Categories
NASIONAL

Suaram: Sabitan Safwan Anang mundurkan demokrasi, kebebasan bersuara

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 6 SEPT : Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyifatkan sabitan terhadap Pengerusi Eksekutif Lensa, Muhammad Safwan Anang di bawah Akta Hasutan 1948 memberi kesan terhadap demokrasi kerana menyekat hak kebebasan bersuara.

Pengarah Eksekutifnya, Yap Swee Seng,  berkata adalah menjadi hak warganegara berkempen menuntut perubahan kerajaan dalam demokrasi berfungsi.

mansuh aktaKatanya sabitan terhadap Safwan mengesahkan Akta Hasutan bertentangan kebebasan bersuara dan prinsip demokrasi serta dijadikan alat kerajaan menyekat kritikan.

“Safwan disabitkan kerana menjalankan hak kebebasan bersuara dan hak mengambil bahagian dalam kerajaan negaranya, secara langsung atau melalui wakil dipilih dengan bebas seperti dijamin di bawah Perkara 19 dan Perkara 21 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat.

“Tindakannya adalah sah dan termasuk dalam sistem demokrasi kerana beliau tidak mengambil jalan keluar dengan melakukan keganasan,” katanya dalam satu kenyataan.

Yap berkata sebuah kerajaan bertanggungjawab tidak boleh menindas pendapat individu mengkritik pentadbiran mereka, sebaliknya menerima kritikan itu secara positif untuk meningkatkan prestasi berkhidmat kepada rakyat.

Katanya perbuatan mengenakan Akta Hasutan terhadap individu  bersifat menindas, ketinggalan zaman serta tidak reelvan dalam abad ke-21 ini, malah tidak mempunyai tempat dalam masyarakat demokratik.

“Ia adalah kekecewaan yang tidak terhingga walaupun Perdana Menteri pernah berjanji untuk memansuhkan akta itu pada tahun 2012 dan 2013.

“Jika Perdana Menteri ingin mendapat keyakinan orang ramai terhadap janji yang dibuat, maka beliau mesti memansuhkan Akta Hasutan serta-merta,” kata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu lagi.

Semalam, Safwan dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas didapati bersalah pada pertuduhan memberi ucapan berbaur hasutan dalam ceramahnya, tahun lalu.

Hakim Norsyaridah Awang membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir pembelaan.

Bagaimanapum mahkamah membenarkan penangguhan pelaksaan hukuman penjara bekas Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) itu sementara proses rayuan ke Mahkamah Tinggi.

Bagaimanapun wang jaminan ditingkatkan daripada RM5,000 kepada RM15,000.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

Mahasiswa UM gesa pentadbiran universiti umum tarikh pilihan raya kampus

Pilihanraya kampus

SHAH ALAM, 30 OKT : Mahasiswa Universiti Malaya (UM) masih menanti tarikh Pilihan Raya Kampus 2013-2014 (PRK 2013-2014) disaat hampir semua universiti awam di negara itu membentuk Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) masing-masing.

Pengerusi Pro M UM, Abdul Muqit Muhammad berkata, setakat ini mereka hanya berkempen tanpa mengetahui bila tarikh penamaan calon dan pembuangan undi serta sistem pengundian PRK yang bakal digunakan.

Katanya, tarikh PRK bakal dilangsungkan hanya bergantung kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP) Datuk Rohana Yusuf dan penangguhan ini menunjukkan rasa tidak yakin pihak pentadbiran.

Mengikut tarikh yang diberikan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), PRK UM sepatutnya diadakan pada 23 Oktober lalu, sama tarikh dengan hari pengundian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Keyakinan kami untuk menang cerah selepas berlaku tsunami di beberapa kampus seperti Universiti Utara Malaysia (UUM) dan kita yakin di UM juga kita mampu untuk tawan balik kampus.

“Dari sudut kampen penerimaan pelajar UM memang rata-rata menyokong kuat Pro-M,” katanya kepada TV Selangor.

Sementara itu, Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang menggesa agar pihak pentadbiran Universiti Malaya mengumumkan segera tarikh pilihan raya kampus dengan segera.

