Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

40 syarikat sertai persidangan halal pada 4 Mac

SHAH ALAM, 23 FEB: Sebanyak 100 pempamer daripada 40 syarikat menyertai Persidangan Antarabangsa Halal Selangor (Selhac) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) yang dijadual berlangsung pada 4 Mac.

EXCO Industri Halal Mohd Zawawi Ahmad Mughni menjelaskan pempamer terdiri daripada enam kluster iaitu makanan, farmasi, kecantikan, pelancongan, fesyen dan bahan halal.

“Persidangan berlangsung selama tiga hari sehingga 6 Mac bermula dari jam 10 pagi hingga 9.30 malam melibatkan tiga komponen iaitu forum, ekspo dan padanan perniagaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dijadual menyempurnakan perasmian persidangan berkenaan pada 4 Mac.

Selhac adalah program anjuran Kerajaan Negeri yang disertai pemain industri dari dalam dan luar negara. Orang ramai dipelawa hadir untuk memperoleh pelbagai maklumat berkaitan industri itu.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pesta Buku Selangor rekod 14,000 pengunjung takat hari kelapan

SHAH ALAM, 10 DIS: Pesta Buku Selangor 2021 merekodkan kira-kira 14,000 pengunjung setakat hari kelapan penganjuran.

Pengarah pesta buku Mohamed Fadzli Mohd Fauzi berkata jumlah itu memberangsangkan meskipun ketiadaan rombongan pelajar sekolah seperti kelaziman.

“Setiap hari dianggarkan antara 2,000 hingga 3,000 pengunjung hadir ke pesta ini. Angka ini dinilai berdasarkan cabutan bertuah ditawarkan kepada individu yang membuat pembelian RM30 ke atas.

“Mereka datang bukan sekadar cuci mata tetapi mencari bahan bacaan sekali gus menyokong industri buku yang sudah lama suram akibat pandemik Covid-19,” katanya ditemui di Pusat Konvensyen Shah Alam di sini hari ini.

Beliau berkata buku akademik paling laris dijual secara fizikal dan dalam talian selain bahan bacaan mengikut genre tertentu seperti novel serta komik.

“Walaupun pembukaan sekolah telah dilanjutkan, kita lihat rata-rata ibu bapa membawa anak-anak mereka dan mencari buku akademik.

“Justeru, saya mengajak orang supaya hadir memeriahkan pesta yang berbaki dua hari lagi tetapi diingatkan agar mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan,” katanya.

Pesta berlangsung 11 hari sehingga 12 Disember bermula dari 10 pagi hingga 9 malam manakala pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 10 malam.

Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan dengan diskaun menarik selain menyediakan 152 gerai jualan.

Pesta turut menawarkan segmen pembelian buku secara dalam talian sebagai daya tarikan.

Selain kepelbagaian aktiviti, pengunjung juga berpeluang memenangi cabutan bertuah wang tunai RM500 setiap hari.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pertandingan e-sukan, tradisional tarikan Pesta Buku Selangor

SHAH ALAM, 4 DIS: Pertandingan e-sukan PUBG dalam Pesta Buku Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, menarik minat enam sahabat untuk hadir ke program berkenaan.

Mohd Izzamil Qayyum Mohd Mazelan. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan Kelana Jaya Mohd Izzamil Qayyum Mohd Mazelan berkata dia bersama lima sahabat baik mempunyai minat sama dalam permainan video dalam talian itu.

“Permainan video antara tarikan utama selain berkunjung ke pameran pelbagai jenis buku ” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) sebagai penganjur turut mengadakan pertandingan sukan tradisional batu seremban dan congkak dengan tawaran wang tunai melebihi RM8,000.

Sementara itu penyelaras kokurikulum Maahad Tahfiz Sains dan Teknologi Darul Ehsan berkata kunjungan ke pesta buku itu menjadi acara tahunan sekolah sejak 2018.

Nur Ayuni Muhammad Azmi berkata pada tahun ini seramai 27 pelajar dari tingkatan satu hingga lima dibawa membeli peralatan dan keperluan sekolah.

