Categories
AGENDA NASIONAL

Selangor pegang saham terbesar Pertubuhan Peladang Kebangsaan

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor, menjadi pemegang saham terbesar dalam Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) melibatkan nilai RM13.1 juta atau 20 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai saham Nafas iaitu RM65.56 juta.

Terbaru, PPN Selangor menambah pelaburan sebanyak RM2 juta kepada Nafas.

Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPN Selangor Datuk Abd Rahman Bakri berkata, PPN Selangor mempunyai keahlian seramai 55,857 orang setakat 31 Dis 2020 yang terdiri daripada 14 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), dengan jumlah keseluruhan saham yang dilaburkan sebanyak RM3.79 juta.

Katanya sehingga tempoh berakhir 31 Dis 2020, jumlah keseluruhan saham PPN Selangor di Nafas adalah RM9.91 juta.

“Daripada jumlah pelaburan ini, dividen yang diperolehi sehingga 31 Dis 2020 adalah berjumlah RM1.18 juta menjadikan jumlah pelaburan saham di Nafas sehingga 31 Dis 2020 berjumlah RM11.1 juta.

“Harapan saya dengan penambahan saham di Nafas ini, mendapat pulangan pelaburan yang kekal positif dengan memberi pulangan yang lebih tinggi dan antara impaknya ialah memberi manfaat kepada seluruh ahli kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pasukan Khas Benih Padi Sah dan Padi Asas serta Majlis Penyerahan Tambahan Saham PPN Selangor kepada Nafas malam tadi.

Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pasukan Khas Benih Padi Sah dan Padi Asas yang diadakan buat julung kali itu berlangsung selama dua hari melibatkan pengerusi PPN bersama bahagian dan agensi berkaitan industri padi dari Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Lembaga Pertubuhan Peladang, Jabatan Pertanian serta Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

Ia antara lain bagi membincangkan hal berkaitan industri padi yang melibatkan kerjasama dalam memainkan peranan masing-masing bagi menambah baik serta meningkatkan hasil pengeluaran padi negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia diramal niaga tinggi, pelabur kembali beli saham

KUALA LUMPUR, 14 NOV: Bursa Malaysia dijangka diniagakan tinggi minggu depan dengan pelabur dijangka membeli saham pada harga rendah berikutan penurunan pada minggu lepas tetapi kemajuan dalam pembangunan vaksin Covid-19 akan mengurangkan minat untuk mengambil risiko.

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata bursa tempatan boleh menjangka untuk menyaksikan peningkatan dalam kaunter sarung tangan berikutan berita mengenai vaksin Covid-19.

Beliau turut menjangka saham permodalan kecil akan mula membuat kemunculan semula.

“Kami menjangka untuk menyaksikan FBM KLCI berada antara paras sokongan pada 1,580 dan paras halangan pada 1,595 minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Pada minggu baru berakhir, sentimen pasaran dipengaruhi oleh Belanjawan 2021 dan kejayaan ujian fasa ketiga vaksin Covid-19 oleh Pfizer.

Kaunter perbankan melonjak pada pertengahan minggu berikutan moratorium menyeluruh tidak dilanjutkan di bawah Belanjawan 2021, yang memberi prospek baik kepada pendapatan bank.

Pada Jumaat, Bank Negara Malaysia mengumumkan ekonomi Malaysia pulih dengan mencatatkan penguncupan yang lebih kecil sebanyak 2.7 peratus pada suku ketiga 2020 daripada -17.1 peratus pada suku tahun sebelumnya.

Prestasi ini, bagaimanapun, tidak cukup kuat untuk meningkatkan lagi minat untuk mengambil risiko dalam pasaran.

FBM KLCI ditutup tinggi 70.05 mata untuk mengakhiri minggu ini kepada 1,589.69 daripada 1,519.64 semasa dicatatkan pada Jumaat lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas melonjak 391.02 mata kepada 11,409.99, Indeks FBMT 100 menambah 390.76 mata kepada 11,204.04 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 51.63 mata kepada 13,327.03.

FBM 70 meningkat 106.18 mata kepada 14,622.98 dan Indeks FBM ACE menokok 250.84 mata kepada 11,224.75.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 1,273.55 mata kepada 13,568.01, Indeks Perladangan menambah 180.82 mata kepada 7,304.2 manakala Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 6.41 mata kepada 156.2.

