Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Projek kontena runcit SACC Walk bakal pikat jutaan pengunjung

SHAH ALAM, 16 NOV: Projek kontena runcit di sepanjang laluan SACC Walk yang beroperasi menjelang Ramadan tahun depan bakal menarik lebih dua juta pengunjung.

Tarikan terbaharu SACC Walk Retail Container dikomersialkan untuk inap desa, ruang pejabat, kedai makan dan peruncitan, kata ketua pegawai eksekutif PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC).

Menurut Fakru Radzi Ab Ghani, pemasangan 10 kontena seluas 20×8 kaki persegi seunit bagi merancakkan kembali bidang peruncitan dan pelancongan di Selangor.

“Dengan kepelbagaian dan kelainan produk serta perkhidmatan bakal ditawarkan, kita percaya ia mempunyai kelebihan daya saing yang mampu memenangi hati orang ramai,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC Fakru Radzi Ab Ghani

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Azrul Shah Mohamad di SACC Mall di sini hari ini.

Sementara itu, Azrul memaklumkan pihaknya bertanggungjawab menyalurkan maklumat dari aspek pembelian dan penyewaan selain mempromosikannya kepada orang ramai.

Beliau turut memuji inisiatif itu selaras kempen ‘Pusing Selangor Dulu’ yang mengajak orang ramai ke lokasi tumpuan bagi merasai sendiri inovasi pengalaman runcit dan beli-belah.

“MoU dimeterai menandakan satu lagi pencapaian terbaharu Tourism Selangor bagi memperkasa sektor peruncitan sebagai elemen terpenting dalam pelancongan. Jadi, kita mengalu-alukan idea baharu serta di luar kotak,” katanya.