Nur Ayuni Mihammad Azmi. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kami gunakan kenderaan guru sahaja. Rugi rasanya jika tidak pergi kerana buku dijual pada harga murah dan banyak pilihan. Harap program seperti ini diteruskan tiap tahun,” katanya.

Bagi Siti Ruzila Abu Bakar,46, berkata dia membawa anak berusia enam hingga 15 tahun untuk membeli komik dan buku cerita.

“Saya bawa anak-anak ke pesta buku sebab di sini banyak ada macam-macam pilihan jenis buku dan ada diskaun” katanya.

Pesta buku berlangsung 11 hari sehingga 12 Disember depan dari 10 pagi hingga 9 malam manakala pada Jumaat dan Sabtu dilanjutkan hingga 10 malam.

Lebih 200,000 karya tempatan dan antarabangsa ditawarkan dengan diskaun menarik selain menyediakan 152 gerai jualan. Pesta buku itu menawarkan segmen pembelian buku secara dalam talian sebagai salah satu daya tarikan.

Selain kepelbagaian aktiviti, pengunjung turut berpeluang memenangi cabutan bertuah hadiah wang tunai RM500 setiap hari.

 

Categories
SELANGOR

SACC Mall terima penarafan Zon Perdagangan Terpilih

SHAH ALAM, 17 JULAI: Shah Alam Convention Centre (SACC) Mall di bawah kendalian PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) menerima penarafan Zon Perdagangan Terpilih (ZPT) peringkat Zon Tengah daripada Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, penarafan itu ekoran pusat beli-belah berkenaan mencapai tahap terbaik dalam pematuhan undang-undang yang dikuat kuasakan Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, selama tiga tahun berturut-turut.

“Kami sentiasa memastikan peniaga mematuhi undang-undang ditetapkan kerajaan supaya perniagaan di dalam pusat beli-belah milik PREC dapat dijalankan dengan telus dan hak pengguna terpelihara dengan baik daripada disalahguna,” katanya kepada SelangorKini.

Penarafan itu disampaikan Menteri KPDNHEP, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam majlis yang berlangsung di Sunway Velocity Mall.

Pada masa sama, Fakru Radzi berkata, SACC Mall adalah salah satu daya untuk menggamit perhatian pelancong ke Shah Alam selain Kompleks PKNS Shah Alam yang sentiasa dibanjiri pengunjung terutama ketika bulan puasa.

Katanya, ia juga salah satu faktor penting buat PREC untuk melaksanakan kerja penambahbaikan terhadap aset miliknya supaya mesra pengguna dan terus kekal relevan.

“Pengisian program berimpak tinggi menarik lebih ramai pengunjung ke pusat beli-belah kami seperti ‘PREC Beyblade Battle’ yang akan berlangsung ‪pada 21 Julai‬ ini.

“Selain itu, turut diadakan Pertandingan Teater Peringkat Selangor dengan pembabitan pelajar sekolah rendah dan menengah ‪pada 24 Julai‬ ini,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin Nasution menerusi catatan di Facebook berkata, ZPT adalah sistem penarafan yang diwujudkan KPDNHEP bagi memberi pengiktirafan kepada kompleks perniagaan yang menjalankan perniagaan secara beretika selaras akta dan peraturan dikuatkuasakan kementerian.

Antara penerima penarafan peringkat zon tengah di Selangor adalah Aeon Mall Shah Alam dan Gateaway@KLIA 2, manakala penerima di Wilayah Persekutuan adalah Sunway Velocity Mall, Pavilion dan Suria KLCC serta penerima di Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah Alamanda Shopping Centre.

Categories
EKONOMI SELANGOR

SACC Grocer by SK Mart tawar harga berpatutan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 25 JUL: Pasar raya SACC Grocer by SK Mart yang kini dibuka di SACC Mall menawarkan harga berpatutan untuk barangan basah, mentah dan runcit sejak pembukaannya pada 9 Julai, lalu.

