Categories
AGENDA NASIONAL

Mangsa banjir di Kedah meningkat kepada 244 orang

ALOR SETAR, 29 SEPT: Jumlah mangsa banjir di Kedah yang melibatkan daerah Sik dan Baling meningkat kepada 244 orang daripada 85 keluarga setakat jam 5 petang ini, berbanding 210 orang daripada 66 keluarga pada pagi tadi.

Ketua Bahagian Operasi Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Kapten (PA) Saifuddin Abdullah berkata sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) di Baling dibuka iaitu di Maktab Mahmud Baling sekali gus menjadikan sembilan PPS beroperasi sehingga petang ini.

“Di daerah Sik masih kekal dengan satu PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Gulau dengan jumlah mangsa yang sama iaitu 61 orang daripada 15 keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Saifuddin berkata jumlah mangsa banjir keseluruhannya di Baling setakat petang ini adalah seramai 183 mangsa daripada 70 keluarga.

Tujuh lagi PPS di Baling ialah SK Tunku Putera, SK Siong, SK Bandar, SK Tanjung Pari, SK Bayu, SK Titi Gantung dan Dewan Banggol Derom.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Isu lesen Finas: Saifuddin mohon maaf secara terbuka

ISKANDAR PUTERI, 9 OGOS: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah menzahirkan permohonan maaf kepada pengguna media sosial atas kesilapan kenyataannya berhubung isu lesen Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), baru-baru ini.

“Sebagai menteri, saya kena minta maaf kerana ketika menjawab soalan itu di Dewan Rakyat pada 23 Julai, saya jawab lurus sangat.

“Rupanya orang politik tidak boleh lurus, bila lurus kena pelangkung (hentam),” katanya.

Beliau berkata selepas 20 jam menjawab soalan itu, beliau telah bincang perkara itu di Kabinet dan Kabinet putuskan orang ramai bebas menggunakan YouTube, Tik Tok untuk memuat naik kandungan.

“Jangan risau, tidak akan dikenakan apa-apa tindakan. Kebebasan itu dijamin sepenuhnya,” katanya.

Saifuddin membuat permohonan maaf itu ketika berucap merasmikan Bengkel Kemahiran YouTube dan Komuniti Sinema 2020 Zon Selatan di Iskandar Malaysia Studios, hari ini.

Kejujuran beliau itu disambut dengan tepukan dan sorakan gemuruh oleh lebih 200 hadirin pada majlis berkenaan termasuk Youtuber atau penggiat YouTube popular Mat Dan dan Tuah Adzmi.

Kedua-dua mereka antara selebriti YouTube yang diundang sebagai panel dalam program itu yang bermula hari ini hingga esok.

Program anjuran Finas bertujuan mendedahkan bakat muda dengan ilmu media baharu khususnya YouTube dalam menjana pendapatan.

Pada 23 Julai lalu, Saifuddin menjadi topik hangat warganet apabila dilaporkan berkata penerbit filem termasuk media baharu seperti YouTube diwajibkan memohon Lesen Pengeluaran Filem dan Surat Perakuan Penggambaran (SPP), bagi penerbitan filem di platform media sosial atau saluran tradisi.

Kenyataan beliau itu mengundang kritikan pelbagai pihak khususnya generasi muda yang merupakan pengguna majoriti media sosial.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tun M keluar Umno kali kedua

PUTRAJAYA 29 FEB:  Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengisytiharkan keluar daripada Umno sebagai tanda protes terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak.

Beliau mengumumkan perkara demikian dalam satu sidang media di sini.

Mahathir-UMNOSebelum ini, Tun Dr Mahathir dipecat daripada keahliannya dalam Majlis Tertinggi Umno pada 26 September 1969.

Pada 19 Mei 2008, Tun Dr Mahathir mengisytiharkan keluar dari parti Umno.

Beliau mendakwa bertindak demikian kerana hilang keyakinan terhadap kepimpinan Umno yang gagal membela nasib orang Melayu di negara ini.

Beliau menyertai parti itu semula pada 2009 selepas  Tun Abdullah Ahmad Badawi berundur daripada Perdana Menteri

Namun sehari selepas perlantikan secara rasmi Najib sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam, beliau menyerahkan borang untuk menjadi ahli Umno semula.

