Categories
AGENSI SELANGOR

Bantuan segera disalur ke tiga kampung di Batang Kali

HULU SELANGOR, 19 DIS: Agihan bantuan kecemasan termasuk bekalan perubatan giat disalur kepada mangsa banjir beberapa kampung sekitar Batang Kali di sini berikutan kejadian itu sejak semalam.

Penyelaras Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri berkata bantuan berkenaan antaranya kotak makanan kering, pek makanan bermasak, air mineral, susu tepung, lampin pakai buang, tuala wanita dan tilam.

Saifuddin Shafi Muhammad menambah penduduk Kampung Sentosa, Kampung Genting Malek dan Kampung Koskan diberi keutamaan untuk menerima sumbangan tersebut termasuk bekalan ubat-ubatan.

Beliau menjelaskan sembilan rumah di Kampung Genting Malek dinaiki air mengakibatkan 30 penduduk terjejas kira-kira jam 3 pagi tadi berikutan kenaikan paras air Sungai Batang Kali.

Katanya, tujuh rumah di Kampung Sentosa Batang Kali turut dinaiki air dan mereka ditempatkan di balai raya kampung berkenaan sebelum pulang sekitar jam 7 pagi.

“Terus berwaspada dan jangan biarkan anak-anak bermain air atau sungai yang berhampiran,” kata Saifuddin Shafi.

Categories
ADN SELANGOR

CAC Batang Kali pindah ke lokasi baharu mulai hari ini

SHAH ALAM, 11 OKT: Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Dewan Orang Ramai Batang Kali dipindahkan ke Kem Bina Semangat, Kuala Kubu Bharu mulai hari ini.

Beroperasi setiap hari mulai jam 8 pagi, pemindahan itu hasil kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Batang Kali dengan pejabat daerah, pejabat kesihatan dan penghulu mukim.

Penyelaras DUN Saifuddin Shafi Muhammad berkata ia sekali gus mengakhiri keresahan penduduk sekitar dan ibu bapa di sekolah berdekatan.

“Terima kasih Jabatan Tanggungjawab Sosial dan Korporat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) yang memberi sokongan dan bantuan,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Dalam poster dikongsi di platform sama, CAC di lokasi lama ditutup semalam bagi memberi laluan kepada proses perpindahan itu.

Orang ramai yang mempunyai kecemasan atau gejala bahaya boleh hubungi talian kecemasan 999.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Batang Kali terima lebih 25 permohonan untuk rawatan ke hospital

SHAH ALAM, 7 OKT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali menerima lebih 25 permohonan pesakit untuk dibawa menghadiri janji temu di hospital awam terpilih.

Penyelarasnya Saifuddin Shafi Muhammad berkata kebanyakan pemohon program khidmat Batang Kali CAR-e adalah golongan sasar iaitu warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) yang memerlukan perkhidmatan berkenaan.

“Sejak dilancarkan pada 1 Oktober lalu program ini mendapat perhatian dengan segelintir daripada golongan berkaitan berdepan masalah tiada pengangkutan dan juga waris sibuk bekerja.

“Insya-Allah kita akan berusaha membantu agar tidak terlepas janji temu kerana bimbang juga jika terlepas sakit mereka semakin melarat,” katanya kepada SelangorKini.

Khidmat Batang Kali CAR-e turut mendapat kerjasama Sukarelawan Selangor (Suka) manakala hospital awam terpilih iaitu Hospital Kuala Kubu Bharu, Hospital Selayang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Besar Kuala Lumpur.

Mereka yang memerlukan perkhidmatan tersebut boleh menghubungi 011-74742008 dengan mengemukakan nama, alamat, nombor kad pengenalan dan salinan janji temu 14 hari lebih awal.

Categories
ADN SELANGOR

Hampir 4,000 penduduk Batang Kali dapat vaksin negeri

HULU SELANGOR, 7 OKT: Sekitar 3,800 penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali menerima suntikan pelalian melalui program Vaksin Selangor (Selvax) setakat ini.

Penyelarasnya Saifuddin Shafi Muhammad berkata jumlah itu merangkumi peserta bagi Selvax Komuniti dan Selvax bergerak anjuran Kerajaan Selangor.

“Sambutan amat menggalakkan dan setakat ini kita dapati lebih kurang 70 ke 80 peratus penduduk dewasa di Batang Kali lengkap divaksin.

“Terima kasih Kerajaan Negeri menganjurkan program yang amat besar ertinya kepada penduduk di sini, semoga inisiatif ini diteruskan lagi,” katanya ketika ditemui pada program Selvax bergerak DUN Batang Kali di pekarangan pusat khidmatnya hari ini.

Saifuddin berkata sebanyak 608 dos disediakan melalui program itu dengan sasaran peserta dalam kalangan warga asing yang tiada pengenalan diri.

“Kita mengalu-alukan sekiranya Kerajaan Negeri mahu menambah lagi dos vaksin di DUN Batang Kali sekali gus berusaha mencapai imuniti kelompok,” katanya lagi.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Program tersebut terbuka kepada individu berusia 18 tahun ke atas termasuk warga asing dengan membuat pendaftaran awal melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah).

Categories
AGENSI SELANGOR

Anak muda Hulu Selangor bersihkan rumah mangsa banjir

SHAH ALAM, 22 JULAI: Seramai 25 anak muda sekitar Hulu Selangor mengadakan gotong-royong secara berperingkat bermula Ahad lalu bagi membantu mangsa banjir daerah terbabit.

Pegawai khas Dato’ Menteri Besar berkata ia adalah inisiatif kumpulan belia di kawasan itu berpadu tenaga membersih rumah berterusan hingga hujung minggu memandangkan hujan hampir setiap hari.

“Program disertai anak muda dari Friend of Selangor dan Team Selangor termasuk skuad Keadilan Hulu Selangor. Ada beberapa rumah yang masih menunggu giliran, kami mahu meringankan beban mangsa banjir dan akan cuba bantu semua,” kata Saifuddin Shafi Muhammad kepada SelangorKini semalam.

Beliau berkata mereka turut menyumbang bantuan makanan asas kepada 100 keluarga.

Sabtu lalu banjir kilat berlaku di 22 kawasan di Hulu Langat diikuti Sepang (14), Hulu Selangor (4) Gombak (dua) dan Klang (satu).