Categories
NASIONAL

Anggota Parlimen Setiawangsa sah bercerai talak satu

KUALA LUMPUR, 2 JUL: Anggota Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini sah bercerai talak satu dengan isterinya di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini, selepas 14 tahun mendirikan rumah tangga.

Nik Nazmi, 37, selaku plaintif melafazkan cerai itu terhadap Dr Imaan Abdul Rahim, 36, sebagai defendan dalam kamar Hakim Syarie Zaim Md Yudin pada 9.45 pagi dan mahkamah merekodkan perceraian pasangan itu.

Peguam syarie Normawaddah Ramli yang mewakili Nik Nazmi mengesahkan pasangan itu bercerai secara baik dengan talak satu. Peguam syarie Fahda Nur mewakili Dr Imaan.

Semakan di mahkamah mendapati, Mahkamah Tinggi juga merekodkan penceraian secara baik, perintah berhubung nafkah anak, harta sepencarian, hak penjagaan anak, mutaah, hibah dan nafkah edah.

Nik Nazmi yang juga Ketua Setiausaha Pengelola KEADILAN dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN memfailkan penceraian itu mengikut Seksyen 47 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) 1984 pada 30 Mei lepas.

Nik Nazmi tiba di mahkamah pada pukul 8.15 pagi manakala Dr Imaan tiba lebih awal dan mereka kemudiannya masuk ke kamar hakim pada 9.30 pagi.

Dalam 15 minit, pasangan itu keluar dari kamar hakim selepas prosiding dan menuju ke kenderaan masing-masing.

Pasangan tersebut telah mendirikan rumah tangga pada 7 Ogos 2005 dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang anak lelaki bernama Nik Ilhan yang kini berusia lapan tahun.

Sementara itu, Nik Nazmi dalam satu kenyataan media berkata, beliau dan bekas isterinya telah bersetuju untuk mengakhiri perkahwinan mereka.

“Saya bersyukur dengan perkahwinan yang pernah kami miliki, juga sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan yang diberikan kepada kami. Saya ingin memohon maaf atas kesakitan atau kesedihan yang dialami oleh mana-mana pihak, terutamanya keluarga kami.

“Kami fokus terhadap kegembiraan dan kesejahteraan anak kami dan kami komited untuk membesarkannya bersama-sama. Saya minta semua pihak menghormati privasi kami pada waktu ini. Tiada kenyataan lain yang akan dikeluarkan berkenaan isu ini,” katanya. – BERNAMA