Reuters melaporkan Tun Dr Mahathir sebagai berkata tidak akan membentuk parti baru mahupun menyertai mana-mana parti.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah mengalu-alukan langkah Tun Dr Mahathir bertindak keluar daripada Umno hari ini.

Datuk-Saifuddin-AbdullahKatanya, untuk kali ini biarlah tindakan itu dilakukan untuk menumbangkan Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang.

“Saya mengalu-alukan langkah Dr Mahathir keluar daripada Umno. Saya harap, kali ini ia dilakukan untuk menumbangkan Umno/BN daripada berkuasa di Putrajaya dan melakukan reformasi yang holistik iaitu mewujudkan konfigurasi dan sistem politik yang baru dan reformasi institusi,” katanya dipetik di laman Facebooknya.

EZY

 

 

Categories
SELANGOR

PRK Kajang: Umno-BN lebih awal membazir – Saifuddin Abdullah

SHAH ALAM 2 FEB: Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata Umno-BN lebih awal membazir kerana berlaku dua dua pilihan raya kecil (PKR) di Selangor suatu ketika dahulu di Parlimen Kuala Selangor dan DUN Permatang.

Katanya, pada 1997 Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abu Hassan Omar meletak jawatan bagi menggantikan Tan Sri Muhammad Muhammad Taib, sebagai Menteri Besar Selangor.

UMNO BN 55“Ini bermakna bukan kali pertama ada wakil rakyat letak jawatan bagi memberi laluan pilihan raya kecil diadakan,” kata Saifuddin dipetik Harakah Daily.

Katanya, Muhammad meletak jawatan ekoran pertuduhan di mahkamah Australia berikutan kegagalannya mengisytiharkan tunai RM2.4 juta ketika meninggalkan Lapangan Terbang Antarabangsa Brisbane pada Disember 1996.

Abu Hassan meletak jawatan sebagai anggota Parlimen Kuala Selangor untuk bertanding di Dun Permatang, yang mana ketika itu disandang Datuk Jamaluddin Adnan.

Pada pilihan raya kecil 29 Mei 1997 itu Barisan Nasional mengekalkan kedua-dua kerusi dan Abu Hassan dilantik menjadi Menteri Besar 6 Jun.

Datuk-Saifuddin-AbdullahSaifuddin yang kini Ketua Pegawai Eksekutif Global Movement of Moderates berkata, tidak ada sesuatu yang pelik apabila berlaku perletakan jawatan wakil rakyat bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil diadakan.

“Begitu juga dengan kes di Perak selepas pilihan raya umum 2008, seeloknya diadakan pilihan raya kecil apabila tiga Adun Pakatan Rakyat beralih sokongan kepada BN,” katanya pada diskusi anjuran kerajaan negeri di Dewan Konvensyen, Kelantan Trade Centre (KTC).

Diskusi bertajuk ‘Demokrasi Di Malaysia’ turut mengundang anggota parlimen Shah Alam, Ir Khalid Samad, manakala Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff bertindak sebagai moderator.

EZY

Categories
NASIONAL

Halang Forum Pilihan Raya Di UM, Bukti Tranformasi Najib Retorik

nik nazmi

SHAH ALAM 20 FEB : Tindakan Kerajaan Umno-BN menyekat penganjuran forum pilihan raya di Universiti Malaya (UM) membuktikan bahawa slogan transformasi yang diuar-uarkan hanya retorik kosong semata-mata.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan pihak UM ditekan agar membatalkan forum tersebut yang sepatutnya turut membariskan ahli politik Pakatan Rakyat(PR) dan BN.

“Pengarah UMCEDEL Mohammad Redzuan Othman memaklumkan bahawa beliau menerima SMS untuk membatalkan program tersebut, dan arahannya datang daripada Pejabat Perdana Menteri(Datuk Seri Najib Razak) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” tegas Nik Nazmi dalam satu kenyataan medianya.

Semalam, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM (UMCEDEL) menganjurkan sebuah forum bagi membincangkan sama ada Pakatan atau BN akan menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Forum itu pada asalnya dijadualkan menampilkan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa serta Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan.

“Ironisnya Saifuddin Abdullah sendiri merupakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang dilantik oleh Perdana Menteri.

