Categories
NASIONAL SELANGOR

Saifuddin: Misi Shafee Luar Negara Kaitan Kes Scorpene?

SHAH ALAM, 24 APR: Reaksi Datuk Mohamad Shafee Abdullah dalam isu memohon penangguhan kes yang dikendalikannya bagi membolehkan beliau menjalankan suatu misi sulit di luar negara tidak menjelaskan apa-apa.

Sebaliknya reaksi beliau lebih banyak menimbulkan persoalan adakah misi sulit beliau di luar negara itu melibatkan inkues kes komisen pembelian kapal selam Scorpene yang sedang berlangsung di mahkamah Perancis yang melibatkan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak sebagai saksi.

Demikian persoalan yang diajukan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution dalam sidang akhbar di ibu pejabat parti itu hari ini.

“Malangnya penjelasan beliau bahawa berita tersebut adalah mengarut dan langsung tidak menjawab isu pokok, malahan mengundang lebih banyak persoalan.

“Shafee hanya perlu menjawab jika benar beliau ada berkunjung ke Paris sepertimana beliau nyatakan dalam surat itu adakah ianya punya kaitan dengan perbicaraan kes pembelian kapal selam scorpene yang turut membabitkan PM yang dinamakan sebagai saksi,” kata saifuddin.

Menurut Saifuddin, Shafee hanya perlu menjawab beberapa persoalan yang dikemukan berhubung pemergian beliau ke luar negara dari 1 April hingga 25 April.

“Shafee hanya perlu menjawab samada beliau ada menghantar surat bertarikh 23 Mac 2012 kepada ketua hakim negara, Presiden Mahkamah Rayuan dan Hakim Besar Malaya memohon penangguhan kes mulai 1 April hingga 25 April dan memberikan salinan kepada PM dan isterinya, Datin Paduka Rosmah Mansor.

“Shafee hanya perlu jawab samada beliau ada menyatakan dalam surat tersebut bahawa beliau telah dilantik oleh Kerajaan Malaysia untuk menguruskan suatu tugasan perundangan sensitif di luar negara yang mesti diselesaikan sebelum pilihan raya akan datang,” katanya lagi.

Dalam sidang akhbar itu, PKR turut mencabar agar Shafee berani menyatakan kebenaran berhubung isu ini.

“Memetik kata-kata beliau, “if only they know the truth” kita mencabar Shafee tanpa perlu berbelit-belit, nyatakan apakah ‘kebenaran’ yang beliau sembunyikan itu,” kata Saifuddin.

Dalam sidang media yang sama, PKR turut menuntut Najib turut memberikan penjelasan adakah benar kerajaan telah melantik Shafee sedangkan sepatutnya tugasan ini dijalankan oleh Peguam Negara atau lebih wajar Najib dan Rosmah melantik peguam peribadi.

Saifuddin menjelaskan PKR akan memohon agar Majlis Peguam merujuk Shafee sebagai kes pelanggaran disiplin sekiranya Shafee dan Najib gagal memberikan jawapan berhubung isu terbabit.

“Kiranya Shafee tidak dilantik Kerajaan Malaysia, tidak juga sebagai peguam peribadi PM dan isteri dan langsung tidak berada di New York, London, Dubai, Paris dan Basel sepertimana dalam alasan penangguhan kes beliau, kita mendesak PM membuat aduan kepada Majlis Peguam supaya tindakan dapat diambil ke atas Shafee.

“Kiranya PM terus berdiam, maka PKR memohon kepada Majlis Peguam untuk merujuk Shafee sebagai suatu kes pelanggaran displin,” ujar Saifuddin lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Saifuddin: Kemana Wang Royalti Yang Diterima Terengganu?

SHAH ALAM, 24 APR: Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Terengganu dan Petronas perlu menjelaskan terma penyelesaian antara kerajaan negeri terbabit dengan Petronas dan Kerajaan Persekutuan apabila tindakan undang-undang berhubung tuntutan royalti minyak digugurkan pada 21 Mac baru-baru ini.

