun ini selain kebenaran tertentu dan menuju fasa endemik, kita percaya perubahan signifikan daripada segi jualan serta pengunjung,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata pihaknya memantau ketat pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) pelanggan dan peniaga selaras arahan kerajaan antaranya saringan suhu di pintu masuk bangunan.

Ruang legar SACC Mall, Shah Alam pada 9 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Pengunjung yang belum lengkap suntikan vaksin juga dibenarkan masuk dengan syarat tidak membawa anak kecil masuk ke premis, menurut Syahril.

“Bagaimanapun, premis dalam bangunan misalnya restoran dan kedai gunting rambut perlu mengikut peraturan Majlis Keselamatan Negara iaitu hanya membenarkan individu lengkap dos vaksin,” katanya.

Bermula Ogos, kerajaan membenarkan lebih banyak sektor dibuka bagi memastikan kelangsungan ekonomi peniaga kecil antaranya kedai cuci kereta, elektrik dan elektronik serta barangan rumah.

Turut dibenarkan kedai perabot, peralatan sukan, pakaian, fesyen dan aksesori, barang kemas, salun kecantikan, barangan fotografi, kosmetik dan penjagaan kulit serta kraftangan.

Categories
AGENSI SELANGOR

Aktif promosi Kompleks PKNS dan SACC Mall dalam talian

SHAH ALAM, 11 JULAI: PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menafikan pihaknya kurang aktif melakukan pemasaran dalam talian sehingga prestasi jualan di dua pusat beli-belahnya merudum.

Pemangku Pengurus Pusatnya Syahril Mohd Rashid berkata pihaknya konsisten menyalurkan maklumat berhubung Kompleks PKNS Shah Alam dan SACC Mall melalui media sosial.

“Bermula 18 Mac hingga 7 Julai lalu, sebanyak 107 hantaran di Facebook membabitkan pelbagai aktiviti pemasaran digital untuk KPSA sementara 143 (hantaran) bagi SACC Mall.

“Langkah ini membuktikan PREC sentiasa berada di sisi peniaga dan bersama merasai bebanan mereka berikutan krisis Covid-19,” katanya kepada SelangorKini pada 9 Julai lalu.

Syahril berkata PREC turut mewujudkan Bazaarlokal berkonsepkan e-dagang bagi mengelakkan peniaga bergantung kepada penjualan fizikal semata-mata.

“Kita bertanggungjawab mengajar dan membimbing usahawan terhadap medium digital dan bazar ini menerima sambutan amat baik dalam kalangan peniaga,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kompleks PKNS, SACC Mall benarkan promosi jualan di ruang legar

SHAH ALAM, 10 JULAI: Peniaga di Kompleks PKNS Shah Alam dan SACC Mall dijangka boleh mempromosi jualan di ruang legar pusat beli-belah itu mulai bulan ini.

Kebenaran oleh PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) membabitkan 66 tapak jualan di kedua-dua premis tersebut tanpa bayaran sewa sehingga Disember.

“Peniaga hanya perlu menanggung caj pemasangan RM50 setiap hari bagi aktiviti promosi selama 14 hari berbanding RM200 yang dikenakan sebelum ini,” kata Pemangku Pengurus Pusatnya Syahril Mohd Rashid kepada SelangorKini semalam.

Katanya, permohonan persatuan peniaga diluluskan selepas berbincang dengan pejabat Dato’ Menteri Besar dan kini menunggu kebenaran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk penetapan garis panduan.

“Kita berharap mereka (MBSA) beri kebenaran kerana promosi ini bertujuan membantu peniaga yang terjejas susulan pandemik Covid-19. Undian juga sudah dijalankan dan mendapat sambutan menggalakkan terutama menjelang sambutan Aidiladha,” kata Syahril lagi.

Pelancaran jersi baharu Red Giants 6 Feb ini


Pelancaran jersi baharu The Red Giants dan pengumuman penaja 6 Feb ini di SACC Mall.

Suasana pelancaran WiFi-Selangor

Sekitar suasana pelancaran Wi-Fi Selangor di SACC Mall dan Kompleks PKNS pada 22 September lalu.

Categories
SELANGOR

PKNS : PREC Martabatkan Usahawan Melayu Dan Bumiputera

SHAH ALAM 31 OKT: Peniaga dan usahawan yang menyewa ruang niaga di bangunan milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kini bakal menikmati ruang niaga dan kemudahan awam yang lebih baik.

Perkembangan ini setelah lima bangunan milik PKNS akan dipindahmilik kepada anak syarikatnya iaitu Private Real Estate Company (PREC) bagi meningkatkan pengurusan aset tersebut.

Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim berkata penambahbaikan tersebut selari dengan matlamat asal penubuhan PKNS iaitu meningkatkan taraf kehidupan Bumiputera.

Beliau berkata PREC sedang melakukan kerja-kerja penambahbaikan kemudahan di dalam ke lima-lima bangunan tersebut sejak Oktober 2011. Ini termasuk memperbaiki tandas, eskalator, lif, papan tanda dan kerja-kerja tersebut dijangka siap pada Mac 2013.

PREC turut bekerjasama dengan Bahagian Pembangunan Usahawan PKNS untuk menambah tapak niaga di bangunan-bangunan untuk usahawan Melayu dan Bumiputera.

Sementara itu, program promosi secara usahasama bersama usahawan muda Institut Pengajian Tinggi (IPT) seperti flea market akan diadakan bagi menarik lebih ramai pengunjung.

Sebagai contoh PREC memperuntukkan sebanyak RM 10 juta bagi kos penyelenggaraan dan penambahbaikan Kompleks PKNS Shah Alam.

“Ini termasuklah menukar kemasan dalam dan luar bangunan bagi memberikan imej yang lebih menarik.

?Kiosk-kiosk perniagaan baru juga akan turut diwujudkan untuk disewakan khusus kepada peniaga Melayu Bumiputera,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Diumumkan sebelum ini bahawa PKNS akan memberikan tanggungjawab sepenuhnya kepada PREC bagi menguruskan aset-aset miliknya iaitu Kompleks PKNS Shah Alam, Kompleks PKNS Bangi, SACC Mall, Wisma Yakin Kuala Lumpur dan Menara PKNS Petaling Jaya.