Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN gesa kerajaan arah bank batal caj RM1 transaksi ATM

SHAH ALAM, 15 DIS: Kerajaan disaran masuk campur dan mengarahkan institusi perbankan membatalkan rancangan mengenakan caj RM1 bagi transaksi mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Setiausaha Agung KEADILAN Saifuddin Nasution Ismail berkata berdasarkan perbahasan ahli parlimen di Dewan Rakyat, langkah tersebut bakal menekan rakyat terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman yang tidak mempunyai banyak kemudahan berkenaan.

“Saya berpandangan ini adalah satu langkah yang sangat salah dan tidak disenangi rakyat. Saya bukan sahaja menerima pelbagai mesej malah turut membaca komentar warga maya yang rata-rata tidak bersetuju dengan langkah ini.

“Dari segi teknikalnya, seluruh negara tahu bahawa sektor perbankan antara sektor yang melaporkan keuntungan sihat meskipun pandemik (Covid-19) dan siri PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dilaksana,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Difahamkan, bank komersial di negara ini akan mengenakan semula caj RM1 bagi transaksi antara bank di mesin ATM bermula 1 Februari tahun depan.

Sebagai contoh, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (HARAPAN) berkata Maybank melaporkan keuntungan bersih bagi suku kedua 2021 berjumlah RM1.96 bilion, iaitu hampir RM1 bilion lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya manakala CIMB menyaksikan peningkatan RM1.835 bilion ke RM2.62 bilion (suka kedua 2021) berbanding RM785 juta untuk tempoh sama tahun lalu.

Katanya, situasi rakyat pula jauh berbeza dan pada 3 November lalu, kerajaan mengumumkan 600,000 isi rumah daripada kumpulan berpendapatan sederhana (M40) telah jatuh ke dalam kumpulan berpendapatan rendah (B40) akibat Covid-19.

“Setakat Oktober, dianggarkan 13.9 peratus anak muda antara 15 hingga 24 tahun menganggur manakala secara amnya terdapat 705,000 orang sedang menganggur. Dikira bersama peningkatan harga barang yang mendadak dan belum lagi dapat dikawal, jelas rakyat sekarang berada dalam keadaan sangat tertekan,” katanya.

Saifuddin berkata institusi perbankan juga sering meletakkan pelbagai caj ke atas hampir semua transaksi lain dan berpandangan terdapat kaedah lain dapat menampung kos mengenai ATM termasuk dalam pengetahuan menteri kewangan (Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz) yang dahulunya seorang pegawai atasan bank komersial.

“Saya dan pimpinan KEADILAN akan terus meneliti perkembangan isu ini dan bersedia mengadakan pertemuan dengan kerajaan mahupun wakil bank demi menyampaikan suara rakyat,” kata ahli parlimen Kulim-Bandar Baharu.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penyokong Anwar dilarang berhimpun ketika majlis menghadap Agong

SHAH ALM, 12 OKT: Penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dilarang berhimpun atau berkumpul di mana-mana tempat, terutama di jalan utama menuju Istana Negara esok.

Arahan oleh Setiausaha agung Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berikutan ketua pembangkang akan menghadap Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Saya juga pohon agar semua rakyat Malaysia bertenang sambil majlis menghadap ini berlangsung, termasuk jika berlaku sebarang proses selepas itu,” kata Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut mengingatkan semua ahli parlimen untuk terus berkhidmat di kawasan masing-masing dan mengutamakan isu kebajikan serta nasib rakyat ketika pandemik Covid-19 menular.

Anwar dalam sidang media di Kuala Lumpur pada 23 September mendakwa mendapat sokongan ramai ahli parlimen untuk membentuk kerajaan baharu dengan majoriti yang ‘kukuh’ dan ‘meyakinkan’.

Beliau yang enggan mendedahkan butiran jumlah tersebut turut mendakwa kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi dapat dipertahankan.

Istana Negara dalam kenyataan susulan mengesahkan majlis presiden KEADILAN menghadap Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terpaksa ditangguh susulan kegeringan baginda.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR Punyai Bukti Laporan Polis Berkenaan Pegawai SPR Dikurung

saifuddin nasution kongres ke 9 PKR 04PETALING JAYA 27 MEI :  Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa mempunyai bukti laporan polis dibuat tentang dakwaan bahawa 24 orang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dikurung bagi memangkah kertas undi di kawasan Parlimen Besut pada Pilihan Raya Umum ke-13.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendakwa terdapat satu laporan Polis yang dibuat oleh pihak Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) berkenaan kejadian itu.