Indeks Teknologi susut 0.09 mata kepada 64.62 manakala Indeks Penjagaan Kesihatan merosot 139.18 mata kepada 3,991.15.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 67.71 bilion unit bernilai RM29.51 bilion daripada 34.28 bilion unit bernilai RM18.51 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 31.07 bilion saham bernilai RM21.53 bilion daripada 16.30 bilion saham bernilai RM13.88 bilion.

Jumlah dagangan waran naik kepada 4.46 bilion unit bernilai RM807.03 juta daripada 4.08 bilion unit bernilai RM842.51 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE meningkat kepada 32.17 bilion saham bernilai RM7.17 bilion daripada 10.68 bilion saham bernilai RM3.75 bilion sebelum ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Dagangan Bursa Malaysia dijangka rendah minggu depan

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Dagangan di Bursa Malaysia minggu depan disasar bergerak rendah dengan indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berlegar antara 1,500 hingga 1,520.

Pada masa sama, para pelabur pula akan memberi tumpuan kepada mesyuarat dasar monetari Bank Negara yang akan menyemak kembali kadar dasar semalaman (OPR).

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berpendapat sebarang pengurangan kadar OPR akan menjurus kepada risiko menurun untuk sektor perbankan.

“Indeks Kewangan Bursa Malaysia yang termasuklah sektor perbankan setakat ini, telah merosot hampir 20 peratus tahun ini,” kata beliau kepada Bernama.

Adam berkata kemungkinan munculnya aktitviti belian saham murah untuk kaunter berkaitan teknologi minggu depan, kebanyakannya akan didominasi oleh pelabur runcit.

Sektor ini meningkat kira-kira 25 peratus sejak Julai tahun ini dan para penganalisis merasakan aktiviti penjualan adalah satu pembetulan yang sihat selepas merekodkan keuntungan tinggi.

Sementara itu, pada urus niaga Khamis, Wall Street AS mencatatkan penurunan terbesar satu hari dalam tempoh hampir tiga bulan.

Komposit Nasdaq jatuh menghampiri 4.96 peratus kepada 11,458.10, Dow Jones merosot 2.78 peratus kepada 28,292.73 dan S&P susut 3.51 peratus kepada 3,455.06.

Dalam pada itu, sektor penjagaan kesihatan yang agak stabil sejak sekatan pergerakan Covid-19 turut mengalami tekanan jualan dengan syarikat-syarikat seperti Supermax, Kossan Rubber dan Top Glove mendahului saham paling rugi.

Selain saham teknologi, Adam juga berkata kemungkinan adanya kegiatan spekulatif untuk saham kewangan menjelang mesyuarat OPR.

Mengimbas kembali, bank pusat melaksanakan pengurangan OPR sebanyak empat kali berjumlah 125 mata asas sejak awal tahun ini.

Untuk urus niaga minggu ini, indeks FBM KLCI diniagakan kebanyakannya rendah berikutan aktiviti pengambilan untung ke atas sektor penjagaan kesihatan.

Pasaran ditutup pada Isnin sempena sambutan Hari Kemerdekaan.

Berdasarkan perbandingan Jumaat-Jumaat, FBM KLCI ditutup 9.35 mata lebih rendah kepada 1,515.86 pada Jumaat berbanding 1,525.21 minggu sebelumnya.

Di papan skor, indeks FBM Emas merosot 113.28 mata kepada 10,972.30, Indeks FBMT 100 turun 116.21 mata kepada 10,770.54 dan Indeks FBM Emas Shariah lebih rendah 156.83 mata kepada 13,009.82.

Indeks FBM 70 menguncup 349.21 mata kepada 14,398.18 dan Indeks FBM ACE berkurangan 173.22 mata kepada 10,806.05.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 4.91 mata kepada 12,637.86 tetapi Indeks Perladangan lebih tinggi 5.97 mata kepada 7,063.25 dan indeks Teknologi naik 0.47 mata kepada 57.26.

Indeks Penjagaan Kesihatan pula lemah 365.30 mata kepada 3,857.01 sementara Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menokok 0.43 mata kepada 136.93.

Jumlah dagangan mingguan mengecil kepada 38.44 bilion unit bernilai RM20.48 bilion daripada 57.16 bilion unit bernilai RM33.39 bilion.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama merosot kepada 21.27 bilion saham bernilai RM16.04 bilion daripada 32.00 bilion saham bernilai RM25.44 bilion.

Jumlah dagangan waran lebih rendah kepada 2.26 bilion unit bernilai RM674.15 juta daripada 3.05 bilion unit bernilai RM920.78 juta.