Tindakan Undang-undang yang dimulakan oleh Kerajaan Terengganu pada Mac 2001 itu telah berlarutan selama sebelas tahun ekoran keengganan Petronas dan kerajaan pusat meneruskan bayaran royalti apabila PAS berjaya merampas tampuk pemerintahan negeri itu dari Umno pada 1999.

Demikian menurut Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Menurut Saifuddin, ketiga-tiga pihak terbabit harus menjelaskan berapakan jumlah pembayaran yang diterima oleh Kerajaan Terengganu yang membolehkan satu penyelesaian luar mahkamah dicapai oleh ketiga-tiga pihak terbabit.

“Apakah terma-terma penyelesaian yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Terengganu, Petronas dan Kerajaan Malaysia yang membawa kepada tindakan penyelesaian di luar mahkamah.

“Berapakan jumlah bayaran sebenar yang akan diperolehi Kerajaan Terengganu hasil penyelesaian cara ini?

“Berapakah terimaan sebenar wang ehsan dan wang royalti yang diterima Kerajaan Terengganu mulai 2001 sehingga 2011 memandangkan perbedaan harga minyak dunia di antara USD20 sehingga USD100 setong di sepanjang tempoh tersebut,” kata Saifuddin.

Saifuddin turut menuntut penjelasan ke akaun manakah wang tersebut disalurkan dan adakah ia digunakan untuk membiayai projek-projek tertentu di Terengganu.

“Ke dalam akaun mana wang ini dimasukan, samada kumpulan wang disatukan kerajaan negeri atau digunakan terus untuk membiyai projek-projek seperti Monsoon Cup, Masjid kristal dan lain-lain,” ujar Saifuddin lagi.

Menurut Saifuddin, sebelum ini kerajaan pusat telah menghentikan pembayaran royalti minyak kepada Terengganu disebabkan dendam politik Umno dan Barisan Nasional (BN) apabila tewas di Terengganu pada pilihan raya tahun 1999.

“Rakyat seluruhnya sedia maklum dolak dalik kerajaan persekutuan terhadap isu wang ehsan dan royalti ini sebenarnya terbit daripada dendam politik Umno dan BN apabila tewas di Terengganu padu 1999 hingga 2004,” kata Saifuddin.

Saifuddin juga memberitahu rakyat Terengganu berhak mengetahui situasi sebenar isu ini memandangkan ianya melibatkan kepentingan rakyat negeri itu secara terus.

Categories
NASIONAL

Lobi Israel Untuk Jadi Tuan Rumah Persidangan Gas Sedunia?

SHAH ALAM, 29 MAC : PKR mendakwa pimpinan Umno-BN memohon bantuan dari Israel dengan melobi untuk menjadi tuan rumah Persidangan Gas Sedunia (World Gas Conference) yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 4 hingga 8 Jun depan.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya mengesahkan usaha melobi ini bermula  pada tahun 2005.

Malah, Malaysia turut menawarkan secara tidak langsung untuk menguruskan penginapan dan pendaftaran wakil-wakil Israel ke Persidangan IGU di Tianjin, China.

Pendekatan merayu bantuan Israel ini mendapat restu dan atas nasihat Wisma Putra. Penganjurannya pula dikendalikan oleh Persatuan Gas Malaysia yang diwakili oleh PETRONAS dan dinasihati oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

“PKR mempunyai bukti kukuh termasuklah laporan, surat menyurat dan dokumen-dokumen lain yang mengesahkan sikap ‘talam dua muka’ Umno yang secara diam-diam merestui hubungan dua hala di antara Malaysia dan Israel sedang ia menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel,” kata Saifuddin dalam kenyataan media.

Tambah Saifuddin, penganjuran Persidangan Gas Sedunia dipilih melalui undi oleh anggota Pertubuhan Gas Antarabangsa (International Gas Union) yang turut dianggotai oleh Malaysia, Israel, Russia, Brunei, Indonesia dan banyak negara lain.

“Sikap Umno dan pimpinan mereka yang menentukan dasar Wisma Putra adalah bertentangan dengan keinginan rakyat Malaysia yang tidak mahu ada sebarang hubungan diplomatik sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan Israel.