“Hal Ehwal Pelajar kena umumkan segera, umumkan segera kerana para pelajar akan bercuti untuk pertengahan semester,” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor.

Pada PRK 2012-2013, Pro-M tewas kepada Pro-Aspirasi pada kerusi penentuan Majlis Tertinggi apabila calon tunggal kerusi Bebas mengambil keputusan menyokong Pro-Aspirasi sekaligus menjadikan kedudukan 22-21.

Sebelum ini, Pro-M UM mendedahkan mendedahkan wujud campur tangan Hal Ehwal Pelajar UM dan Umno dalam Pilihan Raya Kampus (PRK) UM.

-EZY

Categories
NASIONAL

Mahasiswa : Kerajaan pusat tergesa-gesa laksana GST

Safwan Anang gst

SHAH ALAM 30 OKT : Kerajaan Pusat tergesa-gesa melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan membebankan rakyat ketika tiada mekanisme untuk meningkatkan sumber pendapatan rakyat.

Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang, berkata Kerajaan Pusat digesa menyelesaikan dahulu masalah rasuah, ketirisan dan keborosan yang berlaku dalam perbelanjaan seperti yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara sebelum GST dikuatkuasakan.

Kata beliau, golongan mahasiswa turut akan menerima tempias dan kesan daripada pelaksanaan GST pada kadar 6 peratus bermula 1 April 2015 kerana mereka juga merupakan pengguna yang akan membeli barangan dan keperluan.

“Jika kerajaan pusat tidak juga mendengar suara bantahan rakyat ini maka mahasiswa bersedia untuk bersama-sama menggerakkan suara bantahan ini,” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor.

Kata Safwan, beliau berharap mahasiswa mempertingkatkan kesedaran dan kefahaman berkenaan pelaksanaan GST agar mereka berkeupayaan menjadi jurubicara rakyat.

“Apabila hangatnya pilihan raya kampus itu diharap isu GST ini juga diperdebatkan tetapi malangnya hal ini tidak berlaku akibat campur tangan politik luar sehingga menyebabkan isu GST ini diam sahaja,” kata beliau.

Pengenalan GST pada kadar enam peratus akan lebih membebankan golongan muda kerana 82.5 peratus daripada mereka mempunyai pendapatan RM3,000 ke bawah.

Kesan itu semakin dirasai golongan muda apabila kadar inflasi meningkat ekoran kenaikan harga barangan dan perkhidmatan ketika pendapatan tidak banyak berubah.

EZY

Categories
NASIONAL SELANGOR

‘Listen, Listen, Listen’ jadi gelombang kebangkitan Pro-M di UUM

Safwan Anang pilihanraya kampus

SHAH ALAM 30 OKT : Gelombang ‘Listen, listen, listen’ menjadi antara penyebab suara kebangkitan mahasiswa di Universiti Utara Malaysia (UUM) pada Pilihan Raya Kampus (PRK) pada kali ini apabila Pro Mahasiswa berjaya memperolehi 13 kerusi.

Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang, berkata peningkatan peratusan pelajar yang keluar mengundi dalam pilihan raya kampus itu merupakan petanda baik bahawa kesedaran mahasiswa untuk menunaikan hak dan tangggungjawab mereka adalah tinggi.

“Sudah bertahun-tahun kita kalah besar di Utara itu, dan pada tahun ini ia memberikan gambaran positif bahawa mahasiswa sedar, cuma mereka masih tersepit dengan pelbagai kekangan dan halangan.

“Rupanya dalam diam, mahasiswa UUM bangkit dan kebangkitan ini juga disebabkan oleh gelombang media sosial yang memainkan peranan penting kepada kesedaran mahasiswa,” kata Safwan ketika dihubungi TVSelangor.

Aktivis siswa, KS Bawani, yang meraih populariti melalui video ‘Listen, listen, listen’ di Internet, turut memenangi salah satu kerusi dalam pemilihan majlis perwakilan mahasiswa di UUM.

Pemilihan tersebut dilihat sebagai pertandingan paling sengit di kampus berkenaan apabila 13 calon pro-Mahasiswa berjaya merebut kerusi MPP.