SACC Grocer by SK Mart merupakan outlet hasil kerjasama bersama PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) dibuka khusus kepada warga Shah Alam untuk membeli barangan keperluan dengan harga berpatutan.

Ketua Pegawai Eksekutif PREC, Fakru Radzi Ab Ghani berkata, pembukaan pasar raya seluas 10,600 kaki persegi itu terletak di aras bawah SACC Mall bagi menggantikan pasar raya Giant.

“Kita yakin pembukaan pasar raya ini mampu menarik lebih ramai pengunjung selain membantu merancakkan perkembangan ekonomi di bandar Shah Alam dan Selangor secara menyeluruh,” katanya.

Manakala, Pengurus SACC Grocer by SK Mart, Azari Alias berkata, pasar raya itu sentiasa menawarkan barangan mentah yang dijamin segar setiap hari.

Katanya, antara barangan mentah ditawarkan adalah 1 kilogram (kg) ayam segar (RM6.99); sebiji lemon (RM1.00); seekor ikan siakap (RM6.99); seekor ikan bawal emas (RM5.99); 1kg sotong putih (RM12.90) dan sekeping daging lembu (RM18.50) serta beberapa lagi barangan lain.

“Promosi barang segar dan runcit terpilih itu akan berlangsung mulai 23 Julai hingga 5 Ogos ini dengan perbandingan harga kompetitif daripada pasar raya luar sebanyak RM1 selain memberi peluang kepada pembeli menikmati penjimatan yang berbaloi,” katanya.

Waktu operasi ‘SACC Grocer by SK Mart’ bermula jam 10.30 pagi hingga 10 malam dan majlis pelancaran secara rasmi dijangka akan berlangsung pada bulan September dengan tawaran promosi yang lebih mengujakan.

SK Mart yang dimiliki oleh SK Market juga mempunyai tiga pasar raya di cawangan lain iaitu di One City USJ Subang, Cheras dan Balakong.

Categories
SELANGOR

SACC rai anak yatim Rumah Amal Al-Firdaus

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 JUN: SACC Convec meraikan 43 anak yatim dari Rumah Amal Al-Firdaus dalam majlis berbuka puasa di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), semalam.

Pengurus Besar SACC Convec, Nasrudin Abu Bakar berkata, inisiatif itu dilaksanakan bagi menyemarakkan keberkatan Ramadan dengan aktiviti bersedekah dan amal jariah.

Katanya, peluang itu juga dimanfaatkan sebaiknya untuk menghulurkan bantuan kepada anak yatim menyambut ketibaan Syawal tidak lama lagi.

“Tentunya majlis ini dapat menghilangkan kerinduan anak-anak itu terhadap keluarga tersayang dan lebih ceria dalam suasana Ramadan serta sambutan Syawal.

“Namun, Ramadan yang dilalui ini lebih banyak membawa keinsafan kepada diri kita dan melatih diri menjadi individu lebih bertimbang rasa, sekali gus melahirkan hari serta fikiran bersih,” katanya.

IMG_20170531_205307Dalam majlis itu, SACC Convec turut menyampaikan sumbangan duit raya dan hadiah kepada anak yatim berkenaan sebagai komitmen juga sokongan moral serta keprihatinan sosial membabitkan insan kurang bernasib baik.

Majlis turut meraikan kakitangan SACC Convec dan penggiat media bagi merapatkan sillaturahim bersama pengurusan tertinggi SACC.

Antara tetamu kenamaan yang hadir termasuk Ahli Lembaga Pengarah SACC, Siti Zubaidah Abdul Jabar; Ketua Exco SACC Convec, Mohamad Sharif Mok Sum; Pengurus Besar Operasi Kelab Gold Seri Selangor, Hairul Hisham Mohamad Zaini dan Naib Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Abdul Aziz Abu Bakar.

Di akhir majlis, anak yatim dan tetamu yang hadir dihiburkan dengan persembahan kumpulan nasyid Hijjaz.

SACC Convec adalah badan pengurusan dimiliki sepenuhnya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menjalankan operasi Pusat Konvesyen Shah Alam di bawah jenama ‘Blooms Hospitality’.