“Malah, pendedahan kali ini membongkarkan hipokrasi tertinggi Umno dan pimpinan mereka dalam isu hubungan dengan Israel kerana bukan sahaja mereka menyatakan hasrat untuk mengadakan hubungan diplomatik, malah terbukti mereka pernah melutut merayu sokongan dari Israel,” kata Saifuddin.

Justeru, PKR mendesak penjelasan kerajaan mengenai pendirian yang diambil sehingga merestui pendekatan pihak penganjur Persidangan Gas Sedunia yang merayu bantuan dan sokongan Israel.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR: Tawaran Debat Anwar-Najib Masih Terbuka

PETALING JAYA, 6 MAC: PKR sekali lagi menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengadakan debat terbuka dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagimana dinyatakan didalam blog perdana menteri itu.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataannya kepada pihak media berkata tawaran untuk berdebat tersebut sentiasa terbuka.

“PKR mengambil maklum kesanggupan Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat dalam kerangka wacana demokrasi sebagaimana dinyatakan di dalam blognya.

“Justeru, kita berharap kesanggupan Najib ini benar-benar jujur kerana tawaran Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibuat pada Januari 2011 untuk berdebat tentang kedudukan ekonomi, fakta-fakta yang terkandung di dalam Buku Jingga dan penyelewengan negara masih lagi terbuka.” jelas Saifuddin yang juga MP Machang.

Menurut beliau, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang jawapan daripada Perdana Menteri tentang tawaran tersebut.

Katanya, Najib perlu menerima tawaran debat ini sesuai dengan semangat demokrasi yang diluahkannya, melainkanlah Najib tidak merasakan isu ekonomi, tawaran dasar Buku Jingga, tatakelola kerajaan yang baik, kenaikan kenaikan kos hidup dan penyelewengan negara merupakan isu-isu penting untuk dibahaskan.

Menurut Saifuddin, Najib turut meluahkan kebimbangannya tentang keupayaan lawannya di dalam perdebatan untuk bercakap

berdasarkan fakta dan mengawal emosi.

“Sebenarnya kebimbangan ini tidak patut wujud sekiranya beliau yakin dengan keupayaan rakyat Malaysia untuk membuat perhitungan yang tepat.

“Keputusan di tangan Najib sama ada beliau jujur mahu membolehkan rakyat Malaysia mendengar secara langsung dasar-dasar Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat didebatkan dalam kerangka demokrasi dan membuat keputusan yang sewajarnya.” kata Saifuddin.

Categories
NASIONAL

PKR Mahu Siasatan Ke atas Badrulamin Secara Profesional

SHAH ALAM, 26 FEB : Parti Keadilan Rakyat (PKR) meminta Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara telus dan profesional berhubung kes penangkapan Dr Badrulamin Bahron yang didakwa berkhalwat di sebuah hotel di Kuantan awal pagi semalam.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya mengambil maklum bahawa Pengarah Komunikasi Pejabat Menteri Besar Selangor itu diminta Jaip untuk membantu siasatan berkaitan kes tersebut.

“PKR menuntut agar Jaip dan pihak berkuasa yang lain membuat siasatan secara telus dan profesional. PKR juga mengulangi komitmen parti untuk terus memelihara prinsip keadilan bagi semua pihak yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Sementara itu, Dr Badrulamin membuat penafian mengenai laporan media yang mendakwa beliau ditangkap khalwat oleh pegawai Jaip di sebuah hotel di Kuantan, Pahang.

“Kenyataan Timbalan Pengarah Jaip (Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz) bahawa saya ditahan oleh pegawai Jaip ketika berkhalwat adalah tidak benar sama sekali.

“Saya beranggapan bahawa kejadian ini merupakan satu tindakan terancang untuk memerangkap dan mengaibkan saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Badrulamin berkata, beliau hanya dipanggil untuk membantu siasatan Jaip pada 27 Februari ini dan akan hadir bersama peguamnya untuk memberi kerjasama penuh kepada siasatan berkenaan.

Dalam penafiannya, Dr Badrulamin yang juga Ketua Cabang PKR Sabak Bernam menjelaskan beliau berada di hotel berkenaan kerana menghadiri temurapat pemimpin PKR.