Kumpulan calon pro-Aspirasi pula mendapat kelebihan dua kerusi ? 15 daripada keseluruhan 36 yang dipertandingkan.

Satu lagi kumpulan, dikenali dengan nama Hijrah, memenangi enam kerusi manakala dua lagi kerusi dimenangi calon bebas.

Kumpulan pro-Aspirasi hampir membolot keseluruhan kerusi dalam pertandingan pada tahun lalu di UUM, dengan menguasai 34 dari keseluruhan 36 kerusi.

PRK UUM Safwan Anang

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pelancaran Jelajah #BantahTPPA & #AntiObama Malam Ini di Taman Melati, Wangsa Maju

Backdrop Jelajah

Selepas berakhirnya siri jelajah #Black505 yang menyaksikan beberapa kemuncak perhimpunan pada pertengahan Jun lalu, suasana perlawanan antara rakyat yang ditindas dan kerajaan zalim dilihat sejuk tidak bermaya. Di atas kesuraman ini juga, kesempatan diambil oleh pemerintah untuk terus menekan rakyat menyedari asakan dari rakyat sudah mulai perlahan.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) tidak memandang ringan situasi ini lantas membawa perlawanan baru untuk rakyat bersatu melawan penindasan. Suasana ceramah umum yang selama ini menjadi medan penyebaran maklumat akan dihidupkan semula.

Maka bermula hari ini, SAMM bersama rakan sekutu akan menjengah ke seluruh negara dalam satu siri jelajah mobilisasi menentang perjanjian TPPA dan membantah kehadiran Presiden Obama ke Kuala Lumpur pada 10-11 Oktober ini. Siri jelajah juga akan dipanaskan dengan beberapa isu semasa termasuklah isu kesan kenaikkan harga petrol dan pemenjaraan 13 pejuang demokrasi.

Jelajah #BantahTPPA dan #BantahObamaKLCC anjuran SAMM, SMM dengan kerjasama Badan Bertindak Bantah TPPA yang dibarisi Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) akan merentasi 13 lokasi di seluruh tanahair sebelum kembali semula ke Kuala Lumpur dalam satu pentas kemuncak yang mungkin mempertemukan dua tokoh terbesar tanahair. Jelajah ini juga akan memastikan orang ramai dari seluruh negara akan bergerak dan sampai ke Kuala Lumpur pada 11 Oktober 2013 demi satu perhimpunan di KLCC ‘menyambut’ Presiden Amerika, Barrack Obama dengan cara tersendiri.

Aksi pelancaran Jelajah #BantahTPPA akan berlangsung malam ini di Taman Melati, Wangsa Maju dianjurkan oleh SAMM Wilayah yang diketuai oleh sdr Azmir Hj Mustaffa dengan kerjasama PKR Wangsa Maju.

Pentas pelancaran akan digegarkan oleh YB Tian Chua, Dr Hatta Ramli, che’GuBard, Hishamuddin Rais, wakil mahasiswa Safwan Anang dan Adam Adli. Turut hadir di pentas adalah wakil NGO #BantahTPPA antaranya Nizam Mahshar (MTEM), Cikgu Azmi (MAPIM), Syed Ibrahim (IKRAM), Azlan Awang (Blindspot), Sivarajan (JERIT), Anas (Blindspot).

SAMM menjemput seluruh warga kota untuk hadir bersama menghadam maklumat mengenai bahana perjanjian TPPA dan isu semasa yang menghangat. Pesta kesedaran akan terangkan semula biarpun sekadar berbentuk ceramah sebagai pemula, ia cukup menjadikan api kemarahan rakyat dinyalakan sebaiknya. Cukuplah waktu rehat, kini tiba masanya bersama menggerak massa menyelamatkan tanahair.

Edy Noor Reduan
Pengarah Propaganda
Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

 

TPPA 2

 

Categories
SELANGOR

Graduan PTPTN dihukum lagi dengan CCRIS

PTPTN

SHAH ALAM 20 OGOS : Kerajaan digesa untuk memikirkan mekanisme yang lebih baik untuk membantu mahasiswa dan graduan yang dibelenggu dengan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bukannya terus menerus menghukum mereka dengan pelbagai bebanan dan tekanan.

Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang, berkata pengumuman Menteri Pendidikan II, Datuk Idris Jusoh, untuk menyenaraikan peminjam PTPTN ingkar di bawah Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) akan terus membebankan mahasiswa.

“Tindakan PTPTN itu seumpama ‘Along berlesen’ kerana kerajaan tidak seharusnya menambahkan lagi beban mahasiswa,” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor.

Kata beliau, kerajaan perlu mempertimbangkan nasib golongan graduan yang masih tidak mempunyai kerja sesuai dan bekerja separuh masa apabila berhadapan kesukaran untuk membuat pembayaran pinjaman.

“Hasrat kerajaan terbaru ini bertentangan dengan kenyataan daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang akan memperjuangkan isu kebangkrapan dihadapi oleh golongan muda.

“Jadi mengapa Menteri Pendidikan II, Idris Jusuh ini tidak memikirkan kebajikan untuk anak muda jadi golongan mahasiswa akan menemui Khairy Jamaluddin dalam masa terdekat ” kata beliau.

Katanya lagi, beliau berharap Belanjawan 2014 yang akan diumumkan Perdana Menteri nanti kerajaan perlu mempunyai jalan penyelesaian yang lebih baik bagi membela kebajikan golongan mahasiswa dan graduan.- MZA

Categories
NASIONAL SELANGOR

SAMM Lancar Tabung Kumpul Dana Bantu Aktivis Protes Penipuan PRU

Aktivis berbaring depan Parlimen

SHAH ALAM, 26 JULAI: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) melancarkan tabung kutipan dana bagi membantu 33 aktivis yang terlibat dalam perhimpunan protes penipuan pilihan raya.

Wang tersebut bagi membayar jaminan yang dikenakan mahkamah terhadap mereka.

Menurut Pengarah Propaganda SAMM, Edy Noor Reduan dalam satu kenyataannya kepada TV Selangor, SAMM sebelum ini dinasihatkan peguam mereka agar bersiap-sedia dengan wang sebanyak RM165,000 bagi bayaran ikat jamin tersebut.

“Berdasarkan makluman dari Pegawai Penyiasat (IO) kes berkenaan dari IPD Dang Wangi menyatakan 33 akan dituduh dibawah Akta Perhimpunan Aman kerana menyertai perhimpunan haram dan 17 orang dari mereka akan diberikan tuduhan tambahan iaitu akta 147 iaitu cubaan merusuh.

Menurut Edy , orang ramai yang ingin menyumbang bagi bayaran ikat jamin 33 aktivis tersebut dan membantu gerakan SAMM, mereka boleh mendepositkan wang ke akaun Maybank 5550 4111 3224 atas nama Solidariti Anak Muda.

“Selepas menyumbang harap dapat sms ke  0126937908 atau email ke [email protected] bagi makluman pengesahan,” katanya lagi.

Pada 24 Jun lalu, lebih 50 aktivis dari pelbagai NGO mengadakan protes di hadapan Parlimen bagi mendesak pemimpin Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meletakkan jawatan ekoran penipuan dan penyelewengan yang berlaku sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-13 berlangsung.

Dalam kejadian tersebut seramai 33 dari mereka ditahan termasuk beberapa aktivis golongan muda terkenal seperti Safwan Anang, Ekhksan Bukhari serta Akram Ahmar.

Categories
NASIONAL

#Blackout505 22 Jun: Berkumpul di 7 Check Point Sebelum Ke Padang Merbok

flags suara rakyat 505 pj 01

PETALING JAYA, 19 JUN: Perserta perhimpunan aman #Blackout505 Sabtu ini diseru agar berkumpul di tujuh ‘check point’ sebelum bergerak bersama pemimpin Pakatan Rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO) ke Padang Merbok pada hari tersebut.

Tujuh ‘check point’ tersebut adalah :

1) Brickfields diketuai Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arulchelvan dan Pemimpin Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Marina Chin.

2) Masjid Negara – Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, MP Shah Alam Khalid Samad

3) Jalan Pudu – Timbalan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai, Setiausaha Organisasi Parti DAP, Anthony Loke, Ketua Gerakan anti Lynas, Wong Tack, Koordinator Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) Badrul Hisham Shaharin.