Jumlah dagangan di Pasaran Ace pula menguncup kepada 14.88 bilion saham bernilai RM3.76 bilion berbanding 22.05 bilion saham bernilai RM7.0 billion.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Prospek saham sarung tangan, bank, kesihatan, teknologi diramal baik

KUALA LUMPUR 16 OGOS: Maybank Investment Bank (Maybank IB) berpendapat saham bermodal pertengahan seperti dalam sektor kewangan, sarung tangan, penjagaan kesihatan, minyak dan gas serta teknologi dijangka kekal baik tahun hadapan.

Ketua Penyelidikan Runcitnya, Tee Sze Chiah, berkata memandangkan hanya tinggal empat bulan sebelum berakhirnya tahun ini, agak terlalu lewat untuk menyertai kerancakan perniagaan sarung tangan.

Bagaimanapun, banyak sektor yang boleh diintai untuk tahun hadapan, ujar beliau.

“Pertamanya, saham kewangan atau perbankan bermodal pertengahan, kerana saham kewangan menunjukkan tindak balas positif kepada pertumbuhan ekonomi.

“Tahun ini saya rasakan pertumbuhan ekonomi keluaran dalam negara kasar (KDNK) tidak berapa positif tetapi tahun hadapan, kita boleh menjangkakan pemulihan. Jadi, pada masa itulah, kita boleh berharap urus niaga bank akan meningkat kerana perniagaan dan pengguna sudah mula berbelanja.

“Dan pada asasnya, permintaan untuk produk kewangan juga akan meningkat dan ini akan dapat membantu keuntungan bank,” kata beliau kepada pemberita di acara Webinar Tinjauan Pasaran Separuh Kedua 2020 di sini, semalam.

Kedua, beliau berkata, sektor sarung tangan dan penjagaan kesihatan akan terus menunjukkan prestasi baik pada separuh pertama 2021.

“Untuk separuh pertama dan keputusan kewangan suku tahunan yang akan datang, seharusnya kekal kukuh kerana pada dasarnya, ia mencerminkan tunggakan semasa yang mereka ada pada masa ini.

“Jadi, beberapa tempoh suku berikutnya akan kekal kuat dan oleh itu, momentum kenaikan harga saham akan berterusan sehingga separuh pertama 2021. Bagaimanapun, memasuki separuh kedua, kita perlu berwaspada kerana pada waktu itulah, kita harus tahu sama ada sudah adakah vaksin Covid-19 dan yang pastinya kita menjangkakan permintaan akan kembali kepada sedia kala,” kata Tee.

Ketiga, ialah sektor minyak dan gas, ujar beliau sambil menambah penganalisis Maybank IB menjangkakan harga minyak yang tinggi dan momentum seharusnya ada.

Sektor lain yang boleh ditinjau ialah teknologi kerana penggunaan 5G merupakan prospek jangka panjang, tetapi dalam hal ini, pergerakan saham khusus amat penting.

Beliau berkata 5G tidak akan menguntungkan keseluruhan industri semikonduktor di Malaysia sambil menambah Malaysia adalah salah satu rantaian dengan kos dan nilai yang rendah di antara sektor semikonduktor dan mungkin hanya ada satu atau dua yang boleh mendapat keuntungan.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dijangka kekal stabil minggu depan

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Bursa Malaysia diunjurkan kekal stabil dan diniagakan antara 1,550 dan 1,600 mata minggu depan, kata seorang peniaga.

Ketua penyelidikan Rakuten Trade Sdn Bhd Kenny Yee Shen Pin berkata yang pastinya tiada pemangkin untuk menggerakkan pasaran tempatan dan dengan ketegangan yang sedang berlaku antara Amerika Syarikat dan China, pasaran dijangka kekal tidak menentu.

“Bagaimanapun, pasaran yang telah berada pada tahap kestabilannya sepanjang minggu, mungkin akan menyaksikan beberapa minat belian muncul daripada kalangan pelabur,” kata beliau kepada Bernama.

Sementara itu, ketua strategi pasaran global AxiCorp, Stephen Innes berkata angka lemah daripada data jualan runcit China yang dikeluarkan pada Jumaat juga tidak membantu pengeksport Malaysia.

Beliau turut maklum harga minyak kekal menjadi kebimbangan kepada pasaran selepas gagal keluar daripada harga julat semasa iaitu sekitar AS$45 setong.