“Najib selaku Perdana Menteri ?transformasi? yang turut melantik Saifuddin ke jawatan beliau harus tampil dengan jawapan mengenai insiden ini yang sekali lagi menjadi tamparan hebat kepada kebebasan akademik di universiti,” tambah Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia.

Ekoran tekanan yang diterima, pihak penganjur terpaksa menggantikan ahli panel tersebut dengan ahli akademik yang terdiri daripada penyelidik UMCEDEL, Shaharuddin Badaruddin dan Thock Ker Pong serta Profesor Datuk Mohammad Abu Bakar.

Bagaimanapun, Nurul Izzah tetap hadir sebagai penonton di forum tersebut dan turut diberi peluang naik ke pentas ketika sesi soal jawab, selepas seorang pelajar mengajukan soalan mengenai keupayaan PR untuk memerintah.

Categories
NASIONAL

Muhyiddin Mula Tonjol Kuasa Bagi ‘Cabar’ Najib

SHAH ALAM 4 SEPT : Kontroversi berhubung pindaan Seksyen 114A, Akta Keterangan memperlihatkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mula untuk menonjolkan kuasa bagi mencabar bosnya Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata kedua-dua pemimpin itu sebenarnya sedang menyembunyikan pergeseran bagi perebutan kuasa politik tertinggi negara.

Sebelum ini, Muhyiddin memanggil dua Timbalan Menteri, Datuk Saifuddin Abdullah dan Gan Ping Sieu masing-masing dari Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Belia Dan Sukan berhubung pendirian mereka yang tidak bersetuju dengan Seksyen 114A, Akta Keterangan itu.

Mesyuarat kabinet pada 15 Ogos, dipengerusikan oleh Muhyiddin ketika Perdana Menteri berada di luar negara. Kabinet yang dipengerusikan Muhyiddin memutuskan untuk menegur dua oarang Timbalan Menteri terlibat.

Ini bertentangan dengan keputusan Najib mesyuarat kabinet yang lalu di mana membatalkan keputusan awalnya untuk menegur mereka.

Lebih hangat apabila di negeri kelahiran Muhyiddin iaitu Johor, kini terdapat poster-poster bekas Menteri Besar itu yang menuntut beliau menjadi Perdana Menteri sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 yang akan datang.

“Dulu dilihat Mahathir dilihat bagai bergabung dengan Najib untuk menolak Pak Lah, kini Muhyiddin menggunakan perkara yang sama untuk barangkali menjatuhkan imej Najib,” jelas Mohamad Sabu ketika dihubungi.

Mohamad Sabu berkata, peluang untuk Muhyiddin menjadi Perdana Menteri semakin tipis jika Najib mendapat mandat sepenggal lagi dalam PRU yang akan datang.

Sementara itu, Ketua AMK Pusat, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pergeseran antara Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri berlaku sejak sekian lama.

Malahan ujarnya, ia semakin meruncing tatkala Tun Dr Mahathir Mohammad menjadi Perdana Menteri dengan menyingkirkan timbalan-timbalannya yang dilihat memberikan ancaman politik.

“Begitu juga dalam kes (Tun)Abdullah Badawi, apabila keputusan pilihan raya 2008 menyebabkan sokongan terhadap Umno-BN semakin lemah dan merosot.

“Maka terdapat tindakan-tindakan politik yang dipelopori oleh Muhyiddin sendiri untuk mengusir dan mendesak Pak Lah meletakkan jawatan.

“Saya yakin tindakan ini yang mungkin berlaku di dalam Umno sekarang ini, apatah lagi Najib sebagai Perdana Menteri mempunyai banyak liabiliti dan tanggungan yang boleh mencacatkan nama di pihak BNl,” ujar Shamsul ketika dihubungi.

Tambah beliau,ramai pemimpin-pemimpin Umno yang semakin tidak senang dengan Najib Razak dan isterinya,Rosmah Mansor, yang akan menjejaskan sokongan rakyat kepada BN dalam PRU-13 nanti.

“Justeru, Muhyiddin Yasin selaku timbalan dan malah melihat perkara ini sebagai peluang untuk beliau naik ke atas sebagai Perdana Menteri yang tentunya akan berbuat sesuatu.