4) Jalan Raja Laut (ibupejabat Pas) – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.

5) Jalan Raja Laut (Sogo) – Naib Presiden PKR Tian Chua, bekas-bekas pesara tentera

6) Universiti Malaya – aktivis mahasiswa Safwan Anang dan Adam Adli, Ketua AMK Shamsul Iskandar Mohd Akin, Ketua Pemuda PAS Nasruddin Hassan

7) Pekeliling – Naib Presiden PAS Salehuddin Ayub dan NGO ANAK.

Kumpulan-kumpulan tersebut akan bergerak ke Padang Merbok selepas solat Zohor dan bergabung di padang tersebut kira-kira jam 2.00 petang.

Demikian menurut MP Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dalam sidang media di ibu pejabat PKR di sini pagi tadi.

Berita penuh menyulus selepas ini….

 

Categories
NASIONAL

Pakatan Sokong Himpunan “Blackout” 15 Jun Di Kuala Lumpur

blackout suara rakyat 505 01

PETALING JAYA 3 JUN : Pakatan Rakyat (PR) menyatakan sokongan terhadap penganjuran perhimpunan aman ‘Blackout 505’ yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 15 Jun ini.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, satu perbincangan akan diadakan dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar bagi memastikan perhimpunan tersebut akan berjalan secara selamat dan aman.

“Kita telah memutuskan untuk menyokong inisiatif mengadakan perhimpunan aman ini dan jawatankuasa sekretariat serta wakil NGO akan meneliti semua aspek berkaitannya.

“Rundingan bersama dengan Ketua Polis Negara dan pihak keselamatan akan dibuat supaya perjalanan perhimpunan ini terjamin aman dan terkawal,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Setakat ini, lokasi himpunan tersebut belum ditentukan lagi.

Beberapa siri perhimpunan ‘Blackout 505’ telah diadakan di beberapa lokasi di seluruh negara sejak 8 Mei lalu di Stadium MBPJ, Kelana Jaya.

Ia bagi menyatakan bantahan terhadap keputusan Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) yang didakwa penuh dengan unsur penipuan dan penyelewangan.

Berikutan penganjurannya, beberapa pemimpin PR dan aktivis politik ditahan dan didakwa di mahkamah selepas itu.

Antara mereka ialah, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Koordinator ABU, Haris Ibrahim; Presiden SMM, Safwan Anang, Aktivis PAS, Datuk Tamrin Ghafar dan aktivis mahasiswa Adam Adli Abdul Halim.

Categories
NASIONAL

Pendakwaan Dibawah Akta Hasutan Pilih Kasih, Zalim

tian haris tamrin akta hasutan 01

SHAH ALAM 30 MEI : Pertuduhan mengikut Akta Hasutan 1948 yang dikenakan terhadap seorang pemimpin Pakatan Rakyat dan empat aktivis semalam adalah zalim kerana akta tersebut berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Batu Tian Chua, ahli Pas Thamrin Ghafar dan aktivis Hariz Fathillah Mohamed Ibrahim, Safwan Anang dan Hishamuddin Rais didakwa di mahkamah seksyen kerana kenyataan mereka di sebuah forum pada 13 Mei.

Bahkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pernah mengakui akta tersebut menyekat kebebasan bersuara dan berjanji untuk menghapuskan akta tersebut.

Peguam Gobind Singh Deo berkata pihaknya akan menggunakan hakikat akta itu bercanggah dengan Perlembagaan sebagai asas untuk membatalkan kes itu di Mahkamah Tinggi.

Menurut Gobind lagi, kata-kata yang dituturkan oleh ketiga-tiga tertuduh sama-sekali tiada unsur hasutan.

“Apa yang disebut atau dikatakan merupakan perkataan-perkataan menghasut itu memang tidak menghasut seperti sedia ada,” kata Gobind yang juga MP Puchong.

Kelima-lima individu tersebut dituduh di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen Jalan Duta semalam.