Categories
SELANGOR

SACC meriahkan Ramadan dengan Nikmat Iftar

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 19 MEI: Bufet Ramadan 2016 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), di sini, tampil dengan tema ‘Nikmat Iftar’ akan menyajikan lebih 100 masakan selera minang dengan gabungan selera Malaysia untuk dinikmati orang ramai.

Ia meneruskan tradisi SACC saban tahun dengan objektif dibawa melalui majlis itu ialah berbakti melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kepada masyarakat.

Pengarah F&B SACC, Mohd Rawi Abu Bakar, berkata tahun ini SACC mengorak langkah baru dengan program CSR ‘Bubur Lambuk – Nikmat Iftar’.

foodsacc 1“Pengagihan bubur lambuk secara percuma kepada orang ramai akan diadakan di luar kawasan Westside Bistro berhampiran pintu barat SACC setiap hari Jumaat di bulan Ramadan, mulai jam 3 petang

“Ia bertujuan untuk sama-sama berkongsi nikmat dan berkat berpuasa dalam Ramadan bersama orang ramai,” katanya.

Dengan harga baucar RM88.00+ untuk dewasa dan RM44.00 (kanak-kanak 7 hingga 10 tahun), manakala kanak-kanak di bawah enam tahun dijamu secara percuma, SACC menawarkan kepakaran dalam setiap masakan disajikan.

Menariknya, tersedia hidangan kemuncak bufet iaitu Kambing Kebuli, masakan berasal dari Timur Tengah yang biasanya dihidangkan sempena sambutan Maulidur Rasul dan
SACC berusaha membawa pengaruh itu kepada masyarakat setempat yang memberi sambutan baik hingga diangkat menjadi hidangan rasmi.

foodsacc 2“Pada Ramadan lalu, Chef Eksekutif, Jamil Napiah dan Sous Chef, Rizal Nahar memperkenalkan Sup Periuk yang mendapat sambutan menggalakkan dengan SACC menjadikannya satu lagi hidangan rasmi Bufet Ramadan SACC.

“Jangan lepaskan peluang menikmati sup ini kerana citarasanya yang sempurna hasil gabungan rempah ratus bersama ayam, daging, kambing, bahagian ekor dan tulang,” katanya.

Promosi ‘Early Bird’ kini sedang berlangsung menawarkan baucar Bufet Ramadan dengan harga serendah RM68+ dan bagi mereka merancang untuk berbuka bersama rakan niaga atau kaum keluarga, ini adalah peluang terbaik untuk mendapatkan penjimatan tinggi.

Semua pembayaran mesti dibuat pada 31 Mei dan selepas tarikh itu, harga jualan RM88+ akan berkuatkuasa dan pihak yang ingin membuat tempahan awal, boleh menghubungi SACC di talian 03-55118813.

foodsacc 4Sementara itu, Mohd Rawi berkata, bagi pelanggan korporat, Pakej Korporat bermula pada harga RM40+ dengan jumlah minima tetamu seramai 50 orang.

“Pakej ini menyediakan ruang khas untuk tetamu dan anda boleh menghubungi SACC untuk berbicang bagi memastikan sambutan Ramadan berjalan lancar dan menjadi satu pengalaman sukar dilupakan,” katanya.

Menariknya Nikmat Iftar kali ini, Aidilfitri Bazaar akan berlangsung di Tingkat 1, SACC mulai jam 10 pagi daripada 13 Jun hingga 3 Julai ini.

Sambil menjamu selera, pengunjung turut dapat membuat persiapan menyambut Aidilfitri tahun ini.

Orang ramai turut berpeluang memenangi baucar Nikmat Iftar secara percuma melalui kuiz di halaman Facebook SACC dan pastikan anda mengikuti pengumumannya di situ: SACCOfficialnew dan Instagram: shahalamconventioncentre

Untuk sebarang pertanyaan, boleh menghubungi SACC di talian 03-5511 8858 atau layari www.sacc.com.my.

