Categories
AGENDA NASIONAL

Sagu hati batal umrah, jemaah diberi tempoh hingga Mac buka akaun TH

MELAKA, 15 FEB: Jemaah umrah yang akan menerima bayaran sagu hati kerana terpaksa membatalkan ibadah berkenaan susulan penangguhan sementara kebenaran perjalanan umrah, diberi tempoh sehingga Mac ini untuk membuka akaun simpanan Tabung Haji (TH) bagi tujuan tersebut.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad berkata tempoh itu dilanjutkan ekoran terdapat lebih 1,000 jemaah terlibat masih belum membuka akaun simpanan berkenaan yang merupakan medium tunggal digunakan untuk pembayaran sagu hati itu.

“Pembayaran sagu hati tersebut akan dibuat pada Jumaat ini (18 Februari) dan kita harapkan jemaah yang akan menerima sagu hati itu akan segera membuka akaun simpanan TH, pembayaran akan dilanjutkan sehingga Mac ini.

“Apa pun (pembayaran) mesti menggunakan akaun TH kerana ia memudahkan dan TH ada di semua tempat termasuk di kampung,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Multaqa Murabbi Ummah Peringkat Negeri Melaka Tahun 2022 di Masjid Al-Azim di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

Idris berkata beliau juga telah mengarahkan TH memaklumkan pejabat cawangannya di seluruh negara supaya mempermudahkan pembukaan akaun simpanan berkenaan agar proses pembayaran sagu hati berjalan lancar.

Sebelum ini, media melaporkan pembayaran sagu hati sebanyak RM1,671 seorang kepada jemaah umrah yang membatalkan pemergian susulan penangguhan sementara kebenaran perjalanan umrah akan dibuat pada 18 Februari ini.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menyerahkan senarai 8,027 jemaah umrah yang terkesan serta layak menerima sagu hati tersebut dan daripada jumlah itu, hampir 1,000 jemaah umrah masih belum mempunyai akaun simpanan TH.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tangguh umrah, jemaah dapat sagu hati RM1,671 mulai 18 Februari

SHAH ALAM, 13 FEB: Jemaah umrah yang terpaksa membatalkan perjalanan ke Mekah susulan penularan varian Omicron akan menerima sagu hati berjumlah RM1,671 pada 18 Februari.

Bayaran itu akan dikreditkan ke akaun simpanan Tabung Haji (TH) penerima setelah dipersetujui dalam mesyuarat beberapa kementerian sebelum ini, kata menteri hal ehwal agama.

Menurut Datuk Idris Ahmad, seramai 8,027 jemaah umrah yang terkesan layak menerima ganti rugi itu namun hampir 1,000 dikesan belum mempunyai akaun simpanan TH.

“Oleh kerana kaedah bayaran melalui akaun simpanan TH, maka saya menyeru semua jemaah umrah yang belum mempunyai akaun untuk membukanya sebelum 18 Februari,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata pendaftaran akaun boleh dibuat secara dalam talian melalui pautan www.thijari.com.my dan hadir ke kaunter TH terdekat bagi proses pengaktifan secara biometrik.

Idris menambah, mereka juga boleh merujuk mana-mana cawangan TH untuk pendaftaran secara manual dan akan dilayan serta-merta tanpa perlu beratur atau menunggu lama.

“Saya juga maklumkan kepada TH supaya segala tuntutan pembayaran ini dipermudah semaksimumnya supaya tidak berlaku kesulitan yang besar terhadap tuntutan ini,” katanya lagi.

Kerajaan menangguhkan sementara kebenaran umrah bermula 8 Januari susulan peningkatan kes varian Omicron dalam kalangan jemaah dan membenarkannya semula sebulan selepas itu.