Mereka didakwa membuat kenyataan berunsur hasutan di satu forum 13 Mei, di Kuala Lumpur, 13 Mei lepas.

Mereka mengaku tidak bersalah dan Hakim Norsharidah Awang membenarkan mereka diikat jamin RM 5,000 setiap seorang. Pendengaran kes ditetapkan pada 2 Julai.

Jika disabit kesalahan boleh dipenjarakan tiga tahun atau didenda RM 5,000 atau kedua-duanya.

Gobind menyifatkan pendakwaan yang dilakukan ke atas lima individu tersebut bukan sahaja menentang Perlembagaan bahkan juga bersikap pilih kasih.

“Ini adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah dimana kita menyatakan akta hasutan itu bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.”

Categories
NASIONAL

PRU13 : Calon Mahasiswa Tarik Diri Beri Sokongan Kepada PR

ceramah putrajaya 01

PUTRAJAYA, 18 APRIL : Gerakan mahasiswa mengumumkan menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU-13) bagi kerusi Parlimen Pekan untuk memberi laluan kepada calon Pakatan Rakyat(PR).

Pengumuman berkenaan diumumkan Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia(SMM), Safwan Anang dalam satu siri ceramah Jelajah Merdeka Rakyat di Desa Pinggiran Putra, Putrajaya di sini malam tadi.

ceramah putrajaya 02Walaubagaimanapun menurut Safwan, kumpulan Gerakan Mahasiswa(GM13) tersebut akan terus memberikan sokongan 100 peratus terhadap PR bagi menawan Putrajaya.

“Mahasiswa istihar tarik diri daripada Pekan tapi masih istihar perang kepada Umno-BN.

“Dan yang kedua, mahasiswa istihar kami akan jadi jentera hadapan untuk memastikan kemenangan Putrajaya ini,” ujar Safwan dihadapan kira-kira 5000 penduduk Putrajaya.

Turut hadir ketika siri jelajah itu, Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, calon Parlimen Pas Putrajaya, Datuk Husam Musa, serta calon Parlimen Pas Sepang, Mohamed Hanipa Maidin.

Dalam perkembangan sama, Parlimen Pekan akan dipertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak yang akan dicabar calon PR yang juga Koordinator Jingga 13, Fariz Musa.

Categories
NASIONAL SELANGOR

SMM Dakwa UiTM Peralat Pelajar Melayu

safwan anang

SHAH ALAM, 17 APRIL : Universiti Teknologi Mara (UiTM) didakwa memperalatkan pelajar Melayu dalam isu tayangan filem Tanda Putera bagi membangkitkan semangat perkauman di kalangan pelajar.

Presiden Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Safwan Anang mendakwa pihak tertentu menggunakan isu perkauman sebagai modal politik disebabkan filem tersebut hanya dikhususkan untuk ditayangkan kepada pelajar Melayu.

Beliau memberitahu, tayangan filem yang sama dibuat di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) pada Mac lalu.

“Ia menggambarkan isu-isu membabitkan sensitiviti perkauman antara pencetus sebab berlaku 13 Mei 1969.

“Di akhir tayangan tersebut dibentangkan taklimat mengenai kaitan peristiwa 13 Mei yang berlarutan sehingga berlaku siri-siri demonstrasi yang didakwa dianjurkan pembangkang termasuk demonstrasi Bersih 1.0, 2.0 dan 3.0 .

“Bila masa pelajar bangun untuk bertanya soalan tetapi mereka dinafikan hak untuk itu,” dakwanya kepada TVSelangor hari ini.

Safwan selanjutnya berkata, SMM merasakan sentimen perkauman digunakan sebagai modal politik seolah-olah Malaysia akan jatuh ke tangan bangsa lain yang akan menyebabkan keadaan huru – hara selepas pilihan raya umum ini.

Tambahnya, SMM menolak sekeras-kerasnya politik kotor sebegini hingga meenyentuh sensitiviti perkauman yang kita andaikan sebagai taktik politik ugut.

“Universiti perlu jadi pentas perdebatan dan perbincangan forum untuk agenda manifesto masing-masing serta bukannya politik kotor dengan membangkitkan sentimen perkauman seperti ini,” ujarnya.