“Ini adalah modus operandi yang sentiasa dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno dalam keadaan Umno-BN semakin lemah dalam mendapatkan sokongan padu rakyat,” jelas Shamsul.

Poster misteri menyokong Muhyiddin menggantikan Najib sebagai perdana menteri sebelum PRU13 diedarkan berleluasa di Johor walaupun dinafikan Umno Johor bahawa poster itu dicetak oleh parti itu.

Imej poster itu menunjukkan potret Muhyiddin dan bendera Malaysia disebarkan secara meluas di Internet.

Poster itu berbunyi ‘Kami Mahu Tan Sri Muhyiddin Yassin Sebagai PM sebelum PRU 13’ di bahagian bawah dan ‘Selamatkan Barisan Nasional’ di atas.

Ia juga memaparkan logo BN dan Umno, serta tulisan ‘Terbitan Barisan Nasional Negeri Johor’.

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah : Kerajaan Dwi Standard Dalam Perlaksanaan AUKU

KUALA LUMPUR 30 OGOS : Sikap dwi standard Kerajaan Umno-BN berkenaan perlaksanaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) amat mengecewakan, kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Kekecewaan ini timbul apabila tindakan Pemuda Umno yang mahu mendekati golongan mahasiswa seolah-olah tidak mendapat restu Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin.

Sikap ini amat mengecewakan ketika Universiti Malaya telah mengemaskini peraturan tatalaku para mahasiswa berkenaan penglibatan dalam arena politik.

“Saya memuji langkah pihak Universiti yang maju ke hadapan dalam melaksanakan perubahan berdasarkan undang-undang walaupun ia lapuk dan mencacatkan proses transformasi yang diuar-uarkan selama ini. Sekurang-kurangnya Universiti Malaya tidak bermuka-muka dalam menegaskan pendirian anti-demokratiknya dalam penguatkuasaan AUKU,” tegas Izzah.

Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) mengandungi sekatan yang merugikan dan menafikan para Mahasiswa sebuah pendidikan yang lebih holistik.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR menegur pengamalan dwistandard dalam perlaksanaan undang-undang yang lapuk ini kerana ternyata sayap Pemuda Umno menyetujui langkah proaktif PKR yang menubuhkan Mahasiswa Keadilan dengan lebih awal.

Initiatif sayap Pemuda Umno untuk mendekati mahasiswa bagi mendapatkan sokongan politik adalah bukti sokongan mereka terhadap memperkasakan para mahasiswa dari cengkaman AUKU.

Justeru, saya menjemput Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah untuk bersama-sama mengambil langkah proaktif dalam kewujudan kaukus penggantian AUKU dalam sidang Parlimen seterusnya untuk menangani isu ini.

Jelas terdapat persefahaman bahawa para mahasiswa harus bebas dalam perjuangan mereka dalam meningkatkan kesedaran sosial dan perlunya mereka mengambil bahagian dalam pembangunan negara dengan lebih aktif berbanding dengan peranan pasif yang dikelolakan oleh Umno-BN melalui cengkaman AUKU.

Kata Izzah, PKR tetap dengan pendiriannya bahawa tatakelakuan yang baru dikemaskini berdasarkan AUKU adalah tidak relevan dan menyekat semangat kebebasan akademik.

Oleh itu, PKR akan meneruskan perjuangan dengan memasuki kampus kerana tanggungjawab pemupukan minda yang terbuka, berdikari, dan mempunyai kesedaran sosial adalah penting dalam melahirkan mahasiswa yang akan menyelamatkan negara kita dari apa kemelut sekalipun.

“AUKU mematikan nadi yang memperkasakan para mahasiswa sebagai sebuah entiti berintelek tinggi yang mempunyai hak demokrasi dan budaya pembelajaran yang perlu dihormati oleh setiap individu, selaras dengan hak-hak yang digariskan di dalam Perlembagaan Malaysia,” kata kenyataan itu lagi.

Categories
NASIONAL

Kontroversi Akta Keterangan, Najib Terus Terburu-Buru

SHAH ALAM 17 OGOS : Keputusan Kabinet berhubung pindaan undang-undang kontroversi Seksyen 114A Akta Keterangan 1950 baru-baru ini menyerlahkan sikap ‘terburu-buru’ kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam melaksanakan sesuatu perkara.