“Angka terkini Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) juga amat mengejutkan tetapi daripada sudut positif, Malaysia lebih berjaya dari segi membendung penularan Covid-19.

“Kejayaan ini boleh dilihat daripada pergerakan dalaman yang jauh lebih baik dan peningkatan dalam jualan runcit. Sehubungan itu, pelabur boleh mengharapkan hari-hari mendatang yang lebih baik,” kata beliau.

Data KDNK suku kedua Malaysia yang diumumkan pada Jumaat menunjukkan penguncupan 17.1 peratus, penyusutan sukuan dua digit paling buruk sejak 1998.

Untuk minggu baru berakhir, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kebanyakannya diniagakan rendah kecuali pada hari Khamis.

Bursa tempatan sekali lagi mencatatkan jumlah dagangan tertinggi sepanjang masa berjumlah 27.80 bilion saham bernilai RM7.80 bilion pada Selasa, mengatasi paras tinggi yang direkodkan Jumaat lepas iaitu 26.65 bilion saham bernilai RM9.04 bilion.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata bursa tempatan merupakan bursa yang mencatatkan kerugian terbesar di Asia dengan 0.9 peratus kejatuhan, diheret turun oleh kaunter-kaunter sarung tangan iaitu Top Glove dan Hartalega, masing-masing susut 15.4 peratus dan 16.3 peratus.

“Walaupun begitu, FBM KLCI setakat ini hanya susut 1.5 peratus berdasarkan setakat tahun ini, kejatuhan paling sedikit dalam kalangan bursa serantau ASEAN yang lain,” kata beliau.

Mengikut sektor, indek Bursa Kewangan merupakan pencatat untung terbesar sepanjang minggu urus niaga dengan lonjakan 3.0 peratus manakala indeks Bursa Penjagaan Kesihatan merosot 12.5 peratus di celah-celah aktiviti pengambilan untung dalam kaunter sarung tangan.

Berdasarkan perbandingan Jumaat-Jumaat, indeks merosot 13.55 mata untuk ditutup pada 1,564.59 daripada 1,578.14 Jumaat lepas.

Di papan skor, Indeks FBM Emas susut 221.84 mata kepada 11,144.53, Indeks FBMT 100 jatuh 202.54 mata kepada 10,976.26 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 582.37 mata kepada 12,915.18.

Indeks FBM 70 menyusut 684.62 mata kepada 14,125.85 dan Indeks FBM ACE menjunam 706.92 mata kepada 9,609.59.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 388.96 mata kepada 13,305.05, Indeks Perladangan lebih tinggi 37.03 mata kepada 7,000.78 dan Indeks Teknologi naik 0.72 mata kepada 51.75.

Indeks Penjagaan Kesihatan lebih rendah 164.78 mata kepada 3,762.49 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lega 1.83 mata kepada 139.14.

Jumlah dagangan mingguan menokok kepada 88.84 bilion unit bernilai RM33.46 bilion berbanding 87.66 bilion unit bernilai RM44.56 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan di Pasaran Utama mengembang kepada 50.66 bilion saham bernilai RM24.48 bilion berbanding 42.45 bilion saham bernilai RM29.18 bilion minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 3.08 bilion unit bernilai RM1.06 bilion daripada 4.07 bilion unit bernilai RM1.64 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan di Pasaran ACE turun kepada 35.07 bilion saham bernilai RM7.91 bilion daripada 41.11 bilion saham bernilai RM13.72 bilion minggu terdahulu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar: Siasat, dedah bilion saham, tanah Bumiputera hilang

SHAH ALAM, 5 OGOS: Kerajaan Persekutuan didesak untuk siasat dan mendedahkan berbilion saham dan tanah Bumiputera hilang akibat ketirisan dan bocor kepada individu tertentu.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan juga perlu menjelaskan berkenaan penerima saham Bumiputera selain diperuntukkan untuk badan Bumiputera serta kedudukan terkini tanah rizab Melayu dijual dan tidak diganti.

Beliau juga mendesak supaya kajian segera dijalankan ekoran masih ada Bumiputera menderita meskipun peruntukan ekonomi dan pendidikan kepada kumpulan berkenaan amat besar.

“Kajian bebas dan inklusif perlu dilakukan sejajar pelaksanaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang dikatakan mahu membantu golongan benar-benar layak dan terpinggir.