“Kejadian itu berlaku di Parlimen Besut dan laporan Polis itu sampai ke Pejabat PKR kerana kita membuka ruang untuk semua aduan untuk disampaikan.

“Dan aduan laporan Polis itu menyebut secara terperinci nama petugas dan apa serta bila ia berlaku serta siapa yang melakukannya,” kata Saifuddin

Beliau berkata demikian ketika sidang media semasa Kongres Nasional Keadilan Ke-9 yang diadakan di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya di sini semalam.

Ujar Saifuddin, laporan itu jelas menyebut nama calon dari Barisan Nasional yang terlibat dalam kejadian itu.

“Kami tidak mendedahkan nama calon BN itu, tetapi apa yang kami dedahkan kami memiliki salinan laporan Polis yang dibuat oleh pihak SPR mengenai kejadian yang membabitkan calon BN di Besut.

Dakwa Saifuddin, petugas itu adalah salah seorang petugas SPR yang telah membuat laporan Polis mengenai perkara itu.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan II, Datuk Idris Jusoh berhasrat menyaman PKR termasuk pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli yang mendakwa bahawa 24 orang petugas SPR dikurung bagi memangkah kertas undi di Parlimen Besut.

Pada pilihan raya umum 5 Mei lalu, calon BN Besut, Datuk Seri Idris Jusoh memperoleh 35,232 undi menewaskan calon PAS, Riduan Mohamad Nor yang memperoleh 26,890 undi. Idris menang dengan majoriti 8,342 undi.

Categories
NASIONAL

PKR Minta Polis Selangor Siasat Kenyataan Perkauman Bekas Hakim

Saifuddin Nasution Ismail putih 01
PETALING JAYA, 14 MEI: PKR menggesa Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah menyiasat kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan oleh bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail siasatan ini sebagai kesinambungan tindakan polis yang akan memanggil beberapa pimpinan Pakatan Rakyat(PR) berhubung kenyataan di dalam ucapan Himpunan Suara Rakyat Suara Keramat di Stadium Kelana Jaya minggu lalu.

“Saya suka mencadangkan juga kepada Ketua Polis Selangor agar menambah lagi dibawah Akta Hasutan, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah di mana kenyataan beliau lebih berbaur hasutan berbanding dengan slogan ucapan pimpinan Pakatan di Kelana Jaya.

“Saya menggesa Ketua Polis Selangor dapat menyemak semula kenyataan yang menyebut di mana orang Melayu pantang dicabar, orang Cina hanya menunggu masa menerima balasan kerana mengkhianati kepercayaan orang Melayu dan sebagainya,” katanya dalam satu sidang media di Ibupejabat PKR.

Sebelum ini Mohd Noor mendakwa kononnya masyarakat Cina mengkhianati ikatan setia kawan orang Melayu melalui usaha untuk merampas kuasa politik.

Menurut Saifuddin lagi, setakat ini Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dipanggil memberikan kenyataan.

Sementara Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dihubungi polis dan masih menetapkan tarikh perjumpaan.

Dalam pada itu, Majlis Setiausaha Pakatan Rakyat bersedia untuk turut sama dalam Himpunan Suara Rakyat Suara Keramat selain mengemukakan cadangan untuk mengadakan satu Konvensyen Perpaduan Nasional memandangkan polemik perkauman dibangkitkan semula selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Cadangan ini akan dibawa kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat bagi mendapatkan kelulusan dan akan diumumkan dalam tempoh terdekat.

Tambah Saifuddin lagi, konvensyen ini akan membincangkan formula pengukuhan antara kaum di Malaysia.

Sementara itu, Pakatan Rakyat akan mengadakan sesi suai kenal bersama semua calon PR yang memenangi kerusi Parlimen dan DUN di seluruh negara bagi mendengar amanat dan taklimat berhubung tatacara kerja dan penghujahan semasa persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Pada PRU-13, Pakatan Rakyat menang di 89 daripada 222 kerusi Parlimen dan 229 daripada 505 DUN yang dipertandingkan

Categories
NASIONAL

Pakatan Tiada Sebarang Masalah Berdepan SPR

Grafik Pengundi hantu

PETALING JAYA, 14 MEI: Pakatan Rakyat (PR) bersedia berdepan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof untuk mengemukakan dakwaan salah laku Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang lalu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, Pakatan tidak ada sebarang masalah untuk menerima cabaran Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan yang mahu Pakatan berdepan dengan Abdul Aziz.