Demikian ujar Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika mengulas mengenai pindaan Seksyen 114A terhadap Akta Keterangan yang digazetkan pada 31 Julai lalu berkenaan internet dan rangkaian sosial.

Menurutnya, tindakan Najib itu disifatkan sebagai tergopoh-gapah terutama dalam membuat sesuatu keputusan yang membabitkan pindaan Akta ke dalam Parlimen.

“Kelemahan Najib ialah beliau tidak mempunyai fokus dalam setiap perkara yang dilakukan, lebih-lebih lagi apabila membabitkan pindaan akta atau rang undang-undang. Antara yang ketara ialah penarikan semula cadangan pindaan kepada Rang Undang-undang Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2012 di Dewan Negara.

Selain itu, pelaksanaan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dan beberapa projek lain yang kemudiannya ditarik balik. Pindaan ini juga biasanya dibuat tanpa perbincangan lanjut,” katanya.

Katanya lagi, kebanyakan hal dalam pentadbiran Najib yang dibuat juga dilihat ‘separuh masak’ sehingga ia kemudian terpaksa ditarik balik.

Pindaan akta kontroversi tersebut diluluskan Dewan Rakyat April lalu dan digazetkan sebagai undang-undang oleh Datuk Seri Nazri Aziz pada bulan Julai baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Senator MCA, Gan Ping Sieu antara individu yang menyokong protes yang semakin membesar terhadap undang-undang baru itu.

Kempen menentang undang-undang tersebut turut disokong Majlis Peguam dan Pakatan Rakyat yang ‘memggelapkan’ laman web mereka sempena kempen memboikot internet tempoh hari.


Categories
NASIONAL

Dr Haron Din : Kafir Harbi Tidak Wujud Selagi Tidak Tertegak Negara Islam

SHAH ALAM 12 OGOS : Tidak wujud istilah penggunaan ‘kafir harbi’ selagimana tidak tertegaknya sebuah pentadbiran negara Islam yang sebenar, tegas Datuk Dr Haron Din.

Dr Haron yang merupakan Timbalan Mursyidul Am PAS ketika dihubungi TVSelangor berkata, polemik itu perlu hentikan segera kerana ia ditakuti boleh mencetuskan suasana tidak tenteram dalam negara.

Ujar beliau definisi kafir harbi itu merujuk kepada golongan yang perlu diperangi oleh umat Islam.

Beliau juga mengingati agar mana-mana pihak yang mahu mengeluarkan kenyataan dan melabelkan sesuatu golongan itu agar berhati-hati serta berdasarkan hujah yang kukuh dalam menyampaikan pandangan.

“Kafir harbi ini merujuk kepada golongan yang perlu diperangi oleh orang Islam, saya menegaskan istilah kafir harbi ini hanya timbul dengan sendirinya apabila wujud sebuah pentadbiran negara Islam yang sebenar.

“Dalam konteks ini negara ini masih belum lagi memenuhi ciri-ciri sebuah negara Islam, justeru penggunaan istilah kafir harbi dan sebagainya tidak wujud,” katanya.

Sementara itu, memetik laporan Malaysiakini,Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata tidak perlu mengisytiharkan haram kepada umat Islam untuk menyokong DAP kerana ia hanya berkaitan perbezaan pandangan dalam politik.

Katanya, ia hanya persoalan politik dan bukan berkaitan soal apa yang boleh atau tidak seperti dalam bidang kesalahan jenayah.

Sebelum ini, kenyataan Pengasas Pondok Geting, Tumpat, Kelantan, Abdullah Sa’amah, dipetik Utusan Malaysia menyatakan bahawa umat Islam haram menyokong DAP kerana ia menolak Islam dan tergolong dalam kafir harbi.

Categories
NASIONAL

Salahuddin : Tiada Niat Hina Perarakan Thaipusam

KUALA LUMPUR – MP Kubang Kerian, Salahuddin Ayub menegaskan beliau tidak berniat menghina agama Hindu atau Thaipusam pada sesi debat bersama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah minggu lalu.

Menurutnya, apa yang diperkatakan dalam debat itu berkaitan dengan Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, berhubung hak mengadakan perhimpunan aman di negara ini.

“Saya tidak berniat untuk menghina agama Hindu atau kaitkan Thaipusam dengan perhimpunan haram saya tidak berniat kearah itu.