“Kerajaan mesti segera mengkaji pendekatannya membantu Bumiputera dengan menghapuskan dasar yang hanya memperkaya gerombolan elit dan petinggi politik,” kata ketua pembangkang dalam kenyataan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata beliau kesal apabila keistimewaan yang kononnya mahu meningkatkan kesejahteraan ekonomi Bumiputera diperalat dengan memperkayakan golongan elit.

Katanya, ia lebih parah apabila jurang pendapatan antara kaya dan miskin semakin melebar.

“Kerajaan harus menumpukan perhatian merancakkan lapangan utama ekonomi dan memberikan dokongan secukupnya kepada perusahaan kecil dan sederhana.

“Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) mesti dikendalikan tokoh profesional berkelayakan dengan kepakaran dalam perniagaan sementara kedudukan pengurusan kanan tidak boleh ditentukan berdasarkan kecenderungan politik tetapi mesti atas asas merit jelas dan pencapaian masing-masing,” katanya.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapha Mohd mengumumkan pembentangan RMK-12 ditangguhkan ke awal tahun hadapan atas faktor perubahan ekonomi susulan Covid-19 dan perubahan Kerajaan Persekutuan.

Pada sidang parlimen itu, Anwar berkata alasan yang diberikan Kerajaan Perikatan Nasional terlalu remeh.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Bursa Malaysia dibuka tinggi dipacu saham modal kecil, kesihatan

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini, dipacu prestasi kaunter bermodal kecil dan indeks penjagaan kesihatan ketika pelabur beralih kepada saham bermodal kecik dan sederhana.

Pada 09.04 pagi, FBM Ace naik 0.77 peratus manakala FBM MSCS menokok 1.2 peratus.

Kaunter penjagaan kesihatan terus mencatat momentum pengukuhannya, didorong oleh saham-saham farmaseutikal ketika ia mencatatkan jumlah nilai dagangan terbesar sebanyak RM93.06 juta.

Indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dibuka menokok 0.35 mata kepada 1,587.33.

Sentimen pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 260 berbanding 102 manakala 280 kaunter tidak berubah, 1,345 tidak didagangkan dan 16 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 912.44 juta unit bernilai RM269.47 juta.

Sementara itu, seorang penganalisis ekuiti berkata saham-saham farmaseutikal itu menyaksikan peningkatan sejak semalam, didorong oleh sentimen optimis mengenai penemuan vaksin Covid-19.

“Pharmaniaga, Duopharma, Kotra dan Apex telah mencatat prestasi kukuh dan dijangkakan kaunter berkenaan akan meneruskan momentum sepertimana yang diraih oleh sektor sarung tangan getah.

“Bagaimanapun, memandangkan ini hanya membabitkan penggiat tempatan, pergerakan itu tidaklah mendadak seperti yang dialami sektor sarung tangan,” katanya.

Bagi saham bermodal kecil dan sederhana, beliau berkata pelabur kekal optimis dengan kaunter baharu juga mencatat kenaikan sejak disenaraikan.

Menurutnya, pelabur institusi juga kekal optimis terhadap prestasi pasaran dengan kaunter yang baharu disenaraikan turut mencatat kenaikan positif.

Syarikat yang baharu disenaraikan di pasaran ACE hari ini yang mewakili sektor pembinaan, kumpulan TCS merekodkan kenaikan 152 peratus sejak dagangan dibuka apabila ia menokok 35 sen kepada 58 sen.

Mengulas prestasi KLCI, firma pembrokeran Malacca Securities dalam nota penyelidikannya hari ini berkata indeks itu dijangkakan kekal dalam peringkat konsolidasi ketika aliran peningkatan yang dipacu oleh kaunter sarung tangan, berkemungkinan reda.

“Pada masa sama, penilaian lebih tinggi akan memacu peningkatan pada masa ini. Namun, pasaran yang didorong oleh mudah tunai mencukupi akan terus menyediakan lebih banyak peluang dagangan apabila aktiviti belian secara bergilir-gilir mendominasi senario pasaran semasa,” katanya.

Dari segi penilaian teknikal, keadaan tidak menentu kebelakangan ini berkemungkinan akan memanjangkan tempoh konsolidasi dengan paras rintangan kekal pada 1,615 dan seterusnya pada 1,620.

Paras sokongan pula dijangkakan pada 1,560 dan seterusnya 1,530.

Saham wajaran tinggi menyaksikan hampir dua pertiga komponen indeks tidak diniagakan manakala Top Glove naik lapan sen kepada RM24.78 dan Public Bank susut lapan sen kepada RM17.80.