Tambah Saifuddin, sekiranya Abdul Aziz enggan bertemu Pakatan, beliau berharap Ahmad dapat membantu Pakatan untuk mendapat pertemuan dengan Pengerusi SPR itu.

“Majlis Setiausaha PR bersetuju menjemput Tan Sri Aziz dalam masa terdekat ini bagi berdepan PR untuk kita membangkitkan satu persatu perkara-perkara yang berkaitan salah laku pilihan raya.

“Jika Tan Sri Aziz enggan menerima jemputan kita saya percaya Datuk Ahmad Maslan akan membantu kita dalam usaha bertemu dengan kita,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

Beliau percaya Abdul Aziz tidak keberatan untuk bertemu Pakatan Rakyat memandangkan PRU-13 baru sahaja berlaku seminggu lalu.

Ketiga-tiga parti di dalam Pakatan Rakyat sedang mengumpul bukti berhubung salah laku pilihan raya. PKR diketuai Rafizi Ramli , DAP oleh Ong Kian Ming manakala PAS oleh peguam Asmuni Awi.

Pakatan akan memberi fokus terhadap kira-kira 27 kerusi Parlimen yang mereka dakwa telah berlaku penipuan pilihanraya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR : Guna Sosma Ganggu Kerancakkan PRU-13

Saifuddin and Sivarasa 01

PETALING JAYA, 11 APRIL : Polis diminta tidak menggunakan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sepanjang berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke 13(PRU13) kali ini.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Sivarasa Rasiah membidas kenyataan Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang Bukit Aman, Datuk Razali Basri yang dipetik sebagai berkata akan menggunakan akta berkenaan bagi mempastikan kelancaran kempen PRU-13.

Katanya, kenyataan Razali itu menunjukkan beliau tidak merujuk kepada bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang akan menggunakan Akta Kesalahan Pilihan Raya jika terdapat sebarang permasalahan.

“Rujukan menggunakan SOSMA ketika proses pilihan raya adalah sangat tidak wajar,” katanya dalam sidang media di Ibupejabat PKR di sini hari ini.

Menurut Sivarasa, ancaman polis akan menggunakan SOSMA hanya akan melemahkan dan merencatkan integriti proses pilihan raya di negara ini.

Katanya, kenyataan Razali itu mengesahkan kebimbangan ahli parlimen mengenai kewujudan SOSMA ini yang hanya akan menjejaskan demokrasi berparlimen di negara ini.

“Banyak undang-undang biasa selain SOSMA boleh digunakan, dan perlu diingatkan pihak utama yang bertanggungjawab sepenuhnya adalah SPR, polis hanya membantu kelancarannya,” katanya lagi.

PKR turut mendesak SPR tampil memberi teguran dan kenyataan bagi mengelakkan kekeliruan timbul sewaktu PRU-13 tidak lama lagi.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail akan menghantar sepucuk surat kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar untuk mengadakan pertemuan segera berhubung kes ancaman terhadap Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, beliau telah menghantar surat pada 13 Mac lalu kepada Ismail tetapi tiada jawapan diberikan sehingga kini.

“Isi kandungan surat saya mengandungi permintaan untuk berbincang mengenai hal-hal khusus seperti serangan dan kacau ganggu yang mengakibatkan kecederaan, kemusnahan harta benda parti dan ancaman daripada samseng upahan Umno-BN,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sekatan Terhadap Pemerhati, Bukti SPR Tidak Telus

Saifuddin Nasution Ismail putih 01

PETALING JAYA 2 JAN : Tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membuat beberapa sekatan terhadap enam badan pemerhati Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) tidak mencerminkan kesediaan dan ketelusan badan itu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata SPR masih lagi menyekat enam badan pemerhati itu daripada memantau keseluruhan proses pilihan raya secara bebas, sebaliknya lebih fokus kepada proses ketika pasca pilihan raya.

Enam badan pemerhati yang diberi akreditasi oleh SPR itu ialah Transparency International Malaysia (TI-M), Merdeka Centre, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Pusat Kajian Polisi Awam (CPPS), Majlis Belia Malaysia (MBM) dan Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (proham).