Bagaimapun pada jam 2 pagi semalam, beliau kemudiannya dihubungi seorang wanita dengan nada cemas dan menyatakan beliau mempunyai masalah keluarga yang serius.

“Saya telah mengenali pasangan suami isteri ini sejak lebih setahun lalu semasa wanita itu bersama keluarganya mengikuti rombongan umrah saya.

“Pasangan suami isteri ini sering berhubung dengan saya bagi mendapatkan nasihat mengenai masalah keluarga yang mereka hadapi termasuk kes keganasan rumah tangga,” katanya.

Menurut Dr Badrulamin lagi, wanita berkenaan juga menyatakan hasratnya untuk meninggalkan suaminya tetapi beliau menasihatkannya supaya tidak berbuat demikian.

Katanya, wanita itu kemudian datang ke hotel penginapannya bersama anaknya dan Dr Badrulamin berkata atas rasa bertanggungjawab melihat wanita tersebut bersama anaknya di awal pagi, beliau membantu mereka mendapatkan bilik penginapan.

“Pada jam 2.30 pagi suami wanita tersebut bersama lebih kurang 20 orang yang tidak dikenali menyerbu dan menyerang saya. Suami wanita tersebut kemudiannya telah membawa isteri dan anaknya pergi secara paksa.

“Lelaki-lelaki bersikap ala samseng ini berhenti memukul saya apabila pihak keselamatan tiba dan menghalang mereka.

“Namun mereka masih tidak membenarkan saya keluar dari bilik. Hanya setelah 20 minit dikurung oleh samseng tersebut, pegawai Jaip tiba dan menahan saya yang berseorangan di dalam bilik,” katanya.

Dr Badrulamin berkata beliau berharap dengan penjelasan ini, semua pihak menghentikan tohmahan dan fitnah terhadap dirinya.

Tambahnya, beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat tuduhan dan fitnah terhadapnya.

 

 

Categories
NASIONAL

Himpunan Hijau 2.0 Pindah Ke MPK 4

KUANTAN, 24 FEB: Himpunan Hijau 2.0 yang mulanya akan diadakan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 1 (MPK1) akan berpindah ke padang MPKT 4 Kemunting kira-kira setengah kilimeter dari lokasi asal.

Keputusan tersebut dicapai setelah rundingan dilakukan antara Jawatankuasa Himpunan Hijau 2.0 dengan pihak polis.

Jawatankuasa Himpunan Hijau diwakili MP Kuantan, Fuziah Salleh, Mahmud Yaakob, Wong Tak dan Clement Chin.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifudin dan Ketua Polis Kuantan, Tuan Jasmani bersetuju supaya himpunan tersebut dilakukan dilokasi baru yang dicadangkan.

Menurut Harakahdaily kata sepakat itu dicapai dalam perjumpaan yang diadakan di Balai Polis Kuantan jam 10 pagi tadi.

Sejak semalam, kawasan Padang MPK yang terletak di tengah bandar Kuantan telah dipagar oleh pekerja Majlis Perbandaran Kuantan.

Perhimpunan Hijau 2.0 dianjurkan bagi membantah pembinaan kilang Lynas di Gebeng akan diadakan 26 Februari (Ahad ini) mulai jam 9 pagi.

Semua rakyat dari seluruh pelosok negara diseru supaya beramai-ramai hadir dalam himpunan yang telah mendapat kebenaran dari polis ini.

Di bawah akta polis yang baru, kebenaran polis bukan lagi dinamakan permit tetapi kebenaran bertulis polis dengan syarat-syarat yang ditetapkan dari polis.

Padang MPK 4 juga dinamakan Padang Kemunting terletak di depan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan iaitu di Jalan Kuantan – Gambang.

Menurut Yang Dipertua PAS Indera Mahkota, Nasrun Amir, padang ini boleh mengisi sekitar 20,000 orang pada satu masa.

Perhimpunan Hijau 2.0 dijangka akan disertai 100,000 setelah Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa seluruh ahli PAS di Pahang dan negeri-negeri berhampiran menyertai himpunan tersebut.