Bagi saham aktif, hampir semua sektor mencatatkan dagangan positif dengan XOX naik satu sen kepada 19.5 sen, Bioalpha naik tujuh sen kepada 25 sen dan Boustead meraih setengah sen kepada 82 sen.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas naik 15.33 mata kepada 11,275.62, Indeks FBMT 100 menokok 10.62 mata kepada 11,111.30 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 30.97 mata pada 13,092.51.

FBM 70 pula meningkat 45.90 mata kepada 14,202.98 dan FBM ACE melonjak 59.46 mata kepada 7,733.50.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 14.78 mata kepada 13,419.93, Indeks Perladangan naik 1.94 mata kepada 7,034.33 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meningkat 0.47 mata kepada 140.34.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Sektor binaan pacu ekonomi tahun ini

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Kerajaan berkemungkinan besar meningkatkan pelaksanaan projek pembinaan pada separuh kedua 2020 bagi menyokong pertumbuhan ekonomi berikutan cabaran di peringkat luaran, demikian menurut Affin Hwang Capital.

Dalam notanya hari ini, firma penyelidikan itu berkata selain merangka pakej rangsangan ekonomi untuk menangani impak koronavirus 2019 (Covid-19), kerajaan dijangka menumpukan aspek perbelanjaan bagi membantu kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sektor pengeluaran dan pelancongan yang terjejas akibat penularan virus tersebut.

“Bagaimana pun, peningkatan peruntukan perbelanjaan pembangunan sebanyak empat peratus tahun ke tahun kepada RM56 bilion dalam Belanjawan 2020 serta projek infrastruktur berskala besar yang dihidupkan semula adalah memadai untuk merangsang sektor pembinaan,” katanya.

Menurut Affin Hwang, kerajaan juga diunjurkan mempercepatkan perbelanjaan infrastruktur pada tahun ini bagi memacu pertumbuhan ekonomi dan menyamai langkah pada 2001, 2003, 2008 dan 2009 menerusi pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi untuk menampan sebarang penyusutan.

Pada Mei 2003 misalnya, kerajaan telah mengumumkan rangsangan ekonomi RM7.3 bilion untuk mengurangkan impak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dengan tumpuan menyokong perbelanjaan swasta dan membantu PKS serta perniagaan berkaitan pelancongan.

Antara projek infrastruktur berskala besar dijangka dihidupkan semula tahun ini adalah Projek Bas Rapid Transit, Projek Sistem Transit Rapid (antara Johor Bahru dan Singapura) dan projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah.

Selain itu, ‘nasib’ mengenai kemungkinan projek lain yang disambung semula seperti Laluan 3 Transit Aliran Massa Lembah Klang, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dan Projek Rel Berkelajuan Tinggi KL-Singapura juga dijangka diketahui pada tahun ini.

“(Berikutan itu) kami mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor pembinaan dengan belian utama membabitkan saham syarikat Gamuda, SunCon, AQRS dan HSS, Konsortium AME Elite, Pintaras Jaya serta Taliworks,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

Bursa Malaysia dibuka rendah susulan sentimen bercampur-campur

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Bursa Malaysia dibuka dengan sentimen bercampur-campur hari ini ketika jangkaan kemungkinan Bank Negara Malaysia (BNM) melaksanakan satu lagi penurunan Kadar Dasar Semalaman bagi menangani pertumbuhan ekonomi yang perlahan, terus mempengaruhi pasaran.

Pada jam 9.09 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.25 mata kepada 1,536.91 daripada 1,539.16, semalam selepas dibuka 0.44 mata lebih rendah kepada 1,538.72 pagi ini.

Namun, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 155 berbanding 120 manakala 205 lain tidak berubah, 1,498 tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 154.88 juta saham bernilai RM83.68 juta.

Mengulas perkembangan itu, Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata Bursa Malaysia tidak terkecuali daripada aktiviti jualan selepas BNM memberi bayangan mengenai kemungkinan penurunan Kadar Dasar Semalaman atau OPR dilaksanakan tidak lama lagi selain faktor peningkatan bilangan mangsa COVID-19 yang mungkin menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

“Rentetan laporan negatif yang ketara, sentimen pasaran diunjur terus negatif dengan dagangan minggu ini ditutup lebih rendah. Keadaan itu boleh mengheret bursa tempatan ke arah tahap 1,535, dengan sokongan utama seterusnya terletak di tahap 1,515. Sebarang pemulihan yang berlaku akan menyaksikan peningkatan terhad pada paras rintangan 1,555.