“Ketika debat itu berlangsung pelbagai contoh berkaitan dengan perhimpunan yang pernah berlaku di negara ini diberikan. Pemuda MIC telah salah erti semasa debat bersama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

“Jika sesorang itu faham bahasa Melayu dengan baik, sudah tentu mereka boleh faham apa yang saya maksudkan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan membidas kenyataan Salahuddin yang menyamakan perarakan Thaipusam dengan demonstrasi jalanan.

Kamalanathan menegaskan dalam blognya, bagaimana perayaan suci itu boleh disamakan dengan demonstrasi jalanan.

Sinar Harian pada 19 Jun lalu telah menganjurkan debat antara Saifuddin dengan Salahuddin yang bertajuk Demonstrasi Jalanan Mengukuh atau Meruntuh Demokrasi.

Semasa debat berlangsung, Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS turut memberikan contoh perayaan Thaipusam dan perarakan maulidurrasul yang diadakan sebagai suatu perhimpunan yang pernah diadakan tetapi berlaku secara aman disebabkan tidak berlaku sebarang provokasi pihak tertentu.

Video Debat – Demontrasi Jalanan: Meruntuh Atau Mengukuh Demokrasi

 

 


Sinopsis:

Rancangan ini telah disiarkan secara langsung menerusi TVSelangor di http://www.selangorkini.net bermula jam 9 malam sehingga 10:30 malam.

Pendebat: Salahuddin Ayub (Naib Presiden PAS) dan Datuk Saifuddin Abdullah (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi)

Moderator: Prof Dr Mohamad Abu Bakar

Categories
NASIONAL

Polis, Penguatkuasa DBKL Tumbuk, Rampas Khemah Mahasiswa

KUALA LUMPUR, 16 APR: Perkhemahan aktivis mahasiswa sejak Sabtu lalu di Dataran Merdeka yang menuntut agar Pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan telah dirampas oleh pihak berkuasa pagi ini.

Pada masa kejadian kira-kira jam 10.15 pagi tadi, hampir 20 aktivis mahasiswa tersebut telah berhadapan dengan kira-kira 50 anggota penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan anggota polis berpakaian seragam serta preman.

Kejadian rampasan baki lima khemah yang masih bertahan itu turut menyebabkan berlaku pergelutan dan ahasiswa-mahasiswa tersebut telah dikasari termasuk ada yang ditumbuk oleh anggota-anggota penguatkuasa tersebut.

Menurut Yang DiPertua Majlis Perwakilan Mahasiswa Univesiti Malaya, Syahid Zaini, kesan daripada pergelutan tersebut telah menyebabkan salah seorang dari mereka mengalami pendarahan.

“Masa tu kami cuba pertahankan khemah-khemah kami tetapi mereka gunakan kekerasan.

“Pada masa itu berlaku pergelutan dan dalam keadaan kelam kabut itu beberapa mahasiswa telah ditumbuk termasuklah saya sendiri.

“Salah seorang dari kami, Alif dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pula berdarah di bahagian leher.

Syahid memberitahu barisan pemimpin aktivis mahasiswa terbabit akan mengadakan perbincangan untuk meputuskan samada akan mengemukakan laporan polis terhadap keganasan yang dilakukan ke atas mereka atau sebaliknya.

“Pemimpin-pemimpin gerakan mahasiswa akan bincang samada nak lapor kepada polis atau tidak tetapi apa yang pasti, kami akan terus berada di sini walaupun khemah kami telah dirampas.

“Kami masih menunggu respon dari pihak kerajaan,” katanya lagi.

Perkhemahan yang didirikan sejurus selesai perarakan demontrasi menuntut PTPTN dimansuhkan telah diadakan di Dataran Merdeka semenjak Sabtu lalu lagi dan berjaya menarik perhatian orang ramai termasuk individu terkenal tanah air.

Antara pihak yang melawat perkhemahan aktivis mahasiswa tersebut Pengerusi Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan, Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub.

Selain itu turut kelihatan adalah ahli-ahli dari Majlis Peguam, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan beberapa ahli-ahli politik lain dari Pakatan Rakyat.

Pada masa ini Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah gagal dihubungi TVS untuk mendapatkan reaksi beliau berhubung isu ini.