Sementara itu Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail juga membuat kenyataan yang sama hari ini.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Saifuddin memaklumkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut menyertai himpunan tersebut pada Ahad ini.

 

Categories
NASIONAL

Dasar Luar Negara Malaysia Berkiblat Amerika-Israel

SHAH ALAM 15 FEB : Kerajaan Umno-Barisan Nasional tidak konsisten dalam dasar luarnya terhadap Palestin kerana masih ‘tunduk’ kepada dasar Amerika Syarikat dan Israel.

Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR),Saifuddin Nasution, berkata Malaysia pada Mei 2006 yang menjadi tuan rumah Persidangan Negara-negara Berkecuali (NAM) telah membelakangkan kehadiran Dr Mahmoud AlZahar sebagai Menteri Luar sah kerajaan Palestin dan sebaliknya mengiktiraf Farouk Qadummi iaitu Bekas Menteri Luar Palestin (sewaktu kerajaan Fatah sebelum Pilihanraya 25 Januari 2006).

Pada persidangan tersebut Farouk Qadummi dijemput berucap sebagai wakil rasmi kerajaan Palestin.

“Hal ini tidak sukar difahami kerana Perdana Menteri, Ismail Haniyeh dan Dr Mahmoud ALZahar adalah pemimpin Palestin yang mewakili HAMAS yang pada kacamata Amerika Syarikat dan Israel adalah satu kumpulan pengganas.

“Hakikat bahawa HAMAS menang pilihanraya secara bebas dan demokratik tidak sama sekali mengubah pendirian Amerika Syarikat dan Israel terhadap HAMAS yang telah berjaya membentuk kerajaan Palestin yang sah.

“Amerika Syarikat dan Israel tidak mengiktiraf kerajaan Palestin pimpinan HAMAS. Adalah menjadi pengetahuan umum Amerika Syarikat dan Israel lebih bersikap lunak terhadap kumpulan FATAH yang tewas pilihanraya,” kata Saifuddin dalam kenyataan medianya.

Beliau berkata demikian sebagai merujuk kenyataan Perdana Menteri Najib Tun Razak yang membidas Datuk Seri Anwar sebagai bersikap dua wajah (two-faced) dan menegaskan kononnya Malaysia sentiasa memberi sokongan secara konsisten terhadap perjuangan Palestin.
Menurut Saifuddin, Dr Mahmoud AlZahar yang kecewa dengan layanan Malaysia kemudiannya memulau persidangan NAM tersebut. Beliau menemui pimpinan PAS termasuk Timbalan Presiden ketika itu Ustaz Nasaruddin Mat Isa.

Dr Zahar turut mengutuk tindakan kerajaan Malaysia menjemput Qaddoumi dan menganggap keputusan itu sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima oleh kerajaan beliau. Malahan Ustaz Nasaruddin kemudian mengeluarkan kenyataan mengecam kerajaan Malaysia sebagai ‘biadap’

“Insiden tersebut memberikan bukti jelas bagaimana tidak konsistennya dasar kerajaan Malaysia terhadap Palestin. Insiden ini menjadi bukti bahawa dasar luar Malaysia terhadap Palestin sebenarnya berkiblatkan dasar Amerika Syarikat dan Israel terhadap Palestin,” ujarnya.

Tambah Saifuddin,insiden ini mengesahkan Kerajaan Malaysia tidak dapat membezakan antara kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat Palestin dengan pemimpin Palestin yang ditolak dan tewas dalam pilihanraya.

“Hanya kerana Amerika Syarikat dan Israel tidak mengiktiraf kerajaan Palestin pimpinan HAMAS pada ketika itu maka Malaysia juga akur. Bukankah fakta ini dengan sendirinya menolak kenyataan PM Najib sebaliknya mengesahkan bahawa dasar kerajaan Malaysia terhadap Palestin sebenarnya tidak konsisten,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Saifuddin : Tiada Sebab Pemimpin BN Takut Isytihar Harta

SHAH ALAM, 24 JAN : Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution mempersoalkan mengapa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz terlalu bimbang sekiranya aset menteri kabinet dan keluarga wajib diisytihar kepada umum.
Ia ekoran kenyataan Nazri yang mempertikai keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan menyifatkan tindakan itu ‘mengundang bahaya’.