“Walaupun FBM KLCI lemah, saham-saham berharga rendah sebaliknya terus memaparkan daya tahan berikutan aktiviti belian secara bergilir-gilir. Pada masa sama, kami turut melihat minat dagangan yang ketara terhadap sektor pembinaan berikutan laporan Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura mungkin disambung semula,” katanya.

Sementara itu, saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia menyaksikan Maybank rugi tiga sen kepada RM8.43, Tenaga untung dua sen kepada RM12.60, Tenaga turun 14 sen kepada RM17.66 dan Petronas Chemicals susut tiga sen kepada RM6.47.

Bagi saham aktif, Ekovest naik 1.5 sen kepada 76 sen manakala Securemetric dan Netx Holdings masing-masing tidak berubah pada 15 sen dan dua sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 5.59 mata kepada 11,018.30, Indeks FBM Emas Shariah naik 4.20 mata kepada 11,831.48 dan Indeks FBMT 100 turun 5.79 mata kepada 10,807.16.

FBM 70 meningkat 33.43 mata kepada 14,040.93 dan FBM Ace menokok 5.17 mata kepada 5,619.33.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 0.12 mata kepada 146.19, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 36.56 mata kepada 14,539.90 dan Indeks Perladangan menambah 24.14 mata kepada 7,315.29.

-BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Ketidaktentuan luaran pengaruhi prestasi Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Bursa Malaysia dijangka diniagakan rendah minggu depan, ekoran ketidaktentuan hasil rundingan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) kini akan merosot kepada paras sokongan yang rendah, pada 1,700-1,710 mata.

“Tahap kebimbangan pelabur semakin meningkat yang hampir dengan tarikh akhir 1 Mac ekoran ia mempunyai potensi membawa kepada AS mengenakan tarif ke atas produk China bernilai US$200 bilion, yang dapat dielakkan jika dua kuasa ekonomi dunia itu mencapai kesepakatan.

“Bagaimanapun, ringgit yang lebih kukuh, harga komoditi yang meningkat dan hasil positif daripada rundingan China-Malaysia berkenaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan mengehadkan sebarang kelemahan sementara dalam pasaran ekuiti tempatan,” katanya kepada BERNAMA.

Katanya, kerjasama ekonomi yang kukuh antara Malaysia dan China membawa kepada kedua-dua negara meneruskan rundingan berkenaan projek ECRL untuk mencapai keputusan yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak, dengan pengakhiran positif akan meningkatkan sektor infrastruktur sebagai hasil langsung daripada keyakinan yang meningkat daripada pelabur tempatan juga asing.

Dari segi teknikal, katanya, carta FBM KLCI menunjukkan momentum yang menggalakkan, dengan kecenderungan meningkat kekal kukuh melebihi paras 1,700 dan halangan terdekat yang teguh, pada 1,750 mata.

Pada minggu ini, FBM KLCI mencatatkan peningkatan sejajar dengan ekuiti serantau dan melepasi paras 1,700 pada Selasa berikutan pelabur optimis dengan pusingan rundingan perdagangan terkini antara China dan Amerika Syarikat yang akan membawa kepada perjanjian untuk menyelesaikan perang tarif mereka.

FBM KLCI sebelum ini meningkat melebihi paras 1,700 pada 26 Nov tahun lepas, apabila ia mencecah 1,701.99.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, petunjuk pasaran FBM KLCI ditutup 32.59 mata lebih tinggi kepada 1,721.42.

Indeks FBM Emas naik 252.23 mata kepada 12,002.50, Indeks FBMT 100 menambah 245.98 mata kepada 11,858.88 dan Indeks FBM Emas Shariah melonjak 289.51 mata kepada 11,953.11.

FBM 70 menokok 387.27 mata kepada 14,415.46 dan Indeks FBM Ace meningkat 68.89 mata kepada 4,715.48.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 208.16 mata kepada 17,840.72, Indeks Perladangan meningkat 77.67 mata kepada 7,413.10 dan Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menambah 4.90 mata kepada 168.03.

Jumlah dagangan mingguan meningkat kepada 15.75 bilion unit bernilai RM12.61 bilion daripada 14.85 bilion unit bernilai RM9.78 bilion.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 10.84 bilion saham bernilai RM11.56 bilion daripada 11.05 bilion saham bernilai RM8.99 bilion.