-NFN-

RAKAMAN : Liqa’ Ukhwah 2016 – Ceramah Oleh Prof Muhaya

Rakaman Liqa’ Ukhwah 2016 : Ceramah Oleh Prof Muhaya. Sudah reset diri anda ? Sama-sama kita ikuti ceramah beliau yang berkisar mengenai ‘Memperkasa Azam, Merapatkan Ukhuwah’. Program ini telah dilangsungkan di SACC Shah Alam pada 1 Januari 2016, jam 845 malam

Categories
SELANGOR

SACC tawar 10 baucer buka puasa percuma

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 19 JUN: Lima pemenang bertuah berpeluang memenangi baucer berbuka puasa bernilai RM166 di Shah Alam Convention Centre (SACC).

Pertandingan anjuran SACC dengan kerjasama TV Selangor itu hanya memerlukan peserta memenuhi tiga langkah mudah.

PrintMereka yang berminat perlu menekan butang ‘Like’ Facebook SACCofficialnew dan Media Selangorku.

Kemudian, mereka perlu menjawab soalan mudah pada gambar yang dikongsikan dengan hashtag #contestramadansacc sebelum berkongsinya di dinding (wall) Facebook.

Pertandingan bermula awal Ramadan dan berakhir pada 22 Jun bersamaan 6 Ramadan ini.

Pemenang yang memenuhi syarat penyertaan akan dipilih secara rawak dan diumumkan, pada 23 Jun lalu.

Pemenang juga perlu menebus dua baucer setiap orang sebelum 14 Julai ini dan membuat tempahan serta mengesahkan kehadiran tiga hari sebelum tarikh dipilih.

 

#contestramadansacc : Sempena Bulan Ramadan yang penuh barakah ini, pihak Media Selangorku dengan kerjasama SACC kini…

Posted by Media Selangorku on Friday, 19 June 2015

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Integriti Dan Ketelusan Jadikan PKNS Lebih Baik

mb integriti PKNS 02

SHAH ALAM 9 JULAI : Pelaksanaan integriti dan ketelusan serta urus tadbir yang baik akan menjadikan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) makin baik.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Kalid Ibrahim berkata, PKNS akan mendapat nilai tambahan jika berjaya melaksanakan konsep ‘transparency’ di dalam perkhidmatannya.

Menurut Abdul Khalid, berdasarkan pengalamannya sewaktu di dalam bidang korporat dahulu, mengamalkan urus tadbir yang baik tidak menjadi penghalang untuk lebih berjaya.

“Saya berjaya ketika di Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Guthrie kerana mengamalkan integriti dalam kerja,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian ketika ucapan perasmian Persidangan ‘A Conference On Integrity And Good Corporate Governance In Public And Private Sector’ di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini semalam.

Persidangan sehari ini memberi tumpuan kepada elemen integriti dapat membantu kejayaan sesebuah organisasi.

Dalam pada itu, PKNS melaksanakan pelbagai inisiatif dalam memperkukuhkan struktur pengurusan ke arah sistem pengurusan dan pentadbiran yang lebih baik dan mengurangkan karenah birokrasi.

Antara inisiatif berkenaan ialah menubuhkan Jawatankuasa Tadbir Urus dan Integriti (JKTI), Bahagian Perolehan, Bahagian Pengurusan Organisasi dan Integriti dan mengeluarkan pekeliling polisi tidak menerima hadiah dan hospitaliti atau ‘No gift policy’.

 

Categories
NASIONAL

LGE : DAP Penang Bela Islam, Melayu Lebih Dari BN Penang

lim guan eng konvesyen PR 01

 

SHAH ALAM 25 FEB : Setelah lima tahun difitnah Umno-BN bahawa ia anti-Islam dan anti-Melayu, kini Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang telah membuktikan bahawa ia telah lebih membantu masyarakat Melayu-Islam daripada Kerajaan Umno-BN dahulu.

Ini diikhtiraf, kata Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, oleh mahkamah Malaysia sendiri apabila beliau menang dua kes saman terhadap akhbar milik Umno-BN Utusan Malaysia.