Saifuddin ketika dihubungi TV Selangor menyifatkan kenyataan Nazri itu adalah alasan paling lemah dan memberi gambaran bahawa beliau cuba menyembunyikan sesuatu selain mahu melindungi Menteri Kabinet yang menikmati kemewahan di luar kemampuan.

Beliau berkata, tujuan barisan menteri yang dikehendaki mengisytiharkan harta adalah bagi memastikan bahawa tidak berlaku amalan penyalahgunaan kedudukan untuk membina kejayaan sepanjang menjadi penjawat awam.

“Salah satu cara untuk membuktikannya adalah dengan membandingkan harta yang dimiliki seseorang (pemimpin) itu sebelum dan selepas memegang jawatan.

“Sekiranya didapati pertambahan harta bagi seseorang menteri itu berlaku selepas mereka memegang jawatan, maka rakyat bolehlah membuat satu kesimpulan bahawa kekayaan itu barangkali dimiliki melalui penyalahgunaan kuasa dan kedudukan. Itu sebenarnya tujuan yang paling mudah untuk meminta seseorang menteri mengisytiharkan harta,” katanya yang juga Ahli Parlimen Machang.

Menurut Saifuddin, sekiranya seseorang pemimpin itu tidak mempunyai sebarang perkara untuk disembunyikan, maka mereka tidak perlu mengadakan alasan yang dianggap cuba memperbodohkan tahap pengetahuan rakyat.

Beliau turut berpendapat, pengisytiharan harta ini boleh meningkatkan kewibawaan seseorang menteri selain berupaya menyelematkan kedudukan mereka kerana rakyat dapat melihat ketelusan dalam urusan pentadbiran.

Tambahnya, amalan yang mengatakan bahawa memadai harta seseorang menteri itu disiytiharkan kepada Perdana Menteri sahaja juga tidak boleh diterima.

Sebaliknya, pengisytiharan harta itu perlu dilakukan di mana-mana institusi yang mempunyai kewibawaan sama ada institusi audit profesional atau institusi dalam negara.

“Perkara itu mestilah disepakati dan diterima ramai sama ada kepada institusi audit bertauliah seperti yang dilaksanakan di Pulau Pinang di mana ketua menteri dan exco mengisytiharkan harta dan disemak oleh juru audit serta dijadikan sebagai maklumat awam yang membolehkan rakyat menyemak kedudukan harta pemimpin.

Walaupun ada pihak yang mempertikaikan kewibawaan institusi ini, namun ianya jauh lebih baik daripada diisytiharkan kepada perdana menteri sahaja. Jadi, isu kepada siapa kedudukan harta itu diisytihar juga mestilah diteliti,” tegasnya.

Dalam pada itu, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga berpendirian yang sama dengan Nazri berhubung isu pengistiharan harta tersebut.

Isu rasuah, penyalahgunaan kuasa, kronisme dan sogokan merupakan amalan yang telah lama di lakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno/BN.

Apakah kebimbangan dan ketakutan pemimpin-pemimpin tersebut mengistiharkan harta mereka bertujuan untuk melindungi sumber harta kekayaan mereka dari pengetahuan rakyat.?

Categories
NASIONAL

Saifuddin: Umno/BN Ibarat Telur Dihujung Tanduk

PETALING JAYA, 2 JAN: Umno/BN yang semakin terdesak ekoran penolakan rakyat memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terpaksa menggunakan pelbagai fitnah dan penipuan serta memperbodoh rakyat di saat Pilihanraya Umum ke-13 kian hampir.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan medianya berkata strategi serangan terhadap Anwar Ibrahim adalah usaha terus-terusan Umno/BN dan menghumban Anwar ke dalam penjara dianggap bakal memberi sedikit nyawa untuk mereka terus wujud dan merompak harta rakyat dan Negara.