Manakala antara sekatan itu terdiri daripada larangan memerhati proses pengiraan undi ; tidak dibenarkan merakam sebarang kejadian penipuan tanpa kebenaran pegawai SPR ; tidak dibenarkan berhubung dengan agen parti dan kakitangan tempat mengundi.

Turut dilarang daripada bercakap kepada pihak media ; dilarang menyerahkan maklumat kepada pihak ketiga dan mereka perlu berada di kawasan pilihan raya sepanjang proses pilihan raya berlangsung.

“Tugas pemantauan itu sangat kritikal dan penting terutama di kawasan panas.

“Kami berbincang secara terperinci berkenaan sekatan ini dan ia membuktikan tidak ketulusan pihak SPR untuk menjalankan pilihan raya dengan adil serta telus,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Categories
NASIONAL

“Pakatan Harapan Rakyat” Dilancarkan


PETALING JAYA, 3 NOV : Perang psikologi dua kuasa besar politik negara mula ‘dilancarkan’ apabila PKR menjadi parti politik pertama memperkenalkan poster dan bilboard kempen Piliharanraya Umum ke-13 (PRU) hari ini.

Dengan tema ?Pakatan Harapan Rakyat?, majlis pelancaran disempurnakan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail di perkarangan Ibu Pejabat PKR.

Untuk fasa pertama, sebanyak 10 bilboard diperkenalkan dan fasa seterusnya akan diperkenalkan sehingga menjelang PRU-13.

Kempen ini juga akan disebarkan menggunakan media elektronik termasuk laman sosial dan blog.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan segala urusan termasuk kelulusan dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan diuruskan oleh pasukan khas.

Beliau menambah, setakat ini sebanyak 13 tajuk risalah telah disebarkan sejak empat bulan lalu.

Menurut Wan Azizah, PR lebih selesa untuk bertempur dengan kempen politik sihat dan idea berbanding menghamburkan kata nista serta mainan fitnah seperti yang diamalkan Umno-BN.

“Sebab itu PRU-13 kita tidak mahu dirosakkan dengan cacian. Kita mahu mewarnai kempen PRU ini dengan idea, harapan, wajah-wajah rakyat, semangat dan kelakinan Malaysia bakal dan InsyaAllah akan mendapat lebih kebaikan,” katanya di Ibu Pejabat PKR.

Ujar Wan Azizah, sejak tahun 2008, PR telah membawa banyak isu rakyat seperti penurunan harga minyak, pembinaan rumah mampu milik dan skim kesihatan wanita yang selama ini cuba dipadamkan oleh Umno-BN.

Turut hadir, beberapa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR antaranya Pengarah Strategi, Rafizi Ramli, Pengarah Komunikasi, Nik Nazmi Nik Ahmad, Pengerusi Perhubungan PKR Pahang, Fuziah Salleh dan Exco Selangor, Rodziah Ismail.

Categories
NASIONAL

BN Jangan Lupa Khairy Pernah Guna Pesawat Persendirian Patrick Lim

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Ahli Parlimen BN tidak perlu mempertikaikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menaiki jet persendirian ke Sabah bulan lalu kerana beliau tidak mempunyai apa-apa kuasa dalam kerajaan.

Sebaliknya, BN diingatkan agar tidak lupa dengan pemimpin mereka, seperti MP Rembau Khairy Jamaluddin, yang pernah menaiki pesawat persendirian milik individu yang mempunyai kepentingan perniagaan.

Demikian menurut MP Machang, Datuk Saifuddin Nasution Ismail ketika membahaskan Rang Undang-undang Pengurusan Strata 2012 di Dewan Rakyat hari ini.

“Anwar dia naik jet, dia tidak ada kuasa nak beri Permit Diluluskan (AP) kepada sesiapa sebab dia pembangkang. Tetapi BN jangan lupa (Ahli Parlimen) Rembau (Khairy Jamaluddin) dengan helikopter Patrick Lim.

“Ada juga 30 kakitangan menteri naik jet kononnya untuk menguruskan jenazah, okeylah, tetapi jenazahnya tak naik jet. Cuma naik penerbangan ehsan TUDM, yang naik jet adalah orang hidup,” kata Saifuddin.

Semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Khairy yang merupakan menantu Abdullah, pernah didakwa mempunyai pengaruh dalam keputusan yang dibuat kerajaan pusat ketika itu.

Ahli perniagaan terkenal, Patrick Lim ketika di era Abdullah, memperolehi banyak projek di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menerusi syarikat Equine Capital.

Ini termasuk pembangunan tanah Crescentia Park yang bernilai RM 800 juta dan pembangunan semula padang lumba kuda Pulau Pinang yang bernilai RM 25 bilion.

Saifuddin turut memberitahu Dewan Rakyat, selain Khairy, Menteri Besar Johor, Datuk Abd Ghani Othman juga pernah menggunakan jet yang disediakan oleh pemilik Danga Bay di Johor Bahru.

Selain Ghani, beliau berkata tindakan menggunakan pesawat persendirian dengan dibiayai individu tertentu turut melibatkan menteri lain dan ‘pemimpin simpanan’ Umno-BN.

Beliau juga menambah, tindakan pegawai kerajaan dan menteri kabinet menggunakan pesawat persendirian yang dibiayai oleh individu tertentu mampu mempengaruhi keputusan kerajaan yang membabitkan kepentingan individu tersebut.

Categories
NASIONAL

Sifat Positif Anwar Wajar Dicontohi UNtuk Menang PRU13

SHAH ALAM 29 SEPT : Sosok tubuh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan resepi terbaik untuk mencetak kejayaan bagi Pakatan Rakyat(PR) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Perkara itu dilontarkan oleh Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail di hadapan kira-kira 1,500 pemimpin parti di Rapat Pemimpin Nasional PKR 2012, di SACC Mall.

Saifuddin berkata ‘teruji dan tahan uji’ merupakan sifat positif beliau (Anwar) yang perlu diambil oleh semua peringkat parti.

“Saya tidak mahu mengambil pendekatan memuji, saya cuma mahu mengambil sifat positif beliau yang boleh kita contohi.

“Teruji dan tahan uji. Jika kita ambil sedikit sifat ini kita akan berjaya.

“Ada seseorang pemimpin berkata sosok tubuh Anwar mengingatkan kepada peribahasa Arab, iaitu jika mahu tahu emas yang paling tinggi mutu dan kualitinya adalah emas yang dibakar banyak kali.

“Dipenjara, dipukul, ditelanjangkan, diaibkan semua sudah, apa lagi yang tidak kena, tetapi susuk ini terus berada dibarisan paling hadapan untuk teruskan perjuangan,” katanya.

Tambahnya, sifat kedua yang perlu dicontohi ialah cara kerja luar biasa dan disiplin terhadap tugasnya.

Sehubungan itu, pemimpin di semua peringkat juga perlu mengambil iktibar dari kisah Nabi Ibrahim A.S yang melawan rajanya yang zalim.

“Dalam pada itu, kita perlu menjadi ‘burung pipit’, yang berusaha untuk memadam api ketika Nabi Ibrahim dibakar. Begitu juga kita, ‘burung pipit’ perlu melawan kezaliman, kekejaman Umno-BN,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Saifuddin turut menceritakan pertanyaan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Anwar di parlimen semalam.

“Anwar ditanya, mana datang kekuatan kamu? aku ke Sabah, kamu ke Sabah, aku ke Johor kamu di Sabah, aku ke Penang kamu ke Sarawak, aku balik ke Kuala Lumpur kamu ke Johor pula.

“Anwar menjawab, kekuatan aku datang kerana aku nak lawan kamu yang zalim dan khianat, menyeleweng hak rakyat.. Itulah datang kekuatan aku.

“Adanya kamu, adanya parti macam kamu, ada kerajaan macam kamu, harta negara kamu rompak, ketidak adilan terhadap rakyat, institusi demokrasi kamu hancurkan, tidak pernah hormati tapi kamu terus angkuh sombong, tidak pernah mengiktiraf kebijaksanaan rakyat, kamu fikir rakyat boleh diberi dan terus diberi.

“Kesombongan itu adalah kekuatan kepada aku untuk berada di semua tempat itu untuk lawan dan tetap lawan,” cerita Saifuddin.