Jumlah dagangan waran naik kepada 3.10 bilion unit bernilai RM683.63 juta daripada 2.27 bilion unit bernilai RM480.02 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 1.80 bilion saham bernilai RM366.49 juta daripada 1.52 bilion saham bernilai RM305.71 juta.

 

Categories
EKONOMI NASIONAL

Saham Bursa Malaysia catat momentum positif

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Saham di Bursa Malaysia berada dalam momentum positif pada awal dagangan hari in seiring kenaikan semalaman bagi kebanyakan pasaran Asia didorong keyakinan terhadap kemungkinan hasil rundingan perdagangan yang melegakan antara Amerika Syarikat dan China.

Pada jam 9.17 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 7.37 mata kepada 1,811.07 daripada 1,803.70 ketika ditutup semalam, namun indeks berkenaan dibuka 7.98 mata lebih tingggi, hari ini.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 231 berbanding 80, manakala 190 kaunter tidak berubah, 1,392 kaunter tidak diniagakan dan 33 yang lain digantung.

Jumlah dagangan pula sebanyak 154.12 juta unit yang bernilai RM115.96 juta, lapor BERNAMA.

Sementara iut, Kenanga Research berkata, unjuran teknikal bagi FBM KLCI kekal positif dengan indeks itu bergerak di atas Purata Pergerakan Mudah (SMA) 100-hari dan paras sokongan segera, pada 1,788.

“Kami yakin prospek teknikal positif jangka panjang akan kekal tidak terjejas sehingga melepasi paras sokongan 1,788 dengan 1,765 pula sebagai paras sokongan lebih rendah seterusnya walaupun beberapa kelemahan dilihat dalam petunjuk utama.

“Kami menjangkakan indeks itu menjadikan kedudukan lebih tingginya ke arah paras rintangan 1,827 dan seterusnya 1,865 jika hal sebaliknya berlaku,” kata firma penyelidikan terbabit dalam satu nota.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank meningkat tiga sen kepada RM9.82, Public Bank pula naik empat sen kepada RM25.06 dan Tenaga menokok 12 sen kepada RM15.88.

MYEG muncul sebagai saham paling aktif diniagakan dengan sahamnya meningkat lima sen kepada RM1.81, Sapura Energy tidak berubah pada 44 sen dan Lion Industries bertambah empat sen kepada 96 sen

Indeks FBM Emas meningkat 54.56 mata kepada 12,619.14, Indeks FBMT 100 naik 54.53 mata kepada 12,434.91 dan Indeks FBM Emas Syariah menokok 56.58 mata kepada 12,759.87.

Indeks FBM Ace bertambah 11.46 mata kepada 5,205.61 dan FBM 70 melonjak 80.2 mata kepada 14,893.4.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 51.85 mata kepada 17,957.75, Indek Perusahaan bertambah 15.33 mata kepada 3,229.81 dan Indeks Perladangan menokok 13.95 mata kepada 7,583.31.

 

Categories
EKONOMI GLOBAL

Wall Street catat kejatuhan harian terbesar

NEW YORK 30 MEI: S&P 500 dan Dow Jones Industrial Average mencatat kejatuhan harian terbesar dalam tempoh sebulan berikutan ketidaktentuan politik di Itali mencetuskan kebimbangan berhubung kestabilan zon euro manakala saham perbankan Amerika Syarikat (AS) jatuh.

Itali gagal menubuhkan kerajaan campuran sejak pilihan raya Mac lalu, yang menyaksikan peningkatan parti ‘anti-establishment’ yang menyokong negara itu meninggalkan euro.

Calon terkini bagi jawatan perdana menteri gagal mendapat sokongan parti-parti politik utama negara itu.

Krisis di Rome, dan ancamannya kepada projek euro yang diwakilinya, menyebabkan ramai beralih kepada pelaburan selamat seperti hutang AS, dan ini menarik turun pulangan bon Perbendaharaan 10 tahun AS sekali gus menyebabkan kerugian dalam kaunter perbankan AS.

Dow Jones Industrial Average susut 391.64 mata, atau 1.58 peratus, kepada 24,361.45.

S&P 500 turun 31.47 mata, atau 1.16 peratus, kepada 2,689.86.

Nasdaq Composite turun 37.26 mata, atau 0.5 peratus, kepada 7,396.59.

Saham JPMorgan Chase yang jatuh 4.3 peratus, menerajui kejatuhan pada S&P 500.

Sejumlah 7.58 bilion saham bertukar tangan, berbanding 6.58 bilion purata 20 hari dagangan sebelum ini.

SUMBER: REUTERS