Di dalam kedua-dua kes itu, Utusan Malaysia didapati bersalah menfitnah Guan Eng sebagai anti-Islam.

Ini susulan pertambahan peruntukkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang ke institusi agama seperti Sekolah Agama Rakyat dan dana bagi program-program agama.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga telah mewujudkan Tapak Perindustrian Halal, menambah elaun bulanan sebanyak 80 peratus kepada tok siak dan bilal dan mengiktiraf para huffaz.

“Di Pulau Pinang, kita meningkatkan peruntukan hal ehwal Islam berkali-kali ganda berbanding Kerajaan BN.

“Malah, status agama Islam sebagai agama persekutuan juga telah dimasukkan ke dalam perlembagaan DAP,” tegas Guan Eng.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 2,000 perwakilan di Shah Alam Convention Centre (SACC) pagi tadi sempena Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke empat.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu pengaliran wang haram ke luar negara yang dilihat semakin kronik dan merugikan rakyat.

Laporan badan pemerhati kewangan antarabangsa, Global Finance Integrity yang berpengkalan di Washington mendedahkan sejumlah RM 197 billion pengeluaran wang haram berlaku di Malaysia pada tahun 2010.

Jumlah itu menjadikan jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM 871 billion sepanjang sepuluh tahun bermula pada tahun 2001 sehingga 2010.

“Maka penting bagi kita semua bangkit menghapuskan amalan rasuah dan penyelewengan wang yang sangat merugikan rakyat.

“Bayangkan jika wang itu dapat diselamatkan, pasti ia dapat disalurkan untuk kepentingan dan kebajikan rakyat,” jelasnya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Manifesto PR Adalah Janji Konkrit, Bukan Impian Semata-mata

mb khalid ibrahim manifesto PR 01

SHAH ALAM 25 FEB : Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim optimis bahawa dasar dan inisiatif di dalam Manifesto Pakatan Rakyat dapat direalisasikan sekiranya gabungan PKR, PAS dan DAP diberi mandat menerajui Putrajaya dalam pilihanraya akan datang.

Menteri Besar Selangor itu menyifatkan segala dasar yang digariskan dalam manifesto kali ini merupakan satu realiti dan bukannya impian semata-mata.

“Kerajaan Pakatan telah membuktikan, seperti Kerajaan Selangor yang mengamalkan pentadbiran telus dapat menzahirkan manifesto sebelum ini.

“Oleh itu, saya yakin dengan amalan yang bebas rasuah, tiada penyelewengan serta berintegriti tinggi, kita juga akan dapat realisasikan di peringkat pusat,” ujar Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas reaksinya terhadap Manifesto PR yang diumumkan pagi tadi sewaktu Konvensyen Pakatan Rakyat kali ke-4 di Shah Alam Convention Centre (SACC).

Manifesto tersebut menawarkan beberapa dasar dan inisiatif seperti pengurangan harga minyak kenderaan, caj elektrik, air dan harga kereta.

PR juga mensasarkan agar setiap keluarga akan membawa pulang pendapatan RM 4,000 sebulan selepas penggal pertama PR memerintah di Putrajaya.

Tahap pendapatan ini akan dicapai melalui perlaksanaan skim gaji minima RM 1,100 sebulan, membuka 1 juta peluang pekerjaan baru dan melahirkan usahawan yang berjaya dengan menghapuskan monopoli di dalam sektor-sektor industri.

Bantuan juga diberi kepada suri rumah dalam bentuk caruman jaringan sosial yang harus disumbangkan suami mereka setiap bulan dan bagi warga emas lebih dari 60 tahun, satu bayaran bonus RM 1,000 setahun.

“Syabas saya ucapkan kerana manifesto ini adalah bukti bahawa Pakatan Rakyat menawarkan dasar- dasar yang menguntungkan rakyat, dan bukannya pihak-pihak tertentu.

“Dengan perlaksanaannya nanti, rakyat Malaysia pasti dapat melalui fasa baru kehidupan yang lebih baik berbanding sebelum ini,” tambahnya lagi.