Categories
NASIONAL

Batu dan Cat Tidak Halang Perjuangan Membela Rakyat

 

SHAH ALAM 29 SEPT : Lontaran batu dan cat tidak menghalang PKR meneruskan untuk berjumpa rakyat dalam program Jelajah Merdeka Rakyat yang cuba digugat oleh samseng Umno-BN.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata parti akan tetap menggerakkan program ini sebagai salah satu kaedah menyuntik kesedaran rakyat.

Katanya, terdapat dua faktor utama yang membantu program ini berjalan dengan jayanya. Yang pertama kerjasama ahli parti atau mobilisasi rakyat dijalankan semaksimum dan faktor keselamatan merupakan dua petua kejayaan program tersebut.

“Kedua-dua petua itu merupakan faktor penting bagi menjayakan program itu secara berterusan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13 diadakan.

“Walaupun setakat ini ia tidak mengecewakan tetapi kita mahu momentum itu diteruskan.

“Begitu juga dari segi keselamatan, kita tidak akan diserang jika pemimpin kita ramai, jadi kita kena tingkatkan kawalan keselamatan. Kita perlu memastikan pemimpin kita selamat dan program kita berjaya,” katanya dalam program Rapat Pemimpin Nasional PKR 2012 di sini hari ini.

Jelasnya, disebabkan sambutan luar biasa dari rakyat, PKR menerima reaksi yang keras dari pihak Umno-BN.

Setakat ini, Jelajah Merdeka Rakyat sudah berjaya di sembilan negeri antaranya Pahang, Kelantan, Perlis, Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan dan Kedah.

“Dalam sembilan negeri yang sudah kita jelajah, hanya Negeri Sembilan sahaja kita tidak diserang,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kabinet Bayangan Bukan Pra-Syarat Untuk Memerintah

SHAH ALAM, 21 SEPT : Kabinet Bayangan bukanlah suatu pra-syarat utama bagi menjamin sebuah pemerintahan yang cekap dan baik.

Sebaliknya Pakatan Rakyat (PR) yakin mampu mentadbir negara ini dengan baik seperti yang ditunjukkan di empat negeri pimpinan mereka iaitu Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, semasa diberi mandat memerintah keempat-empat negeri berkenaan, PR tidak mempunyai kabinet bayangan, namun membuktikan pimpinan mereka jauh lebih baik berbanding Kerajaan Umno-BN.

Beliau berkata, kejayaan PR turut diperakui Ketua Audit Negara yang menunjukkan kecekapan pengurusan wang serta penambahan hasil negeri berdasarkan tatakelola yang baik dan cekap.

“Waktu kita menang PRU-12, kita tidak mempunyai kabinet bayangan untuk menentukan siapa Menteri Besar atau barisan exco. Saya anggap isu kabinet bayangan bukan satu kepentingan kerana pemerhati politik ini mempunyai pemikiran dangkal. Mereka merujuk kepada politik luar seperti Amerika Syarikat.

“Pada pandangan saya, pemerihati politik perlu melihat skop yang lebih luas kerana sistem pemerintahan negara luar amat berbeza dengan negara kita,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Terdahulu, pemerhati politik menyatakan keraguan mereka bahawa PR masih lagi belum bersedia memandangkan terdapat lagi beberapa perkara yang tidak diselesaikan pakatan pembangkang tersebut, antaranya isu Hudud dan juga kabinet bayangan mereka.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, PR menyandarkan perkara berkenaan kepada kematangan dan kebijaksanaan rakyat untuk membuat penilaian.

Beliau berkata, rakyat berhak untuk membuat pilihan sama ada mengekalkan pemerintahan Umno-BN atau memberi peluang kepada PR yang menunjukkan prestasi lebih baik apabila diberi mandat membentuk kerajaan di empat buah negeri.

Malah katanya, PR telah tampil dengan polisi yang mudah difahami rakyat selain mempunyai barisan pimpinan yang profesional dan bertenaga.

“Daripada 2008, apabila PR dibentuk kita dapat kemukakan beberapa polisi dan dasar yang boleh dinilai oleh rakyat iaitu pendidikan percuma dan menurunkan harga minyak yang bertujuan untuk mengurangkan kos kehidupan rakyat.

Kita juga perkenalkan polisi menurukan duti eksais kenderaan yang mana tidak boleh Umno-BN persoalkan dasar PR jika ingin memerintah negara. Malah kita mempunyai penampilan pemimpin yang lebih memikat dan bersedia untuk mengambil alih pemerintahan negara,” katanya.