“Keterdesakan Umno/BN di bawah Najib semakin terserlah dan jelas tidak boleh diselindung lagi. Perkiraan Najib untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihanraya umum dalam tempoh terdekat ini bakal mengundang padah yang besar bagi dirinya dan isteri beliau Rosmah, serta pada keseluruhan parti usang Umno/BN.” ujar beliau.

Katanya tindakan media milik Umno yang membesarkan kenyataan Raja Petra Kamaruddin (RPK) menunjukkan betapa media tersebut ketandusan idea selain membesarkan isu lapok.

“Umum tidak harus lupa bahawa Raja Petra Kamaruddin, yang kini semakin diketahui sebagai ‘blogger upahan UMNO’ juga pernah membuat kenyataan bersumpah bahawa Najib dan Rosmah terlibat dalam pembunuhan kejam model Mongolia Altantuya Shariibu tidak lama dahulu yang walaubagaimanapun, sememangnya dan tentunya tidak dilapor langsung oleh akhbar-akhbar ini.

Menurut Ahli Parlimen Machang itu lagi, ketakutan Najib dan Rosmah berhubung sokongan terhadap Anwar ekoran ramai penyokong yang akan turun memberi sokongan ketika 9 Januari nanti dianggap sebagi cubaan untuk menghuru-harakan negara.

“Anwar Ibrahim merupakan Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Ketua Umum PKR. Sebagai seorang pemimpin politik, tentunya beliau mempunyai pengikut dan penyokongnya. Kehadiran pengikut dan penyokong Anwar dan anggota-anggota Parti bagi menunjukkan sokongan terhadap beliau tidak harus dianggap sebagai cubaan menghuru-harakan negara.

“Dari nada pimpinan UMNO dan media milik UMNO berhubung perkara ini kebelakangan ini serta dari pengalaman lampau, saya dapat menjangka bahawa UMNO sendirilah yang akan mencetuskan provokasi pada hari tersebut. Saya sekali lagi menyeru kalangan anggota dan penyokong Parti untuk berhati-hati dan tidak terjebak dengan perangkap UMNO dan Barisan Nasional yang ingin menjadikan 9 Januari ini suatu hari hitam dalam diari perjuangan kita.” kata beliau.

Tambah beliau, kecelikan rakyat berhubung sumber maklumat serta kebangkitan rakyat memaksa kepimpinan Najib melakukan pelbagai penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Umno/BN kini umpama ‘telur di hujung tanduk’. Rakyat dan pengundi negara ini telah celik dan cukup sedar bahawa kerajaan telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawab yang dimandatkan untuk memimpin negara dan membela nasib mereka.

“Kesemua penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa pimpinan UMNO dan Barisan Nasional yang telah dibongkar masih belum dapat dijawab oleh Najib dan kabinetnya.

“Malah dalam kes syarikat Fidlot Nasional, rakyat masih terus dibohong apabila siasatan dan pertuduhan hanya dibuat terhadap lelaki yang disyaki menipu suami kepada Ketua Wanita UMNO Shahrizat Jalil yang juga Pengerusi Eksekutif syarikat itu sendiri dan tidak terhadap pengarah-pengarah syarikat, yang terdiri dari anak-anak mereka mahu pun Shahrizat sendiri.

“Pendedahan penyalahgunaan wang zakat oleh Ketua Audit Negara oleh Menteri Jamil Khir terus dipertahan.

“Kezaliman dan penindasan terhadap peneroka-peneroka dalam merebut kekayaan FELDA oleh pemimpin tertentu UMNO terus dipertingkat dan digalakkan.

“Kebangkitan mahasiswa menuntut penghapusan AUKU dan hak dan kebebasan bersuara serta menentang kezaliman dan kebobrokan UMNO dan Barisan Nasional segera ditentang dengan kekejaman dan kekerasan Polis.

“Dalam pada itu, usaha memporak-perandakan perpaduan rakyat berbilang kaum di negara ini masih dileluasakan.” tegas beliau

Sehubungan itu beliau menyeru supaya seluruh rakyat berbilang kaum serta para pengundi menolak Umno/BN dalam pilihanraya akan datang yang disifatkan semakin terdesak dan melampau.